Anda di halaman 1dari 9

DI DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI SHAH ALAM

DI NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN


SAMAN NO: :10002-014-2265 TAHUN 2019

ANTARA

NOOR HASLINA BINTI MOHAMMED NOH


(NO. K/P: 841204-10-6150) PLAINTIF

DENGAN

MOHD REZAL BIN ZAINAL


(NO. K/P: 840721-10-5883) DEFENDAN

PENYATA KETERANGAN UTAMA DEFENDAN

Saya, MOHD REZAL BIN ZAINAL (NO. K/P: 840721-10-5883) seorang warganegara
Malaysia yang cukup umur dan beralamat No.41 Jalan Persiaran, 47200 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan dengan sesungguhnya menyatakan seperti berikut:

1.S: Sila nyatakan nama dan nombor kad pengenalan kamu?


J: Nama saya MOHD REZAL BIN ZAINAL (NO. K/P: 840721-10-5883). Sesalinan kad
pengenalan diri saya dilampirkan di sini dan ditandakan sebagai ekshibit “MRZ-1”.

2.S: Adakah semua yang akan kamu nyatakan selepas ini adalah benar, tiada yang
tidak benar melainkan benar belaka?
J: Semua fakta-fakta yang dideposkan di sini adalah benar dan diperolehi daripada
pengetahuan saya sendiri dan/atau daripada rekod-rekod dan dokumen-dokumen
yang berada di dalam milikan saya melainkan dinyatakan sebaliknya.

3.S: Boleh beritahu Mahkamah apakah pekerjaan kamu dan di mana kamu bekerja
sekarang?
J: Saya bekerja sebagai Pengurus Pemasaran di Mydin Mohamed Holdings Berhad.
Selain itu, saya dan isteri turut menjalankan bisnes sampingan menjual barangan
keperluan haji dan umrah secara dalam talian.

1
4.S: Di manakah tempat tinggal kamu sekarang?
J: Saya mempunyai alamat tetap di No.41 Jalan Persiaran, 47200 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan iaitu rumah bapa saya. Saya pindah ke Melaka sejak 1 April
2019 selepas diarahkan bertukar khidmat ke Mydin Mall Alor Gajah dan akan
berkhidmat selama 3 tahun sehingga April 2022. Namun pada cuti hujung minggu
saya akan berada di rumah bapa.

5.S: Sila maklumkan Mahkamah tujuan kamu hadir ke Mahkamah?


J: Saya adalah Defendan yang dinamakan di dalam kes ini dan saya hadir bagi
menjawab tuntutan Plaintif yang dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan Plaintif.

6.S: Adakah kamu mengenali Plaintif yang dinamakan di dalam tindakan ini?
J: Plaintif, NOOR HASLINA BINTI MOHAMMED NOH (NO. K/P.: 841204-10-6150)
adalah isteri saya yang sah menurut hukum syarak.

7.S: Bilakah kamu dan Plaintif bernikah?


J: Saya dan Plaintif bernikah pada 16hb Ogos 2009 dengan berwalikan bapa kandung
Plaintif.

8.S: Adakah kamu dikurniakan cahaya mata hasil perkahwinan dengan Plaintif?
J: Hasil perkahwinan saya dengan Plaintif, kami telah dikurniakan dengan dua (2)
orang cahaya mata iaitu:

No. Nama Tarikh Lahir

1 Akmal Haziq bin Mohd Rezal 11hb Februari 2004


2 Ain Nur Maisarah binti Mohd 13hb Jun 2002
Rezal

9.S: Adakah kamu mengetahui tuntutan Plaintif:


J: Ya. Plaintif menuntut untuk memfasakhkan atau membubarkan perkahwinan antara
Plaintif dengan saya.

10.S: Adakah kamu faham dan bersetuju dengan tuntutan Plaintif?


J: Saya faham namun saya tidak bersetuju dengan tuntutan Plaintif.

2
11.S: Sila nyatakan kepada mahkamah, mengapa kamu tidak bersetuju dengan
tuntutan Plaintif?
J: Saya tidak bersetuju kerana permasalahan di dalam rumah tangga kami bukanlah
berpunca dari kecuaian saya sebagaimana yang didakwa oleh Plaintif. Namun,
rumah tangga kami mengalami masalah berikutan sikap Plaintif yang tidak taat
kepada saya.

NAFKAH

12.S: Adakah anda menyediakan nafkah tempat tinggal untuk Plaintif?


Ya. Semenjak berkahwin kami tinggal di rumah sewa. Manakala mulai 1 April 2019
kami sebenarnya tidak perlu lagi tinggal di rumah sewa kerana pihak majikan saya
sudah menyediakan sebuah rumah sepanjang perkhidmatan saya di Melaka. Tetapi
Plaintif enggan mengikut saya berpindah.

13.S: Bagaimana cara anda menjelaskan bayaran rumah sewa?


J: Bayaran rumah sewa pula saya bayar melalui potongan gaji bagi setiap bulan.
Sejumlah RM 800.00 akan dimasukkan tiap-tiap bulan ke dalam akaun Bank
Simpanan Nasional Plaintif. Sesalinan penyata akaun bank CIMB Bank Berhad milik
saya bagi transaksi bulan 1 April 2018 sehingga 1 Mac 2019 dilampirkan dan
ditandakan sebagai “MRZ-2”.

14.S: Siapakah yang menanggung wang perbelanjaan sara hidup Plaintif dan anak-
anak?
J: Saya yang memberikan wang perbelanjaan sara hidup kepada Plaintif. Pada awal
perkahwinan kami telah bersepakat bahawa saya akan mendapatkan duit untuk
diberikan kepada Plaintif, manakala Plaintif akan menguruskan kewangan rumah
tangga.

15.S: Bagaimanakah kaedah pembayaran wang perbelanjaan yang anda berikan


kepada Plaintif sebagai nafkah diri Plaintif dan anak-anak?
J: Wang perbelanjaan bulanan yang saya berikan kepada Plaintif adalah secara pukal
bagi setiap tahun yang ditolak dari syer keuntungan saya di dalam syarikat
perkongsian yang kami usahakan bersama-sama. Jumlah yang diberikan adalah
berbeza-beza mengikut kadar keuntungan yang diperolehi syarikat setiap tahun.

3
Keuntungan syarikat akan dibahagi-bahagikan pada tiap-tiap bulan Disember bagi
setiap tahun berakhir. Kemudian saya akan memasukkan sejumlah wang pukal
sebagai menjelaskan bayaran wang perbelanjaan diri Plaintif dan anak-anak pada
bulan Januari secara tahunan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera milik
Plaintif. Butiran pembayaran dibuat melalui akaun Malayan Banking Berhad milik
saya dibayar kepada Plaintif adalah seperti mana berikut:

Tarikh Jumlah Bayaran Pukal Nafkah Perbelanjaan Tahunan Kepada Plaintif


1/1/2017 RM15,000.00
1/1/2018 RM12,000.00
1/1/2019 RM18,000.00

Salinan-salinan slip bayaran Malayan Banking Berhad milik saya bagi transaksi
tahun 2017, 2018 dan 2019 dilampirkan dan ditandakan sebagai “MRZ-3”.

Setiap kali selepas memasukkan wang perbelanjaan nafkah diri Plaintif dan anak-
anak saya akan menghantar pesanan melalui aplikasi Whatsapp memaklumkan dan
mengamanahkan Plaintif menggunakan wang belanja tersebut untuk keperluan diri
Plaintif dan anak-anak dan menasihatkan Plaintif agar berjimat cermat terutama
apabila kadar untung bisnes berkurangan. Salinan transkrip perbualan di aplikasi
Whatsapp dilampirkan dan ditandakan sebagai “MRZ-4”.

16.S: Adakah Plaintif pernah merungut dan meminta anda menambah jumlah wang
yang telah anda beri?
J: Plaintif pernah meminta ditambah wang tetapi untuk tujuan membeli tas tangan
mewah dan berjenama Louis Vuitton. Saya menolak dan sebagai suami saya
memerintahkan Plaintif supaya berjimat cermat di dalam hal kewangan namun
Plaintif tetap boros.

17.S: Pernahkah Plaintif mengambil pinjaman peribadi bagi pihak anda?


J: Tidak. Pinjaman peribadi yang dibuat oleh Plaintif adalah untuk tujuan menyediakan
modal bagi kegunaan syarikat kami, Usaha Cinta Trading Sdn Bhd (23456-A), iaitu
sebuah syarikat perkongsian antara saya dan Plaintif. Plaintif membuat pinjaman
peribadi dengan Bank Simpanan Nasional kerana tidak cukup syarat untuk membuat
pinjaman perniagaan. Sesalinan Sijil Perakuan Pemerbadanan Syarikat Sendirian
bertarikh 30 Ogos 2011 dilampirkan dan ditandakan sebagai “MRZ-5”.

4
18.S: Bagaimana cara pinjaman peribadi tersebut dibayar?
J: Sebagaimana yang telah dipersetujui di dalam terma pada perenggan keenam
Perjanjian Persefahaman di antara kami bertarikh 30 Ogos 2011, bayaran ansuran
pinjaman peribadi kepada Bank Simpanan Nasional ditolak daripada akaun syarikat
tiap-tiap bulan sebagaimana yang telah dipersetujui menerusi perjanjian
persefahaman tersebut. Selepas itu barulah baki keuntungan dibahagi-bahagikan
sama rata pada kadar 50% Plaintif dan 50% Defendan. Sesalinan Perjanjian
Persefahaman bertarikh 30 Ogos 2011 dilampirkan dan ditandakan sebagai “MRZ-
6”.

DAKWAAN PLAINTIF MENGALAMI KECEDERAAN FIZIKAL DAN EMOSI

19.S: Adakah anda dan Plaintif pernah bertengkar sepanjang pernikahan anda
dengan Plaintif dan apakah puncanya?
J: Ya, terutamanya sejak kedudukan kewangan bisnes sampingan merosot dan apabila
saya mendapat tahu Plaintif menjalinkan hubungan sulit dengan guru lelaki yang
lebih muda. Kami juga berselisih faham apabila saya cuba menasihati sifat boros
Plaintif yang suka membeli barang di luar kemampuan saya, sedangkan saya telah
sediakan kewangan bagi keperluan asas diri Plaintif sahaja.

20.S: Pernahkah anda dan Plaintif cuba berdamai dan menyelesaikan masalah?
J: Saya mengajak berbincang dan ada cuba memberi penjelasan apabila Plaintif
mempersoalkan kewibawaan saya. Plaintif tidak memahami bahawa saya perlu
membahagikan masa antara kerja tetap dan kerja sampingan, dan keutamaan saya
adalah kerja tetap saya. Manakala keadaan ekonomi semasa yang tidak
memberangsangkan mengurangkan daya beli pengguna.

Saya cuba memberi penjelasan-penjelasan tersebut tetapi Plaintif bertindak


mencabar maruah saya sebagai suami Plaintif dengan memperlekehkan saya
sebagai suami yang lemah, bodoh dan tidak berkeupayaan dalam urus tadbir
perniagaan. Plaintif langsung tidak pernah menunjukkan rasa hormat dan sayangnya
kepada saya.

Apabila saya cuba cara lain iaitu memujuk Plaintif pula meronta-ronta dan menolak
saya dan katanya pelukan saya merimaskannya.

5
21.S: Apa yang berlaku semasa pertengkaran antara anda dengan Plaintif?
J: Plaintif memekik dan menjerit-jerit marahkan saya kerana tidak memahami
kemestian bergaya bagi menjaga ketrampilan fesyen seorang guru wanita.
Sebagai suami saya berharap Plaintif supaya bergaya seperti seorang muslimah
yang sederhana sahaja.

Dalam satu kejadian, Plaintif berang apabila saya tidak setuju memberikannya wang
tambahan sebanyak RM480.00 bagi beg tangan jenama Louis Vutton kerana pada
pendapat saya, beg tangannya yang sedia ada masih elok. Plaintif memberikan
alasan harga beg sudah diskaun 20% dari harga asal iaitu RM600.00 dan mesti
dimiliki segera.

Saya kekal tidak bersetuju dan Plaintif ingkar pendapat saya dan mengambil raket
badminton berwarna pink milik anak yang berada berhampiran dan menghayunkan
raket tersebut ke arah saya dengan geram. Saya menepis raket tersebut. Kejadian
berlaku sekelip mata dan saya hanya mempertahankan diri. Sesalinan gambar raket
badminton tersebut dilampirkan dan ditandakan sebagai “MRZ-7”

22.S: Pernahkah kamu mengasari Plaintif secara fizikal?


J: Saya tidak pernah menampar dengan tangan atau melakukan apa-apa jenis
kekasaran fizikal yang lain terhadap Plaintif sebaliknya sering menasihatinya agar
mengawal sikapnya yang tidak tahan sabar dan kuat mengamuk apabila
kehendaknya tidak dapat saya penuhi.

Sebaliknya dalam satu kejadian bulan Mac lepas, Plaintif cuba melepaskan geram
dengan memukul saya menggunakan kuali leper berwarna hitam. Salinan gambar
CCTV bertarikh 13 Mac 2019 menunjukkan aksi Plaintif menghayunkan kuali leper
tersebut ke arah muka saya dan saya cuba mempertahankan diri dilampirkan dan
ditandakan sebagai “MRZ-8”.

6
HUBUNGAN SULIT PLAINTIF

23.S: Bagaimanakah anda mendapat tahu Plaintif menjalinkan hubungan sulit di


belakang anda?
J: Saya lihat mesej cinta yang dihantarkan kepada Plaintif melalui aplikasi Whatsapp
oleh seorang guru lelaki yang membahasakan dirinya sebagai “Mr Sayang” dan saya
tidak tahu nama sebenarnya.

Kemudian saya minta pengesahan daripada adik Plaintif NOOR SYUHADA BINTI
MOHAMMED NOH (No. K/P: 860512-10-5417) yang mendedahkan bahawa
hubungan sudah terjalin agak lama sejak 3 tahun lalu tanpa pengetahuan saya
kerana saya seringkali bekerja di luar daerah. Salinan transkrip perbualan dengan
adik Plaintif melalui aplikasi Whatsapp dilampirkan dan ditandakan sebagai “MRZ-
9”.

24.S: Apakah tindakan anda selepas mendapat tahu tentang hubungan Plaintif
dengan guru tersebut?
J: Saya pergi berjumpa dengan guru lelaki tersebut di sekolah dan minta dia berpisah
dengan Plaintif dan berhenti menggangu rumah tangga kami.

25.S: Tahukah anda kenapa Plaintif mendapatkan rawatan psikiatri?


J: Plaintif alami kemurungan kerana saya memaksa guru lelaki tersebut berpisah
dengannya. Plaintif mengalami depresi teruk sehingga mengabaikan tanggungjawab
melayan saya dan anak-anak.

TUDUHAN MELARIKAN ANAK

26.S: Benarkah anda pernah membawa anak keluar dari rumah tanpa pengetahuan
Plaintif?
J: Tidak benar. Saya menyatakan hasrat kepada Plaintif tentang cadangan untuk
menebus kupon percutian yang saya dapat daripada majikan. Tetapi dia menolak
cadangan saya. Saya teruskan hasrat dan membawa anak-anak bercuti dari 22 Mac
2019 hingga 23 Mac 2019. Plaintif tahu saya bawa anak-anak ke Berjaya Tioman
Resort dalam tempoh tersebut. Selepas bercuti saya bawa anak-anak pulang ke
rumah semula. Salinan kupon percutian tersebut dilampirkan dan ditandakan
sebagai “MRZ-10”.

7
TUDUHAN TIDAK SOLAT DAN PUASA

27.S: Pernahkah anda tidak menunaikan solat dan tidak berpuasa Ramdhan?
J: Tidak benar. Saya menunaikan solat subuh di masjid berjemaah bersama jiran-jiran
kawasan rumah sewa manakala rutin solat-solat zohor dan asar di pejabat secara
berjemaah dengan rakan-rakan sekerja terutama rakan baik saya, AIDIL BIN AZIZ
(No.K/P:840502-10-5963).

Saya pernah meninggalkan puasa Ramadhan atas nasihat doktor kerana mengalami
kondisi “hyperacidity” kerana sakit perut gastrik dan saya telah menggantikan puasa
tersebut dalam bulan berikutnya.

PLAINTIF MENOLAK HUBUNGAN KELAMIN

28.S: Adakah kamu dan Plaintif masih menjalinkan hubungan kelamin?


J: Saya telah beberapa kali mengajak Plaintif untuk mengadakan hubungan kelamin
namun Plaintif protes dengan mengasingkan dirinya dari saya. Saya merasa
kesunyian kerana menempuh alam perkahwinan tanpa layanan batin dari isteri.

PLAINTIF KELUAR RUMAH TANPA IZIN

29.S: Bila Plantif bertindak keluar dari rumah kelamin?


J: Saya pulang ke rumah dari tempat kerja kerana saya perlu bekerja lebih masa pada
hari Ahad 31 Mac 2019 lebih kurang pukul 12.30 tengahari dan mendapati pakaian
isteri dan anak-anak telah tiada. Plaintif tidak meminta izin saya dan keluar secara
rahsia.

PLAINTIF ENGGAN IKUT BERPINDAH

30.S: Adakah kamu berpindah ke Melaka seperti yang dikehendaki oleh majikan?
J: Saya berpindah seorang diri ke rumah kelamin baru kami di Melaka tanpa isteri dan
anak-anak. Saya telah melapor diri ke Mydin Mall Alor Gajah pada 1 April 2019. Isteri
ingkar permintaan saya untuk berpindah.

8
31.S: Adakah Plaintif pernah memberi ruang kepada anda untuk memujuk Plaintif
pindah ke rumah baru?
J: Plaintif langsung tidak memberi ruang kepada saya untuk memujuk Plaintif. Malah
Plaintif tidak mengangkat telefon atau membalas mesej-mesej saya selepas
bertindak keluar dari rumah kelamin kami.

Bertarikh pada 25 haribulan April 2019


…………….……………
Defendan

PENYATA KETERANGAN UTAMA DEFENDAN ini difailkan oleh Tetuan Rafiqi Farhana &
Sufian Awang, Peguam Syarie bagi pihak Defendan yang beralamat di Suite 32H-5-17
Wisma Rozali, No.4, Persiaran Sukan, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor Darul
Ehsan. Tel/Faks: 03-55442222 (No Ruj: RFSA/S/141/2019)

Anda mungkin juga menyukai