Anda di halaman 1dari 3

KOLEKSI CERITA RAKYAT

TAJUK: SINGA DAN TIKUS


Pada suatu hari di sebuah hutan, seekor singa sedang
nyenyak tidur. Tidak jauh dari situ, seekor tikus sedang
bermain dengan rama-rama. Perbuatan tikus dan rama-
rama itu telah mengganggu raja rimba.
Singa berasa amat marah dan ingin menyerang tikus. Tikus
cuba melarikan diri. Tiba-tiba, tikus berkata, “Jika awak
melepaskan saya, saya tidak akan melupakan jasa baik
awak hingga ke akhir hayat.” Singa pun bersetuju dan
melepaskan tikus itu.
Beberapa hari kemudian, singa mengaum sambil meronta-
ronta. Singa terkena perangkap pemburu. Tikus datang dan
memutuskan jaring dengan giginya. Singa berkata, “Kalau
engkau tidak menolong aku, sudah tentu aku dibunuh oleh
pemburu.” Sejak hari itu, mereka telah menjadi kawan
baik.

Pengajaran dalam cerita ini ialah kita mestilah selalu


menepati janji.

TAJUK: SANG MERBAH DAN SANG MURAI.


Pada suatu hari, seekor burung murai telah bertemu
dengan seekor burung merbah. Pada ketika itu, Sang
Merbah sedang membuat sarangnya. Sambil ketawa, Sang
Murai berkata, “ Hai Sang Merbah! Aku sangat kasihan
melihat keadaan kamu ini. Setiap masa kamu terpaksa
bermandi peluh. Lihatlah aku ini. Hidup bebas terbang ke
sana sini.”
Sang Merbah lalu berkata, “Tak apalah, wahai Sang Murai.
Aku membuat sarang ini sebagai langkah berjaga-jaga.
Lagipun, tidak lama lagi musim hujan akan tiba.”
Selang beberapa hari, Sang Murai datang lagi ke tempat
Sang Merbah. Sang Murai terkejut melihat sebuah sarang
yang cantik telah pun siap dibina. Kebetulan pada masa itu
hujan turun dengan lebatnya. Sang Murai basah kuyup.
Sang Merbah pula selesa berlindung di dalam sarangnya.
Lalu Sang Merbah berkata, “ Wahai Sang Murai, kalau kita
ringan tulang, tentulah kita akan mendapat faedahnya.
Sebaliknya jika kita berat tulang, diri sendiri yang akan
rugi.” Sang Murai berasa sangat malu, lalu beredar dari situ.
Pengajaran dalam cerita ini ialah kita tidak boleh
memandang rendah kebolehan orang lain.

TAJUK: PANDAI EMAS DAN PANDAI BESI


Dalam sebuah negeri, terdapat seorang pandai emas yang
kaya dan seorang pandai besi. Malangnya, besinya tidak
selaris emas yang dijual oleh pandai emas.
Pandai emas selalu memandang rendah terhadap pandai
besi. “Besi tidak berguna. Emas lebih tinggi dan mahal
harganya,” kata pandai emas.
Pada suatu malam, pencuri memasuki rumah pandai emas.
Kesemua emasnya telah dicuri. Namun begitu, pandai
emas tidak berputus asa. Dia terus bekerja keras. Akhirnya,
dia berjaya mengumpulkan emas.
Nasib malang menimpa pandai emas lagi. Pencuri masuk
ke rumahnya dan mencuri kesemua emas yang
dikumpulnya.
Pandai emas sungguh kecewa. Akhirnya, dia berjumpa dan
mengadu kepada pandai besi. Pandai besi
mencadangkan pandai emas membuat senjata bagi
mengawal rumahnya. Pandai emas bersetuju. Dengan
menggunakan senjata buatan pandai besi, akhirnya
pencuri itu dapat ditangkap.
Kedua-dua mereka berasa gembira. Pandai emas dan
pandai besi akhirnya menjadi rakan karib.
Pengajaran dalam cerita ini ialah kita tidak boleh
memandang rendah kebolehan orang lain.