Anda di halaman 1dari 5

1.

Pengenalan
Remaja ialah peringkat peralihan dari alam kanak-kanak ke alam kedewasaan. Alam remaja amat mencabar
dan penuh cabaran di mana remaja mengalami pelbagai perubahan fizikal, intelek dan emosi yang boleh
menimbulkan konflik di dalam diri dan persekitarannya. Menurut WHO (World Health Organisation),
peringkat remaja adalah di antara umur 12 – 24 tahun.

1. Akil Baligh
Akil baligh menandakan kematangan seksual dan reproduktif seseorang itu. Maknanya seseorang itu sudah
berupaya mempunyai anak. Remaja perempuan selalunya lebih cepat baligh berbanding lelaki  sekitar purata
usia antara 12-13 tahun, namun ini tidak bermakna tahap kematangannya lebih tinggi. Cara didikan, ilmu
dan pengalaman serta personaliti menentukan tahap kematangan seseorang itu.

1. Umur

Umur akil baligh bagi lelaki dan perempuan adalah antara 9-16 tahun. Namun ada yang awal dan ada pula
yang lewat. Perbezaan ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti keturunan, nutrisi, bahan kimia dalam
makanan dan persekitaran.

1. Ciri-ciri Akil Baligh Remaja Perempuan

Tanda Akil Baligh bagi gadis ialah keluarnya darah haid yang pertama. Haid menunjukkan seseorang gadis
remaja itu subur dan organ pembiakannya telah mula berfungsi. Haid pertama biasanya sedikit sahaja dan
berlangsung untuk tiga hingga tujuh hari dengan kekerapan sekali setiap bulan.

Kadar pembesaran dan perubahan adalah berbeza antara lelaki dan perempuan. Bahkan kadar pembesaran
adalah berbeza-beza antara seseorang gadis dengan gadis yang lain. Perubahan ini berlaku akibat tindakan
hormon dalam badan. Hormon wanita iaitu progesteron dan estrogen akan dikeluarkan apabila baligh
mengakibatkan pertumbuhan payudara dan bentuk badan akan berubah.

Remaja perempuan akan mulai menghasilkan ovum (telur) dan mengalami kitaran haid.

Berikut adalah antara perkembangan fizikal remaja perempuan :

 Buah dada (payudara) mula membesar.


 Bulu tumbuh di bahagian ketiak dan bahagian ari-ari.
 Punggung melebar menunjukkan ciri–ciri kewanitaan
 Jerawat mula tumbuh dan kulit muka berminyak.
 Rambut lebih berminyak dan perlu disyampu lebih kerap.
 Bau badan mula berubah.
Kadangkala walaupun tidak nampak perubahan fizikal luaran yang ketara, sebenarnya gadis remaja sedang
menjalani perubahan dalaman yang lain.

1. Perubahan Emosi dan Psikologi

Seiring dengan perubahan fizikal akan berlaku juga perubahan emosi dan psikologi. Menginjak usia remaja,
gadis remaja akan :

 Mula tertarik dan meminati kepada individu berlainan jantina khususnya kaum lelaki. Perasaan ini
adalah normal dan merupakan sebahagian daripada proses kematangan. Oleh itu, anak gadis perlu tahu
menjaga kehormatan diri dan batas-batas pergaulan sosial agar tidak terjebak dengan gejala sosial seperti
hamil luar nikah dan bohsia.
 Mengalami perubahan emosi yang tidak menentu akibat perubahan horman yang dialaminya.
Kadangkala gadis remaja sendiri tidak memahami emosi mereka sendiri. Keengganan mendengar nasihat,
merungut atau menangis tanpa sebab adalah antara kerenah anak remaja pada peringkat kehidupan awal
akil baligh ini.
 Mengalami Krisis Identiti: Remaja mempunyai banyak persoalan dan mencari-cari jawapan kepada
pelbagai persoalan kehidupan. Contohnya: “Siapa aku sebenarnya?”, “Selepas persekolahan apa yang aku
boleh buat?” Selalunya persoalan ini akan dijawab oleh remaja sendiri melalui tafsiran dan pemahaman
sendiri melalui perbincangan dengan rakan sebaya atau pencarian di internet.
 Ingin berdikari dan memikul tanggungjawab sendiri. Ada remaja yang akan memberontak inginkan
kebebasan daripada kawalan ibu bapa.
 Ingin mencuba perkara-perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Perasaan ingin tahu
membuak-buak jika tidak dibimbing.
Penerimaan rakan sebaya adalah penting. Remaja inginkan perhatian dan rasa diterima oleh orang sekeling
terutamanya rakan sebaya. Mereka akan mudah terpengaruh dengan persekitaran. Oleh itu, pilihlah rakan
yang baik akhlaknya.

1. Persediaan Ibu bapa Menghadapi Anak Remaja

Ibu bapa sering menghadapi cabaran dalam mendidik anak-anak remaja terutamanya anak gadis. Hal ini
demikian kerana mereka terperangkap antara zaman kanak-kanak dan zaman dewasa. Oleh itu, kadangkala
kita melihat tingkah laku anak remaja ini seperti orang dewasa berfikiran matang dan dalam keadaan lain
pula, mereka bersikap keanak-anakan, mudah merajuk dan sebagainya. Ini menyebabkan ibu bapa sendiri
tidak pasti cara berinteraksi dengan anak-anak remaja ini sama ada mahu melayannya seperti dewasa atau
kanak-kanak.

Pendekatan sebagai sahabat atau rakan kepada anak remaja adalah paling sesuai pada peringkat anak remaja.
Jadilah pendengar yang baik kepada anak gadis dengan mendengar luahan hatinya walaupun apa yang
diceritakan itu perkara yang negatif atau sesuatu yang tidak sepatutnya. Kita boleh menegur dan
membimbing dengan cara yang berhikmah. Cuba elakkan berleter, memarahi dan menyoal siasat anak
remaja seperti polis atau hakim. Anak remaja memerlukan seseorang untuk mendengar luahan dan
pandangan mereka bukannya seseorang yang menghukum mereka. Apabila anak gadis berasa selesa
berkongsi cerita dengan ibu bapa, mereka akan lebih mudah merujuk kepada ibu bapa tentang pelbagai
soalan yang bermain di fikiran mereka seperti persoalan tentang seks dan kerisauan yang dialami. Anak
gadis juga akan lebih gemar meluangkan masa di rumah bersama keluarga berbanding melepak dengan
rakan-rakan di luar.

Ibu bapa kini juga perlu peka dengan perkembangan teknologi terkini dan belajar serba-sedikit
menggunakan aplikasi seperti facebook, twitter dan sebagainya agar dapat mengikuti dan memantau aktiviti
anak remaja mereka. Kadangkala anak remaja suka berahsia dan lebih selesa berkongsi dengan rakan atau di
laman sosial.

Berikut adalah beberapa saranan kepada ibu bapa untuk menghadapi anak remaja :

 Menjalin perhubungan yang mesra dengan anak dengan meluangkan masa berkualiti bersama
mereka.
 Menerapkan dan memupuk nilai-nilai murni dan kerohanian ke dalam diri anak remaja dengan
penuh kesabaran dan kasih sayang.
 Bersedia mendengar dan membimbing anak dalam hal-hal kesihatan reproduktif dan seksualiti.
Ramai ibu bapa yang masih tidak tahu dan malu untuk membincangkan isu ini.
 Mengajar batasan dalam pergaulan antara lelaki dan wanita serta menjaga keselamatan dan maruah
diri.
 Ketidakstabilan emosi mungkin sebahagian daripada proses akil baligh tetapi ini tidak bermakna
anak gadis remaja anda boleh melawan kata-kata anda.
 Apabila anak remaja mulai berasa diri telah dewasa, kemungkinan nasihat anda sudah tidak
diendahkan lagi. Jika anda membiarkan anak remaja ‘memijak kepala’ anda, tentulah sukar untuk
mendidiknya kelak.
 Buatlah keputusan terhadap apa yang dibenarkan dan dianggap munasabah untuk diri anda dan
anak. Pastikan keputusan yang dibuat adalah konsisten.
Peringkat akil baligh mungkin sesuatu yang baru untuk anak remaja anda tetapi ia sudah tentunya bukan satu
pengalaman luar biasa untuk anda. Anda sendiri telah pun melaluinya dan sekarang masanya anda
mengharunginya bersama anak remaja anda pula.

1. Persediaan Remaja Perempuan Menghadapi Akil Baligh

Bagi gadis remaja, kedatangan haid pertama adalah peristiwa yang amat penting dan kebiasaannya bukanlah
suatu pengalaman yang menggembirakan. Oleh itu, ilmu dan persediaan yang mencukupi boleh membantu
mengurangkan reaksi negatif seperti rasa takut dan terkejut terhadap pengalaman ini.

Masa remaja adalah fasa paling manis, dan juga peringkat timbulnya pelbagai konflik. Remaja akan mampu
mengatasi cabaran ini secara berbincang dan bertanya dengan :

 Ibu bapa. Ahli keluarga seperti kakak, makcik saudara.


 Rakan sebaya. Pilih rakan sebaya yang baik akhlaknya.
 Guru kaunseling, guru kelas atau orang dewasa yang boleh dipercayai.
Bimbingan keluarga, guru dan pendidikan sekolah dan agama adalah pedoman untuk gadis remaja menuju
ke arah masa depan yang cemerlang.

Ketika remaja, sokongan rakan sebaya amat penting. Oleh itu berkawanlah dengan mereka yang berakhlak
dan dapat membimbing anda ke arah kebaikan. Selain itu, anda juga perlu berinteraksi dengan keluarga dan
masyarakat agar dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi.

Sertailah program remaja di sekolah seperti Program PROSTAR, Pembimbing Rakan Sebaya dan Kelab
Doktor Muda ataupun yang dijalankan oleh masyarakat di persekitaran anda seperti Hari Belia dan
sebagainya.
Alam remaja anda akan lebih bermakna jika anda mempelajari dan memahami mengenai perubahan fizikal,
emosi, mental dan sosial semasa remaja. Hormati dan sayangilah diri serta tubuh badan anda.

Anda mungkin juga menyukai