Anda di halaman 1dari 4

1.

0 Pengenalan

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik dan dari situlah lahirnya
pelbagai budaya yang berbeza kemudian terbentuknya silang budaya. Silang budaya wujud di
mana-mana tempat atau situasi disebabkan individu yang datang dari latar belakang budaya yang
berbeza (Othman Mahmed, 2000). Perbezaan ini mendorong kepada timbulnya masalah
komunikasi antara individu kerana jurang perbezaan yang wujud antara mereka. Oleh itu,
kaunselor memainkan peranan yang penting untuk memahami konsep silang budaya tersebut
agar isu ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik dan harmoni. Kaunseling silang budaya
melibatkan kaunselor dan klien yang berlatarbelakangkan budaya yang berbeza. Oleh itu, bagi
memastikan proses kaunseling berjalan dengan baik, elemen-elemen silang budaya perlulah
difahami dan dipraktikkan oleh guru kaunseling.

2.0 Elemen-elemen Silang Budaya

2.1 Kepercayaan

Menurut Noriati A.Rashid, Ying B.P, Sharifah dan Zuraidah (2017), kepercayaan
bermaksud keadaan menaruh kepercayaan ke atas sesuatu perkara yang disertakan
dengan perasaan pasti terhadap kepercayaan itu. Kepercayaan secara umumnya berkait
rapat dengan jangkaan seseorang individu terhadap perlakuannya yang akan
memberikan kesan terhadap kehidupannya. Kepercayaan ini mungkin benar dan
mungkin palsu secara objektifnya, namun terdapat sesetengah individu berpegang teguh
dengan kepercayaan ini beramal dengannya. Setiap kaum mempunyai kepercayaan
mereka yang tersendiri. Oleh itu, kaunselor silang budaya perlu memahami dan
menghormati kepercayaan klien mereka. Misalnya teras kepercayaan agama Hindu
adalah berdasarkan hukum karma. Asma Abdullah (2003) menjelaskan hukum karma
sebagai sesuatu perbuatan atau niat seseorang individu akan dibalas kembali menurut
hukum alam atas apa yang telah dilakukannya. Jika baik perlakuannya maka akan
dibalas baik serta pada kelahiran semulanya akan menjadi insan yang lebih sempurna
manakala jika perbuatan jahat dilakukan maka sebaliknya akan berlaku. Apabila
kaunselor memahami konsep kepercayaan ini, maka kaunselor akan lebih berhati-hati
dalam menjalankan sesi kaunseling. Malah, kaunselor dapat mengaplikasi pengetahuan
ini untuk mendidik dan menggalakkan murid-murid dalam melakukan kebaikkan.
Walaupun konsep hukum karma ini bertentangan dengan agama Islam, namun intipatinya
yang menggalakkan perbuatan baik dan mengelakkan perbuatan jahat ini mempunyai
matlamat kehidupan yang sama dalam beragama Islam iaitu amar makruf nahi mungkar
(Amaludin Ab. Rahman, 2008).

2.2 Bahasa

Bahasa adalah alat atau perwujudan budaya yang digunakan manusia untuk saling
berkomunikasi atau berhubung yang bertujuan menyampaikan maksud hati, fikiran atau
kemahuan kepada orang lain (Peng C.F, 2008). Melalui bahasa, manusia dapat
menyesuaikan diri dengan peraturan masyarakat. Namun begitu, disebabkan Malaysia
terdiri daripada pelbagai kaum maka bahasa yang dituturkan juga adalah pelbagai
ditambah pula dengan slanga atau loghat negeri dan kawasan masing-masing. Kaunselor
silang budaya perlu sedar akan keadaan ini dan bersedia berhadapan dengan murid ini.
Masalah berkomunikasi akan berlaku pada awalnya namun masalah ini pasti dapat
diatasi. Misalnya, guru semenanjung yang dipindahkan ke Negeri Sarawak. Cabaran
guru tersebut adalah untuk memahami setiap perbualan guru-guru dan murid-murid di
sana seperti penggunaan ‘kamek’, ‘sik’ dan sebagainya. Oleh itu, bagi mengelakkan
salah faham dan komunikasi yang tidak efektif, guru kaunseling menggalakkan murid
untuk bertutur dalam bahasa standard iaitu bahasa Melayu formal. Dalam pada masa
yang sama, guru juga perlu bijak adapatasi diri dengan budaya masyarakat sekeliling
dengan mempelajari juga bahasa Sarawak. Kepelbagaian bahasa ini adalah untuk
dikongsi dan diraikan bersama.

2.3 Agama

Setiap budaya mempunyai agama yang tersendiri. Agama ini akan mempengaruhi
amalan, istiadat, ritual dan berbagai-bagai lagi. Selain itu, agama juga akan
mempengaruhi perlakuan, politik dan amalan perniagaan dalam sesebuah budaya.
Walaupun agama bagi sesebuah budaya itu berlainan, tetapi masih terdapat persamaan
antara setiap agama tersebut (Noraini, Moh Aderi & Mohd Isa, 2014). Persamaan bagi
agama adalah melalui kitab sucinya. Sebagai contoh, kitab suci bagi Islam adalah Al-
Quran, kitab suci kristian adalah kitab Injil dan sebagainya. Setiap penganut akan
berpegang dan menjadikan kitab suci mereka itu sebagai panduan kehidupan. Kaunselor
perlu prihatin terhadap pantang larang setiap agama. Misalnya, penganut Hindu
menjadikan dan memuliakan lembu sebagai simbolik Tuhan mereka. Perkara ini
bertentangan dengan amalan umat Islam yang menyembelih lembu ketika Hari Raya
Aidilfitri sebagai simbol pengorbanan dan amal jariah dalam beragama. Oleh itu,
kaunselor perlu mengelakkan sentiment sensitif ini dengan tidak menghidangkan lauk
lembu atau daging kepada murid penganut agama Hindu.

3.0 Kepentingan Teori dalam Kaunseling Silang Budaya

3.1 Panduan dan Rujukan Pelaksanaan Sesi Kaunseling

Setiap guru bimbingan dan kaunseling perlu menguasai teori-teori kaunseling yang ada.
Hal ini kerana setiap teori kaunseling mempunyai teknik dan strategi yang tersendiri dalam
membantu murid menyelesaikan masalah mereka. Dengan ini, kaunselor dapat
menggunakan teori ini sebagai rujukan dan panduan semasa melaksanakan sesi
kaunseling bergantung kepada kesesuaian dengan masalah klien yang dihadapi.
Misalnya teori REBT yang menggunakan teknik A-B-C-D-E. Albert Ellis dalam Melati
Sumari, Ida, Norfaezah dan Azmawaty (2014), menekankan mengenai pemikiran rasional
dan pemikiran tidak rasional klien. Misalnya, sikap etnosentrisme atau merasakan
bahawa golongannya adalah golongan yang lebih baik dari golongan lain serta
memperlekehkan individu lain. Etnosentrisme ini juga dapat dikategorikan sebagai
pemikiran tidak rasional klien. Kaunselor dapat mempraktikkan teknik A-B-C-D-E ini
dalam membantu berhadapan dengan klien yang etnosentrisme ini untuk membantu
mereka celik akal dan berjaya menjadi individu yang rasional semula.

3.2 Memudahkan Kaunselor Lebih memahami Klien

Setiap teori mempunyai andaian dan pandangan tersendiri terhadap tingkah laku serta
personaliti manusia. Oleh itu, melalui andaian ini, kaunselor silang budaya akan lebih
mudah memahami klien mereka kerana mereka menyedari hakikan perbezaan serta
keunikan setiap individu. Misalnya, andaian teori humanistik yang menyatakan manusia
adalah baik secara semulajadi dan kejahatan yang berlaku dalam diri adalah disebabkan
persekitaran yang tidak memberangsangkan. Dengan ini, kaunselor akan lebih menilai
murid secara positif tanpa sebarang prejudis negatif. Kaunselor juga dapat mengamalkan
elemen penerimaan tanpa syarat dalam khidmat bimbingan kaunseling tanpa menilai latar
belakang budaya, agama atau kaum seseorang klien. Komposisi masyarakat berbilang
kaum di Malaysia ini menyebabkan berlakunya masalah untuk segelintir individu adaptasi
dengan budaya lain. Isu-isu seperti tingkah laku yang bertentangan dengan norma dan
nilai masyarakat juga banyak berlaku kerana individu tersebut mempunyai masalah untuk
menyesuaikan diri dengan persekitaran. Oleh itu, andaian teori tingkahlaku yang
menekankan perubahan tingkahlaku dari tingkahlaku negatif ke positif serta memastikan
tingkahlaku tersebut tidak bercanggah dengan budaya masyarakat setempat adalah
sangat sesuai untuk diaplikasikan. Pemahaman kaunselor terhadap teori-teori ini
memudahkan kaunselor mengendalikan sesi kaunseling dengan lebih baik.

4.0 Penutup

Kesimpulannya, kaunselor perlulah memahami dan mendalami elemen-elemen silang budaya


agar kaunselor dapat mempraktikkannya dalam pelaksanaan sesi kaunseling budaya.
Pemahaman mengenai elemen silang budaya membantu kaunselor untuk lebih mengenali cara
hidup klien dan diri klien. Kesannya, kaunselor silang budaya yang terhasil adalah kaunselor
yang memahami, tidak bersifat prejudis dan ikhlas membantu klien. Bukan itu sahaja,
pelaksanaan kaunseling silang budaya tidak akan berjalan dengan baik tanpa kemahiran
penguasaan teori oleh kaunselor. Teori merupakan panduan dan rujukan utama kaunselor dalam
menetapkan hala tuju sesi kaunseling yang dijalankan. Akhir kata, kejayaan pelaksanaan
kaunseling silang budaya memerlukan kerjasama dan kesafahaman antara klien, kaunselor dan
persekitaran yang saling menyokong.

Anda mungkin juga menyukai