Anda di halaman 1dari 7

BERUNDING LEBIH BAIK DARIPADA BERPERANG

Sejak dahulu lagi, kerakusan pemimpin dalam membuat keputusan untuk berperang sering membawa
melapetaka kepada rakyatnya. Sejarah telah membuktikan bahawa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia
Kedua telah membawa pelbagai implikasi kepada dunia sejagat. Tokoh-tokoh pemimpin seperti Hitler dan
George W.Bush pasti akan dikenang oleh rakyat negara yang terbabit sebagai pemimpin yang mementingkan
diri sendiri bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing yang telah memusnahkan dan
menghancurkan keharmonian negara mereka. Oleh itu, pemimpin sekarang harus mengambil iktibar bahawa
peperangan tidak dapat menyelesaikan sesuatu konflik dalam masa yang singkat dan mereka perlu mengambil
pendekatan dengan berunding demi kesejahteraan rakyatnya. Jangan nanti gajah sama gajah berjuang,
pelanduk mati di tengah-tengah. Terdapat pelbagai manfaat apabila pemimpin mengambil pendekatan
berunding daripada menggunakan senjata untuk menyelesaikan masalah.

Antara kebaikan mengambil pendekatan berunding dalam menyelesaikan konflik antara sesebuah negara ialah
pertumpahan darah tidak akan berlaku dan banyak nyawa yang tidak berdosa dapat diselamatkan. Hal ini
dikatakan demikian kerana perundingan akan melibatkan pemimpin yang duduk semeja berusaha untuk
mencari jalan keluar bagi konflik yang dihadapi. Perbincangan yang melibatkan golongan pemimpin ini pasti
akan mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit. Saidina Ali Abi Talib pernah
berpesan bahawa pasak kekuatan sesebuah negara hendaklah didirikan atas keadilan para pemerintah. Oleh
itu, rakyat tidak akan mengalami kesengsaraan hidup akibat ledakan bom dan tembakan peluru berpandu.
Anak-anak tidak akan hilang tempat bergantung dan masa depan mereka akan lebih terjamin. Cukuplah kita
melihat penderitaan dan kesengsaraan hidup yang dialami oleh anak-anak dari bumi Palestin, Iraq dan
Afgahnistan serta beberapa buah negara di Afrika sebagai akibat kehilangan insan yang disayangi. Jelaslah
bahawa perundingan akan mengelakkan berlakunya pertumpahan darah.

Jika ditinjau dari perspektif yang lain, sesebuah negara itu tidak akan mengalami kerugian harta benda jika
menggunakan rundingan sebagai jalan untuk menyelesaikan. Kita sedia maklum bahawa peperangan pasti akan
meranapkan bangunan, kenderaan, kawasan tumpuan ekonomi dan sebagainya. Peperangan laazimnya
menggunakan senjata-senjata cacnggih seperti bom nuklear dan peluru berpandu yang mampu memusnahkan
apa-apa sahaja dalam sekelip mata. Sebagai contohnya, peperangan yang berlaku di antara Israel dan Palestin
telah membawa kemusnahan infrastruktur negara yang teruk sekali gus menelan belanja yang banyak untuk
membaik pulih keadaan. Hal ini bertepatan dengan kata pepatah yang berbunyi, menang menjadi arang, kalah
menjadi abu. Sekiranya cara perundingan dipilih sudah pasti kemusnahan harta benda tidak akan berlaku.
Rakyat dapat menyimpan wang mereka demi masa depan mereka manakala wang kerajaan juga dapat dijana
untuk pembangunan ekonomi negara kerana kebanyakan infrastruktur negara masih berkeadaan baik lagi.
Kerajaan tidak perlu lagi membeli senjata, kapal pejuang dan kapal perisai yang baharu. Oleh itu, jelaslah
kepada kita bahawa perundingan pasti dapat mengelakkan kemusnahan harta benda yang tidak diduga sama
ada harta benda persendirian atau milik kerajaan.

Di samping itu, hubungan diplomatik antara dua buah negara juga dapat dijalin dengan lebih erat apabila
pemimpin menggunakan rundingan sebagai cara untuk menyelesaikan konflik yang dihadapinya. Sesungguhnya
setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Begitu juga dengan konflik yang dihadapi oleh sesebuah negara. Jika
jalan perundingan yang dipilih daripada pertumpahan darah maka ikatan silaturahim antara dua buah negara
akan terjalin. Perasaan berbaik-baik dan berprasangka positif akan wujud dalam sanubari mereka lantas
kedamaian yang dipilih oleh mereka. Mereka akan berpegang pada konsep buang yang keruh, ambil yang
jernih. Perundingan antara mereka bukan sahaja membincangkan jalan keluar bagi konflik yang dihadapi
malahan juga mereka akan berkonsi pandangan untuk memajukan negara masing-masing. Oleh hal yang
demikian, pendekatan rundingan dapat menjalinkan hubungan dua hala antara negara yang terbabit.
Kebaikan yang seterusnya ialah negara-negara yang terlibat dalam rundingan bagi menyelesaikan konflik akan
dipandang tinggi dan mulia oleh negara-negara lain di persada antarabangsa. Pada masa ini, majoriti
masyarakat di seluruh dunia mendambakan kehidupan yang aman damai dan harmoni, yakni bebas daripada
berlakunya pertumpahan darah. Namun begitu, terdapat segelintir pemimpin yang angkuh dan berhidung tinggi
daripada bersikap mementingkan keamanan dan kepentingan rakyat. Kita lihat sahaja pemimpin Korea Utara
yang sering membuat provokasi dengan melancarkan ujian nuklear walaupun tindakan mereka dikecam hebat
oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat dunia yang lain. Begitu juga dengan pihak
Amerika Syarikat yang dianggap sebagai polis dunia telah dikritik sebagai akibat daripada kedegilan mereka
menyelesaikan masalah dengan cara melakukan keganasan yang kononnya ingin menghapuskan pengganas.
Secara tidak langsung, perbuatan mereka telah menjejaskan imej negara terbabit. Tuntasnya, cara perundingan
dan persepakatan amat bersesuaian untuk menyelesaikan masalah daripada cara peperangan.

Seperkara lagi, apabila pemimpin-pemimpin memilih pendekatan berunding semasa menyelesaikan konflik
dengan negara lain, ekonomi negara tersebut tidak akan terjejas. Kita haruslah menerima hakikat bahawa
peperangan hanya akan membawa kemusnahan apabila semua infrastruktur seperti bangunan-bangunan
kerajaan dimusnahkan dalam sekelip mata. Oleh itu, kerajaan terpaksa memperuntukan jumlah wang yang
besar untuk memulihkan keadaan yang terjejas dengan teruk. Dalam hal ini, agenda pembangunan negara
tersebut tidak dapat dijayakan seperti yang dirancangkan. Impaknya, ekonomi negara tersebut akan terbantut.
Sebagai analoginya, apabila Pusat Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat diserang pada tahun 2001,
ekonomi di Amerika Syarikat merosot dan banyak rakyat mengalami pengangguran dalam beberapa tahun. Hal
sedemikian tidak akan berlaku jika mereka menggunakan pendekatan berunding malah lebih teruk apabila
kadar jenayah turut meningkat lantaran kemelesetan ekonomi. Jadi, jelaslah bahawa cara berunding lebih baik
daripada berperang ketika menyelesaikan sesuatu konflik yang dihadapi.

Intihanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa sesebuah negara perlulah menyelesaikan konflik yang dihadapi
dengan cara yang paling afdal iaitu berunding. Pihak kerajaan terutamanya para pemimpin haruslah bijak
membuat keputusan yang melibatkan nyawa rakyat dan masa depan negara masing-masing seperti menarik
rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Jadikanlah kekejaman yang dilakukan oleh
beberapa orang pemimpin dunia lalu sebagai iktibar kepada pemimpin-pemimpin pada masa akan datang.
Ingatlah, sejarah akan menjadi guru yang selama-lamanya tidak pernah berbohong. Segala kejahatan terhadap
warga dunia yang pernah dilakukan akan terus dikecam, bak kata peribahasa, jejak dapat dihilangkan, belang
tetap berparut. Semoga kebijaksanaan para pemimpin dunia untuk menyelesaikan masalah dengan
perundingan akan memberikan sinar kehidupan yang lebih cerah kepada seluruh rakyatnya.
BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA
Ketika dunia hari ini merentasi arus teknologi yang semakin canggih, bencana alam pula sering melanda dan
menunjukkan belang. Pada realitinya, bencana alam seperti banjir, letusan gunung berapi dan ribut taufan ialah
satu fenomena alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau.
Hadirnya bencana alam tanpa kita minta lantaran bencana alam ini berlaku atas kehendak Tuhan, pencipta
segala kehidupan. Bencana alam ini berlaku tidak kira tempat ataupun waktu. Pada abad ini, walaupun
teknologi semakin berkembang dan tumbuh dengan pantas bagai belut diketil ekor, kemajuan ini tidak dapat
menghalang bencana alam yang ganas melanda. Pada tanggal 26 Disember 2004, satu peristiwa telah
menggemparkan dunia apabila semua berita melaporkan berlakunya ombak besar iaitu tsunami di Acheh yang
telah mengorbankan beratus ribu nyawa. Kejadian dahsyat itu masih meninggalkan kesannya hingga kini malah
masih menjadi mimpi ngeri buat semua yang terlibat. Memang tidak dapat kita nafikan bahawa semenjak
belakangan ini banyak bencana alam yang berlaku di seluruh dunia termasuk negara kita dan juga negara-
negara jiran seperti gempa bumi di Pakistan dan di China, taufan Nargis di Myanmar dan tanah runtuh yang
dahsyat di Filipina. Fenomena yang terbaharu ialah letupan Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia. Sebagai
masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan kerana berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kita
sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan ibarat hulurkan tangan,
ringankan beban.

Sebagai insan yang sedar tentang kesusahan orang lain, kita boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan
derma. Derma yang dihulurkan akan disalurkan kepada mangsa bencana alam yang amat memerlukan dan
mendambakannya bagi meneruskan kehidupan di bumi ciptaan Tuhan ini. Bantuan yang disumbangkan tidaklah
hanya berfokuskan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga
diperlukan. Setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna
untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini. Pada
masa ini, pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak berwajib sama ada pihak swasta
ataupun pihak kerajaan yang berasa bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia. Contohnya dapat
dilihat apabila pihak TV3 telah mengadakan Karnival Jom Heboh untuk membantu mangsa-mangsa tragedi yang
menyayat hati di seluruh negara ini. Mantan Menteri Belia dan Sukan pernah menyatakan bahawa kita
seharusnya bersyukur dengan nikmat yang diberikan Tuhan dan harus berkongsi nikmat yang kita ada dengan
orang lain yang memerlukan supaya Tuhan akan melipatgandakan nikmat tersebut. Jelaslah di sini bahawa kita
tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar
mangsa dapat hidup sempurna seperti kita.

Menganggotai pasukan penyelamat dan pencari juga merupakan peranan kita dalam membantu dan mencari
mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan atau mencari mangsa yang hilang selepas kejadian
bencana alam. Muktahir ini, banyak pasukan penyelamat Malaysia diterbangkan ke negara-negara jiran yang
mengalami bencana alam untuk memberikan bantuan yang semampu boleh. Namun, tidak semua daripada kita
yang berani menjadi penyelamat kerana takut berlakunya kejadian susulan di tempat bencana terbabit. Bagi
mereka yang berani, mereka ibarat wira dari Malaysia yang datang untuk menjalankan tanggungjawab mereka
sebagai penghuni di muka bumi ini. Pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART di
samping pasukan bomba sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari
dan menyelamat mangsa. Mereka membantu bukan untuk balasan atau ganjaran, namun membantu atas dasar
kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah
terselamat daripada bencana alam ini. Rentetan itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa menyumbangkan
tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran
kita berpegang pada kata pepatah, hari tidak selamanya panas.
Membuat keputusan untuk menjadi sukarelawan bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini disebabkan apabila
menjadi salah seorang ahli sukarelawan, kita akan meninggalkan keluarga yang tersayang dalam tempoh yang
agak lama untuk memberikan bantuan kepada negara-negara jiran. Bantuan rawatan, membina rumah mangsa
yang telah musnah semula dan mententeramkan emosi mangsa adalah antara tugas sukarelawan. Pada masa
ini, sukarelawan bergerak dalam kumpulan ataupun persatuan. Para sukarelawan ini kebanyakannya dianggotai
oleh golongan doktor iaitu golongan bijak pandai untuk merawat mangsa yang mengalami kecederaan sekali
gus menyelamatkan nyawa mangsa. Kini, Mercy Malaysia yang dipimpin oleh Dato Dr. Jamilah semakin
mendapat tempat dalam hati masyarakat setempat kerana perkhidmatan cemerlang mereka. Ketika
mengadakan operasi menyelamat mangsa dalam tragedi gempa bumi di Pakistan, Mercy Malaysia telah
menerima pujian hasil kepakaran dan disiplin yang tinggi para pengamal perubatan dari Malaysia. Konklusinya,
kemurnian hati para sukarelawan ini amat bernilai dan bererti kepada mangsa untuk mereka terus menjalani
kehidupan seperti manusia lain. Para sukarelawan yang berilmu pengetahuan, berakal, rajin dan berkemahiran
ini dapat dikatakan sebagai empat bersimpul satu dalam usaha tulus suci ini.

Di samping bantuan derma dan tenaga, kita juga boleh mendoakan mangsa-mangsa kejadian bencana alam ini.
Doa yang dipohonkan adalah agar mereka tabah menghadapi dugaan daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama boleh mendoakan kesejahteraan hidup mangsa bencana yang
masih hidup atau yang telah terkorban mengikut kepercayaan agama masing-masing. Paparan akhbar harian
seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro telah melaporkan bahawa solat hajat dan bacaan
Yasin secara besar-besaran telah diadakan di Masjid Putra, Putrajaya yang telah dihadiri oleh lebih daripada
2000 orang rakyat prihatin dan turut disertai oleh menteri-menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Berdasarkan
senario ini, terbuktilah di sini bahawa setelah menghulurkan bermacam-macam bantuan. doa adalah
pengakhiran bantuan yang diberikan lantaran kita sedar bahawa apa-apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan.
Tuntasnya, doa dapat kita hadiahkan kepada mangsa kerana Tuhan itu Maha Adil lagi Maha Mengasihi. Doa ini
juga secara tidak langsung boleh melahirkan rasa simpati dan insaf supaya kita sekali tersengat selalu beringat.

Di pihak kerajaan pula, bantuan pascabencana terus dihulurkan. Antara bantuan yang diberikan seperti
sumbangan modal dan kepakaran untuk membangunkan kawasan yang telah tejejas teruk semula. Sebagai
negara berjiran yang dapat merasakan rintihan dan suara hati saudara serantau, Malaysia telah membantu
kerajaan Indonesia dalam usaha membangunkan semula sistem pendidikan di wilayah Acheh dan Yogyakarta di
Indonesia yang terjejas teruk dalam peristiwa gempa bumi dan Tsunami. Dengan sokongan yang diberikan itu
telah dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa. Anak-anak dapat meneruskan
semula pelajaran, sementara hidup baru dapat dimulakan sedikit demi sedikit. Sokongan dan bantuan
kepakaran yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping dapat memberikan
sinar kehidupan yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga itu.

Intihanya, semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam menghulurkan bantuan dan tidak
menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Walau di mana-mana jua kita berada, kita
harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang sempurna. Amat wajar
membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu lantaran buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas
jahat, malah buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Semua pihak haruslah bersama-sama
menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kerana ada pepatah mengatakan hendak seribu daya,
tak hendak seribu dalih. Rasulullah juga pernah bersabda, “Tidak sempurna iman seseorang kamu, selagi kamu
masih belum mengasihi saudara kamu seperti kamu menyayangi diri kamu sendiri”. Semoga sumbangan yang
kita salurkan dapat menyempurnakan iman kita dan dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan seharian
mereka seperti sediakala.
Kesan-Kesan Teknologi Maklumat (ICT)
Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke
Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut
dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh
pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber
pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih
kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang
ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan
pelbagai implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif.

Kehadiran teknologi maklumat merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik
menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi maklumat. Seluruh dunia telah menjadi seolah-
olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan
memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru
dengan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi
disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan
melalui iklan di surat khabar menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat
menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang
budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah.
Begitulah kelebihan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan.

Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya
kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu cara perniagaan melalui elektronik.
Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang
mengiklankan alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini, istilah
www.sesuatu.com.my bukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli
melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat
Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang
mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah
bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita.
Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia.
Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya,
dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa
dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan
dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada
pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat
Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750
kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat
multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri
sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran
atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel
elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan
pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian.
Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan
jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin
politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama
dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu
anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya.
Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang boleh menggugat keamanan negara. Maka,
tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah pihak yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan
khabar yang tidak berasas dan berbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya,
terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit,
Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi
rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara
kita sendiri. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki
mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar dibendung oleh
sesiapa.

Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam kalangan
generasi muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet.
Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini.
Pengusaha-pengusaha ini yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ingin
mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan
bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor dalam
kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu
bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di
merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan
perkongsian maklumat negatif dalam kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat
sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.

Sebagai penutup bicara, teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama
memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai pengguna yang bijak
kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Semua pihak harus bersinergi bagai aur
dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring
dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan
membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi
tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Sesungguhnya Saidina Ali Abi Talib
pernah berkata bahawa manusia yang berdagang dengan ilmu maka ilmunya akan bertambah tetapi apabila
manusia berdagang dengan harta maka hartanya semakin berkurang.

Kosa kata:
1. seyogia – sepatutnya, selayaknya
2. input – sumber
3. menginjak – mengubah
4. kompetitif – bersaing
5. glokal – tempatan
6. berbaur – bercampur
7. anarki – porak-peranda
8. wahana – saluran
9. kebejatan – keruntuhan

Anda mungkin juga menyukai