Anda di halaman 1dari 9

9.2.

1) Masakan Solar/Rimba/Kelompok

MASAKAN SOLAR

Masakan solar ini diperkenalkan sebagai salah satu cara penyediaan makanan tanpa
menggunakan peralatan dapur dan hanya menggunakan cahaya matahari sebagai sebagai
sumber tenaga pembakar. Kaedah memasak menggunakan tenaga solar mempunyai banyak
kebaikan. Diantaranya ialah sebagai satu cara mendidik ahli supaya melindungi alam sekitar yang
semakin terancam, mengurangkan pencemaran pembakaran bahan api, mengurangkan bahaya
gas dan kebakaran. Cuaca yang sesuai ialah semasa musim panas terik.

Bahan-bahan yang diperlukan ialah aliminium foil, periuk memasak nipis yang disembur cat
aerosol hitam, kertas kadbord yang tebal, gam, plastik, tali rapiah dan tiga batu kecil diletak
dibawah panci semasa memasak. Ukuran dapur adalah seperti berikut.
MASAKAN RIMBA
Kebiasaannya seorang ahli yang menghadiri sesuatu perkhemahan membawa periuk dan cerek
sendiri. Peralatan ini membolehkan kita menjerang air, menanak nasi dan memasak sayur-
sayuran. Sesetengah orang yang belum pernah memasak akan mendapatinya sebagai suatu
pekerjaan yang menyusahkan. Seorang ahli dilatih memasak tanpa menggunakan periuk atau
lain-lain peralatan memasak. Cara ini dikenali sebagai masakan hutan/rimba atau
backwoodsman. Memasak cara ini lebih sukar jika berbanding dengan menggunakan periuk.
Namun begitu, masakan rimba akan menjadi suatu aktiviti yang senang dan menyeronokkan
apabila sentiasa dilatih apabila berkhemah di luar. Kita boleh memasak nasi dengan pelbagai
cara dengan menggunakan bahan seperti buluh, buah-buahan tertentu, kerajang aluminium,
lumpur, tanah dan sebagainya.

Memasak Dengan Menggunakan Buluh


Buluh dalam pergerakan Persatuan Bulan Sabit Merah sangat penting untuk membuat gajet,
pioneering dan projek penerokaan. Buluh juga sesuai dijadikan bekas (container) untuk memasak
nasi. Potong seruas buluh yang nipis dan besar saiznya. Buluh yang dipilih seharusnya tidak
retak. Basuh bahagian dalam buluh sehingga bersih. Kita perlu terlebih dahulu menyukat isipadu
keseluruhan buluh tersebut contohnya isipadu buluh tersebut ialah satu cupak air. Basuh lebih
kurang sebanyak setengah cupak beras (isipadu keseluruhan buluh dibahagi dua) sehingga
bersih. Kemudian masukkan beras yang bersih ke dalam buluh tersebut. Jika pokok pisang
senang didapati, kita boleh memasukkan daun pisang di bahagian dalam tepi buluh sebelum
memasukkan beras (seperti membuat lemang). Hasilnya nasi yang dimasak lebih enak dan
wangi. Setelah kesemua beras dimasukkan, masukkan lebih kurang setengah cupak air ke dalam
buluh tersebut. Sukatan beras dan air yang belum dibasuh adalah sama banyak.
Adunan ini akan menghasilkan nasi yang baik atau tidak mentah. Selepas itu tutupkan bahagian
atas buluh tersebut dengan daun pisang atau sebagainya. Kemudian letakkan buluh tersebut
berhampiran dengan nyalaan seperti membakar lemang. Sekali sekala kita perlu membalikkan
kedudukan buluh itu agar semua bahagian buluh tersebut terkena panas api dengan sekata.
Apabila air di dalam buluh hampir kering, api yang menyala seharusnya dikurangkan supaya
berbara sahaja. Ini disebabkan beras di dalam buluh itu hampir masak. Kita boleh mengetahui
sama ada nasi sudah cukup masak dengan mencungkil sedikit nasi di bahagian atas. Jika sudah
masak, alihkan buluh tersebut. Belah buluh dengan menggunakan pisau atau parang. Buluh juga
boleh digunakan untuk memasak bahan-bahan makanan lain secara merebus.
Memasak Dengan Menggunakan Buah Kelapa
Nasi juga boleh disediakan dengan menggunakan buah kelapa muda. Potong bahagian atas
buah kelapa dengan cermat. Bahagian atas ini akan digunakan sebagai penutup. Jangan buang
air kelapa muda ini sebaliknya masukkan beras yang sudah dibasuh bersih ke dalamnya. Sukatan
beras hendaklah sama dengan sukatan air kelapa muda tersebut (sama seperti kaedah memasak
nasi dengan buluh). Letakkan buah kelapa muda ini di atas nyalaan api sehingga masak.
Hasilnya, nasi yang ditanak amat enak kerana mempunyai rasa lemak manis buah kelapa muda.

Memasak Dengan Menggunakan Kerajang Aluminium


Kita juga boleh memasak dengan menggunakan kerajang aluminium yang sudah dibawa terlebih
dahulu dari rumah. Kerajang aluminium ini boleh digunakan untuk memasak bahan makanan
seperti ikan, telur atau daging. Basuh makanan yang hendak dimasak dan adunkan rempah
secukupnya. Kemudian bungkuskan bahan makanan itu dengan menggunakan kepingan
aluminium. Letakkan bungkusan tersebut ke dalam nyalaan api (aluminium tidak akan terbakar
atau cair kerana mempunyai takat lebur yang tinggi). Setelah lebih kurang 20 hingga 30 minit,
keluarkan bungkusan tersebut daripada api dan buka bungkusan itu dengan cermat (awas:
bungkusan akan menjadi terlampau panas). Makanan tersebut sudah pun masak.

Memasak Dengan Menggunakan Ubi Kentang


Kita juga boleh memasak telur dengan menggunakan ubi kentang. Potong ubi kentang dengan
cermat kemudian buangkan isi ubi kentang seberapa yang boleh. Selepas itu masukkan telur
yang telah diadukan ke dalam isi kentang. Kemudian tutup dengan menggunakan bahagian ubi
kentang yang telah dipotong. Kemaskannya dengan menggunakan bilah buluh atau kayu.
Letakkan ubi kentang di atas api sehingga isi kandungannya masak.
Memasak Dengan Menggunakan Lumpur/Pasir/Tanah/Tanah Liat
Lumpur atau tanah liat juga boleh dijadikan bekas untuk memasak. Contohnya untuk memasak
ikan dan telur. Ambil lumpur atau tanah liat yang bersih dan balutkan telur atau ikan yang sudah
bersih untuk dimasak. Selepas itu masukkan balutkan lumpur atau tanah liat ini ke dalam api lebih
kurang 10 hingga 20 minit. Jika lumpur atau tanah liat sukar didapati, pasir atau tanah boleh
digunakan sebagai medium untuk memasak. Kaedah ini digunakan untuk memasak nasi, telur,
ubi dan sebagainya. Untuk memasak nasi, basuh dan rendamkan beras ke dalam air selama
lebih kurang 2 jam. Selepas itu, isikan beras ke dalam kain yang bersih dan diikat dengan kemas.
Kemudian sediakan lubang dan masukkan bahan yang hendak dimasak (contohnya beras, telur
dan ubi) ke dalam lubang dan ditimbuskan. Nyalakan api pada bahagian atas lubang selama lebih
kurang 30 minit. Masa memasak bergantung kepada keadaan api dan jenis bahan yang dimasak.

Memasak Menggunakan Daun


Daun yang lebar seperti daun pisang dan daun kunyit boleh digunakan untuk memasak
terutamanya ikan dan telur. Memasak ikan dengan menggunakan daun kunyit lebih sedap dan
wangi baunya. Basuh dan bersihkan ikan yang hendak dimasak. Kemudian bungkuskan dengan
daun. Sepitkan bungkusan daun di celah kayu atau buluh pemanggang. Bungkusan itu diletakkan
di atas panas bara api sehingga cukup masak. Apabila sudah masak, kita boleh membuka
bungkusan daun tersebut dan menikmati ikan yang telah dimasak.
Menyediakan Roti Lilit
Kita juga boleh menyediakan roti lilit di kawasan perkhemahan. Campurkan tepung gandum
dengan sedikit garam, air secukupnya dan ibu roti. Jika ada marjerin atau mentega, bahan ini
boleh dicampurkan sekali untuk mengenakkan adunan roti. Selepas itu uli dengan sebati.
Sediakan sepotong kayu kecil sebesar ibu jari dan bersihkan kulitnya. Bentukkan tepung gandum
yang diuli tadi supaya lebarnya kira-kira 5 cm dan tebalnya 1.5 cm (panjang pula tanpa had).
Lilitkan adunan tadi pada kayu. Selepas itu letakkan adunan yang telah dililit rapat dengan bara
api sehingga garing. Pusingkan bahagian kayu tersebut sekali sekala supaya semua bahagian
roti lilit itu masak sekata.

Anda mungkin juga menyukai