Anda di halaman 1dari 2

3. Apakah benar jika manusia semakin maju, nilai moral akan merosot? Bincangkan.

Pertama sekali saya setuju bahawa manusia semakin maju, nilai moral akan merosot. Tanpa
mengatakan luar negara, situasi Malaysia telah membuktikan pendapat saya adalah benar.
Generasi muda semakin tidak berbudi bahasa dan tidak mempunyai nilai-nilai murni yang
diajar oleh generasi lalu seperti menghormati orang-orang tua, kasih sayang, amanah dan
sebagainya.

Globalisasi yang didukung oleh kuasa korporat global memberikan peluang besar
kepada mereka untuk mengeksploitasi ekonomi negara-negara membangun, termasuk
Malaysia. Situasi ini akan mempercepatkan proses homogenisasi budaya secara global di
mana negara yang kuat akan mempengaruhi negara yang lemah. Pada waktu itu ciri-ciri luhur
dalam budaya Malaysia dan sistem nilai agama dan tradisi yang mendasarinya akan dihimpit
dan digugat oleh gagasan-gagasan atau aliran-aliran kebudayaan asing yang berjiwa
materialistik, dan sebagainya. Aliran-aliran yang ingin melemahkan pengaruh nilai-nilai
budaya, agama dan moral tempatan itu dibawa masuk oleh unsur-unsur ekonomi tempatan
atau antarabangsa yang mementingkan keuntungan kewangan semata-mata tanpa
mempedulikan isu tanggungjawab sosial atau moral. Pelbagai saluran akan digunakan untuk
mencapai matlamat ekonomi dan budaya bebas mereka, termasuk industri-industri
pengiklanan, perfileman, fesyen, muzik, hiburan, pelancongan, media cetak, media elektronik
dan Internet.

Dalam masyarakat yang sarat dengan nilai-nilai kebebasan individu di luar kawalan
agama dan pandangan hidup sekularistik, telah muncul di akhir abad ke-20 gerakan-gerakan
sosial yang memperjuangkan kebebasan seks, penggunaan marijuana, hak pengguguran
anak, kebebasan pelacur-pelacur (yang dikenali sebagai “sex workers”), perkahwinan sejenis
dan hari-hari perayaan golongan “gay” yang disambut secara besar-besaran. Satu contoh
gerakan yang benar-benar merbahaya dan mencabar budaya manusia bertamadun dan nilai-
nilai agama tradisional dan moral yang suci ialah perjuangan masyarakat liberal Barat untuk
menjayakan konsepsi keluarga yang tidak lagi terdiri dari lelaki dan perempuan, suami isteri
dan anak-anak yang sah.

Dengan kemajuan sains dan teknologi yang canggih, isu kejuruteraan genetik dan
“cloning” tampil dengan pelbagai harapan untuk kemajuan bidang ilmu kedoktoran dan
pertanian, tetapi ia juga mengundang beberapa persoalan besar serta kebimbangan yang
mempunyai implikasi etika dan budaya yang sangat besar. Bagi sebuah tamadun yang tidak
didirikan atas dasar agama, sains dan teknologi sahajalah yang menjadi sumber jawapan
tentang baik buruknya sesuatu hasil penemuan sains atau halal haramnya sesuatu teknologi
baru. Bagi umat Islam di Malaysia atau di mana sahaja yang berpegang teguh kepada
agamanya, ketinggian tamadun tidak boleh dipisahkan daripada keteguhan agama dan
keutuhan akhlak. Oleh yang demikian hasil kemajuan sains dan teknologi dalam sesuatu
negara atau tamadun yang berteraskan Islam tidak ditolak selagi ianya tidak bercanggah
dengan ajaran agama dan nilai-nilai moral yang luhur.

Kehebatan kemajuan ilmu sains dan teknologi manusia moden masa kini mungkin
merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan negara-negara atau masyarakat moden
merasa tidak perlu berpegang kepada ajaran agama tradisional atau menghormati sistem-
sistem moral tradisional yang dianggap sudah lapuk dan tidak sesuai dengan kepentingan
negara atau politik masing-masing. Di dalam dunia pasca Perang Dingin dan pasca
keruntuhan ideologi Komunis, banyak sekali berlaku tindakan-tindakan ketenteraan, politik
dan ekonomi negara-negara kuasa besar yang merupakan penindasan, kezaliman dan
ketidakadilan terhadap negara-negara kecil bukan Barat termasuk negara-negara orang Islam
seperti Bosnia-Herzegovina, Palestin, Afghanistan, Iraq, Libya, Sudan, Iran dan Syria.
Tindakan-tindakan unilateral dan tidak berperikemanusiaan itu menunjukkan bahawa dalam
tata dunia baru atau politik antarabangsa, “might is right” dan keunggulan kuasa ekonomi
kapitalis-liberal membolehkannya menyebarluaskan pengaruhnya sesuka hati. Pemimpin-
pemimpin negara atau parti pemerintah negara yang sedang membangun yang tidak
mempunyai integriti moral yang utuh dan tidak berpegang kepada nilai-nilai budaya yang luhur
akan mudah dimanipulasi untuk membuka jalan bagi membolehkan kemasukan kepentingan-
kepentingan ekonomi, politik dan budaya pihak kuasa besar dalam negara berkenaan. Ini
adalah sebahagian daripada cabaran globalisasi dan liberalisasi yang harus ditangani secara
bijak oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai