Anda di halaman 1dari 8

1

1.0 Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)

Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan usaha Kementerian


Pendidikan Malaysia yang memfokuskan aspek kemenjadian murid dan sekolah yang
berkualiti tinggi selaras dengan keperluan semasa pendidikan di Malaysia. Melalui
TS25, guru-guru hendaklah mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan
pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan
(Pdpc) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025.

Pihak kementerian telah meletakkan tiga objektif Program Transformasi


Sekolah 2025 iaitu pengaplikasian konsep dan amalan pembelajaran dan
pemudahcaraan yang terbaik. Setrusnya ialah membangunkan kepakaran dalaman
melalui latihan komprehensif dan membangunkan persekitaran yang berkesan dengan
mengutamakan kemenjadian murid. Sehubungan dengan itu, matlamat-matlamat yang
perlu dicapai dalam Program Transfromasi Sekolah pula merangkumi pemantapan
kepimpinan sekolah, memaksimakan potensi guru melalui peningkatan kualiti
pengajaran dan pembelajaran serta mengukuhkan penglibatan anggota komuniti
setempat demi kejayaan murid.

2.0 Tindakan yang perlu dilakukan oleh guru novis bagi menjayakan Program
Transformasi Sekolah TS25

Mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21

Guru-guru novis yang masih baru dan semangat berkobar-kobar ini seharusnya
mengaplikasikan pembelajaran abad ke 21 dalam pengajaran dan pembelajaran
mereka. Guru novis perlu memaksimakan penglibatan murid-murid dalam
pengajarannya. Oleh itu, elemen 4K dan 1N dalam pengajaran dan pembelajaran abad
ke 21 sekali gus dapat memaksimakan penglibatan murid di dalam kelas.

4K dan 1N merujuk kepada komunikasi, kolaborasi, kreativiti, kritis dan nilai.


Komunikasi di sini dimaksudkan adalah pengajaran guru tersebut hendaklah aktif dan
wujudnya komunikasi dua hala antara guru dan murid ataupun antara murid dan murid.
Pengajaran yang memerlukan murid melakukan pembentangan sesuatu projek akan
lebih menarik dan berkesan kerana murid terlibat sepenuhnya dan guru hanya
bertindak sebagai fasilitator. Penglibatan murid secara langsung ini seterusnya dapat
2

memberi peluang kepada murid untuk mencuba dan mengutarakan pendapatnya


tentang sesuatu perkara.

Selain itu, elemen kedua adalah kolaborasi iaitu pengajaran yang memerlukan
murid membuat perbincangan dalam kumpulan mereka. Contohnya, guru mewujudkan
satu situasi atau permasalahan yang perlu diselesaikan oleh murid dalam kumpulan
mereka. Setelah perbincangan berlaku, murid dikehendaki menjelaskan solusi yang
mereka hasilkan kepada rakan-rakan yang lain. Kolaborasi ini secara tidak langsung
memerlukan murid menyuarakan pendapat mereka mengikut kreativiti masing-masing.
Disamping itu, mereka boleh mengkritik secara kritis idea-idea yang dilontarkan oleh
rakan-rakan mereka. Oleh itu, pengajaran seperti ini lebih menarik dan berkesan
kerana murid-murid merupakan penggerak utama dalam pengajaran dan pembelajaran
tersebut.

Seterusnya, guru novis seharusnya sentiasa menerapkan nilai-nilai murni


kepada murid semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung mahupun di luar bilik
darjah. Kemenjadian murid adalah secara holistik termasuk sahsiah murid.
Kecemerlangan akademik tanpa nilai-nilai yang positif dalam diri seseorang murid akan
menyebabkan goyahnya semangat dan jati diri mereka di yang masa akan datang.
Oleh itu, Program Transformasi Sekolah ini dilancarkan untuk melahirkan modal insan
unggul yang cemerlang secara menyeluruh untuk mencapai hasrat Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Guru novis perlu memaksimakan potensi mereka dalam meningkatkan kualiti


pengajaran

Guru novis merupakan guru permulaan yang baru sahaja memulakan perkhidmatan
mereka. Guru novis juga adalah guru yang mempunyai tempoh perkhidmatan yang
belum mencapai 5 tahun. Oleh itu, guru-guru novis perlu menyumbangkan sepenuh
komitmen dan tenaga untuk menaik taraf kemahiran pengajaran mereka. Guru-guru
novis perlu belajar untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara
berkesan. Menurut Abu Bakar (1994) dalam Chee Kim Mang (2008) pula mendapati
bahawa guru permulaan lemah dalam hal pengurusan kokurikulum dan sukan.
Sementara di dalam kelas, mereka kurang yakin mengawal disiplin kelas dan tidak
dapat mengamalkan teori pedagogi yang dipelajari.Sehubungan dengan itu, mereka
perlu banyak bertanya kepada guru-guru yang telah lama berkhidmat yang telah
mencapai status guru pakar atau menghadiri seminar-seminar pendidikan yang
dianjurkan oleh pejabat-pejabat pendidikan.
3

Guru novis perlu memantapkan pengetahuan mereka tentang kaedah-kaedah,


teknik-teknik dan strategi pengajaran supaya pengajaran dan pembelajaran yang
dijalankan adalah bersifat pelbagai. Tambahan pula, sekolah-sekolah pada masa kini
tidak lagi mengasingkan murid-murid mengikut tahap pencapaian semasa
peperiksaan. Guru-guru akan berhadapan dengan murid-murid yang pelbagai tahap
pencapaian dan kemampuan mereka dalam bilik darjah. Guru perlu menggunakan
pelbagai kaedah dan strategi semasa melaksanakan sesi pengajaran. Oleh itu,
pengetahuan guru yang mantap dalam amalan pedagogi amat diperlukan pada masa
kini untuk memastikan kualiti pengajaran dan fokus kepada kemenjadian murid
terjamin.

Selain itu, guru novis juga perlu menambah pengetahuan mereka tentang
kurikulum dan sukatan pelajaran yang ingin disampaikan kepada murid. Pengetahuan
mereka tentang sukatan pelajaran perlu meluas dan terperinci untuk mengelakkan info-
info penting yang perlu disampaikan kepada murid tidak tercicir. Menurut Cohen,
Raudenbush dan Ball (2003) dalam Khalid Johari et al. (2009), bukti-bukti statistik
menunjukkan bahawa amalan pengajaran yang disertai dengan pengetahuan dan
tindakan memberi pengaruh terhadap pembelajaran murid. Oleh itu, guru-guru novis
perlu mengukuhkan pengetahuan mereka supaya proses pengajaran mereka dapat
menghasilkan pembelajaran murid yang lebih bermakna.

Membudayakan amalan Penyelidikan

Guru adalah jentera utama dalam bidang pendidikan di Malaysia. Guru-guru


seharusnya memiliki sikap ingin tahu yang tinggi dalam meningkatkan amalan
profesional dan juga kualiti pengajaran untuk membangunkan modal insan yang
unggul di Negara kita. Oleh itu, guru-guru hendaklah membudayakan amalan
penyelidikan dalam tugas harian mereka. Penyelidikan yang dijalankan ini hendaklah
difokuskan kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran bermakna
kepada murid-murid.

Guru-guru novis yang masih baru dalam bidang pendidikan perlu menceburkan
diri mereka sebagai salah satu cara untuk belajar dan menambah pengetahuan yang
baru. Menurut Ramlan Zainal Abidin et al (2008), Pendidikan sepanjang hayat
bermatlamat untuk meningkatkan kualiti kehidupan individu dan masyarakat. Oleh itu,
guru-guru perlu terus belajar dan melakukan penyelidikan untuk meningkatkan kualiti
pengajaran mereka seterusnya menjadikan pembelajaran murid lebih bermakna. Hal
ini kerana, penyelidikan merupakan satu cabang untuk guru-guru terutamanya guru
4

novis menimba ilmu pengetahuan untuk menaik taraf ilmu-ilmu yang telah ada buat
masa kini. Penemuan-penemuan terbaru dalam penyelidikan dapat membantu guru-
guru yang lain dalam meningkatka kualiti pengajaran mereka dan menjadikan
pendidikan di Malaysia setaraf dengan Negara-negara maju yang lain.

Guru-guru novis yang menceburkan diri dalam bidang penyelidikan ini lebih
mudah untuk menerima ilmu-ilmu yang baru kerana sikap ingin tahu yang tinggi dalam
diri mereka. Mereka sering membuat refleksi terhadap amalan-amalan harian mereka
dan bertindak untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Contohnya, seorang guru
melakukan refleksi pengajarannya yang tidak dapat difahami oleh murid-murid. Guru
tersebut akan mencari punca yang menyebabkan murid tidak dapat memahami
pengajarannya seterusnya mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.
Guru-guru yang suka menjalankan penyelidikan ini lebih mudah memperbaiki amalan
untuk menjayakan Program Transformasi Sekolah 2025 dari aspek kemenjadian murid
dan mewujudkan pembelajaran bermakna.

3.0 Isu-isu integriti guru

Mendepani cabaran dunia masa kini, kemajuan teknologi telah menjadikan Negara kita
setaraf dengan Negara-negara maju yang lain. Sudah tentu kemajuan teknologi ini
membawa berbagai-bagai kebaikan dan manfaat yang memberi kemudahan kepada
masyarakat di Malaysia. Namun, kemajuan ini bukan sahaja membawa kebaikan
malah juga keburukan-keburukan yang merosakkan. Hal ini kerana masyarakat hari ini
suka untuk berkongsi pelbagai perkara di laman-laman sosial tanpa sebarang usul
periksa. Sikap seperti ini menyebabkan penyebaran berita atau maklumat yang tidak
sahih serta boleh menimbulkan fitnah berleluasa.

Profesion guru tidak terlepas daripada menerima kesan yang tidak baik ini. Isu-
isu integrity dan etika guru sering menjadi tular di laman-laman sosial pada masa kini.
Antara isu-isu yang kerap dipaparkan di dada-dada akhbar adalah kes guru dera
murid, gangguan seksual guru kepada murid dan guru melakukan kerja sambilan
semasa waktu kerja.

Isu guru mengenakan hukuman kepada murid

Kecemerlangan akademik dan kemenjadian murid dalam bidang pendidikan amat


berkait rapat dengan cara didikan yang dilakukan oleh guru-guru. Guru-guru yang
bertanggungjawab sentiasa cakna akan kejayaan dan kecemerlangan murid serta
5

masalah-masalah yang dihadapi olehmurid di sekolah. Suatu ketika dahulu, guru-guru


merupakan ibu bapa kepada murid-murid di sekolah. Setiap guru mempunyai caranya
yang tersendiri untuk membentuk dan mendidik anak muridnya untuk melahirkan
modal insan yang celik intelek dan baik sahsiahnya.

Pada masa kini, guru-guru tidak boleh menggunakan cara didikan yang pernah
dilalui oleh mereka suatu ketika dahulu. Guru-guru perlu mendidik murid-murid masa
kini mengikut zaman mereka yang tidak lagi menggunakan kekerasan dalam mendidik.
Kebanyakan guru terbawa-bawa cara didikan yang dialami semasa zaman
persekolahan mereka dahulu. Oleh itu, ada sebahagian guru yang tersilap langkah
semasa mengenakan hukuman kepada murid.

Sikap guru yang keterlaluan dan melampau dalam mengenakan hukuman


kepada murid menimbulkan kemarahan dan ketidak puasan hati daripada pihak ibu
bapa. Kesan ketidak puasan hati mereka ini menyebabkan guru-guru menerima
tindakan mahupun disaman oleh pihak ibu bapa. Tindakan dan laporan polis yang
dibuat ini secara langsung memberikan kesan yang tidak baik kepada guru kerana
perkara ini akan dicatat di dalam buku rekod perkhidmatan mereka.

Langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini adalah guru-guru
perlu ditegaskan supaya mengikut panduan yang telah digariskan oleh pihak
Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memberi hukuman kepada murid. Guru-guru
perlu dijelaskan tentang prosedur-prosedur yang perlu diambil untuk mengenakan
hukuman ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh murid. Panduan yang
telah digariskan ini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk melindungi guru-guru
daripada disaman oleh pihak ibu bapa.

Isu gangguan seksual guru kepada murid

Gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada di rumah, tempat
kerja mahupun di tempat awam. Sekolah juga tidak terkecuali daripada wujudnya
gangguan seksual. Banyak media elektronik mahupun media cetak melaporkan
berlakunya gangguan seksual oleh guru kepada murid di sekolah. Sekolah merupakan
institusi pendidikan tidak seharusnya dicemari oleh perkara seperti ini.

Kod Amalan (1999) mentakrifkan gangguan seksual ialah sebarang tingkah


laku berunsur seksual yang tidak dingini dan memberi kesan sebagai gangguan
samada secara lisan, isyarat, visual, psikologi atau fizikal. Isu gangguan seksual
terhadap kanak-kanak boleh berlaku apabila seorang individu dalam kalangan kaum
6

lelaki atau perempuan, menggunakan kanak-kanak untuk memuaskan nafsu seksnya.


Gangguan seksual boleh terjadi apabila berlakunya unsur atau keadaan seperti
memaksa, mengancam atau menipu terhadap kanak-kanak dengan tujuan untuk
melakukan aktiviti seks.

Sekolah sepatutnya merupakan tempat yang paling selamat buat semua warga
sekolah terutamanya murid-murid. Oleh itu, isu ganggual seksual di sekolah ini perlu
ditangani dalam kadar segera untuk memenuhi hasrat murni Negara sebagai tempat
untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing. Namun, menangani gangguan
seksual di sekolah bukanlah sesuatu yang mudah. Semua pihak dalam organisasi
pendidikan daripada peringkat atasan sehinggalah bawahan perlu memberikan
kerjasama yang sewajarnya dan tidak memandang masalah ini sebagai suatu perkara
yang remeh temeh.

Pihak pentadbir sekolah perlu tegas dan tidak berkompromi kepada guru-guru
yang terlibat melakukan gangguan seksual kepada murid. Semua guru-guru perlu
memainkan peranan mereka jika terdapat unsur-unsur gangguan seksual yang berlaku
di sekolah. Mereka perlu melaporkan perkara tersebut kepada pihak atasan supaya
siasatan dapat dilakukan oleh pihak yang berkuasa. Pihak sekolah juga perlu sentiasa
mengingatkan kepada guru akan kesan dan akibat yang akan ditanggung sekiranya
mereka terlibat melakukan gangguan seksual ini.

Pihak sekolah juga perlu menganjurkan ceramah dan pameran gangguan


seksual untuk memberikan pendedahan awal kepada murid-murid. Ceramah dan
pameran yang dianjurkan ini perlu menjelaskan kepada murid tentang keadaan yang
dikategorikan sebagai gangguan seksual. Mereka juga perlu dijelaskan tentang apa
yang perlu dilakukan sekiranya menjadi mangsa gangguan seksual di sekolah.
Pendedahan sebegini secara tidak langsung dapat memberikan kesedaran kepada
murid tentang gangguan seksual sejak awal lagi.

Isu guru melakukan kerja sambilan semasa waktu bekerja

Kerja sambilan merujuk kepada kerja sementara yang dilakukan oleh seorang individu
untuk menambahkan sumber pendapatan. Dalam konteks pendidikan, guru sering
dikaitkan dengan kerjaya-kerjaya sambilan seperti mengajar di kelas-kelas tuisyen,
menjadi penceramah dalam sebarang kursus atau seminar, berniaga di pasar malam
dan sebagainya. Guru-guru yang melakukan kerja sambilan ini adalah untuk mencari
pendapatan tambahan. Ada juga guru-guru yang melakukan kerja sambilan
disebabkan oleh minat mereka sendiri.
7

Guru yang melakukan kerja-kerja sambilan semasa waktu kerja adalah satu
kesalahan bagi penjawat awam. Hal ini kerana kerja-kerja sambilan ini akan
mengganggu guru untuk melakukan tugas-tugas hakiki mereka di sekolah. Apabila
keadaan ini berlaku, guru akan hilang fokus untuk melaksanakan proses pengajaran
dan pembelajaran. Sehubungan dengan itu, murid-murid akan menjadi mangsa
keadaan kerana guru sudah hilang fokus semasa bekerja.

Pihak pentadbir perlu tegas dalam mengambil tindakan kepada guru-guru yang
melakukan kerja-kerja sambilan semasa waktu kerja. Hal ini kerana pihak pentadbir
berhak untuk memantau guru-guru tersebut sepanjang berada di sekolah. Pihak
pentadbir perlu membuat laporan kepada pihak atasan sekiranya amaran yang teah
diberikan tidak diendahkan.

Pihak sekolah juga boleh menganjurkan bengkel pengurusan kewangan dan


mewajibkan semua guru untuk hadir. Bengkel ini hendaklah mendedahkan kepada
guru untuk menguruskan kewangan mereka secara bijak dan cermat. Guru-guru perlu
mempunyai kesedaran untuk berbelanja mengikut kemampuan mereka dan tidak
terikut-ikut dengan orang lain yang lebih mampu. Mereka perlu sentiasa bersederhana
dalam membelanjakan wang mereka.
8

Bibliografi

Abdul Rasid Jamian, Nurul Nadiah Razali & Shamsudin Othman. (2015). Keupayaan
Guru Pelatih Terhadap Pelaksanaan Aktiviti Semasa Latihan Mengajar dalam
Pembentukan Guru Novis. Jurnal Pendidikan Malaysia, 40(1), 75-81

Chee, K. M. (2008). Kualiti Guru Permulaan Keluaran Sebuah Institut Perguruan: Satu
Tinjauan Dari Perspektif Pentadbir Sekolah. Jurnal Pendidik dan Pendidikan,
Jilid 23, 49-67

Kementerian Sumber Manusia (1999). “Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi
Gangguan Seksual di Tempat Kerja”. Malaysia : Kuala Lumpur.

Khalid Johari, Zurida Ismail, Shuki Osman & Ahmad Tajuddin Othman. (2009).
Pengaruh Jenis Latihan Guru dan Pengalaman Mengajar Terhadap Efikasi
Guru Sekolah Menengah. Jurnal Pendidikan Malaysia, 34(2), 3-14

Megat Ayop Megat Arifin & Abd. Halim Ahmad. (2016). Kepentingan budaya integriti
dan etika kerja dalam organisasi di Malaysia: Suatu tinjauan umum. Malaysian
Journal of Society and Space,12(9), 138-149

Ramlan Zainal Abidin, Ahmad B. Esa & Wan Mohd. Rashid Wan Ahmad. (2008).
Pendidikan Sepanjang Hayat: Isu,Cabaran Dan Peranan Sekolah Membangun
Modal Insan Dalam Komuniti Setempat. Kertas dibentangkan dalam Seminar
Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pkpgb, UTHM, Johor.

Anda mungkin juga menyukai