Anda di halaman 1dari 3

PUNCA REMAJA KURANG MELIBATKAN

DIRI DALAM AKTIVITI KOMUNITI


Dalam menongkah arus modenisasi dan globalisasi ini, kita kian alpa akan semangat kejiranan
yang dapat dipupuk melalui aktiviti komuniti. Lantaran itu, golongan generasi muda kita kini iaitu
golongan remaja kurang melibatkan diri dalam aktiviti komuniti. Senario ini dapat dikaitkan
dengan peribahasa yang berbunyi bagaimana rentak gendang, begitulah tarinya. Berdasarkan
peribahasa tersebut, barangkali sangat tepat jika kita mengaturkan gerak laku ssebuah masyarakat
dengan gelombang dan perkembangan semasa masyarakat. Sikap menyalahkan remaja yang tidak
mahu berjinak-jinak dengan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong rotong adalah umpama
meludah ke langit menimpa batang hidung sendiri. Memang benar remaja hari ini tidak berminat
dengan aktiviti seumpama ini akibat didalangi oleh pelbagai faktor yang telah dikenal pasti yang
menjadi latar kehidupan masyarakat pada masa ini.

Punca prima remaja hari ini kurang melibatkan diri dalam aktiviti komuniti ialah sikap
masyarakat setempat yang telah mempengaruhi sikap dan minda remaja. Masyarakat hari ini
terutamanya golongan dewasa yang bekerja, sibuk dengan urusan sendiri dan tidak sedar akan
sikap mereka yang mengabaikan aktiviti komuniti. Dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang
penuh fatamorgana ini, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat pada hari ini
terlalu obses untuk mencari kemewahan hidup demi memenuhi tuntutan nafsu kebendaan mereka.
Senario ini menyebabkan mereka tidak bertegur sapa dengan jiran tetangga mereka apatah lagi
ingin melibatkan diri dalam aktiviti komuniti seperti bergotong royong. Sikap mereka yang
mementingkan diri sendiri ini dapat diibaratkan bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing. Tanpa disedari, situasi ini turut mempengaruhi sikap dan minda remaja untuk
meminggirkan amalan kemasyarakatan dalam kehidupan mereka.

Selain itu, punca lain remaja hari ini kurang melibatkan diri dalam aktiviti komuniti ialah
hubungan remaja dengan golongan dewasa yang agak renggang. Keadaan ini tercetus daripada
pemikiran orang dewasa terhadap remaja yang dianggap masih belum keras ubun-ubunnya dan
tidak perlu menyertai aktiviti komuniti seperti bergotong royong. Situasi ini bertambah rumit
apabila terdapat golongan dewasa yang menhalang penglibatan golongan remaja dalam aktiviti
komuniti seperti menyertai mesyuarat-mesyuarat yang diadakan di sesebuah taman perumahan.
Luka bertambah parah apabila remaja, iaitu insan kerdil ciptaan Tuhan yang menjadi harapan
negara ini mulai berasa tersisih kerana tidak berpeluang untuk bersama-sama dalam aktiviti
kemasyarakatan yang dianjurkan. Impaknya, mereka tiada pendedahan dan bimbingan daripada
orang dewasa untuk menjayakan aktiviti komuniti pada suatu hari nanti. Tegasnya, hubungan yang
renggang antara orang dewasa dengan remaja menjadi pemangkin kepada kurangnya penglibatan
remaja dalam aktiviti kemasyarakatan.

Jika kita lihat dari dimensi yang berbeza, remaja hari ini terpaksa menerima tekanan tinggi
dan bebanan berat daripada ibu bapa. Ibu bapa pada hari ini terlalu menaruh harapan yang tinggi
setinggi Gunung Everest agar anak mereka berjaya dalam bidang akademik. Harapan ibu bapa
yang tinggi ini menyebabkan golongan remaja terpaksa memikul bebanan yang berat untuk
menrealisasikan harapan tersebut sehinggakan mereka tiada masa dan peluang untuk melibatkan
diri dalam aktiviti komuniti seperti bergotong royong. Kebanyakan ibu bapa pada hari ini tidak
mahu anak-anak mereka ketinggalan dalam dunia pendidikan dan masa belajar remaja terlalu
eksklusif serta tidak harus dibazirkan dengan aktiviti komuniti. Mereka lebih rela anak remaja
mereka menjadi ulat buku dan antisosial asalkan anak mereka berjaya dalam bidang akademik.
Maka, tidak hairanlah jika kita lihat penglibatan remaja dalam aktiviti komuniti kian merosot. Jadi,
tekanan dan bebanan yang pikul oleh remaja dalam bidang akademik mengekang mereka daripada
melibatkan diri dalam aktiviti komuniti.

Seterusnya, perkembangan teknologi yang moden turut menghalang penglibatan remaja


dalam aktiviti kemasyarakatan. Dewasa ini, dunia kita menghadapi ledakan teknologi maklumat
yang kian canggih sehingga mempengaruhi sikap dan minda remaja. Hal ini dapat kita lihat melalui
kemajuan teknologi maklumat, media massa dan hiburan yang bergerak pantas bagai belut diketil
ekor. Dengan pengaruh pemodenan teknologi dalam kalangan remaja, mereka menganggap
bahawa aktiviti kemasyarakatan sebagai tidak relevan dan tidak menarik lagi. Mereka lebih suka
bermain permainan menarik di internet dan menonton rancangan yang menarik di kaca televisyen.
Lebih mengasyikkan mereka lagi apabila terdapat pelbagai laman sosial yang berfungsi untuk
berinteraksi secara maya dengan kawan-kawan mereka. Hal ini menyebabkan remaja tidak
berminat untuk melibatkan diri dalam aktiviti komuniti. Jelaslah bahawa pengaruh pemodenan dan
teknologi juga merupakan antara punca remaja kurang melibatkan diri dalam aktiviti komuniti.

Umum mengetahui bahawa kesan daripada penularan budaya kuning turut menjadi dalang
remaja semakin menjauhkan diri daripada menyertai aktiviti komuniti. Remaja kita pada hari ini
lebih gemar berpelesiran di pusat beli belah, bergaul bebas antara lelaki dengan perempuan,
ketagihan hiburan, melakukan seks bebas dan merempit. Remaja kita pada hari semakin hilang
maruah sebagai akibat daripada pengaruh budaya kuning. Kesan-kesan ini menunjukkan betapa
runtuhnya nilai-nilai murni dalam kalangan remaja hari ini. Golongan remaja lebih suka berbual
dalam kelompok mereka dan menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Hal ini
kerana remaja tidak terdidik dengan kehidupan bermasyarakat yang mementingkan sikap saling
membantu dan bekerjasama bagai aur dengan tebing. Tegasnya, remaja tidak melibatkan diri
dalam aktiviti komuniti kerana mereka obses dengan pengaruh budaya kuning.

Sebagai konklusinya, ternyatalah bahawa segala bentuk tingkah laku remaja amat berkait
rapat dengan acuan kehidupan semasa mereka kerana peribahasa Melayu pernah menyebut
bahawa arus di muara dibentuk oleh aur di hulu. Keengganan mereka melakukan aktiviti yang
berfaedah seperti bergotong-royong berkait rapat dengan asuhan yang diterima oleh mereka dan
faktor di sekeliling mereka. Kini, tibalah masanya untuk semua pihak menyedari bahawa segala
yang tersasar di hujung jalan perlu balik ke pangkal jalan. Kegiatan komuniti seperti bergotong-
royong hendaklah disuburkan semula dalam kalangan remaja agar mereka dapat merasai roh dan
nilai insaniahnnya secara tersirat. Oleh itu, semua pihak perlu bersinergi dan memainkan peranan
masing-masing untuk mengatasi kemelut ini. Semoga rakyat Malaysia bekerjasama dengan pihak
kerajaan untuk merealisasikan konsep gagasan Satu Malaysia dan diharapkan semangat
kemasyarakatan akan terus mekar dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.
1. Belakangan ini fenomena golongan remaja amat kurang melibatkan diri dengan aktiviti komuniti
seperti gotong-royong yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Kebanyakan golongan dewasa dan yang
berumur sahaja yang masih bersedia menyumbangkan masa dan tenaga demi menjayakan program
komuniti yang dianjurkan. Pelbagai punca yang menyebabkan golongan remaja kurang melibatkan
diri dalam aktiviti tersebut. Antaranya:-
2. Kekangan masa – remaja hari ini dibelenggu oleh masalah kekangan masa. Mereka sibuk dengan
aktiviti persekolahan (belajar, kokurikulum, tuisyen, kerja rumah, bantu keluarga dll)
3. Kurang kesedaran pelajar tentang manfaat gotong-royong.
4. Remaja beranggapan bahawa aktiviti gotong-royong membuang masa dan kurang berfaedah.
5. Remaja lebih cenderung melakukan aktiviti yang lebih mencabar seperti menyertai kegiatan sukan,
mengembara, mendaki dll.
6. Sesetengah remaja suka menghabiskan masa mereka dengan kegiatan yang tidak berfaedah seperti
melepak, lumba haram, berfoya-foya dll.
7. Sesetengah ibu bapa remaja tidak menggalakkan anak remaja mereka terlibat dengan aktiviti tersebut
kerana masalah keselamatan, kecederaan dll.
8. Remaja menganggap gotong-royong kerja yang sia-sia kerana ketiadaan upah atau ganjaran.
9. Remaja lebih suka menyendiri dan tidak mahu bergaul rapat dengan masyarakat sekeliling.
10. Remaja banyak menghabiskan masa di rumah dengan menonton televisyen, video, permainan video,
mendengar muzik dll.
11. Kurang kempen penerangan oleh pihak-pihak bertanggungjawab seperti pihak kerajaan, ketua
masyarakat, guru-guru dan juga ibu bapa.
12. Remaja terpengaruh oleh sikap masyarakat hari ini yang lebih mengutamakan materialistik.
13. Sistem pendidikan hari ini yang lebih berorientasikan peperiksaan menyebabkan remaja tertekan dan
berlumba-lumba untuk berjaya dalam peperiksaan.
14. Pola petempatan masyarakat juga tidak membantu remaja untuk terlibat dengan aktiviti gotong-
royong.
15. Terlalu banyak perkara yang melekakan remaja.
16. Pengaruh rakan sebaya.
17. Remaja memandang rendah terhadap aktiviti gotong-royong seperti menganggap hanya remaja
kampung dan miskin sahaja sesuai dengan aktiviti tersebut.
18. Remaja kurang mempunyai latar belakang agama.
19. Tuntutan hidup seperti membantu keluarga mencari nafkah juga menjadi penghalang kepada remaja
untuk menyertai gotong-royong.

Anda mungkin juga menyukai