Anda di halaman 1dari 20

ELEMEN

KEUSAHAWANAN
SEKOLAH RENDAH
MATLAMAT

Penerapan elemen keusahawanan di dalam


kurikulum standard sekolah rendah bertujuan
membentuk ciri-ciri dan amalan keusahawanan
sehingga menjadi satu budaya dalam kalangan
murid. Penerapan elemen keusahawanan melalui
aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran
merupakan sebahagian daripada proses
pembudayaan keusahawanan yang membolehkan
murid sekolah rendah membiasakan diri dengan
aspek kehidupan seharian yang berkaitan dengan
amalan keusahawanan dan perniagaan.
Penerapan elemen keusahawanan yang
merupakan satu pendekatan membudayakan
keusahawanan melibatkan proses pembentukan
sikap tertentu yang dimiliki oleh seorang
usahawan, latihan pemikiran keusahawanan,
latihan kemahiran pengurusan perniagaan, aplikasi
vokasional dan teknologi dalam keusahawanan
dan akhir sekali amalan nilai moral dan etika dalam
keusahawanan. Semua elemen penerapan ini
dilaksanakan sesuai dengan tahap murid sekolah
rendah mengikut situasi pelbagai disiplin ilmu
dalam teras asas dan teras tema.

OBJEKTIF UMUM MERENTAS KURIKULUM


TERAS ASAS DAN TERAS TEMA

Murid yang mengikuti aktiviti pengajaran dan


pembelajaran berkaitan penerapan elemen
keusahawanan sekolah rendah dalam
pelbagai disiplin ilmu akan:
1. Mengamalkan sikap keusahawanan yang
cemerlang;
2. Mengaplikasikan pemikiran keusahawanan
dalam situasi yang diperlukan;
3. Mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran
pengurusan perniagaan dalam aktiviti kehidupan
seharian yang relevan;
4. Memformulasikan samada konsep, proses atau
produk keusahawanan berasaskan pengetahuan
dan kemahiran teknologi atau vokasional;
5. Mengamalkan nilai moral dan etika yang baik
dalam keusahawanan.
FOKUS
Penerapan elemen keusahawanan secara eksplisit
merentas kurikulum teras asas dan teras tema
melibatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
yang sesuai dengan standard kandungan dan
standard pembelajaran kurikulum disiplin tersebut.
Lima elemen utama yang diterapkan adalah
pendedahan dan amalan sikap keusahawanan,
latihan pemikiran keusahawanan dalam situasi
yang sesuai, formulasi konsep, proses atau produk
keusahawanan berasaskan pengetahuan dan
kemahiran teknologi atau vokasional dan amalan
nilai moral dan etika yang baik dalam
keusahawanan. Secara ringkas huraian tentang
lima elemen utama keusahawanan ini adalah:

1. Sikap keusahawanan

Seorang usahawan mempunyai sikap yang


cemerlang yang menyebabkan mereka berjaya
dalam bidang yang diceburi. Sikap cemerlang ini
penting kerana ia menjadi asas kekuatan dalaman
secara mental, emosi dan fizikal yang kukuh untuk
mendorong usahawan menghadapi dan
menangani pelbagai cabaran sehingga berjaya.
Sikap adalah satu gambaran perasaan seseorang
yang terangsang terhadap sesuatu objek yang
akan dizahirkan menerusi tingkahlaku yang diambil
oleh seseorang individu seperti pemilihan kerjaya
dalam bidang keusahawanan. Sikap adalah
penting untuk meramalkan tingkahlaku yang dapat
menentukan kejayaan usaha teroka usahawan
kerana hampir semua teroka memerlukan sikap
tertentu seperti kerajinan, komitmen, keazaman
dan ketabahan untuk mengatasi pelbagai
rintangan, cabaran, masalah dan kegagalan yang
mungkin timbul di peringkat permulaan atas
halangan-halangan yang berkemungkinan timbul
dikemudiannya Berikut adalah sikap usahawan
yang cemerlang yang mempengaruhi kejayaan
usahawan yang diketengahkan oleh beberapa
pakar keusahawanan:

i. Komitmen yang tinggi

Usahawan biasanya mempunyai tahap komitmen


yang tinggi dalam setiap aktiviti yang dilakukan.
Sifat ini menyebabkan usahawan sentiasa
memberi tumpuan sepenuhnya kepada
perkembangan penceburannya dalam perniagaan
serta sanggup mengorbankan sebahagian besar
masa dan tenaga dalam perniagaan yang diceburi.
Contoh: Murid membuat tugasan yang diberikan
oleh guru sehingga selesai walau pun menghadapi
rintangan dalam proses mendapatkan maklumat
berkaitan.
ii. Keazaman yang kuat

Usahawan juga mempunyai tahap keazaman yang


tinggi untuk mencapai cita-citanya daripada
menjadi usahawan sehingga kepada memperoleh
kejayaan yang maksimum. Sifat ini menyebabkan
usahawan tidak mudah dipengaruhi oleh apa jua
persekitaran luar selagi matlamatnya belum
dicapai. Contoh: Murid mempunyai cita-cita dan
berusaha ke arah mencapai apa yang dihajati.

iii. Bertanggungjawab terhadap keputusan

Seorang usahawan bertanggungjawab ke atas


sebarang keputusan berkaitan perniagaan yang
diceburinya. Beliau lebih suka mengawal sendiri
sumber-sumber berkaitan perniagaan dan
menggunakannya untuk mencapai matlamat yang
telah ditetapkan terlebih dahulu. Kesanggupan
mengambil tanggungjawab terhadap hasil
keputusan yang dibuat berkait rapat dengan lokus
kawalan dalaman. Contoh: Jika murid gagal dalam
peperiksaan, murid tidak boleh menyalahkan orang
lain seperti ibu bapa, guru dan rakan-rakan lain.
iv. Sangat peka kepada peluang

Usahawan yang berjaya sentiasa memikirkan


pencapaian matlamat. Bagi mereka, untuk
mencapai matlamat yang ditetapkan perlu
keupayaan peka, melihat dan mengambil peluang
yang terdapat di persekitaran. Peluang perniagaan
boleh wujud akibat masalah yang ditimbulkan oleh
orang lain, perubahan teknologi, perubahan cita
rasa pengguna, perubahan cara hidup, perubahan
sikap, sumber-sumber alam yang masih belum
diterokai dan sebagainya. Contoh: Penyakit H1N1

i. Peniaga yang peka akan mengambil peluang


untuk mencipta sabun untuk membersihkan tangan
tanpa air.
ii. Peniaga menjual topeng untuk menutup hidung.
Contoh: Wanita lebih mengambil berat tentang
kesihatan dan kecantikan
iii. Peniaga menghasilkan jus
kesihatan/kecantikan.

iv. Peniaga menghasilkan produk


kecantikan/kesihatan melalui R&D
v. Berani mengambil risiko yang dianggarkan
Usahawan yang berjaya tidak mengambil risiko
tanpa menganggarkannya terlebih dahulu.
Usahawan adalah pengurus risikoyang baik.
Usahawan hidup dalam dunia ketidaktentuan
dengan kadar perubahan yang tinggi. Dalam dunia
begini, seseorang usahawan belajar mengurus
risiko dan memastikan bahawa risiko yang diambil
adalah munasabah dan berpatutan dengan
ganjaran yang diterima. Contoh: Murid cuba
menggunakan imaginasi sendiri untuk
menghasilkan sesuatu produk selepas
memperoleh pengetahuan teknikal dan vokasional
daripada guru seperti membuat kad hari lahir, wau,
topeng, gasing dll.

v. Keyakinan diri yang tinggi

Seseorang usahawan yang berjaya mempunyai


kadar keyakinan diri yang tinggi terhadap dirinya
sendiri. Dia amat percaya bahawa dia dapat
mencapai cita-citanya. Sifat ini menyebabkan dia
optimistik dan mempunyai kepercayaan tinggi
tentang kebolehannya untuk berjaya dalam
perniagaan. Contoh: Murid perempuan
berkeyakinan untuk melakukan/bersaing dengan
murid lelaki kerana mempunyai kekuatan dalaman
(jati diri yang tinggi, kemahiran meyakinkan
pelanggan) dan luaran (sokongan dan kewangan).

vi. Daya kreativiti dan inovatif

Usahawan dengan minda yang kreatif dapat


menyelesaikan masalah dengan logikal. Kreativiti
dijelaskan sebagai kebolehan mengadakan idea
alternatif dan memperkembangkan idea baru
tersebut selain boleh memberi pandangan lain
terhadap sesuatu peluang, situasi dan masalah.
Inovatif pula adalah kebolehan memperbaiki dan
mengaplikasikan idea kreatif terhadap masalah
dan peluang untuk memperkukuhkan dan
memperkayakan sesuatu. Contoh: Alexander
Graham Bell yang mencipta telefon berwayar.
Sehingga kini, penciptaan telefon bimbit (tanpa
wayar) dengan fungsi yang pelbagai bermula
daripada kreativiti dan inovatif. Contoh: Usahawan
jalur lebar Peniaga menjalankan perniagaan
melalui internet dengan menerima pesanan
pelanggan dengan tanpa perlu mempunyai pejabat
yang berada luar dari rumah.
vii. Fleksibiliti

Kebolehan menyesuaikan diri terhadap perubahan


persekitaran seperti perubahan permintaan
pelanggan, ekonomi negara dan dunia, sumber
asas dan persaingan dalam perniagaan mereka,
merupakan satu ciri usahawan yang berjaya.
Dalam dunia sekarang yang sentiasa berubah,
kebolehan bertindak dengan cara yang fleksibel
memerlukan satu daya kreativiti yang tinggi.
Contoh: Peniaga menerima tempahan nasi goreng
yang perlu disiapkan pada jam 9.30 pagi. Tetapi
disebabkan nasi yang hendak digunakan basi
kerana dimasak terlalu awal, peniaga terus
bertindak untuk membeli nasi sedia masak
daripada kedai lain untuk melengkapkan pesanan.

viii. Keinginan kepada maklum balas segera

Seseorang usahawan yang berjaya suka untuk


mengetahui prestasi mereka. Mereka memiliki
keinginan yang kuat untuk menggunakan
pengetahuan bagi membaiki prestasi mereka.
Sikap ini sangat berkait rapat dengan kehendak
untuk belajar dari kesilapan lalu. Oleh itu, seorang
usahawan juga dikenali sebagai pendengar yang
prihatin dan pelajar yang pantas. Contoh: Peniaga
menelefon pelanggan untuk bertanyakan tentang
kualiti perkhidmatan/barang yang ditawarkan.

ix. Tahap tenaga yang tinggi


Seorang usahawan yang berjaya lebih bertenaga
daripada orang biasa. Faktor ini adalah penting
memandangkan banyak usaha diperlukan untuk
melancarkan sesebuah syarikat baru. Seseorang
usahawan perlu berusaha keras dalam waktu
bekerja yang panjang dan meletihkan.
Contoh: Peniaga tidak mudah merasa penat.
Contoh: Peniaga perlu sihat dari segi fizikal dan
mental.
Contoh: Peniaga perlu mempunyai tahap tenaga
yang tinggi/energetic.

x. Motivasi untuk mencapai kejayaan

Usahawan berjaya bermotivasi tinggi untuk


mencapai kecemerlangan dalam perniagaannya.
Dia berinisiatif tinggi hasil dorongan motivasi
dalaman untuk berusaha demi mencapai kejayaan.
Usahawan yang berjaya bukan didesak oleh
motivasi luaran semata-mata. Sebaliknya, dia
mendapat kepuasan daripada cabaran yang
ditanganinya Contoh: Mendapat keuntungan yang
banyak akan memotivasi dan membuatkan
peniaga melebihkan usaha untuk mencapai lebih
kejayaan. (Motivasi dalaman)
xi. Berorientasikan masa depan

Kajian telah menunjukkan usahawan yang


mencipta perniagaan dan memastikan
pertumbuhannya pada kadar yang tinggi
menzahirkan perasaan perihatin yang tinggi
terhadap masa depan perniagaan tersebut
berbanding dengan usahawan yang mempunyai
perniagaan yang kadar pertumbuhannya rendah
atau sederhana. Contoh: Menjalankan perniagaan
jual beli melalui internet atau menggunakan
peralatan teknologi tinggi.
xii. Kesanggupan belajar daripada kesilapan

Seorang usahawan yang berjaya sanggup


menerima kegagalan sebagai satu keperluan untuk
mencapai kejayaan. Kegagalan merupakan satu
pengajaran supaya kesilapan yang sama tidak
diulangi. Dengan sikap sedemikian, seseorang
usahawan akan dapat memperbaiki peluang untuk
mencapai kejayaan. Contoh: Kemajuan Negara
Jepun selepas peristiwa pengeboman Bandaraya
Hiroshima dan Nagasaki oleh kuasa Barat dalam
Perang Dunia Ke-2 telah menjadikan negara ini
sebuah negara yang sangat maju dalam bidang
teknologi.
xiii. Berkeupayaan memimpin

Usahawan yang berjaya merupakan seseorang


yang berpengalaman, memiliki pengetahuan
tentang teknologi dan keadaan pasaran di mana
dia beroperasi. Jarang sekali dapat dilihat sesuatu
usaha teroka yang berjaya dikendalikan oleh
seseorang yang tidak mempunyai pengalaman
dalam bidang yang diterokainya. Usahawan yang
berjaya mempunyai kemampuan untuk
menggunakan pengaruhnya sebagai pemimpin.
Contoh: Tun Dr. Mahathir ialah seorang pemimpin
yang berkeupayaan sebagai pengamal perubatan,
pakar ekonomi dan pengurus tadbir yang berjaya
selain daripada berkemampuan untuk
mempengaruhi orang lain.

xiv. Sangat rajin bekerja

Mewujudkan satu perniagaan yang baru bukanlah


satu kerja yang mudah. Seorang usahawan perlu
melakukan banyak kerja-kerja asas seperti
memesan sumber, menarik pelanggan,
memastikan rekod perakaunan kemas kini,
melakukan kawalan daripada pelbagai segi.
Justeru, untuk memastikan semua kerja ini
dilaksanakan, usahawan perlu mempunyai sikap
yang sangat rajin. Contoh: Zull Design Beliau
berusaha tanpa jemu walaupun pada suatu masa
idea beliau tidak dapat diterima umum.

xv. Berorientasikan pencapaian

Usahawan yang berjaya sering mengetahui objektif


dan tujuan yang mereka hendak capai. Objektif-
objektif yang ditetapkan merupakan satu dorongan
yang kuat yang akan menggerakkan usahawan ke
arah pencapaian tersebut. Contoh: Genting
Highlands Tan Sri Lim Goh Tong telah memilih
Genting Highlands sebuah hutan belantara di
tanah tinggi untuk dijadikan tempat rekreasi yang
mendapat kunjungan dari dalam dan luar Negara.
Contoh: Air Asia Dato Tony Fernandes
mempunyai objektif penerbangan untuk semua
orang.

xvi. Terus belajar

Usahawan yang berjaya mesti mempunyai


pengetahuan strategik tentang perniagaan dan
pengetahuan teknikal. Pengetahuan strategik
perniagaan akan membantu usahawan
menguruskan perniagaan dengan lancar dan
pengetahuan teknikal pula membolehkan
usahawan mengoperasikan sesuatu keluaran atau
perkhidmatan dengan baik supaya kualiti barangan
dan perkhidmatan yang diberi kepada pengguna
adalah yang terbaik. Contoh: Murid digalakkan
membuat kajian menerusi internet untuk
menambahbaik maklumat yang diperoleh dalam
proses P&P.

xvii. Daya tahan yang kental

Usahawan akan menghadapi pelbagai cabaran


dan halangan sebaik sahaja menubuhkan
perniagaan. Dia perlu mempunyai daya kekuatan
mental, fizikal dan emosi yang tinggi untuk terus
bertahan disamping terus menangani segala
masalah yang dihadapi dengan tabah sehingga
berjaya. Contoh: Murid mempunyai kekuatan
dalaman untuk meneruskan segala projek yang
diberikan walau menghadapi
rintangan.

xviii. Toleransi ketidaktentuan yang tinggi


Usahawan juga menghadapi pelbagai
kemungkinan situasi dalam perniagaan mereka
akibat dari perubahan yang tidak dijangka atau
tidak mendapat maklumat yang tepat. Usahawan
perlu mempunyai kesabaran untuk bertolak ansur
dengan situasi yang tidak tentu tersebut dan
tenang mencari penyelesaiannya. Contoh: Murid
digalakkan menyertai mana-mana pertandingan
yang dianjurkan di sekolah dengan membuat
persiapan untuk situasi yang tidak dijangka.

xix. Daya ketabahan yang tinggi

Usahawan melalui proses yang banyak dalam


jangka waktu yang panjang untuk membangunkan
perniagaannya sehingga mencapai tahap yang
selesa dan kuat. Kekuatan semangatnya melalui
setiap waktu dengan pelbagai aktiviti yang perlu
dilakukan, pelbagai cabaran dan ketidaktentuan
persekitaran atau hasil menjamin keberlangsungan
usaha yang dilakukan.
Contoh: Murid tetap meneruskan projek yang
ditugaskan walau menempuh kesukaran.

xx. Boleh membina jaringan sosial

Usahawan perlu meluaskan jaringan sosial


perniagaannya. Jaringan sosial perniagaan
diperlukan untuk memastikan perniagaannya
dikenali ramai selain mudah untuk menjalinkan
hubungan kerjasama bagi mendapatkan maklumat
dan pesanan sumber-sumber yang berkaitan
dengan kejayaan perniagaan. Contoh: Murid
membina jaringan rakan-rakan melalui internet
untuk menyelesaikan masalah dalam
pembelajaran. Pedagogi pembentukan sikap
keusahawanan melibatkan langkah-langkah seperti
mendedahkan murid kepada siapa usahawan dan
kerjaya keusahawanan yang menyebabkan
mereka mengenal apa itu bidang keusahawanan
dan bermotivasi untuk menjadi usahawan dan
mengamalkan sikap keusahawanan sehingga
menjadi satu amalan harian yang merupakan satu
budaya dalam kehidupan seharian mereka.

2. Pemikiran keusahawanan

Seorang usahawan sentiasa berfikiran kritis, kreatif


dan inovatif kerana mereka perlu mengenal
peluang-peluang dalam
persekitaran perniagaan mereka supaya boleh
terus berjaya atau sekurang-kurangnya bertahan
dalam usaha mereka.
Pemikiran keusahawanan melibatkan sembilan
langkah utama yang ada pada usahawan seperti:
i. amalan memerhati persekitaran dengan sengaja
dan bertujuan;
ii. menganalisis pemerhatian secara kritis dan
kreatif;
iii. menghasilkan idea dari pemerhatian;
iv. memilih idea baik dari banyak idea;
v. menambahbaik idea yang dipilih (inovasi);
vi. menilai idea secara kritis dalam konteks;
vii. melaksanakan idea dalam bentuk produk
teknologi abstrak atau konkrit;
viii. menyesuaikan idea baru dengan keperluan
masyarakat dan persekitaran;
ix. meneruskan peningkatan kualiti idea.

3. Pengetahuan dan kemahiran pengurusan


perniagaan

Seorang usahawan yang berjaya selain


mempunyai sikap dan pemikiran yang cemerlang
boleh mengaplikasi konsep pengetahuan dan
kemahiran pengurusan perniagaan bukan sahaja
dalam perniagaan mereka tetapi juga dalam situasi
kehidupan harian yang relevan. Pedagogi
pengetahuan dan kemahiran pengurusan
perniagaan melibatkan praktis amalan-amalan
tertentu seperti mengurus wang samada dalam
perbelanjaan harian atau penabungan, mengurus
transaksi jual beli mudah harian dan amalan
kepenggunaan yang baik. Contoh: Pengurusan
peralatan yang digunakan dalam setiap
pembelajaran; pengurusan kewangan
(mengelakkan pembaziran), pengurusan masa,
pengurusan stok dan sumber.

4. Teknologi dan vokasional keusahawanan

Seorang usahawan yang bertaraf tinggi dalam


kalangan usahawan-usahawan biasa (peniaga
yang membeli dan menjual semula) adalah
seorang yang boleh memformulasikan
pengetahuan teknologi dan vokasional mereka
untuk mereka cipta produk keusahawanan baru
dalam pasaran lokal dan global. Pedagogi
teknologi dan vokasional keusahawanan
melibatkan praktis langah-langkah dalam reka
bentuk (design) yang menggabungkan
pengetahuan dan kemahiran teknologi atau
vokasional untuk menghasilkan samada konsep,
produk dan perkhidmatan yang boleh
dikomersilkan. Contoh: Murid digalakkan
mengeluarkan idea sendiri dalam merekabentuk
produk (contoh: dalam mata pelajaran Dunia Seni
Visual) dan seterusnya menghias sehingga
menjadi produk yang menarik minat orang untuk
memiliki.

5. Nilai moral dan etika keusahawanan


Nilai moral keusahawanan adalah ciri baik yang
diterima secara universal yang ada dalam diri
seoorang usahawan. Nilai moral adalah semua
nilai baik universal yang disukai atau disenangi
semua masyarakat seperti jujur, ikhlas, tolong
menolong dan banyak lagi. Nilai moral baik ini
mendorong usahawan mengambil tingkah laku
yang beretika semasa menjalankan transaksi
perniagaan sama ada dengan pelanggan atau
syarikat-syarikat lain. Seorang usahawan
bertanggungjawab kepada masyarakat kerana
peranan mereka sebagai peneraju ekonomi
negara. Oleh itu mereka perlu mengamalkan nilai
moral dan etika keusahawanan yang baik bagi
memastikan keharmonian perjalanan urusan
berkaitan perniagaan dari aspek mikro dan
ekonomi negara dari aspek makro.

Ada lima prinsip amalan etika keusahawanan


berasaskan nilai moral baik:
1. Prinsip kemudaratan: perniagaan tidak boleh
menyebabkan kemudaratan
a. Menjaga kesejahteraan masyarakat:
persekitaran dan aspek fizikal dan emosi individu
b. Tidak salah guna kuasa dan sumber
2. Prinsip keadilan: perniagaan patut adil dalam
amalannya
a. Tidak menindas
b. Tidak memilih kasih
3. Prinsip hak manusia: perniagaan patut
menghormati hak manusia
a. Menghormati hak orang
lain

b. Tidak menghalang hak orang lain


4. Prinsip autonomi: perniagaan tidak boleh
menafikan hak memilih individu
a. Menghormati cara hidup orang lain
b. Menghargai kepelbagaian manusia
5. Prinsip ketelusan: perniagaan tidak
mengelirukan masyarakat
a. Tidak mengelirukan masyarakat
b. Menyatakan yang benar
Pedagogi nilai moral dan etika melibatkan situasi-
situasi yang memerlukan murid membuat penilaian
dan seterusnya cuba
memodelkan dalam amalan kehidupan seharian
mereka. Dalam kelas, murid boleh melakukan
amalan nilai moral dan etika
secara simulasi dan main peranan.

Anda mungkin juga menyukai