Anda di halaman 1dari 3

Menjaga Kebersihan Tanggungjawab Kita Bersama

Oleh: Low Lay Hoe

Bersih atau istilah dalam bahasa Arab iaitu nazifah adalah menjadi akar kata daripada sepotong
Hadith nabi SAW yang bermaksud, “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Huraian daripada Hadith
di atas adalah menuntut supaya semua pihak mengutamakan kebersihan dalam semua perkara. Kebersihan
lahir daripada hati yang nurani dan diterjemahkan dengan sikap dan tingkah laku. Orang yang bersih jiwa
nescaya bersihlah sikap dan tingkah laku lalu diterjemahkan dalam kehidupan. Walakin, isu kebersihan
terus menjadi wahana penting dalam masyarakat apabila masih ada segelintir anggota masyarakat yang
tidak peka terhadap amalan yang sangat penting ini. Hal ini agak menyedihkan sejak belakangan ini. Sikap
individualistik dengan perilaku lempar batu sembunyi tangan terus menyumbang terhadap pencemaran
alam sekitar. Oleh itu, pelbagai prakarsa yang drastik perlu digemblengkan oleh semua pihak agar
Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang bersih, sejahtera dan harmoni.

Seperti yang telah kita sedia maklum, inisiatif yang paling perdana lahir daripada diri sendiri.
Jikalau diukur daripada pernyataan Hadith Nabi yang bermaksud, “Setiap anak itu adalah putih bersih,
melainkan ibu bapalah yang bakal mencorakkan warna untuk mereka” dengan jelas menerangkan bahawa
setiap insan itu pada asalnya adalah bersih. Sepatutnya, setiap individu hendaklah menjadikan kebersihan
sebagai mukadimah dalam semua urusan hidupnya sama ada kebersihan fizikal, pakaian dan makan
minum. Kebersihan hendaklah dijadikan kelaziman bukan paksaan. Selanjutnya, kebersihan dan
kekemasan sepatutnya dijadikan pancaran imej personaliti seseorang. Sebagai insan yang sempurna, kita
seharusnya menampilkan diri dengan fizikal yang kacak, pakaian yang segak dan pekerti yang hemah.

Di rumah, ibu bapa menjadi individu terpenting atau entiti misali untuk memperkasakan amalan
kebersihan dalam kalangan anggota keluarga. Ibu bapa memainkan peranan signifikan untuk
menitikberatkan didikan agama yang mantap dalam diri kanak-kanak sejak bangku sekolah lagi kerana
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua agama menekankan aspek kebersihan dan menegah
penganutnya daripada melakukan kekotoran yang akan menjejaskan kemaslahatan awam. Dengan adanya
didikan agama yang teguh, insan yang mementingkan kebersihan di tempat awam atau kebersihan alam
sekitar dapat dilahirkan. Selain itu, ibu bapa patutlah menunjukkan perlakuan yang baik dalam aspek
kebersihan tanpa mengira di mana-mana jua mereka berada kerana tingkah laku mereka akan menjadi
teladan dan ikutan anak-anak mereka kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa tidak
seharusnya bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan senget.
Misalnya, ibu bapa haruslah membuang sampah ke dalam tong sampah. Dengan ini, anak-anak yang masih
berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang akan mencontohi perbuatan ibu bapa mereka dan
akan dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan mereka kerana alah bisa tegal biasa.

Jika kita telusuri dari sudut perspektif yang lain, peranan media massa juga tidak dapat diketepikan
dalam proses untuk menjaga kebersihan diri dan alam sekitar. Media massa seperti radio, televisyen dan
suratkhabar mendatangkan pengaruh yang mendalam dalam kehidupan harian. Rancangan dan program
yang dapat menyemaikan kesedaran menjaga kebersihan awam dalam kalangan rakyat harus disiarkan
melalui saluran media cetak dan media elektronik dari semasa ke semasa. Tujuannya adalah untuk
menyedarkan rakyat tentang peri pentingnya kebersihan terhadap kesihatan masyarakat. Bukan itu sahaja,
kempen kebersihan awam seperti “Cintailah Sungai Kita” dan slogan “Negara Bersih Sihat” patut
digiatkan untuk membangkitkan kesedaran sivik masyarakat negara ini untuk memelihara kebersihan
awam. Kempen yang dijalankan oleh pihak media massa perlulah berketiak ular dan bukannya hangat-
hangat tahi ayam. Melalui kempen kesedaran ini, kita dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti
kebersihan alam sekitar dan tempat awam senantiasa bersih dan dipelihara. Dengan ini, kempen kesedaran
ini dapat mencapai matlamatnya apabila semua rakyat Malaysia sedar akan kepentingan kebersihan awam.

Pada era pascakemerdekaan ini, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan
dengan isu kebersihan seperti Akta Alam Sekitar 1971 dan Akta Kilang 1974 untuk mengatasai masalah
kebersihan awam. Hukuman yang lebih berat harus dijatuhkan kepada sesiapa yang bersikap bena tak
bena terhadap kebersihan awam. Sekiranya perbuatan mencemarkan alam sekitar dan tempat awam masih
diulangi, denda yang berlipat ganda harus dikenakan dan disertai dengan hukuman yang lebih tegas .
Misalannya, negara Singapura telah banyak mengusulkan cadangan yang drastik dan membina dalam
usaha membasmi masalah kebersihan awam. Antara cadangannya ialah rakyat negara itu yang ditangkap
membuang sampah sarap atau puntung rokok di tempat awam akan dikenakan denda yang tinggi oleh
pegawai polis yang bertugas. Sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut terus dikenakan denda
berat di tempat kejadian itu. Bagi menjaga maruah diri, mereka yang bersalah akan tidak berani untuk
mengulangi perbuatan terkutuk itu di tempat awam. Maka, tidak mustahillah negara Singapura digelar
sebagai Taman Bandar Raya yang terkenal dengan kebersihannya. Oleh itu, kita harus mencontohi
ketegasan undang-undang negara Singapura kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan
sempadan. Sesungguhnya, ketegasan undang-undang mampu melahirkan individu yang menitikberatkan
aspek kebersihan dalam kehidupan.

Akhirulkalam, kebersihan awam dapat dijaga dan dipelihara melalui komitmen daripada pelbagai
pihak. Sikap individualistik dan ketiadaan kesedaran sivik terhadap kebersihan awam perlu dikikis.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Doktor Mahathir bin Mohamad pernah meluahkan perasaan
kecewa beliau terhadap sikap rakyat negara ini yang memandang remeh terhadap kebersihan awam setelah
melihat keadaan di sekeliling Bukit Bintang yang menjijikkan, ditimbuni sampah sarap yang dihinggapi
lalat. Beliau telah menyarankan rakyat Malaysia supaya mengamalkan sikap mementingkan kebersihan
awam dalam kehidupan harian. Kebersihan kawasan sekitar sememangnya merupakan aspek yang amat
penting untuk menjamin keharmonian sejagat. Kita tentu tidak ingin berharap agar generasi yang akan
dating dapat hidup dalam keadaan yang dicemari, menyedut udara yang kotor, serta minum air yang
bermikroorganisma. Tegasnya, sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita bersama-sama mempraktikkan
kebersihan diri dan kebersihan awam demi kesejahteraan hidup dari semasa ke semasa!

Anda mungkin juga menyukai