Anda di halaman 1dari 5

ALEDYA datang ke Johor Baharu kerana urusan kerja, namun kerana Tan Sri Megat Sofian tak sihat

dan
ingin sangat untuk berjumpa dengan bapa saudaranya, Aledya berusaha juga untuk mencari bapa
saudaranya itu yang sudah lama terputus hubungan.

Alamat sudah ada dan Aledya masuk ke kampung ini bila hari sudah hampir senja. Berulang-
alik dia melalui jalan yang sama, alamat dan kampungnya sudah betul namun rumah yang dicari tidak
juga ditemuinya.

Poonnn…kereta Aledya berpusing-pusing sebelum terbabas di tepi jalan. Nyaring hon kereta
yang ditekan tanpa sengaja. Bunyinya cukup membingitkan telinga. Tubuh Aledya mengeletar, fikirannya
buntu dan kosong. Air matanya sudah bercucuran laju.

"Cik!" seorang lelaki mengetuk cermin keretanya yang sudah tersadai. Ada asap nipis yang keluar
dari bahagian enjin.

"Cik! Buka pintu ni.." lelaki tadi mengetuk lagi cermin tingkap kereta Aledya sambil terus
bersuara. Aledya kebingungan, namun dia cuba berlagak tenang. Perlahan-lahan tangannya membuka
pintu kereta. Dipandangnya lelaki yang sedang berdiri di tepi kereta.

"Cik okey ke tak ni?" lelaki itu menyoal lagi. Aledya menjatuhkan kepalanya perlahan-lahan,
sesaat kemudian dia mengeleng pula. Dia benar-benar sedang keliru. Fikirannya berserabut.

"Cik!" lelaki itu bersuara lebih kuat daripada tadi. Melihat keadaan Aledya dia dapat mengagak
ada sesuatu yang tidak kena.

"Cik dengar tak ni?" lelaki tadi masih ingin mengajak Aledya berbual. Dia ingin membantu tapi
melihat Aledya terus membisu dia menjadi serba salah.

"Cik cedera tak? Saya hantarkan Cik ke hospital? Atau saya call ambulance?" lelaki itu masih
mencuba, matanya terus memerhatikan wanita cantik yang anggun bergaya di depannya. Wanita yang
berkulit cerah dan halus. Wajahnya hanya bersolek nipis namun cukup mempersonakan.
"Cik..jangan macam ni. Saya ikhlas nak tolong Cik, kalau Cik terus diam macam ni, macam mana
saya nak tolong." akhirnya dia bersuara tegas. Wajah Aledya ditenung lagi. Semakin lama ditenung
hatinya semakin berdebar. Boleh goyah imannya kalau macam ni.

"Tak perlu.." Aledya bersuara juga dalam nada yang cukup lemah dan bergetar. Dia masih
terkejut dengan kejadian tadi. Kerana kealpaannya, dia tidak sedar ada sesuatu yang melintas dan
menyebabkan dia terpaksa menekan brek secara mengejut. Nasib baik kereta tiada dan dia sedang
berada di jalan kampung. Aledya masuk ke kampung ini untuk mencari seseorang, namun percariannya
hampa. Dia terlalai seketika hingga menyebabkan kejadian ini berlaku.

"Ada apa yang perlu saya bantu ke?" lelaki tadi masih ramah bertanya. Dia memeriksa kereta
Aledya dan mengelengkan kepalanya tanpa sedar.

"Saya tak rasa Cik boleh meneruskan perjalanan dengan keadaan kereta Cik yang macam ni."
lelaki tadi bersuara lagi.

"Err.." minda Aledya kosong. Dia ingin bersuara tapi tidak tahu apa yang harus dikatakan. Dia
ingin percaya dan minta bantuan lelaki ini tapi dia juga waswas kerana tidak mengenali. Dia takut lelaki
ini mengambil kesempatan dan menyulitkan lagi keadaan.

"Nama saya Fuad. Rumah saya depan simpang jalan tu. Kalau Cik tak keberatan, Cik boleh ikut
saya ke rumah. Jangan risau, ummi dan walid orang baik-baik. Saya pun orang baik-baik juga.
Jomlah..kalau tak mahu naik motor buruk saya ni, kita jalan kaki..depan tu saja. Kereta Cik ni nanti saya
call bengkel minta mereka datang ambil." Ahmad Fuad terus bersuara. Dia masih belum berputus asa
untuk membantu. Melihat keadaan wanita anggun di depannya ini, dia jadi simpati. Mungkin bukan
orang kampung ini. Fuad kenal semua orang kampungnya.

"I tak menyusahkan U ke? I rasa..I, err ada tak homestay di sini? Kalau..er..kalau boleh I tak
nak susahkan sesiapa.." Aledya berkata dalam keadaan serba salah. Dalam masa yang sama dia juga
masih sangsi dengan kebaikan yang ingin dihulurkan.

"Homestay ada di pekan sana. Tiga kilometer juga kalau nak keluar ke pekan. Tapi..saya
cuma ada motor ni saja, kalau Cik nak, saya boleh tolong hantarkan."
"Tapi.." Aledya tak jadi menyambung kata, dia memerhatikan keadaan sekeliling. Rumah
penduduk sangat jarang. Di kiri kanan jalan penuh dengan semak samun, seolah-olah kampung terbiar.
Macam mana mereka boleh tinggal dalam kampung macam ni? Hati Aledya mengomel sendiri.

"Cik jangan risau..kami bukan orang jahat tapi di kampung ini memang tak ramai orang.
Anak-anak muda semuanya keluar bekerja di bandar, tinggal warga emas saja yang masih setia, itu pun
sebahagiannya sudah dipanggil Ilahi." Fuad tersenyum seolah-olah dia memahami apa yang sedang
difikirkan Aledya.

"Oh.." sepatah kata yang keluar daripada bibir comel Aledya.

"Jomlah..ikut saya, depan tu saja. Lagi pun, hari dah nak gelap, sekejap lagi dah senja. Takkan
Cik nak tinggal di sini sorang-sorang? Keras tempat ni Cik. Nampak tak rumah kosong dalam semak tu?
Belakang tu ada kubur lama." Fuad berkata lagi sambil menudingkan jarinya ke kiri jalan. Bibirnya
mengulum senyum melihat riak wajah Aledya yang bertukar cemas.

***********

USTAZAH Maryam memerhatikan wanita yang dibawa oleh anak lelakinya ke rumah mereka
dengan wajah serius. Diperhatikan pakaian wanita itu atas dan bawah. Baju blaus berwarna biru muda
dengan kain skirt labuh berwarna putih. Bajunya tidak ketat dan tidak longgar namun mengikut bentuk
tubuh. Tudungnya fesyen terbaru dengan lilitan di leher dan disemat dengan pin cantik berbatu di atas
kepala.

"Mak cik.." Aledya menghulurkan tangan untuk bersalam. Lama juga ustazah Maryam berjeda
sebelum menyambut tangan Aledya yang selembut kapas.

"Maaf..kalau Ledya menganggu, kereta Ledya terbabas depan tu tadi, Ledya tak tahu nak ke
mana. Ledya datang cari saudara di kampung ni, tapi dia dah pindah. Sebab dah terlambat, Ledya bawa
laju..tapi.." Aledya serba salah untuk terus bercerita bila melihat wajah ustazah Maryam yang seolah-
olah tidak berminat untuk mendengar ceritanya.

"Tak apalah..dah datang pun. Maghrib dah ni..nanti bolehlah kita solat jemaah sekali. Nak
ikut kami ke surau tak? Depan tu saja tapi kena jalan kaki la..kereta walidnya dah bawa, dia pergi
ceramah di kampung sebelah." Aledya terkelu lidah. Allah..ketika dia sedang bercuti inilah diajaknya
solat. Nak tolak nanti dikatanya tak nak solat. Nak berterus terang, malu pula.

"Ledya tak bawa telekung mak cik, semua pergi solat di surau ke?" Aledya memberi jawapan
mudah yang sengaja direkanya, padahal telekung sentiasa dibawa bersama, terutamanya bila dia
berjalan jauh.

"Solat tu, kan wajib..tiang agama, habis tu zohor dan asar tadi tak solatlah?" buntu terus
fikiran Adelya. Jawapan apa yang harus diberi?

"Tak apalah..kalau macam tu, tinggallah ye..anak perempuan mak cik ada, dia boleh
temankan. Kebetulan dia cuti solat, kalau tak memang semuanya diwajibkan pergi solat berjemaah di
surau. Nak kutip pahala, bila lagikan..selagi kita hidup ni la nak kutip pahala, dah mati nanti, terlambat
dah." ustazah Maryam menyambung kata, sinis nada suaranya sambil berlalu dengan telekung yang
sudah disarungkan ke tubuh.

"Cik tinggallah ya, buat macam rumah sendiri. Ila..layan kakak ni ya, buatkan air dan makan-
makan. Tetamu tu sumber rezeki." Fuad yang baru keluar dari bilik berkata mesra sambil menyarungkan
songkok di kepala. Dia sudah menukar baju dengan mengenakan baju melayu dan kain pelikat.
Wajahnya nampak berseri-seri bila dia tersenyum. Sejuk hati Aledya yang kepanasan sebentar tadi.

"Akak..silalah duduk. Maafkan ummi ya kak. Ummi tu mulut saja pedas sikit tapi hati dia baik.
Ummi sebenarnya anti sikit kalau tengok pakaian macam ni. Akak fahamlah, kan orang-orang tua ni
bukannya faham sangat dengan fesyen orang muda sekarang. Ila pun teringin nak pakai macam akak,
tapi di kampung ni payahlah sikit.." panjang berjela Delaila berkata. Sejak tadi lagi dia sudah
memerhatikan penampilan Aledya. Dia kagum dan rasa terpesona apatah lagi melihat kulit Aledya yang
putih mulus.

"Tak apa..akak okey. Berapa orang tinggal dalam rumah ni?" Aledya membalas sambil
tersenyum manis.

"Empat orang, walid, ummi, abang Fuad dan Ila jer. Akak dari mana? Macam mana boleh
datang sini?"

"Akak dari KL, ada hal datang sini.."


"Ehh..kejap ya kak..Ila ke dapur dulu. Kesian akak, mungkin dahaga ke?"

"Tak perlu susah-susahlah dik, akak okey ja ni. Bengkel dekat tak dik?"

"Bengkel?"

Anda mungkin juga menyukai