Anda di halaman 1dari 14

KEBERKESANAN MEMPELAJARI ILMU QIRAAT:

ANTARA HARAPAN, CABARAN DAN PENYELESAIAN MASALAH


Oleh:
Muhammad Hafiz bin Saleh
Abd Muhaimin bin Ahmad
Norazman bin Alias
mhafiz@usim.edu.my
muhaimin@usim.edu.my
norazman@usim.edu.my

Pengajian ilmu qiraat di Malaysia kini bukan lagi suatu yang asing. Hampir
setiap institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pengajian
Islam di negara ini turut menawarkan ilmu qiraat kepada mahasiswa dan
mahasiswi mereka. Ini kerana ilmu qiraat berkait rapat dengan pelbagai
disiplin ilmu terutamanya dalam bidang tafsir al-Quran. Namun begitu, tidak
dinafikan bahawa perkembangan ilmu qiraat di negara ini masih pada
peringkat pengukuhan di mana institusi-institusi pengajian tempatan mula
mengorak langkah dan berusaha untuk mengembangkan ilmu ini. Dalam
menempuhi peringkat ini, pelbagai cabaran harus dilalui demi mencapai
harapan dan hasrat yang disasarkan. Antara cabaran utama yang menjadi
tumpuan adalah keberkesanan mempelajari ilmu qiraat dan kaedah
pengajaran yang paling sesuai digunakan dalam menyampaikan ilmu ini.
Melalui kertas kerja ini, pandangan daripada ahli-ahli yang arif dan
berpengalaman dalam bidang qiraat akan dijadikan sebagai landasan bagi
menempuh cabaran tersebut sekaligus merungkai masalah pengajaran dan
pembelajaran yang berkaitan dengan pengajian ilmu ini.

1.0

Pendahuluan

Perkembangan pengajian ilmu qiraat di negara ini merupakan fenomena yang dapat
diperhatikan sejak beberapa dekad yang lalu. Ia dapat dilihat menerusi penawaran
institusi pengajian tinggi awam dan swasta terhadap kursus-kursus yang berkaitan dengan
pengajian qiraat. Malahan, subjek qiraat juga diterapkan kepada para pelajar di sekolah
menengah agama menerusi Kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz al-Quran (KKQ).
Ini menunjukkan bahawa pengajian ilmu qiraat semakin mendapat perhatian dalam
kalangan para pelajar yang menuntut dalam bidang pengajian Islam. Tidak dapat
disangkal bahawa fenomena ini menggambarkan bahawa pembelajaran ilmu qiraat adalah
penting kerana ia merupakan sebahagian daripada ilmu pengetahuan yang berkaitan
dengan bacaan al-Quran.

2.0

Definisi Ilmu Qiraat

Menurut Imam Ibn al-Jazari: Ilmu Qiraat merupakan ilmu yang menjelaskan kaedah
menyebut kalimah-kalimah di dalam al-Quran di samping menjelaskan perbandingan
bacaan antara imam-imam qiraat.1 Ini menunjukkan bahawa bacaan al-Quran dan ilmu
tajwid yang dipelajari dan diamalkan pada hari ini merupakan salah satu jenis bacaan
yang terdapat di dalam pengajian ilmu qiraat iaitu menurut bacaan riwayat Hafs daripada
Imam Asim.
Namun begitu, ruang lingkup ilmu qiraat tidak terbatas sekadar pada bacaan alQuran sahaja, bahkan ianya turut memainkan peranan yang besar dalam memahami
pengajian tafsir al-Quran, permasalahan fekah dan akidah. Memandangkan kepentingan
dan hubung kait ilmu qiraat dengan ilmu-ilmu yang lain, ianya amat wajar dipelajari oleh
para pelajar yang mengambil jurusan pengajian Islam tanpa membatasi peringkat usia.

3.0

Pengajian Ilmu Qiraat di Malaysia

Menurut kajian yang dilakukan, pengajian ilmu qiraat di Malaysia secara formal bermula
seawal tahun 1966 dengan tertubuhnya Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat di Pusat
Islam, Kuala Lumpur. Penubuhan institusi pertama qiraat ini merupakan cetusan idea
Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman sewaktu Rektor
Universiti al-Azhar, Syeikh Muhammad Syaltut membuat lawatan ke Malaysia.2 Sejak
penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat yang pertama ini, maka bermulalah
perkembangan ilmu qiraat di negara ini secara rasminya.
Selepas beberapa dekad penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat di Kuala
Lumpur, lahir pula beberapa institusi tahfiz yang turut menawarkan pengajian ilmu qiraat
menurut kronologi berikut:
i.

Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Melaka (1990);

ii.

Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (1991);

iii.

Maahad Tahfiz Negeri Pahang (1996); dan

iv.

Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat Istana Alaeddin Bandar (1996).

Ibn al-Jazari, Taqrib al-nashr fi al-Qiraat al-Ashr, ed. Muhammad Ali Baidun, (Beirut: Dar al-Kutub alIlmiyyah, 2002), 3.
2
http://www.darulquran.gov.my/sejarah.html

Selain daripada institusi tahfiz, terdapat juga beberapa institusi pengajian tinggi
yang turut menawarkan kursus pengajian ilmu qiraat seperti Universiti Kebangsaan
Malaysia seawal tahun 1980, Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (1995);
Kolej Pengajian Islam Johor (1997).3
Setelah melangkah ke tahun 2000, perkembangan pengajian ilmu qiraat semakin
pesat sehingga begitu banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus
pengajian ilmu qiraat kepada para pelajar. Keunikan kursus ini dapat dilihat menerusi
nama-nama yang diberikan kepadanya kerana ia bukan hanya dikenali dengan satu nama
seperti ilmu qiraat, bahkan terdapat pelbagai nama yang diberikan kepada kursus
pengajian qiraat seperti berikut:
i.

Pengantar Ilmu Qiraat dan Hafazan;

ii.

Qiraat Ilmi;

iii.

Qiraat Amali;

iv.

Qiraat Asyarah;

v.

Ilmu Qiraat;

vi.

Metodologi Pengajaran Ilmu Qiraat;

vii.

Pengajian Qiraat;

viii.

Tarikh al-Qurra;

ix.

Mutun Tahriri dan lain-lain.

Selain daripada institusi pengajian tinggi, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di
bawah Kementerian Pelajaran Malaysia telah diamanahkan untuk mewujudkan Kelas
Kemahiran Membaca dan Menghafaz al-Quran (KKQ). Ia merupakan sebahagian
daripada aktiviti ko-kurikulum di sekolah di mana ia turut menerapkan pengajian ilmu
qiraat kepada para pelajar. Menerusi aktiviti ini para pelajar didedahkan dengan
pengenalan terhadap imam-imam qiraat serta cara bacaan mereka menerusi surah-surah
lazim bermula dari Surah al-Nas kepada Surah al-Dhuha.4

Muhammad Hafiz, Comparative Study On The Science Of Qiraat In Higher Education Institutions In
Malaysia, (MA Tesis, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, 2010),
4
http://spikel.bpi.edu.my/index.php?view=article&catid=3%3Akurikulum&id=86%3Akelas-kemahiran-alquran&format=pdf&option=com_content&Itemid=49

Pengajian ilmu qiraat turut mendapat perhatian masyarakat awam yang dahagakan
ilmu berkaitan al-Quran. Pelbagai program pengajian al-Quran yang disediakan turut
mendedahkan pengajian ilmu qiraat kepada peserta yang mengikuti program tersebut.
Sebagai contoh, Universiti Sains Islam Malaysia menawarkan program sepanjang hayat
menerusi Program Persijilan Talaqqi al-Quran yang dibuka kepada masyarakat awam.
Kelas yang dijalankan pada setiap hujung minggu ini menawarkan beberapa subjek
berkaitan ilmu al-Quran seperti Ilmu Tajwid, Talaqqi al-Quran, Pengantar Ulum al-Quran
dan termasuklah Pengantar Ilmu Qiraat.5 Selain Universiti Sains Islam Malaysia, terdapat
beberapa lagi institusi yang menawarkan program seumpamanya seperti Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia, Kolej Universiti Islam Selangor dan lain-lain.

4.0

Objektif Pembelajaran Ilmu Qiraat

Menurut kajian yang dilakukan terhadap institusi pengajian tinggi awam, setiap kursus
atau subjek qiraat mempunyai objektif yang hampir sama walaupun menggunakan nama
yang berbeza. Antara objektif atau penekanan yang ditumpukan dalam pembelajaran ilmu
qiraat adalah seperti berikut:6
i.

Memberikan pengenalan yang jelas terhadap ilmu qiraat seperti definisi,


objektif, sumber, dalil serta bahan rujukan;

ii.

Memberikan penjelasan mengenai peranan ilmu qiraat dan hubungannya


dengan al-Quran;

iii.

Menjelaskan beberapa ilmu lain yang berkaitan dengan ilmu qiraat secara
umum seperti Ilmu tajwid, Ilmu Rasm dan Dhabt al-Quran serta Ilmu alFawasil. Ini kerana ilmu-ilmu ini berkait rapat di antara satu sama yang lain;

iv.

Menerangkan latar belakang imam-imam qiraat tujuh atau sepuluh serta


perawi mereka. Di samping itu, penekanan juga diberi terhadap kaedah bacaan
al-Quran bagi setiap perawi tersebut secara umum; dan

v.

Mempraktikkan bacaan bagi setiap imam qiraat beserta perawi mereka dengan
menumpukan kepada surah-surah tertentu di dalam al-Quran. Terdapat

http://phip.usim.edu.my/ms/perkhidmatan/program-pengajian/sepanjang-hayat/101-talaqqi-al-quran.html
Maklumat ini berdasarkan kepada temubual dengan pensyarah-pensyarah yang mengajar kursus ilmu
qiraat di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan Kolej
Universiti Islam Selangor.
6

sebahagian daripada institusi yang memilih juzuk Amma, ada pula yang
memilih surah pilihan seperti Surah al-Sajadah dan Surah al-Insan, manakala
ada yang memilih Surah al-Baqarah.

5.0

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Qiraat yang Berkesan

Daripada sudut pengajaran dan pembelajaran ilmu qiraat pula, kaedah yang digunakan
adalah hampir serupa di antara satu institusi dengan institusi yang lain. Antara kaedah
yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah seperti berikut:7

1. Penyampaian di dalam dewan kuliah


Menerusi kaedah ini, para pensyarah atau guru akan memberikan penyampaian
kepada pelajar dalam jumlah yang ramai. Kadangkala jumlah ini boleh mencecah
300 orang pelajar. Pengajaran adalah berdasarkan kepada rangka kursus yang
telah ditetapkan. Antara penekanan dalam pembelajaran ilmu qiraat menerusi
kaedah ini adalah berbentuk teori dan merangkumi topik-topik berikut:
i.

Objektif pembelajaran ilmu qiraat;

ii.

Kelebihan mempelajari ilmu qiraat;

iii.

Definisi ilmu qiraat;

iv.

Latar belakang imam-imam qiraat beserta perawi mereka;

v.

Manhaj atau kaedah bacaan bagi setiap imam dan perawi merka;

vi.

Istilah-istilah khas yang digunakan dalam ilmu qiraat; dan

vii.

Cara sebutan bagi bacaan yang jarang atau tiada langsung dalam bacaan
riwayat Hafs daripada Imam Asim.

2. Penyampaian di dalam kelas tutorial


Selain daripada pengajaran di dalam dewan kuliah, para pensyarah atau guru turut
memanfaatkan kelas tutorial untuk memantapkan pengetahuan para pelajar. Di
dalam kelas tutorial, jumlah para pelajar adalah terhad antara 10 hingga 30 orang
pelajar sahaja. Interaksi dua hala antara pensyarah atau guru dengan para pelajar
7

Maklumat ini berdasarkan kepada temubual dengan pensyarah-pensyarah yang mengajar kursus ilmu
qiraat di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan Kolej
Universiti Islam Selangor.

diterapkan menerusi kaedah ini agar dapat memberi peluang kepada para pelajar
bersoal-jawab dan berbincang berkaitan ilmu qiraat dengan lebih mendalam.
Antara penekanan dalam pembelajaran ilmu qiraat menerusi kaedah ini adalah
seperti berikut:
i.

Pembentangan ilmu qiraat daripada para pelajar;

ii.

Bacaan al-Quran menurut bacaan imam-imam qiraat beserta perawi


mereka secara talaqqi dan mushafahah;

iii.

Hafazan matan al-Shatibiyyah sebagai dalil bagi bacaan imam-imam


qiraat beserta perawi mereka;

viii.

Membantu para pelajar menyebut dengan tepat bagi bacaan yang jarang
atau tiada langsung dalam bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim;

iv.

Mendengar

dan

memperbetulkan

bacaan

para

pelajar

ketika

mempraktikkan bacaan al-Quran selain daripada bacaan riwayat Hafs


daripada Imam Asim;
v.

Melantik setiap pelajar untuk mewakili salah satu bacaan bagi imam-imam
qiraat atau perawi mereka.

3. Penggunaan alat bantuan mengajar


Sewaktu sesi pembelajaran berlangsung, para pensyarah atau guru amat
digalakkan menggunakan alat bantuan mengajar bagi mempermudahkan pelajar
untuk memahami isi kandungan pelajaran. Antara alat bantuan mengajar yang
boleh digunakan adalah seperti berikut:
i.

Pembentangan pengajaran menggunakan Microsoft Power Point

ii.

CD qiraat

iii.

Laman web qiraat

iv.

Quran Flash

v.

My LMS @ Goals

vi.

Audio dan video qiraat

vii.

Blog qiraat

viii.

Keratan akhbar dan majalah

4. Peperiksaan atau kuiz


Pembelajaran yang berteraskan peperiksaan atau kuiz turut memberi kesan kepada
penguasaan pelajar terhadap ilmu qiraat. Ini menyebabkan para pelajar lebih fokus
dalam pembelajaran dan mampu menarik perhatian mereka terhadap perkara-perkara
penting di dalam ilmu qiraat khususnya kepada istilah yang jarang digunakan dalam
bacaan riwayat hafs daripada Imam Asim. Kuiz yang kerap kali dilakukan juga dapat
menajamkan minda sehingga persoalan yang seringkali ditanya mampu dijawab
secara spontan. Kedua-kedua kaedah ini turut menambahkan tumpuan para pelajar
terhadap topik yang sedang dipelajari. Lebih-lebih lagi, ia membantu pelajar untuk
mengingati nama-nama imam qiraat beserta perawi mereka dan istilah yang
digunakan khusus dalam ilmu qiraat.

6.0

Cabaran dan Penyelesaiannya Dalam Pembelajaran Ilmu Qiraat

Dalam mengharungi fasa pembelajaran, seseorang kebiasaannya akan menghadapi


cabaran untuk menguasai suatu ilmu tanpa mengira apa jua kursus atau subjek. Suasana
ini turut berlaku pada peringkat permulaan dalam mempelajari ilmu qiraat. Antara
cabaran dan penyelesaiannya dalam pembelajaran ilmu qiraat adalah seperti berikut:8

i.

Pra syarat mempelajari ilmu qiraat


Terdapat beberapa pra syarat yang perlu dipenuhi sebelum mendalami ilmu
qiraat. Tanpa pra syarat tersebut, seseorang akan menghadapi kesukaran
dalam mempelajari ilmu qiraat. Antaranya adalah; memahami ilmu tajwid
terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu qiraat. Ini kerana terdapat pelbagai
istilah atau kata nama yang terdapat di dalam ilmu tajwid akan digunakan di
dalam pembelajaran ilmu qiraat. Contohnya seperti, Mad Jaiz Munfasil, Mad
Wajib Muttasil, Mad Badal, Mad Lin, Tashil, Imalah, Saktah dan sebagainya.
Sekiranya maksud atau cara bacaan bagi istilah tersebut tidak difahami, maka
kesukaran akan dihadapi sewaktu mempelajari ilmu qiraat kerana istilahistilah tersebut akan seringkali digunakan, bahkan terdapat pelbagai lagi
istilah baru yang akan dipelajari dalam ilmu qiraat. Selain itu, penguasaan

Muhammad Hafiz, 63- 64.

bacaan al-Quran juga menjadi pra syarat dalam mempelajari ilmu qiraat. Ini
kerana, bacaan yang digunakan selama ini hanyalah menurut satu riwayat
sahaja iaitu; bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim. Sekiranya tahap
bacaan al-Quran masih lemah, maka ditakuti kekeliruan akan dihadapi dalam
pembelajaran ilmu qiraat. Oleh itu, dengan penguasaan bacaan al-Quran yang
mantap, seseorang dapat melihat perbezaan bacaan di antara bacaan riwayat
Hafs daripada Imam Asim dengan bacaan-bacaan lain dengan lebih ketara.

ii.

Mengingati kesemua nama imam dan perawi mereka


Ini merupakan antara cabaran terawal yang akan dihadapi ketika mempelajari
ilmu qiraat. Ini kerana terdapat 21 nama yang perlu diingati dalam
pembelajaran ilmu qiraat tujuh. Manakala bagi qiraat sepuluh, 30 nama yang
harus diingati. Apatah lagi nama mereka bukanlah seperti nama Melayu
melainkan Hisham, Hamzah dan Yaakub. Oleh yang demikian, setiap pelajar
digalakkan untuk mengenali nama-nama tersebut terlebih dahulu sebelum
mempraktikkan bacaan mereka. Para pelajar juga diharapkan dapat menguasai
bacaan satu imam atau perawi secara satu per satu sebelum beralih kepada
cara bacaan imam atau perawi yang lain. Manakala peranan pengajar pula
adalah mengulangi nama-nama mereka sehingga para pelajar mampu
mengingatinya.

iii.

Penggunaan istilah yang jarang digunakan


Di dalam ilmu qiraat terdapat beberapa istilah yang hanya digunakan dalam
pembelajaran ilmu qiraat sahaja. Kalau pun ada, barangkali ia membawa
maksud yang berbeza. Antara istilah yang digunakan adalah seperti tariq,
sanad, taqlil, taghliz, tarqiq, naqal, idgham kabir, tashil al-Hamzah al-Thaniah
maa idkhal al-Alif, ibdal al-Hamzah, qasar, tawassut, ishba, silah dan
sebagainya. Oleh yang demikian, istilah-istilah tersebut seharusnya selalu
disebut dan dihafal agar setiap bacaan yang dibaca atau didengar dapat
diketahui dengan jelas nama bagi hukum tersebut.9

Ibid, 64-65.

iv.

Kesukaran menyebut kalimah yang mempunyai khilaf


Sebagaimana yang telah dijelaskan cabaran berkaitan istilah yang digunakan
di dalam ilmu qiraat, cabaran untuk menyebutnya merupakan perkara yang
berbeza. Ini kerana ilmu qiraat tidak boleh dipelajari secara teori sahaja,
bahkan ia mesti dipelajari secara praktikal melalui kaedah talaqqi dan
mushafahah. Biar pun kaedah ini sudah dilaksanakan, kesukaran menyebut
kalimah-kalimah khilaf masih berlaku kerana sesetengah bacaan bagi imam
qiraat dan perawi mereka tidak sama dengan bacaan yang dipraktikkan selama
ini menerusi bacaan riwayat Hafs daripada Imam Asim. Contohnya pada
bacaan taqlil, tashil al-Hamzah, naqal, ibdal al-Hamzah, taghliz al-Lam, tarqiq
al-Ra, ikhtilas dan sebagainya. Bagi menangani cabaran ini, para pelajar perlu
selalu berlatih menyebut hukum-hukum tersebut dan memastikan bacaan yang
disebut adalah tepat dengan memperdengarkannya kepada pensyarah atau
guru yang mengajar ilmu qiraat.

v.

Penggunaan Matan al-Shatibiyyah


Matan al-Shatibiyyah atau Hirz al-Amani wa Wajh al-Tahani merupakan baitbait syair yang menghimpunkan keseluruhan bacaan bagi imam-imam qiraat
tujuh berserta perawi mereka. Ia juga merupakan sumber utama dalam
pembelajaran ilmu qiraat tujuh. Namun, didapati beberapa institusi yang tidak
menggunakan matan ini dalam pengajaran ilmu qiraat. Ini menyebabkan
pembelajaran ilmu qiraat terbatas pada perkara-perkara asas sahaja. Bahkan,
jarang sekali seseorang mampu menguasai ketujuh-tujuh qiraat tanpa
mempelajari matan ini. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa pembelajaran
menggunakan matan ini memang sukar dan mengambil masa yang lama
sedangkan tempoh pembelajaran adalah terhad dan singkat. Mungkin
disebabkan itu, mereka memilih untuk tidak menggunakan matan ini namun
hanya sekadar memberikan penjelasan umum sahaja tentang perbezaan bacaan
dalam kalangan imam-imam qiraat beserta perawi mereka tanpa menggunakan
matan al-Shatibiyyah.10

10

Ibid, 65.

vi.

Kekurangan bahan bacaan dan rujukan ilmu qiraat


Tidak dinafikan bahawa bahan bacaan dan rujukan untuk ilmu qiraat dalam
Bahasa Melayu adalah amat terhad sekiranya dibandingkan dengan jumlah
buku ilmu qiraat di dalam Bahasa Arab. Bahkan boleh dianggarkan bahawa
jumlah buku khusus berkaitan ilmu qiraat dalam Bahasa Melayu tidak lebih
daripada 10 buah buku yang diterbitkan. Kemungkinan ini merupakan salah
satu cabaran yang dihadapi oleh para pelajar iaitu dalam masalah mencari
rujukan. Namun cabaran ini boleh ditangani dengan penguasaan Bahasa Arab
dengan tujuan memahami isi kandungan ilmu qiraat daripada buku-buku
Bahasa Arab. Begitu juga dengan merujuk kepada kertas-kertas kerja
berkaitan ilmu qiraat yang pernah dibentangkan melalui seminar-seminar atau
kursus-kursus qiraat. Antara rujukan yang boleh digunakan bagi tujuan
pembelajaran ilmu qiraat menggunakan Bahasa Melayu adalah seperti berikut:

Pengenalan Ilmu Qiraat karangan Ustaz Mohd Rahim Jusoh;

Dinamika Ilmu Qiraat Quraniyyah karangan bersama Ustaz Sabri


Mohamad dan Ustaz Mohd Faizulamri Mohd Saad;

Jurnal Darul Quran yang dikeluarkan secara berkala;

Modul Qiraat daripada Open University Malaysia karangan bersama


Ustaz Khairul Anuar Mohamad dan Ustaz Norakyairee Mohd Raus;

Keratan akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan Bicara Agama setiap


Rabu karangan Ustaz Khairul Anuar Mohamad; dan

Himpunan pembentangan kertas kerja seminar seperti Seminar Wahyu


Asas Tamadun 2011 (USIM), Seminar Pendidikan dan Penyelidikan
Qiraat (KUIS) dan Seminar Antarabangsa Qiraat dan Qurra (UDM).

vii.

Tempoh pembelajaran yang terhad


Pembelajaran ilmu qiraat secara formal biasanya menggunakan sistem
semester di mana tempoh pembelajaran adalah terhad kepada 14 minggu
sahaja. Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan, kebiasaannya para pelajar
diperuntukkan masa untuk mempelajari ilmu qiraat dalam tempoh tersebut
selama 3 ke 4 jam seminggu. Dalam tempoh tersebut, pembelajaran akan

10

menyentuh dari sudut latar belakang ilmu qiraat, latar belakang imam-imam
qiraat beserta perawi mereka, kaedah bacaan bagi setiap imam dan perawi
mereka dan penumpuan terhadap beberapa surah yang tertentu sahaja. Adapun
pembelajaran ilmu qiraat secara keseluruhannya tidaklah mencukupi
disebabkan tempoh pembelajaran agak singkat. Oleh yang demikian, tempoh
yang dinyatakan ini adalah sesuai bagi mereka yang berada dalam pengajian
Islam tetapi bukan pengkhususan dalam bidang qiraat. Seandainya
pengkhususan yang diceburi adalah dalam bidang qiraat, maka sekirangkurangnya 8 semester diperlukan untuk menguasai ilmu qiraat secara
keseluruhannya.11

viii.

Minat yang kurang


Tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir pelajar yang kurang berminat
dengan ilmu qiraat. Ini kerana wujudnya perasaan bahawa ilmu qiraat tidak
berkait secara langsung dengan kehidupan seharian seperti bidang feqah dan
akidah. Namun, perasaan atau persepsi sedemikian adalah salah dan harus
diperbetulkan. Ini kerana membaca al-Quran sama ada dalam solat atau di luar
solat merupakan perkara yang berkait secara langsung dengan qiraat. Cuma,
bacaan al-Quran yang dibaca adalah menurut salah satu riwayat daripada
qiraat tujuh sahaja. Pada hakikatnya, ilmu qiraat walaupun secara zahirnya
tidak berkait dengan amalan seharian, sebenarnya ia mempunyai hubungan
yang kuat antara ilmu feqah dalam kepelbagaian mazhab, ilmu tafsir al-Quran
yang membawa kepada pelbagai penafsiran dan sebagainya. Oleh itu, bagi
menanam perasaan minat terhadap ilmu qiraat para pelajar boleh merujuk
kepada kitab-kitab qiraat atau tafsir yang menerangkan makna-makna
perubahan yang ada pada satu kalimah di dalam al-Quran dan apakah
kesannya terhadap makna atau hukum fekah. Begitu juga dengan mendengar
bacaan yang mempunyai perbezaan bacaan yang ketara dengan riwayat Hafs
daripada Imam Asim seperti mendengar bacaan riwayat Warsh daripada Imam
Nafi atau riwayat Khalaf daripada Imam Hamzah. Dengan kedua-dua cara

11

Ibid.

11

tersebut, ia mampu memupuk rasa minat untuk mempelajari ilmu qiraat


dengan lebih mendalam.12

7.0

Kesimpulan

Perkembangan ilmu qiraat tidak seharusnya terbatas kepada para pelajar di peringkat
sekolah dan institusi pengajian tinggi sahaja, bahkan ia seharusnya didedahkan kepada
setiap lapisan masyarakat agar ilmu yang mulia ini terus dipelihara. Ini kerana kemuliaan
orang yang mempelajari ilmu qiraat adalah sama dengan kemuliaan orang yang
mempelajari al-Quran. Tambahan pula, kelebihan mereka yang mempelajari ilmu qiraat
terserlah dengan peranan mereka sebagai pemelihara kalam Allah yang suci daripada apa
jua bentuk perubahan dan pemesongan kerana hanya dengan ilmu qiraat perubahan itu
dapat diketahui. Oleh yang demikian, menjadi harapan bagi setiap pencinta al-Quran
agar;

i.

Pengajaran dan pembelajaran ilmu qiraat terus berkembang khususnya di


negara ini. Malah ianya merupakan satu harapan yang besar agar Malaysia
menjadi sebuah pusat rujukan bagi Asia dalam mempelopori kepakaran dalam
bidang ilmu qiraat;

ii.

Lebih ramai lagi yang berminat untuk menceburi bidang qiraat. Biarpun
hukum mempelajarinya adalah fardhu kifayah, namun peranannya adalah
cukup besar. Ini jelas dibuktikan dengan pengorbanan para ulama terkemuka
dahulu dan sekarang yang telah menghabiskan usia dan hayat mereka dengan
mendalami ilmu qiraat serta mengajarkannya;

iii.

Lebih banyak lagi institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang turut
mengambil peranan untuk menyebarluaskan ilmu ini sehingga melahirkan
pakar-pakar qiraat di seluruh pelusuk tanah air;

iv.

Setiap pengajar ilmu qiraat mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan


kaedah atau teknik pengajaran ilmu qiraat agar pembelajaran ilmu qiraat
menjadi lebih menarik dan berkesan. Penggunaan teknologi terkini adalah

12

Ibid.

12

amat penting kerana fitrah manusia yang minat kepada perkara yang baru
haruslah dimanfaatkan;
v.

Lebih banyak buku-buku qiraat menggunakan Bahasa Melayu diterbitkan agar


rakyat di negara ini dapat mengambil manfaat daripadanya. Selain itu,
perlulah dihimpunkan kertas-kertas kerja berkaitan ilmu qiraat dan dibukukan
agar ia juga boleh menjadi salah satu daripada bahan rujukan dalam
mempelajari ilmu qiraat;

vi.

Memperbanyakkan lagi diskusi atau seminar atau kursus bagi mendedahkan


keistimewaan dan kelebihan mempelajari ilmu qiraat. Kaedah ini boleh
menarik lebih ramai golongan untuk mempelajari ilmu qiraat;

vii.

Memanjangkan lagi tempoh pembelajaran ilmu qiraat khususnya bagi mereka


yang mendalami pengkhususan pengajian al-Quran atau qiraat. Ini bagi
memberi tempoh yang cukup bagi mereka memahami selok belok ilmu qiraat
dengan lebih mendalam; dan

viii.

Penggunaan audio, video dan software qiraat sebagai alat bantuan mengajar
kepada pengajar dan pelajar amat digalakkan agar pembelajaran tidak hanya
bergantung kepada keberadaan pensyarah semata-mata. Malah dengan adanya
perkara-perkara tersebut, ia boleh melahirkan suasana pembelajaran secara
kendiri sebagai persiapan sebelum memasuki kelas qiraat atau sebagai
ulangkaji secara berkumpulan dan bersendirian.

Mudah-mudahan dengan adanya kesepakatan dan kerjasama daripada setiap


pihak, pembelajaran ilmu qiraat akan menjadi lebih berkesan dan terus berkembang serta
diwarisi kepada generasi yang akan datang. Teguran dan cadangan hendaklah sentiasa
dikemukakan agar proses pengajaran dan pembelajaran ilmu qiraat terus maju ke tahap
yang membanggakan.

13

Rujukan
Ibn al-Jazari, Taqrib al-nashr fi al-qiraat al-Ashr, ed. Muhammad Ali Baidun, (Beirut:
Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2002).

Muhammad Hafiz, Comparative Study On The Science Of Qiraat In Higher Education


Institutions In Malaysia, (MA Tesis, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,
2010).

Rujukan Internet
http://spikel.bpi.edu.my/index.php?view=article&catid=3%3Akurikulum&id=86%3Akel
as-kemahiran-al-quran&format=pdf&option=com_content&Itemid=49

http://www.darulquran.gov.my/sejarah.html

http://phip.usim.edu.my/ms/perkhidmatan/program-pengajian/sepanjang-hayat/101talaqqi-al-quran.html

Rujukan Lain
Temubual bersama beberapa para pensyarah yang mengajar pengajian ilmu qiraat di
institusi pengajian tinggi awam di Malaysia seperti berikut;
i.

Dr Sabri Mohamad (UKM)

ii.

Dr Abdul Rahman Abdul Ghani (UM, KUIS, UPSI)

iii.

Ustaz Ashraf Ismail (UKM)

iv.

Ustaz Muhammad Hafiz Saleh (USIM)

v.

Ustaz Abdul Muhaimin Ahmad (USIM)

vi.

Ustaz Norazman Alias (USIM)

14

Anda mungkin juga menyukai