Anda di halaman 1dari 8

Mengiktiraf

peranan OKU
Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my
CABARAN paling besar golongan orang
kurang upaya (OKU) di Malaysia pada hari
ini adalah mendapat peluang pekerjaan.
Faktor yang menghalang OKU di Malaysia
mendapatkan pekerjaan termasuklah sikap
negatif dan diskriminasi ekoran kurangnya
kesedaran mengenai keupayaan golongan
tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil berkata, masalah lain yang
dihadapi golongan OKU di Malaysia adalah
peluang yang terhad untuk mendapatkan
latihan, maklumat dan perkhidmatan
sokongan seperti alat sokong bantu serta
khidmat panduan kerjaya.
''Masyarakat khususnya golongan majikan
perlu merubah sikap dengan memberikan
fokus kepada keupayaan golongan OKU dan
bukannya kekurangan atau ketidakupayaan
mereka. Bagi membantu warga OKU
Malaysia memiliki pekerjaan, Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat giat melaksanakan pelbagai
program untuk meningkatkan kesedaran
dan kepekaan majikan berhubung
pekerjaan bagi golongan tersebut," katanya
dalam kenyataan yang dikeluarkan
sempena Hari Kurang Upaya 2010.
Antara langkah yang diambil untuk
memastikan golongan OKU tidak
ketinggalan adalah menetapkan semua
kementerian dan agensi kerajaan supaya
mencapai dasar satu peratus peluang
pekerjaan kepada OKU dalam sektor awam.
Pada masa sama, Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) melaksanakan Job
Coach bertujuan membantu suai padan
pihak majikan dan OKU yang memerlukan
pekerjaan. Job Coaching turut melibatkan
latihan dan sokongan kepada pekerja OKU
untuk membantu mereka menjalankan
tugasan dan diterima oleh komuniti tempat
kerja.
Tambah Shahrizat, satu lagi cabaran yang
menjadi halangan kepada golongan OKU
untuk mendapatkan pekerjaan adalah
kekurangan bangunan dan pengangkutan
awam yang mesra kepada golongan
berkenaan. Terdapat pelbagai halangan
fizikal kepada golongan OKU baik di dalam
atau di luar sesebuah bangunan, di
perhentian bas dan teksi. ''Keadaan
tersebut menghalang OKU daripada
menjalankan aktiviti harian dan berulang-
alik ke tempat kerja. Semua masalah ini
perlu ditangani secara serius jika kita
benar-benar tidak mahu meminggirkan
OKU dalam masyarakat dan arus
pembangunan negara," jelasnya.
Bagi meningkatkan aksesibiliti golongan
OKU di bangunan-bangunan, tambah
beliau, Majlis Kebangsaan Bagi OKU
menganjurkan seminar aksesibiliti kepada
pihak berkuasa tempatan (PBT) semua
negeri dan menyediakan indeks rekaan
sejagat untuk para arkitek. Antara tindakan
yang dilaksanakan supaya sistem
pengangkutan negara lebih mesra OKU
termasuklah penyediaan garis panduan
untuk pengangkutan bas mesra OKU serta
penggunaan bas yang mesra OKU oleh
Rapid KL mulai tahun depan.
Kata Shahrizat, Pertubuhan Kesihatan
Dunia (WHO) menganggarkan 10 peratus
penduduk sesebuah negara adalah terdiri
daripada OKU. Berdasarkan anggaran ini,
Malaysia dianggap mempunyai 2.8 juta
OKU. ''Bagaimanapun statistik pendaftaran
OKU sehingga Ogos 2010 hanya
mempunyai 313,685 OKU yang berdaftar
dengan JKM. Ia nyata jauh lebih rendah
daripada anggaran WHO. Ini bermakna
masih ramai rakyat Malaysia yang kurang
upaya dan belum berdaftar dengan JKM,"
jelasnya.
Tambah beliau, kempen pendaftaran OKU
bertujuan membolehkan warga OKU
Malaysia diambil kira dalam perancangan
program dan perkhidmatan bagi
pembangunan OKU. '' Kerajaan perlu
mengetahui bilangan OKU sebenar,
kategori tidak upaya mereka dan lokasi
tempat tinggal mereka. Semua ini adalah
penting dalam merancang program dan
menyediakan kemudahan yang sesuai dan
bertepatan dengan keperluan OKU.
''OKU yang berdaftar boleh menikmati
pelbagai perkhidmatan dan kemudahan
yang disediakan oleh kerajaan dan sektor
swasta. Kemudahan yang boleh dinikmati
oleh OKU berdaftar adalah bantuan alat
tiruan dan alat sokong bantu, elaun pekerja
cacat, dokumen perjalanan percuma,
rawatan percuma di hospital kerajaan,
pengecualian duti eksais untuk kenderaan
nasional, pengecualian cukai jalan dan
konsesi tambang pengangkutan awam,"
katanya.
Hari OKU mula disambut di Malaysia pada
1981 sebagai Sambutan Antarabangsa
Orang Cacat. Ia disambut bersama negara
anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) yang lain. Pada 1992, PBB
mengisytiharkan 3 Disember sebagai Hari
Orang Kurang Upaya Antarabangsa. Mulai
3 Disember 1994, Malaysia mengadakan
sambutan Hari OKU peringkat kebangsaan
setiap tahun. Tema sambutan Hari Orang
Kurang Upaya (OKU) Peringkat
Kebangsaan 2010 adalah 1Malaysia:
Aksesibiliti dan Pekerjaan Untuk OKU.
Tema berkenaan selaras dengan komitmen
kerajaan untuk melibatkan penyertaan
semua golongan masyarakat termasuk OKU
dalam pembangunan negara melalui
aksesibiliti dan pekerjaan.
Melalui kemudahan pekerjaan, golongan
OKU dapat menyumbang kepada ekonomi
negara, tidak terpinggir dan ketinggalan
dalam masyarakat. Ini merupakan kali
pertama sambutan hari orang kurang upaya
diadakan di luar Kuala Lumpur bagi
membawa sambutan lebih dekat dengan
rakyat. Melaka dipilih pada kali ini
bersesuaian dengan sambutan Melaka Maju
2010. Infrastruktur dan prasarana terbaik
yang disediakan di negeri Melaka perlu
memberikan perhatian kepada golongan
OKU. Sambutan Hari OKU mungkin akan
diadakan di negeri-negeri lain pada tahun
berikutnya.
Antara program dan aktiviti yang
berlangsung sempena sambutan tersebut
termasuklah pameran, persembahan warga
OKU, penyampaian anugerah usahawan
OKU dan pelajar OKU cemerlang,
temuduga pekerjaan untuk OKU serta
kempen pendaftaran OKU.
Sambutan Hari OKU Kebangsaan memberi
makna yang besar kepada golongan OKU di
Malaysia kerana ia membuat mereka berasa
dihargai, dihormati dan meningkatkan
kesedaran masyarakat supaya memberi
lebih perhatian kepada isu-isu berkaitan
golongan tersebut. Ia juga merupakan satu
bentuk pengiktirafan kerajaan bahawa
golongan OKU merupakan sebahagian
daripada anggota masyarakat. Diharapkan
sambutan pada kali ini mencapai objektif.

Artikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.
asp?y=2010&dt=1211&sec=Rencana&pg=re_0
2.htm#ixzz4nkzCHO4q
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai