Anda di halaman 1dari 6

YAMIN ISTIZHAR & YAMIN NAFI

UNDANG-UNDANG KETERANGAN ISLAM

SHA 5312

DR. ZULFAKAR RAMLEE

DSLP SEM 2/2020

NAMA NO MATRIK
NUR AMALINA BINTI MOHAMAD ROSLI G1816310

NUR AMIRAH SYAHIRAH BINTI ROSLI G1916236

NUR HAFIZAH BINTI NASIR G1911044


Al-Yamin atau sumpah merupakan salah satu daripada kaedah pembuktian yang
diamalkan di Mahkamah Syariah dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian. Al-Yamin dari
segi bahasa bermaksud kanan atau bahagian kanan. Menurut ulama’ fiqh, Al-Yamin
ditakrifkan sebagai “Suatu lafaz yang digunakan untuk menyatakan (mensabitkan) haknya
terhadap sesuatu perkara atau menafikan sesuatu perkara di hadapan hakim dengan menyebut
nama Allah S.W.T atau sifat-sifatNya1. Al-Yamin juga membawa maksud mengukuhkan
kata-kata yang tidak sabit kebenaran kandungannya dengan menyebut salah satu dari nama-
nama Allah S.W.T ataupun sifat-Nya2. Di dalam Amalan Sumpah Mahkamah Syariah
Malaysia 2006, sumpah bererti Sumpah Syarie iaiu “Suatu perkataan yang disertakan
dengannya nama Allah S.W.T atau sifat-sifatNya, dilafazkan untuk menegaskan atau
menafikan sesuatu hak atau fakta di dalam prosiding kehakiman”3. Di dalam Surah Al-
Maidah, dalil pensyariatan sumpah ada disebut yang bermaksud “Allah tidak menghukum
kamu disebabkan sumpah-sumpah mu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi dia
menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengajakan”4.

Al-Yamin atau sumpah mempunyai beberapa bahagian dan beberapa jenis. Sumpah
yang digunakan di dalam Mahkamah adalah termasuk Yamin Al-Istizhar atau Sumpah Al-
Istizhar. Sumpah Al-Istizahar merupakan sumpah yang dilaksanakan oleh Plaintiff atas
permintaan hakim untuk mengelakkan tohmahan terhadapnya. Sumpah Al-Istizhar ini
dilaksanakan selepas Plaintiff mengemukakan dalil dan keterangan yang diperlukan dalam
pendakwaanya. Di Mahkamah Syariah, sumpah Al-Istizhar paling banyak dilaksanakan yang
melibatkan kes-kes kekeluargaan seperti taklik, hadhanah, tuntutan nafkah dan
seumpamanya. Menurut Amalan Sumpah Mahkamah Syariah, Al-Yamin Al-Istizhar
merupakan sumpah yang dibuat oleh al-muda’ii atas perintah Hakim setelah memberikan
keterangan yang mencukupi dalam kes muda’i alaih yang ghaib atau mati atau kanak-kanak
yang belum baligh, atau al-safih (bodoh), atau al-mahjur (yang dihalang mentadbirkan
hartanya), majnun (gila) atau orang yang tidak sempurna akal.

Seperti di dalam kes Siti Zainab lwn Mohamed Ishak5, pihak Plaintif di dalam kes ini
membuat tuntutan cerai taklik dibawah Seksyen 126 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam,
Perak. Walaubagaimanapun, pihak Defenden tidak hadir pada hari perbicaraan kes tersebut
walaupun iklan di surat khabar telah dibuat dan surat berdaftar telah dikirim kepadanya.
Untuk menguatkan tuntutan dan dakwaan seperti yang tercatat dalam dokumen, pihak Plaintif
telah mengemukakan dua orang saksi dan pihak Plaintif juga telah melaksanakan sumpah Al-
Istizhar. Dengan keterangan oleh pihak Plaintif dan dua orang saksi baginya dan yang
menuntut (Plaintif) bersumpah Yamin al-Istizhar, maka tuntutan Plaintif diterima dan
disahkan.

Yamin istizhar adalah bentuk sumpah ini yang paling kerap digunakan dalam
menyelesaikan sesuatu pertikaian di mahkamah Syariah. Dalam kes yamin istizhar,

1
Zuhaili, Wahbah. 1997. 8:6064
2
Al-Mahdani, 1984. 1:178
3
Arahan Amalan No.2, 2006(Amalan Sumpah Mahkamah Syariah)
4
Al- Maidah: 5:89
5
1982 2 JH 323
mahkamah akan meneliti segala keterangan yang diberikan oleh Plaintif dan saksi tanpa
kehadiran Defendan, dalam isu ini mahkamah akan memastikan segala prosedur
penyampaian saman kepada Defendan dapat disempurnakan. Maka, sebelum mahkamah
membacakan keputusan, mahkamah akan menawarkan kepada Plaintif untuk bersumpah
yamin istizhar selaras dengan Arahan Amalan No 1 tahun 2006. Ianya penting bagi menolak
segala tohmahan terhadap diri dan segala keterangannya sebagaimana yang diperuntukkan
dalam Seksyen 121(1)(b) dan (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri
Selangor) 2003. 6 Dalam akta ini, Mahkamah sebelum membuat apa-apa penghakiman
mengenai tuntutan plaintif dan tuntutan balas Defendan akan mengarahkan plaintif atau
defendan, mengikut mana-mana yang berkenaan, mengangkat sumpah istizhar.

Antara contoh lain yamin istizhar ialah dalam kes Azizah bt Ibrahim v Sufian bin Che
Mud 7dimana Plaintif hanya menuntut supaya anak tersebut diberikan hak jagaannya sebagai
ibu kandung. Defendan pada tuntuan ini berjalan tidak dapat diketahui berada di mana. Pada
awalnya kes ini dirujuk ke Majlis Sulh yang mana Defendan gagal menghadirkan diri pada
kedua-dua tarikh yang ditetapkan. Mahkamah telah memerintahkan agar saman dan
pernyataan tuntutan diserahkan kepada responden secara penyampaian ganti dengan
mengiklankan kedua-duanya di dalam salah satu akhbar tempatan berbahasa Melayu kerana
serahan kediri gagal dan sepanjang tempoh perbicaraan Defendan gagal hadir ke mahkamah.
Seksyen 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 20018
memperuntukkan apabila Defendan tidak hadir, mahkamah boleh (setelah dibuktikan saman
di sempurnakan mengikut hukum syarak) membicara dan memutuskan kes itu semasa
ketidakhadirannya. Dengan syarat Plaintif hendaklah mengangkat sumpah yamin istizhar.
Dalam kes ini, Mahkamah mendapati tidak ada sebab atau keadaan yang menyebabkan
Plaintif hilang kelayakan sebagai seorang haadinah dan meluluskan tuntutan hak jagaan anak
diletakkan di bawah jagaan Plaintif.

Selain yamin istizhar, terdapat jugak yamin yang diambil oleh Defendan untuk
menafikan tuntutan yang dibuat oleh Plaintif ke atas Defendan iaitu yamin Nafi . Berdasarkan
kepada Surah Al-Maidah ayat 89, yang bermaksud, “kamu tidak dikira salah oleh Allah
tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu
dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-
sungguh…”, ia jelas menerangkan bahawa sumpah tidak boleh digunakan dalam mahkamah
dengan sewenang-wenangnya. Oleh itu, mahkamah perlu mengingatkan Defendan untuk
berhati-hati sebelum melafazkan sumpah kerana Allah melaknat orang yang berdusta di
dalam sumpah.

Rasulullah SAW telah mengingatkan sumpah tidak boleh dibuat sekadar untuk
mendapat sesuatu hak seperti yang dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibn
Abbas ra bahawa Nabi SAW bersabda: “Kalaulah manusia itu diberikan (hak yang
dituntutinya) dengan semata-mata dakwaan mereka nescaya terdapat sebahagian manusia

6
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
7
[2012] 4 SHLR 1
8
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001
akan mendakwa kes-kes yang berkaitan dengan darah dan harta ke atas orang lain, tetapi al-
Yamin (sumpah) adalah dikenakan ke atas orang yang kena dakwa (Defendan).”
Selain itu, Akta dan Enakmen-enakmen Keterangan Mahkamah Syariah di Malaysia
telah memperuntukkan bahawa pihak yang menafikan sesuatu tuntutan hendaklah
mengangkat sumpah. Menurut Seksyen 72 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-
wilayah Persekutuan) 19979, beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal
terletak pada orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-mudda’ii) dan orang
yang mengangkat sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-muda’a
‘alaih). Seksyen 87(1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan)
199710 memperuntukkan bahawa sekiranya Defendan menafikan tuntutan terhadapnya, dia
hendaklah mengangkat sumpah mengikut hukum Syarak.
Kesan sumpah oleh Defendan diperuntukkan di dalam Seksyen 87(2) Akta
Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 iaitu tuntutan yang
dibuat oleh Plaintif adalah ditolak. Pendapat jumhur mengatakan bahawa jika Defendan
mengambil sumpah, kes Plaintif akan tertolak. Walaubagaimanapun, aplikasi prinsip ini di
Malaysia adalah sekiranya keterangan oleh pihak Plaintif tidak mencukupi untuk menyokong
tuntutannya, barulah pihak Defendan diminta untuk mengangkat sumpah. Dan, jika Defendan
sanggup untuk mengambil sumpah, barulah kes Plaintif akan ditolak. Ini dapat dilihat melalui
beberapa kes seperti Sosilawati bt Lawiya v Jamaluddin bin Elias (NASH)11. Setelah
Mahkamah mendapati bahawa keterangan Plaintif yang hanya disokong oleh seorang saksi
tidak mencukupi bagi dakwaan Plaintif. Oleh itu, Mahkamah telah memberi peluang kepada
Defendan untuk melafazkan sumpah syarie bagi menafikan dakwaan Plaintif dan tuntutan
Plaintif telah ditolak.
Berdasarkan rujukan kepada kitab-kitab fekah, ulama’ berpendapat bahawa sumpah
untuk menafikan tuntutan Plaintif oleh Defendan hanyalah boleh dibuat apabila dituntut oleh
Plaintif setelah Plaintif selesai memberikan keterangan di mahkamah. Menurut Kitab
Raudatul al-Tolibin, sumpah Defendan ialah apabila dituntut oleh Plaintif. Dr Abdul Karim
Zaidan turut mempunyai pendapat yang sama, dalam Nizamal-Qoda’ Fi al-Syariah al-
Islamiyah menyatakan sumpah nafi oleh Defendan hendaklah dituntut oleh Plaintif. Di dalam
Majallah Ahkam juga telah memperuntukkan beberapa syarat sumpah bagi pihak yang kena
dakwa (Defendan) antaranya, hendaklah pendakwa (Plaintif) meminta supaya pihak yang
kena dakwa (Defendan) bersumpah, tanpa permintaan pendakwa (plantif), sumpah tidak
dikuatkuasa.
Ini jelas menunjukkan bahawa Defendan hanya boleh bersumpah jika diminta atau
dituntut oleh pihak Plaintif untuk bersumpah setelah Plaintif selesai memberi keterangannya
di mahkamah. Jika sumpah tidak dituntut oleh pihak Plaintif, mahkamah tidak boleh
memaksa Defendan bersumpah.
Peraturan 8 dalam Arahan Amalan No 2 Tahun 2006 — Amalan Sumpah Mahkamah
Syariah telah menggariskan dengan jelas mengenai sumpah nafi oleh Defendan. Mudda’a
9
Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997
10
Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997
11
[2010] 4 ShLR 185
‘alaih (Defendan) perlu bersumpah dengan kebenaran Hakim dalam tiga keadaan iaitu
apabila muddaa’ii (Plaintif) gagal mengemukakan keterangan, apabila mudda’a ‘alaih
(Defendan) menafikan tuntutan muddaa’ii (Plaintif) dan apabila muddaa’ii (Plaintif)
menuntut mudda’a ‘alaih (Defendan) bersumpah atas penafiannya.
Jika Defendan enggan mengambil sumpah (nukul al-yamin) walaupun telah diarahkan
oleh hakim, terdapat 3 pendapat oleh para ulama’ samada mudda’a alaih (Defendan) boleh
dihukum berdasarkan keengganan bersumpah. Pertama, menurut pendapat jumhur, Defendan
tidak boleh dihukum sebaliknya sumpah (hak sumpah) itu hendaklah dikembalikan kepada
Plaintif. Manakala, menurut pendapat mazhab Hanafi, keengganan bersumpah dikira sebagai
mengakui dakwaan mudda’ii (Plaintif). Menurut mazhab Zahiri pula, mudda’a alaih
(Defendan) akan dipaksa untuk mengambil sumpah nafi namun jika Defendan masih enggan
bersumpah, hendaklah dipenjarakan sehinggalah dia bersumpah atau iqrar.
Seksyen 87(2)(b) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah
Persekutuan) 1997 12memperuntukkan bahawa sekiranya Defendan enggan mengangkat
sumpah setelah diminta oleh Plaintif, Mahkamah boleh meminta Plaintif mengangkat sumpah
dan dengan sumpah itu, tuntutan Plaintif hendaklah diterima.
Mahkamah membincangkan isu yamin nafi di dalam kes Jaiton Bee @ Zaitun Bee bt
Mohd Yaacob v Mohd Taha Bin Wan Ahmad13, iaitu isu tuntutan mutah dimana Defendan
bersumpah yamin nafi berkenaan pendapatannya yang didakwa sebanyak RM10,000 sebulan.
Dalam membincangkan penentuan kadar mutah, apabila pihak Plaintif membuat sesuatu
tuntutan, maka Plaintif hendaklah memikul beban membuktikan kes tuntutannya dengan
membawa bukti-bukti yang berkaitan sehingga meyakinkan pihak mahkamah selaras dengan
Seksyen 72 Enakmen Keterangan Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 200314.
Seksyen 7315 memperuntukkan apabila seseorang terikat untuk membuktikan apa-apa fakta,
maka beban terletak pada orang tersebut. Plaintif mendakwa Defendan mempunyai
pendapatan yang tinggi kerana Defendan adalah seorang doktor yang mempunyai klinik
sendiri dan ketika penceraian Defendan mempunyai pendapatan sebanyak RM10,000
Manakala, Defendan mendakwa pendapatan beliau hanya kurang RM500 sahaja kerana
Defendan kerap keluar masuk hospital setelah menjalani pembedahan jantung yang
menyebabkan pendapatan klinik Defendan merosot. Dalam kes ini, Plaintif sebagai orang
yang mendakwa telah gagal membuktikan pendapatan bulanan Defendan secara jelas.
Mahkamah beranggapan bahawa adalah sukar untuk mahkamah memutuskan kes ini semata-
mata hanya berdasarkan dakwaan Plaintif tanpa ada keterangan yang meyakinkan mahkamah.
Oleh itu, kaedah terakhir perlu diguna pakai di dalam kes ini iaitu melalui kaedah sumpah.
Oleh kerana Defendan bersumpah, mahkamah menerima dakwaan Defendan dan
memerintahkan Defendan membayar RM2,000 sebagai bayaran mutah dan sagu hati
penceraian. Jelaslah disini bahawa apa yang diputuskan oleh Y.A. Hakim-hakim memberi
keadilan kepada kedua-dua belah pihak. Suami tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan
tanggungjawab yang diamanahkan terhadap isteri-isterinya sebagaimana yang telah
12
Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997
13
[2016] 4 SHLR
14
Enakmen Keterangan Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003
15
Enakmen Keterangan Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003
ditentukan oleh Allah s.w.t sama ada semasa perkahwinan mahupun selepas berlakunya
penceraian.
Tuntasnya, sumpah juga merupakan salah satu kaedah pensabitan yang digunakan
dalam Undang-undang Keterangan Islam. Sumpah digunakan untuk menolak dakwaan atau
menafikan sesuatu tuduhan. Ia juga merupakan alternatif terakhir apabila pihak tertentu gagal
untuk mengemukakan bukti atau keterangan-keterangan lain melalui iqrar, syahadah dan
qarinah misalnya. Sumpah sebagai kaedah pembuktian hanya terpakai di dalam kes mal dan
ianya tidak boleh diterima di dalam kes jenayah seperti kes liwat, zina, qazaf dan sebagainya.
Kesimpulannya, sumpah yang boleh diterima pakai untuk sabitan kes adalah sumpah yang
dibuat di mahkamah dan menurut syarat-syarat yang ditetapkan.

Anda mungkin juga menyukai