Anda di halaman 1dari 4

Kemurungan membawa padah atau sebaliknya..

Setiap makhluk di atas muka bumi ini pasti akan menghadapi dugaan pada suatu tahap di
dalam riwayat hidup mereka. Tidak kiralah sama ada dugaan tersebut adalah dari segi mental
mahupun fizikal kerana impaknya tetap sama cuma mungkin berbeza dari segi magnitudnya.
Segala masalah yang kita hadapi di dalam hidup ini sudah tentu akan mendatangkan tekanan
ke atas diri kita dan tidak dinafikan yang kadang-kala ianya akan mengakibatkan seseorang
individu itu tidak dapat berfikir dengan waras sehingga menyebabkan dirinya ditelan dek
masalah-masalah tersebut. Kita perlu sedar yang tiada siapa pun yang dilahirkan sedia kuat.
Setiap apa yang kita lalui sepanjang hidup ini tidak kiralah sama ada perkara yang negatif
mahupun positif inilah yang akan membentuk siapa diri kita ini. Minda kita telah diprogram
untuk belajar dari peristiwa-peristiwa ini hinggalah ke suatu tahap di mana kita tidak perlu
berfikir panjang kerana refleks kita telah tersedia untuk memberikan respons yang
sewajarnya. Kadang-kala apabila kita terbiasa membiarkan refleks kita mengambil alih
perbuatan kita, kita lupa akan kepentingan untuk berfikir sebelum membuat sebarang
keputusan. Jika seseorang individu melontar bola ke arahmu, sudah pasti kamu akan cuba
untuk menyambut atau menyepaknya. Akan tetapi, jika objek yang dilontar itu mempunyai
bucu setajam pisau, mampukah kamu dengan sambil lewanya menyambut atau menyepaknya
seperti biasa? Begitulah juga dengan masalah yang kamu hadapi hari demi hari. Bukan semua
masalah boleh diselesaikan dengan cara yang sama setiap kali. Tatkala masalah memakan
diri, topeng dipakai mengabur pandangan, menyedapkan hati.

Dalam budaya jepun terdapat suatu teori konsep yang dipanggil “Kamen” di mana jika
ditafsirkan di dalam Bahasa Melayunya bermaksud topeng. Teori ini mengatakan yang setiap
individu manusia ada mengenakan topeng yang berlainan mengikut situasi dan setiap topeng
tersebut menggambarkan sikap dan tingkah laku individu tersebut pada masa itu. Topeng-
topeng ini melambangkan tahap keterbukaan kita terhadap individu yang sedang kita
berinteraksi. Ia bertujuan untuk memanipulasikan persepsi seseorang individu itu terhadap
diri kita dengan menyembunyikan sifat negatif dan mengeluarkan sifat positif yang ada dalam
diri kita. Seperti sewaktu kita bergaul dengan individu yang kita hormati, kita tidak akan
mengenakan topeng yang sering kita gunakan sewaktu bersama dengan rakan-rakan kerana
ianya bersifat lebih kepada gurauan yang mungkin agak kasar dan tidak sesuai digunakan
secara formal. Melihat pada perilaku manusia, setiap individu mempunyai sesuatu perkara
yang ingin disembunyikan dari orang lain dan topeng-topeng ini juga merupakan salah satu
cara untuk kita menyimpan rahsia-rahsia tersebut. Kita mungkin tidak sedar bahawa topeng-
topeng ini merupakan senjata yang paling penting dalam meluaskan rangkaian sosial kita,
akan tetapi jika ianya disalahgunakan, tidak mustahil ianya mampu mendatangkan padah
kepada penggunanya. Seperti dalam konteks menyelesaikan masalah peribadi, ramai individu
yang menggunakan topeng-topeng mereka untuk menyembunyikan masalah yang mereka
hadapi dari orang lain sungguh pun mereka tidak mampu untuk menyelesaikan masalah itu
sendiri. Hingga ke suatu tahap di mana mereka tidak mampu untuk bertahan lantas memilih
jalan yang salah dalam proses menyelesaikan masalah mereka. Mungkin mereka malu untuk
menceritakan masalah itu atau mungkin mereka beranggapan yang orang lain tidak akan
dapat memahami perasaan mereka lantas mendesak mereka untuk mencipta personaliti-
personaliti artifisial untuk mengelakkan emosi mereka dari terzahir. Umpama mengalami
perpecahan personaliti, mereka tampak gembira ketika bersama rakan dan keluarga tetapi
murung bila berseorangan. Dari luaran mereka tampak ceria tetapi fikiran mereka yang
sedang bercelaru itu tiada siapa yang tahu.

Depression atau dalam Bahasa Melayunya, masalah kemurungan merupakan salah satu
gangguan mental yang sering kita dengar pada hari ini. Pelbagai masalah yang terpendam
menyebabkan berlakunya tekanan emosi yang seterusnya akan mengganggu pemikiran
rasional dan secara tidak langsung akan mempengaruhi tingkah laku dan fizikal individu yang
mengalami masalah tersebut. Ianya agak sukar untuk difahami kerana penyebab berlakunya
tekanan perasaan berbeza untuk setiap individu. Hal ini kerana nilai sesuatu benda atau
perkara juga berbeza mengikut individu. Untuk mudah difahami, seorang jutawan yang
kehilangan seratus ringgit tidak akan berasa sedih yang melampau seperti mana seorang fakir
miskin yang juga kehilangan wang dengan nilai yang sama. Dalam situasi yang lain pula,
terdapat individu yang langsung tidak mengambil kisah tentang keputusan peperiksaan
mereka tetapi bagi sesetengah individu yang lain pula mereka menganggap yang keputusan
peperiksaan mereka amat penting dalam menjadi pengukur nilai diri mereka. Di sini dapat
kita simpulkan bahawa walaupun kita tahu punca yang menyebabkan masalah kemurungan
mereka, kita tetap tidak akan dapat memahami sepenuhnya magnitud tekanan yang dialami
mereka kerana kita tidak dapat menafsir kepentingan elemen yang sedang mempengaruhi
minda individu tersebut.

Persepsi masyarakat kita adalah mereka menganggap bahawa masalah kemurungan ini adalah
masalah yang kecil dan tidak perlu dirujuk kepada pakar terapi atau doktor. Oleh kerana
semuanya berlaku di dalam minda pesakit tersebut dan tidak melibatkan masalah fizikal,
secara tidak langsung mereka tidak meminta bantuan doktor sehinggalah masalah ini
akhirnya mempengaruhi kesihatan fizikal mereka. Individu-individu yang tidak pernah
mengalami masalah kemurungan mungkin tidak dapat membayangkan gangguan mental apa
yang mereka rasai setiap hari. Bila seseorang individu mengalami masalah kemurungan,
mereka hilang rasa gembira dan mereka sering kali merasakan yang diri mereka tidak
berguna. Mereka juga hilang kemampuan untuk fokus dan segala apa aktiviti yang mereka
lakukan tidak lagi mendatangkan kepuasan pada diri mereka. Setiap hari mereka mengalami
kesedihan yang melampau dan perasaan sedih ini berbeza dengan perasaan sedih yang
dialami oleh seseorang individu yang sihat mentalnya kerana kadang-kala ianya berlaku
tanpa sebarang sebab. Setiap perasaan yang melanda jiwa manusia memerlukan elemen
pencetus. Seperti api yang memerlukan bara untuk dihidupkan, begitu juga emosi manusia.
Jika elemen tersebut tidak dapat dikenal pasti, sudah tentu ianya tidak dapat dikawal oleh
individu tersebut dan secara tidak langsung akan menambahkan lagi tekanan perasaan yang
melanda individu tersebut. Ianya menjadi lebih teruk lagi apabila individu tersebut dibiarkan
berseorangan kerana pada masa inilah mindanya lebih cenderung untuk dipengaruhi oleh
hasutan kata-kata hati. Monolog dalaman yang mereka rasai juga tidak sama seperti manusia
yang normal. Mereka tidak bermonolog tentang cinta hati mereka ataupun apakah menu
makanan malam mereka pada hari itu sebaliknya monolog mereka adalah lebih kepada kata-
kata kecaman dan kejian yang ditujukan ke atas diri mereka sendiri. Setiap hari mereka
dihidangkan dengan kata-kata negatif tanpa sebarang cara untuk menghentikan gangguan
tersebut. Manusia jika mulutnya ditutup tidak boleh berkata-kata tetapi hati jika berkata-kata,
tiada cara untuk kita menghalangnya. Mahu atau tidak, individu tersebut terpaksa
mendengarnya walau perit mana sekalipun kata-kata yang dilontarkan.

Masalah kemurungan ini tidak boleh dibiarkan terbuku di dalam hati. Ianya perlu diluahkan
tidak kiralah sama ada kepada ahli keluarga, sahabat handai ataupun pakar. Segala perasaan
dan emosi kurang sihat tersebut jika dibiarkan begitu sahaja akan akhirnya menjadi bom
masa yang hanya menunggu masa untuk meledak dan membanjiri fikiran pesakit dengan
unsur-unsur negatif dan ianya boleh berlaku pada masa yang kita sendiri tidak boleh jangka.
Sekiranya ahli keluarga ataupun sahabat handai telah mengetahui keadaan pesakit, mereka
perlu cuba untuk memahami dan mengurangkan tekanan yang dialami pesakit dengan
memberi sokongan moral kepadanya. Disebabkan oleh keadaan pesakit yang tidak mampu
untuk menghasilkan fikiran yang positif terhadap diri mereka sendiri, tugas-tugas ini terserah
kepada ahli keluarga dan kawan rapat untuk menghujani mereka dengan kata-kata positif bagi
meneutralkan pemikiran negatif pesakit. Jangan lokek dengan kata-kata pujian dan
penghargaan kepada mereka dan jangan sesekali membiarkan pesakit keseorangan buat masa
yang panjang kerana khuatir mereka ditelan oleh emosi sendiri dan melakukan perkara yang
berbahaya ke atas diri mereka.

Setiap kali aku terbaca artikel mengenai individu yang mencabut nyawa mereka sendiri
disebabkan oleh masalah kemurungan ini aku turut berasa kecewa dan sedih. Tidak kiralah
apa agama yang dianutinya, warna kulitnya, mahupun usianya. Sama seperti penyakit ini
yang tidak memilih siapa mangsa-mangsanya. Kecewa kerana mereka tidak menggunakan
keberanian mereka membunuh diri itu untuk melawan gangguan mental tersebut dan sedih
kerana mereka memilih jalan yang salah dalam menangani masalah tersebut. Kebanyakan
kes-kes yang berakhir sebegini adalah kerana pesakit tidak mahu meminta pertolongan orang
lain sebaliknya hanya bergantung pada diri sendiri di samping cuba untuk mengalihkan
tumpuan mereka dengan dadah dan alkohol. Kesemua elemen ini jika digabungkan bukan
sahaja akan mengakibatkan keadaan pesakit bertambah buruk, malah akan mendatangkan
masalah-masalah jangka panjang lain yang jauh lebih rumit untuk diselesaikan. Mungkin juga
mereka telah mendapatkan pertolongan dan telah cuba sedaya upaya melawan gangguan
tersebut tapi apakan daya sampai ke suatu tahap, mereka tidak mampu lagi untuk melawan
hasutan negatif bisikan hati mereka lantas bertindak mengambil nyawa mereka sendiri. Kita
tidak akan dapat membayangkan betapa dalam dan gelapnya fikiran seseorang individu yang
mengalmi masalah kemurungan. Bisikan dan ugutan yang bermain di dalam fikiran seseorang
yang tidak stabil mentalnya mampu membuatkan individu tersebut tidak mampu untuk
berfikir dengan rasional dan bertindak di luar kawalan. Terdapat beberapa kes di mana
individu yang mengalami masalah kemurungan ini telah membunuh dirinya setelah
membunuh keluarganya sendiri. Tidak mustahil yang individu tersebut telah ditelan oleh
fikiran gelapnya yang mendorongnya untuk melakukan perbuatan ngeri itu. Terdapat
pelbagai punca yang menyebabkan seseorang pesakit itu bertindak membunuh dirinya dan
salah satunya adalah untuk melindungi orang tersayangnya dari dirinya yang sudah semakin
tidak terkawal. Ya, mungkin ada jalan lain yang pastinya lebih baik akan tetapi jika anda
berada di tempat pesakit tersebut yang sedang berada dalam keadaan mental yang tidak stabil,
mampukah anda untuk membuat keputusan yang rasional? Bagiku, dalam hal ini tiada siapa
pun yang berhak untuk menghakimi pesakit tersebut kerana kita tidak tahu apakah yang
sedang dilalui olehnya pada waktu itu. Aku tahu yang ianya bukan tugasku untuk
menghakimi kerana aku pun masih menanti untuk dihisab kelak. Andai kata dia membunuh
dirinya dalam keadaan dirinya yang tidak waras, apa hak kita untuk menghukumnya? Ya, kita
boleh membuat spekulasi akan tetapi hanya Tuhan saja yang berhak menentukannya.

Dalam mencari matlamat hidup ini, manusia sanggup melakukan berbagai perkara semata-
mata untuk memakbulkan impian mereka. Setiap kejayaan dan pencapaian yang mereka
peroleh dijadikan kayu pengukur nilai diri mereka. Mereka terlampau asyik menaik taraf
hidup mereka sehingga tidak mengendahkan batasan kekuatan fizikal dan mental mereka
sehinggalah ianya mencapai tahap yang kritikal. Cubalah tanya diri anda. Adakah kita hidup
semata-mata untuk bekerja? Ataupun hanya untuk memuaskan nafsu serakah yang membuak-
buak di dalam hati? Tidak kiralah walau apa pun jawapan yang diberi, ingatlah bila kau tiba
di suatu tahap di mana kau rasa yang kau sudah tidak mampu untuk bertahan lagi, jangan
teragak-agak untuk berhenti dan berehat seketika. Bila segalanya tidak berjalan mengikut
rancangan kau, jangan lupa yang kau sentiasa ada pilihan untuk bermula dari awal. Hidup ini
sentiasa ada butang reset cuma kau saja yang terlalu takut untuk menekannya.

Anda mungkin juga menyukai