Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan SPM: Kebaikan Sektor Perindustrian

kepada Negara
Menjelang tahun 2020, Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah negara yang maju.
Demi merealisasikan hasrat ini, pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk menjana
ekonomi negara. Salah satu sektor yang mampu memberikan impak yang besar
terhadap ekonomi negara ialah sektor perindustrian. Sektor ini bukan sahaja dapat
memajukan ekonomi Malaysia, malah turut mampu menaikkan imej negara.
Hakikatnya, langkah memajukan sektor perindustrian amat mustahak kerana terdapat
pelbagai kebaikan sektor tersebut terhadap negara.

Pertama sekali, sektor perindustrian dapat meningkatkan pendapatan negara. Hal ini
demikian kerana aliran wang masuk ke dalam negara dapat ditingkatkan apabila
negara mengeksport barangan perindustrian ke luar negara. Barangan industri juga
boleh dijual dengan harga yang jauh lebih tinggi berbanding dengan barangan sektor
lain. Misalnya, pengusaha barangan elektrik dapat mengaut keuntungan yang lebih
banyak berbanding dengan individu yang terlibat dengan bidang pertanian. Pada masa
yang sama, pendapatan kerajaan turut meningkat apabila lebih ramai pengusaha
bidang perindustrian membayar cukai. Maka, secara tidak langsung, ekonomi negara
menyumbang kepada pendapatan negara.

Selain itu, sektor perindustrian turut mampu membuka peluang pekerjaan kepada
rakyat tempatan. Peluang pekerjaan semakin bertambah apabila lebih banyak bidang
perindustrian diterokai di negara kita. Lebih-lebih lagi, penduduk luar bandar turut
mendapat manfaat daripada bidang perindustrian. Contohnya, industri kecil dan
sederhana seperti industri pembuatan tembikar, perusahaan keropok lekor dan
perusahaan kraf tangan dapat membuka peluang pekerjaan untuk penduduk di luar
bandar dan sekali gus meningkatkan pendapatan mereka. Keadaan ini dapat mengikis
kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hal ini jelas menunjukkan
bahawa taraf hidup rakyat boleh ditingkatkan secara menyeluruh dengan adanya sektor
perindustrian.

Di samping itu, sektor perindustrian boleh memajukan sektor pertanian. Kemajuan


bidang perindustrian turut dapat merangsang perkembangan sektor pertanian.
Umpamanya, penggunaan jentera moden membuka peluang kepada para petani untuk
mengurangkan keperluan tenaga manusia serta meningkatkan tahap produktiviti
mereka. Tambahan pula, kebanyakan bidang perindustrian memerlukan hasil sektor
pertanian sebagai bahan mentah. Sebagai contoh, perusahaan ladang kelapa sawit
semakin bertambah apabila industri pembuatan minyak kelapa sawit berkembang
ekoran permintaannya yang semakin meningkat. Keperluan getah asli dalam industri
pembuatan tayar di seluruh dunia pula meningkatkan perusahaan ladang pokok getah.
Secara tidak langsung, situasi ini dapat menyumbang kepada pengeksportan bahan-
bahan pertanian. Hal inilah yang memangkin perkembangan sektor pertanian.

Seterusnya, kemajuan sektor perindustrian turut mampu meningkatkan imej negara


kita di persada dunia. Kemajuan dalam sesebuah bidang perindustrian membolehkan
kita bersaing dengan negara-negara di seluruh dunia. Contohnya, penciptaan kereta
nasional pertama pada tahun 1980-an dan perkembangan bidang tersebut sehingga
hari ini meningkatkan persaingan jenama kereta nasional dengan jenama-jenama
kereta yang lain. Lebih menggembirakan lagi apabila budaya negara kita dapat
diperkenalkan kepada masyarakat di luar negara melalui bidang perindustrian.
Misalnya, batik Tom Abang Saufi yang menggambarkan keunikan masyarakat Malaysia
mendapat pasaran yang luas di benua Eropah dan Tanah Arab. Keadaan ini dapat
diibaratkan sebagai sambil menyelam minum air kerana bidang perindustrian tempatan
dan imej negara dapat ditingkatkan pada masa yang sama. Maka, situasi ini pasti
menjadikan negara kita lebih terkenal pada pandangan mata masyarakat dunia.

Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai kebaikan sektor perindustrian terhadap


negara. Oleh sebab itu, semua pihak, terutamanya media massa, pihak kerajaan dan
badan-badan bukan kerajaan harus berganding bahu dan melaksanakan obligasi
masing-masing demi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia terlibat dalam bidang
perindustrian. Jika hasrat ini berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat
berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Semoga dengan
pencapaian hasrat ini, negara kita mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan terkenal
di seantero dunia.
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to FacebookShare to Pinterest
3 comments:
1.

Helmi Aziz21 April 2016 at 07:03

This comment has been removed by the author.


Reply

2.

Helmi Aziz21 April 2016 at 07:04

Waw

Anda mungkin juga menyukai