Anda di halaman 1dari 7

KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA

Bahasa merupakan alat yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak zaman
dahulu lagi. Dalam mendepani era globalisasi ini,kemampuan menguasai dan
berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan suatu kelebihan kepada seseorang.
Lantaran itu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya, memberikan peluang kepada
para pelajar untuk mempelajari lima bahasa antarabangsa iaitu, bahasa Peranchis, Jerman,
Jepun, Cina dan Arab melalui pembelajaran bahasa antarabangsa. Tanpa kemampuan dan
kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa, agak sukar seseorang untuk berkomunikasi
khususnya dengan individu yang berlainan bangsa. Oleh itu, banyak kepentingan akan
diperoleh oleh seseorang dengan menguasai pelbagai bahasa lain selain bahasa ibunda.

Kebaikan pertama menguasai pelbagai bahasa ialah seseorang lebih mudah untuk
berhubung atau berkomunikasi dengan orang lain. Hal ini demikian kerana seseorang
akan lebih berkeyakinan untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja. Sebagai contoh, dengan
menguasai bahasa Inggeris, seseorang boleh memberitahu tempat-tempat menarik serta
keistimewaan yang terdapat di negara kita kepada pelancong yang datang ke negara kita.
Faedah daripada itu, para pelancong berasa lebih dihargai malah akan lebih tertarik
untuk berkunjung ke negara kita. Seseorang juga akan lebih memahami psikologi serta
penutur jati individu tertentu. Sebaliknya, tanpa menguasai pelbagai bahasa seseorang
sukar untuk menolong walaupun masih mempunyai niat untuk membantu. Impak
daripada itu, para pelancong akan berfikiran negatif dan berkemungkinan menganggap
kita tidak peramah dan bersikap sombong. Jelas bahawa, dengan menguasai pelbagai kita
mudah berkomunikasi dengan lebih berkesan untuk bertukar fikiran serta maklumat
antara satu sama lain.

Selain itu, dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh
ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana pelbagai ilmu pengetahuan yang terdapat di
dunia ini ditulis dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa
utama dunia. Dengan memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan seseorang akan lebih
dihormati, dipandang tinggi serta tidak dianggap bagai katak di bawah tempurung.
Sebagai contoh, untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang agama Islam seseorang
wajib menguasai bahasa Arab yang merupakan bahasa kitab suci Al-Quran. Sementara
itu, bagi golongan pelajar mereka lebih mudah untuk membuat rujukan sama ada melalui
buku-buku atau Internet. Kemahiran menguasai bahasa Inggeris misalnya, sering kali
menjadi halangan kepada pelajar Bumiputera di pusat pengajian tinggi untuk
menghasilkan kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti. Tegasnya, memiliki kemahiran
bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis adalah
amat perlu sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia membangunkan modal insan di
negara ini.

Seterusnya, seseorang lebih mudah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi, baik di pusat pengajian tinggi awam atau swasta. Tambahan lagi kemampuan
menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa menjadi semakin penting sekiranya
seseorang hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hal ini demikian kerana hampir
semua pusat pengajian tinggi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
dalam pengajaran dan pembelajaran kerana kekuatannya sebagai bahasa komunikasi
masyarakat dunia. Hal ini dikukuhkan lagi apabila seseorang ingin melanjutkan pelajaran
di negara-negara maju seperti Jepun dan Peranchis yang menggunakan bahasa ibunda
mereka sendiri sebagai bahasa pengantar utama. Tamsilnya, untuk melanjutkan pelajaran
di negeri matahari terbit, Jepun pelajar perlulah mengikuti kurusus untuk menguasai
bahasa Jepun terlebih dahulu sebagai pakej untuk terpilih untuk mengikuti pengajian di
sana. Jelas terbukti bahawa penguasaan pelbagai bahasa memberikan kemudahan kepada
setiap orang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di samping
mudah untuk memahami budaya dan gaya hidup sesuatu masyarakat yang ditemui.

Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang
lebih mudah untuk memperoleh peluang pekerjaan. Hal ini disebabkan seseorang pekerja
yang berkemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa dianggap mempunyai banyak
kelebihan serta keistimewaan kerana mampu bertutur dengan pelbagai pihak. Sebagai
contoh, di Malaysia seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris
dan Mandarin memiliki ciri-ciri pekerja yang digemari dan disukai majikan kerana
masyarakat majmuk yang terdapat di negara kita. Di samping itu, dengan menguasai
pelbagai bahasa membolehkan seseorang itu, menceburkan diri dalam bidang
penterjemahan atau jurubahasa dalam bidang kehakiman dan juga sektor pelancongan.
Bidang terjemahan dikatakan mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai
permintaan yang tinggi. Begitu juga dalam bidang pelancongan yang amat memerlukan
khidmat pemandu pelancong asing yang boleh menguasai bahasa asing. Sesungguhnya,
penguasaan pelbagai bahasa dan kemahiran berkomunikasi menjadi suatu kriteria dan
pertimbangan utama majikan dalam memilih ciri pekerja yang berkualiti.

Intihanya, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan subjek bahasa


tambahan di peringkat sekolah perlulah dipuji bagi memperkasakan lagi modal insan
yang bakal dilahirkan. Oleh itu, semua pihak khususnya ibu bapa bukan sahaja perlu
menerimanya secara positif malahan memberikan sokongan tanpa wujud perasaan
berbelah bahagi. Semua individu khususnya golongan pelajar perlulah merebut peluang
yang disediakan oleh pihak kerajaan kerana kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa
akan memberikan nilai tambah sekali gus menyediakan masyarakat yang mampu duduk
sama rendah berdiri sama tinggi untuk bersaing di peringkat global. Justeru, tepuk dada
tanya selera, adakah kita ingin menjadi individu yang hanya memahami bahasa ibunda
atau mampu menguasai pelbagai bahasa yang pastinya memberikan kelebihan kepada
kita kelak.

FAEDAH-FAEDAH MELAWAT KE
LUAR NEGARA
Melawat ke luar negara merupakan salah satu aktiviti yang boleh dilakukan oleh sesiapa
sahaja. Lawatan ini biasanya dilakukan pada musim cuti sekolah, cuti sekolah,cuti
bekerja atau hujung minggu. Jika seseorang itu ingin melawat ke luar negara, ia
memerlukan kos perjalanan yang agak banyak.Sebagai contoh,untuk ke negara China,
India, Australia, Indonesia, England dan lain-lain. Sebenarnya, ada banyak faedah
melawat ke luar negara.

Faedah yang pertama ialah kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Apabila kita
ke luar negara,kita akan pergi ke tempat yang belum pernah kita kunjungi.
Contohnya,jika kita ke Indonesia,kita boleh berkunjung ke tempat-tempat bersejarah
seperti Tugu Pancasila. Jika kita seorang pelajar,kita perlu membuat catatan dan membuat
bertanya kepada pegawai yang bertugas di tempat tersebut, Pengetahuan tersebut boleh
dijadikan bahan maklumat kepada kita.

Di samping itu,dengan melawat ke luar negara,kita boleh menambahkan pengalaman.


Contohnya,pengalaman menaiki kapal terbang adalah sangat menarik hati. Kita dapat
merasai pengalaman ketika berada di kawasan pemeriksaan kastam atau imigresen di
lapangan terbang. Semasa di dalam kapal terbang, biasanya penumpang tidak boleh
membawa beg yang beratnya melebihi 25 kilogram dan juga tidak boleh membawa
barang-barang yang dilarang seperti cecair,makanan,senjata tajam dan lain-lain.
Pengalaman ini akan menjadi panduan sehingga kita dewasa.

Selain itu,lawatan ke luar negara dapat memberikan semangat kepada diri seseorang
untuk menjadi lebih baik. Jika kita seorang pelajar,kita akan lebih bersemangat untuk
belajar bersungguh-sungguh. Bagi sesetengah orang, lawatan ke luar negara sangat
dinanti-nantikan kerana tempat tersebut ialah suasana yang sebenar dialami dan sekali
gus dapat memberi motivasi diri terutama apabila kita melihat masyarakat di negara luar
yang lebih maju dan hidup dalam keadaan harmoni seperti di negara matahari terbit iaitu
Jepun.

Bagi seorang yang sudah bekerja,melawat ke luar negara akan menghilangkan rasa bosan
kerana penat bekerja. Contohnya, jika seseorang itu dapat melawat negara beriklim sejuk
seperti England,mereka boleh bermain salji semasa musim sejuk lantas menjadikan
mereka lebih teruja dan seronok kerana dapat berehat sambil melepaskan tekanan kerja
dan memperoleh pengalaman baru di sana. Kita juga boleh berjumpa dengan orang yang

berlainan bangsa seperti bangsa Afrika,Inggeris,Perancis dan lain-lain. Dengan ini,kita


juga boleh menambahkan kenalan dari seluruh dunia, bak kata peribahasa,berkawan biar
seribu,berkasih biar satu.

Dengan melawat ke luar negara,kita dapat mengenali budaya orang lain termasuklah
budaya orang Jepun,Indonesia,Arab dan lain-lain. Percakapan juga berbeza di samping
cara hidup,makanan dan sebagainya. Contohnya, di Jepun, mereka akan membongkokkan
badan dan menganggukkan kepala mereka menggantikan budaya bersalaman jika di
negara kita.

Seterusnya,melawat ke luar negara dapat meningkatkan nilai-nilai murni dalam diri


seseorang. Amalan nilai murni sememangnya penting bagi diri seseorang supaya lebih
dihormati oleh orang lain. Antara nilai murni tersebut ialah mematuhi peraturan,menepati
masa,bekerjasama dan lain-lain. Masyarakat Indonesia rajin bekerja,menggunakan bahasa
Indonesia dalam apa-apa jua urusan tidak kira lapisan masyarakat,menjalankan kerja
secara berpasukan dan sebagainya,bak kata peribahasa,bulat air kerana pembetung,bulat
kata kerana muafakat.

Akhir kata,melawat ke luar negara banyak memberi faedah kepada setiap orang. Namun
begitu untuk membuat lawatan ke luar negara,kita perlu membuat persiapan rapi seperti
menyediakan dokumen penting,barangan keperluan yang secukupnya supaya perjalanan
kita untuk pergi dan balik tidak mendatangkan masalah serta memberikan 1001
pengalaman manis sepanjang lawatan itu seperti kata peribahasa,sediakan payung
sebelum hujan.

LANGKAH-LANGKAH MENINGKATKAN
MUTU SUKAN NEGARA
Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia
kepada pasukan Singapura serta tumbangnya jagoan badminton negara Datuk Lee Chong
Wei, dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan
bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Hal ini belum lagi mengambil kira
prestasi sukan-sukan teras yang lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya.
Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat
serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam
kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding
sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran jaguh kampung, ataupun atlet kita kurang
bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa-apapun
pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk
meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak
jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia,
kebanyakan persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja
persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki
Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para
pemimpin yang dipilih secara sebulat suara ini, sering menjadikan persatuan berkenaan
sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka.
Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan
dan atlet telah dianaktirikan. Kedangkalan pengetahuan tentang bidang sukan serta
kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para
atlet kita. Berkaitan hal ini, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi
pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan
sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang
berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya
memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang
sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, persis kata pujangga,
hanya jauhari yang mengenal manikam.

Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi
nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing. Kerajaan melalui
Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup untuk
menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan
Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan
sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan,

psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk
Sabri Chik pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan
ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan
diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari
roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program
berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan
para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992,
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya bergantung kepada gandingan emas, Koo
Ken Kiat dan Tan Boon Heong, serta Datuk Lee Chong Wei. Misi pencarian pelapis baru
masih lagi gagal. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita
terus berusaha. Dengan penggemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya sinar
di hujung terowong dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara
kita.

Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan
antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha
memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri dalam situasi pertandingan yang
sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang
mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap
pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza.
Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk
persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan.
Pencapaian jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan ratu squasy negara,
Datuk Nicole Ann David sehingga membolehkan mereka berada pada kedudukan teratas
senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang aktif dalam
pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan
tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, ibarat melepaskan batuk di tangga.
Sebaliknya, menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan
atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.

Di samping itu, Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlulah berperanan mencungkil


bakat-bakat muda daripada peringkat sekolah lagi. Kita sedia maklum bahawa para
pelajar di seluruh negara begitu ramai yang mempunyai bakat yang terpendam dalam
bidang sukan. Buktinya semasa kejohanan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan
kebangsaan, kita dapati ramai pelapis muda yang berbakat dan berpotensi. Namun bakat
mereka tenggelam begitu sahaja setelah tamat zaman persekolahan. Oleh hal yang
demikian pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu berkerjasama dengan Kementerian
Belia dan Sukan serta badan-badan sukan untuk menggilap bakat-bakat muda ini hingga
mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Penubuhan sekolah-sekolah sukan seperti
Sekolah Sukan Sultan Abdul Jalil, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI)

Bandar Penawar dan merupakan satu alternatif bijak agar kita tidak ketandusan pelapis
dalam bidang sukan negara pada masa akan datang.

Pengambilan jurulatih serta pemain import juga merupakan suatu usaha yang positif ke
arah meningkatkan mutu sukan negara. Hal ini demikian kerana para atlet serta ahli sukan
mendapat bimbingan serta tunjuk ajar berterusan daripada jurulatih yang berwibawa. Para
pemain dapat didedahkan dengan teknik, serta kemahiran bertaraf dunia agar pemain kita
dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pemain-pemain di peringkat dunia.
Selain itu, para pemain juga akan mendapat rakan pelatih atau sparing partner yang
bertaraf dunia. Dengan pendedahan serta latihan intensif ini sudah pasti para atlet mampu
bersaing atau bertanding di peringkat antarabangsa. Tindakan FAM untuk mengambil
pemain-pemain import semula dalam Liga Bola Sepak Malaysia merupakan usaha
serampang dua mata, iaitu untuk meningkatkan mutu sukan negara serta menyemarakkan
sokongan peminat sukan kepada pasukan pilihan mereka. Jelaslah bahawa pengambilan
jurulatih dan pemain import bukan sahaja meningkatkan prestasi atlet atau ahli sukan,
malahan dapat meningkatkan imej negara di mata dunia.

Konklusinya, kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan


kerana hal ini sedikit banyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa.
Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh
empat tahun, seharusnya telah mematangkan prestasi kita dalam bidang sukan. Tiada
salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun
Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala
Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan
kerjasama erat semua pihak bagai aur dengan tebing, misi untuk melihat kelibat anakanak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan
menjadi kenyataan. Peribahasa Melayu ada menyatakan pengayuh sudah ada di tangan,
perahu sudah ada di air, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat
Malaysia. Semoga slogan, Majulah Sukan Untuk Negara dapat diimplementasikan.

Anda mungkin juga menyukai