Anda di halaman 1dari 2

Kempen beli barangan buatan Malaysia

Hujan emas di negeri orang , hujan batu di negeri sendiri , lebih baik di negeri sendiri
Demikianlah ungkapan indah pepatah yang direalisasikan sesuatu yang baik hendaklah
dilakukan untuk membuktikan taat setia kepada negara sendiri. Oleh itu, sudah sewajarnya
untuk kita berbangga dan bersedia menjadi pelanggan utama terhadap hasil-hasil keluaran
tempatan. Dengan yang demikian, untuk menjayakan program ini beberapa langkah yang
berkesan untuk menjalankan kempen ini.

Barangan buatan Malaysia merupakan hasil keluaran domestik sama ada yang diperoleh secara
semula jadi seperti hasil-hasil tanaman atau barang-barang yang diproses berasaskan produk
tempatan seperti barang-barang makanan dan perhiasan. Dalam bidang perindustrian, Malaysia
kini telah memasuki era perindustrian moden apabila mula mempelopori bidang industri berat
seperti mengeluarkan kenderaan sendiri seperti Proton, Modenas,Perkasa, dan Perodua.
Malaysia kini sudah mencapai taraf untuk bersaing dengan negara-negara perindustrian yang
telah maju.

Dengan melimpahnya barangan keluaran negara yang berkualiti dengan harga yang berpatutan
sebenarnya kita tiada alasan untuk mengelakkan diri daripada tidak membeli barang-barang
tempatan. Dalam merealisasikann matlamat ini, kita hendaklah secara kolektif mempunyai
semangat patriotik, iaitu menghargai dan berbangga dengan kebolehan diri sendiri. Para pelajar
sejak dari peringkat rendah hendaklah disemaikan dengan sentimen kenegaraan seperti
menyanjung para tokoh dan berbangga terhadap tanah air sendiri. Kita sepatutnya meneladani
rakyat Jepun yang cukup tinggi sentimen mereka terhadap produk negara sendiri. Rakyat Jepun
apabila berada di luar negara, mereka masih menggunakan barang-barang yang diimport dari
Jepun seperti kenderaan dan juga pakaian.

Untuk menarik pelanggan anak negeri supaya membeli barang-barang buatan tempatan, para
pengeluar dan pengilang hendaklah sentiasa komited untuk menghasilkan barang-barang yang
lebih bermutu dan sentiasa menjadi kebanggaan. Apabila kita berbangga dengan barangan
keluaran sendiri, kita berharap agar tahap kualiti juga hendaklah setanding dengan barang-
barang import. Para pengilang tidak boleh bersikap berat sebelah dengan hanya menjaga
kawalan mutu terhadap barang-barang yang dieksport.

Selain itu, para pemimpin pula hendaklah menjadi model utama untuk menjayakan kempen ini.
Sebelum rakyat digalakkkan membeli barang-barang keluaran negara, para pemimpinlah yang
perlu dijadikan contoh dan teladan terlebih dahulu. Janganlah pula para pemimpin bersikap
seperti cakap tidak serupa bikin, ibarat ketam menyuruh anaknya berjalan betul apabila
rakyat dimomok-momokkan supaya memilih barangan buatan negara sendiri padahal pemimpin
yang menggunakan barangan daripada negara lain. Amalan berdasarkan contoh teladan
hendaklah menjadi pegangan utama setiap rakyat Malaysia tanpa mengira peringkat, pangkat ,
dan darjat.

Sementara itu, maklumat tentang barangan tempatan juga hendaklah sentiasa jelas dan dapat
disampaikan dengan sempurna untuk pengetahuan pengguna. Dalam hal ini, saluran media
massa hendaklah memainkan peranan untuk mengiklankan barang-barang tempatan. Langkah
Kementerian Perdagangan dalam Negeri mengarahkan semua peniaga supaya melabelkan
barang-barang keluaran tempatan untuk memudahkan pengguna adalah inisiatif yang paling
baik dan harus dipuji. Apabila mendapat maklumat yang lengkap bergantunglah pada pengguna
untuk membuat pilihan, tepuk dada tanya selera .

Tepatlah seperti yang dikatakan oleh peribahasa , di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Pepatah ini jelas menunjukkan supaya kita sentiasa berbangga dan sering menghormati tanah
tumpah darah sendiri. Justeru, demi menunjukkan komitmen kita, kita perlu menjadikan agenda
berbangga dengan produk sendiri sebagai langkah untuk meningkatkan prestasi ekonomi
negara.

Anda mungkin juga menyukai