Anda di halaman 1dari 4

Sempadan kebebasan bersuara

Oleh Datuk Dr Ismail Ibrahim

Share

Tweet

DI dalam ajaran Islam, setiap kebebasan mempunyai batas dan hadnya yang tertentu. Hak bersuara
umpamanya bukan diberikan tanpa sempadan sehingga semua orang boleh berbicara apa sahaja yang
mereka mahu tanpa mempunyai prinsip dan asas tertentu.

Medan terbaru dimasuki manusia moden pada hari ini ialah medan teknologi dan komunikasi maklumat
yang dipergunakan dengan seluas-luasnya oleh mereka untuk mencari keuntungan kebendaan seperti
berdagang dan berniaga, termasuk memperniagakan bahan lucah dan tidak bermoral.

Laman baharu ini juga dimasuki oleh orang yang ingin memberi pandangan dan pendapat peribadi
mengenai agama, politik dan sosial sehingga pandangan hal ini menjadi terlalu banyak disebarkan ke
seluruh dunia tanpa sempadan ini.

Dalam kalangan masyarakat Islam sendiri hal ini menjadi duri dalam daging yang amat menyakitkan.
Dalam sejarah kebebasan bersuara di dalam negara Islam umpamanya, ada kes dilakukan penganut
Islam sendiri dalam memanisfestasi kebebasan ini.

Novel karya Salman Rushdie The Satanic Verses (1988) menimbulkan kontroversi dan menggemparkan
masyarakat Islam, sehingga pengarang dan buku ini mencetuskan banyak krisis dalam dunia Islam dan
dalam kalangan penganut Islam.

Pejuang kebebasan wanita Bangladesh, Taslima Nasrin menurut jejak langkah Salman Rushdie ketika
menerbitkan tulisan dan bukunya yang banyak mengemukakan pemikirannya yang amat sinikal
mengenai kitab suci al-Quran dan undang-undang syariah.
Mereka 'dihukum' oleh fatwa, antaranya oleh pemimpin Iran, manakala ulama Bangladesh sendiri dalam
kes Taslima Nasrin menggelarnya murtad dan 'kufur' yang seharusnya menerima hukuman mati. Malah,
dalam demonstrasi besar-besaran di dalam dunia Islam, ramai pula tercedera dan mati kerana
bertempur dengan pasukan keselamatan.

Fatwa yang dikeluarkan dan reaksi penunjuk perasaan membantah perlakuan penulis Islam itu, berlaku
penuh ledakan emosi dan sentimen yang menjustifikasi perbuatan ganas mereka sendiri. Perasaan
marah yang ditunjukkan dan tindakan keras yang dilakukan adalah reaksi umum yang menganggap
penulis mempersenda ajaran Islam dan dengan itu mereka, termasuk dalam golongan yang terkeluar
daripada agama.

Dalam situasi inilah anggota masyarakat Islam harus ada hikmah dan pandangan lebih bijaksana, sama
ada untuk bersuara atas dasar kebebasan dan hak asasi manusia atau memberi reaksi terhadap anggota
masyarakat Islam atau bukan Islam yang cuba menyatakan sesuatu pandangan mengenai Islam.

Masyarakat Islam di Malaysia sendiri pernah dikejutkan penulis Nora Marzuki suatu ketika dahulu
dengan komennya mengenai tudung wanita yang dirasakan agak menyentuh hukum agama, terutama
apabila ditulis secara senda gurau sebagai bahan ketawa.

Tetapi masyarakat Islam di negara kita nampaknya lebih rasional dan berhikmah dalam menilai tulisan
seperti ini, lalu tidaklah timbul 'fatwa' keras seperti dilontarkan kepada dua penulis di atas dan umat
Islam di sini tidaklah berdemonstrasi membantah tulisan itu yang lebih berbentuk emosi dan sebagainya.

Bagaimana pun keghairahan penulis dan penggiat media dan seni terdiri daripada orang Islam sendiri
yang mentafsir ajaran agama secara negatif amatlah merugikan masyarakat Islam. Segala pentafsiran
negatif itu mungkin mendorong dan menggalakkan orang bukan Islam yang menaruh permusuhan
kepada Islam untuk melahirkan rasa permusuhan mereka kepada umat dan agama Islam melalui hak
dan kebebasan bersuara ini.

Persenda nilai ajaran agama


Kita dapat melihat banyak sekali lahirnya laman web, buku tertentu, risalah, lukisan kartun, karikatur
dan komen dalam portal media baharu yang dikeluarkan bertujuan memburuk-burukkan ajaran Islam di
samping lawak jenaka mempersendakan nilai ajaran agama.

Mungkin ramai juga tahu wujudnya filem yang cuba menceritakan secara menyeleweng tentang Nabi Isa
AS, iaitu tentang kehidupan seks Baginda seperti filem The Last Temptation of Christ tidak lama dahulu.

Kita sebenarnya berasa amat tersinggung sekiranya hak asasi ini dipergunakan oleh sesiapa sahaja untuk
memberi imej negatif terhadap umat Islam seperti yang banyak berlaku di media Barat. Malah, kita juga
tersinggung dengan penampilan program TV yang terlalu banyak menonjolkan nilai permisif dalam
hubungan lelaki wanita, minuman keras, perjudian dan sebagainya.

Guna kebebasan

Seperti yang diterangkan di atas bahawa di dalam dunia moden dengan sistem teknologi maklumat dan
komunikasi yang canggih ini kebebasan tersebut akan dipergunakan dengan seluas-luasnya tanpa
tapisan dan sempadan. Malah, seperti yang dapat kita saksikan rakyat kita sendiri telah menggunakan
teknologi ini dengan segala kebebasannya menyebarkan maklumat sama ada betul atau palsu, cerita
tentang orang dalam bentuk tohmahan atau fitnah, mengeluarkan fatwa tertentu dan sebagainya
sehingga laman seperti ini menjadi amat eksklusif dan diminati.

Oleh itu, dalam menangani hal ini nampaknya hanya akal budi dan ilmu berasaskan agama dan nilai
moralnya yang akan dapat menjadi panduan bagi manusia melawan kehendak hati berasaskan
kebebasan mutlak hukuman manusia itu.

Oleh itu, Islam mengehadkan kebebasan ini dalam berbagai-bagai bidang. Makan dan pakailah dengan
bebas, tetapi hal ini tertakluk kepada sistem dan peraturan tertentu.

Berkahwin dan berketurunan, juga tertakluk kepada ajaran tertentu. Demikian juga dalam perkara lain
termasuk menulis, menyanyi, berlakon, berbicara atau bercakap, semuanya tertakluk kepada nilai-nilai
ditentukan oleh agama.
Ayat 135 dari surah An-Nisa' menjelaskan dua asas penting kehidupan, termasuk ketika melaksanakan
segala hak asasi manusia. Dua perkara itu ialah kebenaran dan keadilan iaitu prinsip wasatiyyah
berdasarkan prinsip ajaran Islam yang sebenar, bukan kebenaran dan keadilan iomong-omongkan oleh
orang yang tidak berilmu atau berdasarkan emosi dan sentimen tertentu.

Penulis ialah Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

Anda mungkin juga menyukai