Anda di halaman 1dari 2

1.

1 Pengenalan
Pendidikan di negara Malaysia sentiasa berhadapan dengan pelbagai perubahan
dan pembaharuan yang berlaku dalam proses pelaksanaan sistem pendidikan demi
menjadikan pendidikan negara yang bertaraf dunia dan perubahan yang dibuat
mestilah sesuai dengan tuntutan semasa. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013-2025 merupakan satu pelan transformasi ke arah menyediakan
pendidikan abad ke-21 yang mensasarkan pencapaian pendidikan bertaraf dunia
menjelang tahun 2020. Matlamat ini secara tidak langsung memberikan cabaran
kepada bidang pendidikan terutamanya kepada para pendidik yang berada di
sekolah-sekolah.
Dalam konteks ini, peningkatan profesionalisme perguruan perlu ditekankan
sepanjang masa. Guru perlu berusaha mempertingkatkan profesionalisme dari
semasa ke semasa dengan mengikuti kursus dan perkembangan terbaru bidang
pendidikan, terutama mengenai kaedah serta pendekatan pengajaran yang
berkesan. Hal ini kerana para guru merupakan pemangkin kepada pembentukan
generasi cemerlang yang disasarkan oleh negara. Justeru, pendidik pada setiap
peringkat dalam sepanjang karier mereka perlu menguasai ilmu pengetahuan dan
kefahaman yang baru ini agar mereka sentiasa relevan dengan tuntutan semasa
dan bersifat efektif serta memberi impak terhadap pembelajaran murid (Amin
Senin, 2008).
Walau bagaimanapun, perubahan yang dilaksanakan memerlukan kesediaan
guru untuk terus belajar melalui gerak kerja kolaboratif. Komuniti pembelajaran
profesional (KPP) adalah suatu kerangka konsep yang dapat memperlihatkan
berlakunya anjakan peradigma di sekolah, di mana budaya guru bekerja secara
menyendiri berubah kapada budaya kerja kolaboratif. Pembangunan guru penting
bagi memastikan kemahiran dan pengetahuan guru sentiasa relevan dan seiring
dengan perkembangan pendidikan.
Komuniti pembelajaran profesional (KPP) merujuk kepada komuniti sekolah
yang berkumpul bersama, saling mengambil berat dan sentiasa berdialog antara
satu sama lain bagi menyelesaikan permasalahan pembelajaran murid di sekolah.
Menurut Shulman (1991) komuniti pembelajaran profesional (KPP) adalah satu
situasi yang membolehkan guru berkongsi pengalaman pengajaran dan
pengetahuan pedagogi dalam bilik darjah tanpa sebarang paksaan. Ia merupakan
satu proses yang sulit di mana guru-guru berkongsi kepakaran, memberi maklum
balas antara satu sama lain, sokongan dan bantuan untuk meningkatkan
pembelajaran kemahiran baru atau menyelesaikan masalah bilik darjah (Dalton &
Moir, 1991).
Sementara itu, efikasi kendiri pula merujuk kepada keyakinan diri untuk
mencapai sesuatu matlamat (Margolis & McCabe, 2006) dalam sesebuah organisasi
termasukkan organisasi pendidikan. Efikasi kendiri penting kepada individu dalam
melaksanakan tugasan dan menghadapi pelbagai masalah sama ada dalam
pembelajaran, pekerjaaan atau kehidupan (Wan Haslina, 2003). Efikasi kendiri
penting untuk memotivasikan seseorang terhadap bidang yang diceburinya dan
tahap ketahanannya ketika menghadapi cabaran (Bandura, 1977). Guru yang
mempunyai efikasi kendiri yang tinggi bersikap terbuka kepada idea baru, berani
mencuba kaedah baru dan sentiasa komited dalam pengajaran (Hoy, 2004).
Berdasarkan kepada kenyataan di atas, pengkaji meneroka satu kajian yang
lebih terperinci untuk melihat hubungan komuniti pembelajaran profesional (KPP)
dengan efikasi kendiri guru semasa melaksanakan PBS menjadi fokus utama untuk
kajian ini.

Anda mungkin juga menyukai