Anda di halaman 1dari 3

Penulisan Refleksi

Oleh: Norasyikin binti Mohd Zamuri

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi di atas limpah kurnianya saya telah berjaya
menyiapkan tugasan yang diberi tepat pada masanya. Terlebih dahulu, setinggi-tinggi
penghargaan saya berikan kepada Dr. Chiam Sun May selaku pensyarah bagi kod kursus
MTES3033 iaitu Geometri. Jutaan terima kasih buat Dr. Chiam kerana sudi untuk berkongsi
pandangan yang bernas serta memberi panduan dan tunjuk ajar untuk menyempurnakan
tugasan ini. Jasa baik Dr. amat saya hargai. Ribuan terima kasih juga saya titipkan kepada
rakan-rakan sekelas dan ibu bapa saya yang tercinta kerana sudi memberi pendapat dan
sokongan sepanjang proses untuk menyiapkan kerja kursus ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa tugasan yang diberikan oleh Dr. Chiam kepada saya
dan rakan-rakan sekelas memberi impak yang sangat besar. Berdasarkan kesemua input
yang telah dipelajari sepanjang pelaksanaan kerja kursus ini, saya berpendapat bahawa
setiap satunya adalah sangat berguna dan bermanfaat bagi tujuan masa kini dan pada masa
akan datang. Saya dan rakan-rakan telah dibekalkan dengan satu tugasan untuk mencipta
satu teselasi dan isometri bagi satah berasaskan teori-teori transformasi geometri dengan
mengaplikasikan Geometer Sketchpad (GSP). Tugasan ini telah memusatkan satu tema yang
tetap dan merupakan satu reka bentuk yang berunsur Malaysiana. Saya telah memilih satu
reka bentuk yang berunsurkan lautan.

Sejujurnya, tugasan ini telah memberi pengalaman baru serta bermanfaat buat diri
saya dan rakan-rakan yang lain. Hal ini kerana, ini adalah pertama kali saya melaksanakan
tugasan sebegini rupa. Sebelum ini, saya tidak pernah mengetahui tentang apa itu teselasi
dan penggunaannya dalam kehidupan seharian. Jadi melalui tugasan ini, saya dapat
mengenalpasti di mana kekuatan dan kelemahan. Saya juga menghadapi pelbagai halangan
dalam menyiapkan tugasan ini namun halangan tersebut dapat saya tangani dalam
menjayakan peluang keemasan ini. Oleh itu, saya ingin mengklasifikasikan penulisan refleksi
ini kepada kaedah SWOT iaitu Strengths, Weaknesses, Opportunities and Threats agar
elemen-elemen SWOT ini dapat dibincangkan tanpa halangan.

Sepanjang melaksanakan tugasan ini pastinya ada kekuatan yang menjadi pendorong
buat saya dalam menjayakannya. Kekuatan dalam menyempurnakan tugasan ini ialah saya
dapat bertukar-tukar pendapat dengan rakan sekelas yang lain di mana kami telah berkongsi
pandangan dan idea untuk menghasilkan sebuah teselasi yang menarik. Saya juga telah
melayari Internet untuk mendapatkan rujukan tambahan sebagai panduan untuk
melaksanakan tugasan ini. Pada masa yang sama, kemahiran yang baik dalam
mengendalikan perisian komputer riba telah membantu untuk menyiapkan tugasan ini tepat
pada masanya. Saya bersyukur kerana telah diberi pendedahan tentang penggunaan aplikasi
GSP sejak dari PPISMP. Perkara ini telah membantu saya menjimatkan masa semasa
melaksanakan tugasan ini.

Selain itu, kelemahan yang dapat saya kenalpasti semasa melaksanakan tugasan ini
ialah saya kurang memahami tentang konsep teselasi. Jadi, saya memerlukan sedikit masa
untuk mengkaji dan mempelajari tentang teselasi. Namun begitu setelah bertanya kepada
pensyarah, saya lebih memahami konsep teselasi yang sebenar dan melancarkan proses
untuk menyiapkan tugasan ini. Dalam pada itu, kurangnya sifat kreatif dalam diri merupakan
kelemahan yang tidak dapat saya nafikan. Hal ini telah menyebabkan saya mengambil masa
yang terlalu lama untuk memikirkan corak-corak yang hendak dihasilkan.
Walaubagaimanapun, saya telah berjaya untuk menghasilkan sebuah corak yang ringkas dan
mudah tetapi menarik pada pandangan saya.

Seterusnya melalui tugasan kerja kursus ini, saya telah memperoleh pelbagai peluang
yang baik buat diri saya dan rakan-rakan. Tugasan ini telah memberi saya pengetahuan
baharu tentang teselasi. Kini, saya telah mengetahui terdapat pelbagai kegunaan teselasi
yang boleh diaplikasi dalam bidang seni bina, seni lukis, perhiasan dan sebagainya. Teselasi
boleh menjadikan barang yang amat biasa menjadi sesuatu yang menarik perhatian. Tugasan
ini juga telah membantu saya untuk meningkatkan tahap kreativiti dalam diri. Tidak dapat
dinafikan bahawa untuk menghasilkan sebuah teselasi yang menarik, kreativiti merupakan
salah satu daripada elemen penting. Jadi, tugasan ini telah memberi peluang kepada saya
untuk mengasah kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Pada masa yang sama, saya
juga berpeluang untuk mempelajari semula teori-teori transformasi yang telah dipelajari di
sekolah menengah.

Dalam menyiapkan sesuatu tugasan juga pasti ada halangan yang berlaku. Antara
halangan yang saya hadapi semasa menyiapkan tugasan projek ini ialah kelajuan talian
Internet. Masalah rangkaian jalur lebar di IPG Kent menjadi salah satu daripada halangan
terbesar untuk saya mencari maklumat berkaitan teselasi. Jadi, saya harus keluar dari kelas
dan bilik untuk mencari kawasan rangkaian jalur lebar yang kuat di sekitar asrama dan blok
akademik. Perkara ini sedikit sebanyak telah melambatkan kerja dan merugikan masa. Selain
itu, halangan yang saya hadapi dalam melaksanakan tugasan ini ialah masalah kekangan
masa. Hal ini kerana, saya dan rakan seperjuangan yang lain mempunyai tugasan yang diberi
oleh pensyarah lain yang perlu dihantar dalam masa yang terdekat dan tarikh yang hampir
dengan tarikh penghantaran tugasan MTES3033.

Tuntasnya, melalui projek kerja kursus yang dijalankan, banyak perkara yang telah
saya pelajari. Saya memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan dalam berbagai-bagai bidang
yang perlu dikuasai oleh setiap warga pendidik. Antara ilmu yang saya pelajari ialah cara
mengendalikan bidang teknologi dalam penggunaan Microsoft Word dan Geometer
Sketchpad (GSP). Saya juga telah mengetahui betapa pentingnya kegunaan teselasi dalam
kehidupan seharian untuk mencipta sesuatu yang menarik. Syukur dan berterima kasih sekali
lagi saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan tugasan ini sehingga
selesai.

Anda mungkin juga menyukai