Anda di halaman 1dari 22

DI DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI KUALA LUMPUR

DI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR


SAMAN NO.: 14100-024-2020 TAHUN 2020

ANTARA

FATIMAH BINTI MUHAMMAD


(NO K/P: 820407-14-6692)      PLAINTIF

DAN

ALI BIN ABDULLAH


(NO K/P: 800811-08-5087) DEFENDAN

PENGHUJAHAN BERTULIS PLAINTIF

Dengan izin Yang Arif,

MUQADIMMAH

1. Tuntutan Plaintif terhadap Defendan adalah untuk memohon kepada Mahkamah yang
Mulia ini perintah-perintah seperti berikut :-

1.1 Mensabitkan hak hadhanah ke atas anak-anak hasil perkahwinan Plaintif


dengan Defendan diberikan kepada Plaintif sehingga ada perintah lain yang
berhubung dengannya;

1.2 Defendan diberikan hak lawatan ke atas anak-anak hasil perkahawinan Plaintif
dengan Defendan pada setiap hujung minggu (Sabtu sahaja), diambil bermula
jam 8.00 pagi dan dihantar pada jam 6.00 petang dan anak-anak tersebut
diambil dan dihantar semula di rumah kediaman Plaintif;

1
1.3 Defendan diberikan hak bermalam secara bersesuaian dan munasabah pada
hari cuti penggal persekolahan setelah berbincang dan mendapatkan
persetujuan terlebih dahulu daripada Plaintif;

1.4 Kos guaman ini ditanggung masing-masing; dan

1.5 Lain-lain perintah atau relief yang difikirkan patut dan suai manfaat oleh
Mahkamah yang Mulia ini.

2. Plaintif dengan rendah diri memohon kepada Mahkamah yang Mulia untuk merujuk
kepada kertas-kertas kausa yang telah difailkan ke Mahkamah seperti berikut :-

2.1. Saman dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 25.2.2020 (“Saman tersebut”);

2.2. Pernyataan Pembelaan bertarikh 29.2.2020 (“Pembelaan tersebut”); dan

2.3. Jawapan kepada Pembelaan bertarikh 2.3.2020 (“Jawapan tersebut”).

3. Perbicaraan telah dijalankan pada tarikh 5.3.2020 dan 19.5.2020. Sewaktu


perbicaraan, Plaintif telah mengemukakan dua (2) orang saksi bagi memberikan
keterangan bersumpah di mahkamah seperti berikut:-

3.1 MUHAMMAD BIN SANI, NO. K/P: 521128-14-5231 (“SP-1”).

3.2 MAIMUNAH BINTI DAHLAN, NO. K/P: 540426-54-5444 (“SP-2”)

FAKTA KES

4. Plaintif dan Defendan telah bernikah pada 1.1.2005 di Masjid Jamek, Kuala Lumpur
dan telah bercerai pada 1.1.2015 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur dan telah disabitkan penceraian talaq satu kali pertama rajie.

2
5. Hasil daripada perkahwinan tersebut, Plaintif dan Defendan telah dikurniakan dua (2)
orang anak seperti berikut :-

a) Husin Bin Ali No. K/PKK: 090701-14-2323


Umur: 10 tahun Jantina : Lelaki

b) Aminah Binti Ali No. K/PKK: 170923-14-3276


Umur : 2 tahun Jantina : Perempuan

(selepas ini dirujuk sebagai “anak-anak tersebut”)

6. Anak-anak tersebut telah tinggal bersama dan dijaga oleh Plaintif setelah Plaintif dan
Defendan bercerai kerana tiada apa-apa perintah berkenaan dengan Hak Penjagaan
Anak (hadhanah) yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah setelah Plaintif
dan Defendan bercerai.

BIDANGKUASA DAN TATACARA

a) Adakah Mahkamah Mempunyai Bidang Kuasa Untuk Mendengar Tuntutan Ini?

7. Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan seterusnya


memutuskan tuntutan Plaintif ini kerana ianya adalah sejajar dengan peruntukan
Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1984 (Tab 1, m/s 2) berdasarkan pihak Plaintif yang mempunyai
alamat dan bermastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

8. Oleh yang demikian, berdasarkan seksyen tersebut, jelas menunjukkan bahawa


Mahkamah Tinggi Syariah di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur adalah
mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan sekaligus memutuskan tuntutan
Plaintif ini.

9. Merujuk kepada isu ini sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa mendengar kes
ini, Seksyen 46(2)(b) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-
Wilayah Persekutuan) 1993 (Tab 2, m/s 2) akan dirujuk seperti dibawah:
3
“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah:
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan
dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang
berhubungan dengan:
(i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan
(fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara
yang berkaitan dengan perhubungan di antara suami isteri;
(ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-
mana perkara yang dinyatakan dalam sub-perenggan (i);
(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan
(hadhanah) budak-budak.”

10. Seterusnya kami juga ingin merujuk kepada Arahan Amalan no. 2 tahun 2002 (Tab
10, m/s 1) yang menyatakan:

“Kes-kes yang melibatkan tuntutan hadhanah, harta sepencarian tak alih, dan
permohonan ex parte hendaklah dimulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah”.

11. Berkenaan dengan pemastautinan pihak-pihak, kami seterusnya merujuk kepada


Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1984 Pindaan 2006 (Tab 1, m/s 2) yang memperuntukkan bahawa:

“Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Akta ini terpakai
bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Wilayah Persekutuan dan bagi semua
orang Islam yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan tetapi tinggal di Luar
Wilayah Persekutuan.”

Yang Arif,

HUJAH-HUJAH YANG PERLU DIBERIKAN PERHATIAN SERTA


DIPERTIMBANGKAN OLEH MAHKAMAH YANG MULIA INI

4
12. Sebelum Mahkamah Yang Mulia ini membuat keputusan, terdapat beberapa isu yang
perlu diberikan pertimbangan sewajarnya.

13. Antara isu-isu sewajarnya Mahkamah Yang Mulia ini pertimbangkan dalam membuat
keputusan adalah seperti berikut:-

a. Sama ada hak penjagaan harus diberikan kepada Plaintif sebagai hadhinah
berdasarkan hukum syarak dan undang-undang serta kadar nafkah yang
munasabah.
b. Sama ada akhlak Defendan bercanggah dengan kelayakan seorang haadin.

Isu 1: Sama Ada Hak Penjagaan Harus Diberi Kepada Plaintif Sebagai Hadhinah
Berdasarkan Hukum Syarak Dan Undang-Undang Serta Kadar Nafkah Yang
Munasabah.

14. Plaintif telah berjaya membuktikan tuntutannya berpandukan kepada keterangan lisan
yang disokong oleh keterangan-keterangan dokumen dan juga keterangan-keterangan
yang diberikan oleh saksinya bahawa Plaintif merupakan pihak yang layak dalam
menjaga anak-anaknya dan Defendan juga telah menunjukkan akhlak yang buruk
terhadap anaknya sebagai seorang bapa dan kekhilafan Defendan ini menjadikan
Plaintif perlu diberikan hak hadhanah.

15. Keterangan yang diberikan oleh Plaintif berkenaan dengan kecuaian Defendan dalam
memberikan contoh yang baik sebagai seorang bapa dan kegagalan Defendan untuk
memberi nafkah kepada anak-anaknya telah berjaya dibuktikan oleh Plaintif apabila
Plaintif telah mendakwa beliau telah membesarkan anaknya di rumah ibu bapanya di
Kuala Lumpur tanpa bantuan Defendan secara fizikal bermula 1 Januari 2015, setelah
Defendan berpindah ke Perak sehinggalah sekarang.

16. Perkara ini telah disokong oleh SP-1 iaitu ayah Plaintif yang telah memberi
keterangannya menyatakan Plaintif telah tinggal bersamanya pada awal Januari 2015.

5
17. SP-1 juga dalam keterangannya menyatakan sepanjang Plaintif tinggal bersamanya,
Defendan tidak pernah menjenguk anaknya dan SP-1 merupakan pihak yang telah
banyak membantu Plaintif untuk menjaga anak-anak Plaintif dan Defendan.

18. Justeru, pihak kami menghujahkan bahawa keterangan SP-1 ini adalah konsisten
sebagaimana keterangan bertulis Plaintif.

19. Seterusnya, Plaintif juga berjaya membuktikan dakwaannya tentang kegagalan


Defendan untuk membantu Plaintif membesarkan anaknya dan sekaligus
menunjukkan contoh teladan yang tidak baik terhadap anaknya telah dibuktikan
dengan segala dokumen-dokumen yang menunjukkan perbelanjaan makan minum
serta kebajikan anaknya terpaksa ditanggung secara bersendirian oleh Plaintif dan
melalui bantuan SP-1.

20. Selain itu, SP-1 juga merupakan pihak yang terlibat secara tidak langsung dalam
menjaga anak-anak Plaintif dan Defendan apabila Plaintif tinggal di rumah SP-1 dan
membesarkan anaknya di rumah tersebut.

21. Perenggan 19 dan 20 tersebut telah disokong oleh keterangan SP-2 selaku ibu Plaintif.

22. SP-2 melalui keterangannya menyatakan bahawa beliau telah bersama-sama


membantu Plaintif menjaga anak-anak Plaintif dan Defendan. Kebajikan, pendidikan
dan keselamatan anak-anak juga terjamin dengan perhatian dari ibu bapa dan keluarga
Plaintif di samping diajar mengaji pada sebelah malamnya.

23. Oleh hal yang demikian, hal ini bertepatan sepertimana yang dikehendaki oleh
Seksyen 75 Akta Keterangan Mahkamah Syariah(Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1997 (Tab 3, m/s 4) yang menyatakan bahawa:

“Beban membuktikan tentang apa-apa fakta tertentu terletak pada orang yang
berkehendakakan Mahkamah mempercayai tentang kewujudan fakta itu.”

24. Isu utama yang ingin ditekankan oleh Plaintif disini adalah hak jagaan anak-anak
tersebut harus diberikan kepada Plaintif untuk menjaga anak mereka dan
6
mendapatkan hadhanah memandangkan kepada kemampuan dan taraf kehidupannya
setelah dibuktikan Defendan telah enggan dan/cuai mengadakan peruntukan
munasabah bagi anak-anak mereka.

Yang Arif,

25. Plaintif juga ingin menghujahkan bahawa Plaintif juga berhak untuk mendapatkan hak
jagaan ke atas anak-anak beliau atas alasan Plaintif merupakan pihak yang menjaga
anak-anak mereka dengan baik sejak lahir. Plaintif juga tidak pernah berkahwin lagi
sejak Plaintif dan Defendan bercerai, maka Plaintif layak untuk mendapatkan
hadhanah berbanding Defendan seperti yang diputuskan dalam kes Sabrina bt
Kamarudin lwn Mohd Syawal bin Sulaini [2013] 4 SHLR 56 (Tab 4, m/s 75-76).

26. Berdasarkan keterangan yang diberikan, Plaintif merupakan pihak yang mampu untuk
menanggung kebajikan anak-anaknya di samping mempunyai pendapatan yang cukup
untuk dirinya dan anak-anaknya.

27. Bagi memperkuat hujahan, Plaintif turut ingin mengambil perhatian Mahkamah untuk
meneliti satu hadith yang diriwayatkan oleh ‘Amru bin Syu’aib daripada ayahnya
yang diterima daripada datuknya, Abdullah bin ‘Amru (Tab B-1, m/s 1), bermaksud:

“Maksudnya:
Bahawa Rasulullah S.A.W telah didatangi seorang perempuan lalu
perempuan itu mengadu kepadanya, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya
anakku ini dulu dalam perut ku dia bernaung, tetek ku ini tempat dia
menyusu, dan pangkuan ku ini tempat dia berlindung, sesungguhnya bapanya
telah menceraikan ku dan dia bermaksud merampas anak ku ini dari ku,’ lalu
Rasulullah S.A.W bersabda kepada perempuan itu, ‘Engkau lebih berhak
padanya selama engkau tidak bernikah lain’.” (Sunan Abi Daud, Juz 2,
Kitab Al-Talaq, Hadith 2276, ms 283.)

28. Hadith di atas amat jelas menyatakan keputusan Rasulullah S.A.W bahawa seseorang
anak itu hendaklah kekal di dalam jagaan ibu kandungnya. Maka, dapat disimpulkan

7
bahawa Plaintif sememangnya layak untuk mendapatkan hadhanah anak-anaknya
berbanding Defendan.

29. Perlu ditekankan di sini bahawa Plaintif juga telah memenuhi kelayakan seseorang
hadinah ke atas anaknya yang masih kecil dan belum mumaiyyiz, iaitu Aminah (2
tahun) berdasarkan Seksyen 81(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Tab 1, m/s 3) yang berbunyi:

“Tertakluk kepada seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang
bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga
selepas perkahwinannya dibubarkan.”

30. Berdasarkan fakta-fakta dan keterangan yang dibawa oleh pihak Plaintif pada hari ini,
Plaintif layak sebagai hadinah setelah memenuhi syarat kelayakan yang
diperuntukkan dalam Seksyen 82 (1) dan Seksyen 83 Akta Undang-Undang
Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984. Seksyen 82 (Tab 1, m/s 4)
memperuntukkan:

“Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak


menjalankan hak terhadap hadhanah jika—

(a)  dia adalah seorang Islam;


(b)  dia adalah sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan
dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d)  dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-
apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.”

31. Kami juga selanjutnya memohon Mahkamah untuk merujuk peruntukan di bawah
Seksyen 83 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984
(Tab 1, m/s 5) yang memperuntukkan bahawa :-

8
Hak seseorang perempuan terhadap  hadhanah adalah hilang —

(a) jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai
pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan
kanak-kanak itu, jika jagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan
kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk jagaan akan kembali semula
jika perkahwinan itu dibubarkan;
(b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
(c) jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk
mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang
perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai
boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
(d) jika perempuan itu murtad;
(e) jika perempuan itu mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

32. Berdasarkan peruntukan di atas, Plaintif telah memenuhi syarat kelayakan untuk terus
menjaga anak-anaknya dan tiada alasan lain yang boleh menghalang Plaintif untuk
menjaga anak-anaknya.

33. Seterusnya, di dalam kitab Al-Mufassol Fi Ahkam al-Marah wa al-Baiti al-


Muslim juga ada menyebut yang membawa maksud:

“Orang perempuan yang berhak untuk hadhanah ialah ibu kepada anak tadi.”

34. Hal ini juga bertepatan dengan sebuah hadith Riwayat Ahmad dan Abu Daud
dimana Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Engkaulah (perempuan) yang lebih berhak mengasuh anakmu selama mana


engkau belum berkahwin dengan orang lain.”

35. Seperti yang tekah dihujahkan, walaupun Plaintif masih tidak berkahwin lagi dan
tidak bercadang untuk berkahwin, beliau masih mampu untuk menjaga anak-anaknya
dengan baik. Hal ini telah menyokong Plaintif untuk menjaga anaknya yang selari
dengan sebuah hadith dalam Kitab Sunnan Abu Daud yang bermaksud:
9
“Amr bin Shuib dari ayahnya berkata bahawa Abdullah Amr telah berkata bahawa
seorang perempuan pernah mengadu, Ya Rasullullah S.A.W, sesungguhnya anakku
ini adalah perutku ini yang mengandungkannya dan susuku yang menjadi
minumannya dan pangkuanku yang memeluknya, sedang bapanya telah menceraikan
aku dan bapanya itu mahu mengambilnya daripadaku. Lalu Rasullullah S.A.W
bersabda kepadanya, 'Engkau lebih berhak dengan anak itu, selama mana engkau
belum berkahwin lagi'.”

36. Selanjutnya, hukum syarak dan undang-undang telah membenarkan si ibu untuk
mendapat hak penjagaan terhadap anaknya apabila si ibu masih tidak hilang
kelayakan untuk menjaga anaknya dan telah memenuhi syarat kelayakan hadhanah.
Bukan itu sahaja, Plaintif yang merupakan si ibu, juga sah disisi undang-undang untuk
menjaga anaknya bertepatan dengan kes Zety Aznin bte Azmi lwn Abd Mutalib bin
Abdullah [2002] 2 SHLR 109 (Tab 5, m/s 4) di mana Hakim telah merujuk kepada
kes K lwn S 7 JH(11), Kadi Besar Wilayah Persekutuan (waktu itu) Sheikh Ghazali
Abdul Rahman dalam penghakimannya:

“Untuk menentukan sama ada yang menuntut layak atau tidak menjadi hadhinah
maka kita kena melihat syarat hadhanah iaitu berakal, merdeka, beragama Islam,
tidak fasiq, orang yang amanah, orang yang tetap dalam negeri dan keadaan ibu si
anak tidak berkahwin lain.”

37. Bukan itu sahaja, Plaintif ingin berhujah bahawa hakim dalam kes Zety Aznin bte
Azmi lwn Abd Mutalib bin Abdullah (Tab 5, m/s 4) juga memutuskan bahawa:

“Kebajikan kanak-kanak haruslah diberi keutamaan kerana matlamat undang-


undang memberikan hak hadhanah kepada ibu kerana sifat semulajadi seorang ibu
boleh memberi kasih sayang yang sempurna dengan syarat ibu tidak bernikah lain dengan
lelaki yang tidak mempunyai hubungan mahram agar ibu dapat memelihara tujuan
dan masa depan kanak-kanak tersebut dengan lebih sempurna. Islam memandang jauh ke
hadapan bertepatan dengan maqasid syariyyah untuk memelihara agama, akal, jiwa,
harta dan keturunan.”

10
38. Walau bagaimanapun, Plaintif tidak menafikan bahawa Seksyen 85(2) Akta Undang-
Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Tab 1, m/s 6)
membataskan hak jagaannya terhadap anak-anak yang telah mumaiyyiz iaitu Husin
(10 tahun) oleh kerana mereka telah diberikan hak memilih untuk tinggal bersama
Plaintif atau Defendan tertakluk kepada perintah Mahkamah.
39. Berdasarkan perintah sebelumnya, Husin telah memilih untuk tinggal bersama Plaintif
berbanding bapanya.

Isu 2: Sama Ada Akhlak Defendan Bercanggah Dengan Kelayakan Seorang Haadin.

Yang Arif,

40. Berpandukan keterangan lisan yang dikemukakan oleh Plaintif, ingin dihujahkan
bahawa Defendan telah gagal memenuhi syarat-syarat seorang haadin yang mana
secara tidak langsung menghilangkan kelayakan beliau untuk mendapatkan hadhanah
anak-anak. Keterangan ini turut disokong oleh kedua-dua saksi iaitu SP-1 dan SP-2
yang menyatakan Defendan telah menunjukkan akhlak yang buruk sebagai seorang
bapa sepanjang tempoh Defendan berada di rumah.

41. Tambahan lagi, Plaintif ada menegaskan dalam keterangannya bahawa Defendan
sering pulang lewat malam sepanjang perkahwinan mereka dan mempamerkan sikap
tidak bertanggungjawab terhadap keluarga di samping gagal mengawal emosi
sehingga menyebabkan Defendan dilihat sebagai seorang yang panas baran. Setelah
bercerai, Defendan juga gagal untuk memberi tumpuan dan nafkah kepada anak-anak
malah menjemput mereka untuk bertemu dengan bakal isterinya. Sikap Defendan ini
amat jelas menggambarkan suatu akhlak yang buruk, yakni menggugurkan
kelayakannya sebagai seorang haadin.

42. Seksyen 82 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah


Persekutuan) 1984 (Tab 1, m/s 4) sekali lagi dirujuk oleh Plaintif di mana telah
diperuntukkan bahawa pihak yang berhak ke atas hadhanah (haadin) hendaklah
beragama Islam, sempurna akal, berada di dalam lingkungan umur yang
melayakkannya untuk menjaga dan menyayangi anak-anak, berkelakuan baik dari

11
segi akhlah Islamiah dan menetap di tempat yang menjamin akhlak dan jasmani anak-
anak.

43. Tambahan lagi, syarat-syarat seorang penjaga atau haadin ada disebutkan di dalam
Kitab Al-Fiqhul Islami wa Adillatuhu berdasarkan mazhab Syafie yang
bermaksud:

“Syarat-syarat umum haadin (pihak yang diberi hak penjagaan anak) ialah:

(1) dia cukup umur, kanak-kanak tidak berhak menjadi haadin;


(2) dia adalah sempurna akal;
(3) dia berkeupayaan mendidik kanak-kanak;
(4) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(5) dia adalah seorang Islam.”

44. Plaintif juga bertegas bahawa Defendan adalah punca penceraian antara mereka
kerana telah gagal dan/atau lalai untuk memberi perhatian yang secukupnya kepada
keluarga di samping sentiasa bersikap panas baran. Tidak dinafikan bahawa ini
menunjukkan contoh akhlak yang buruk kepada anak-anak sekiranya Defendan
memperoleh hadhanah kelak sekaligus tidak memenuhi syarat-syarat sebagai seorang
haadin menurut hukum syarak dan undang-undang di atas.

45. Kelayakan Defendan sebagai seorang haadin juga ingin dicabar oleh Plaintif di bawah
Seksyen 83 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1984 (Tab 1, m/s 5) memandangkan Defendan bakal mengahwini
wanita lain yang tidak mempunyai pertalian langsung dengan anak-anaknya.
Perkahwinan baru tersebut boleh menyebabkan Defendan hilang kelayakan sebagai
seorang haadin kerana ia akan mengelirukan anak-anak dan mempengaruhi emosi
mereka di samping hilang tumpuan secara penuh terhadap tanggungjawabnya sebagai
seorang bapa.

Yang Arif,

12
46. Plaintif turut menegaskan bahawa hasrat Defendan untuk membawa anak-anak
mereka berjumpa dengan bakal isterinya adalah tidak munasabah dan bercanggah
dengan peranan seorang haadin atas dasar menjaga kebajikan anak-anak dari segi
emosi dan sanubari mereka.

47. Bagi mengukuhkan hujah, kes Maimunah bte Hamzah lwn Mohammad bin
Embong [2005] 4 SHLR 122 (Tab 6, m/s 11) ingin dirujuk oleh Plaintif di mana
mahkamah memutuskan bahawa Defendan adalah dibenarkan untuk melawat atau
membawa keluar salah seorang atau kedua-dua anak dari jagaan Plaintif pada bila-bila
masa yang berpatutan dengan syarat tidak mendatangkan mudarat kepada fizikal,
mental dan pembelajaran anak-anak berkenaan dan setelah dimaklumkan terlebih
dahulu kepada Plaintif.

48. Oleh hal yang demikian, Plaintif percaya bahawa hasrat Defendan itu hanya akan
memudaratkan mental dan emosi anak-anak apabila melihatkan wanita yang bakal
dikahwini oleh bapanya dan sebarang penerimaan negatif daripada anak-anak akan
mencabar ego Defendan oleh kerana Defendan adalah seorang yang panas baran.
Dengan ini, Plaintif tidak yakin bahawa kebajikan anak-anak bakal terjaga sekiranya
hasrat Defendan diizinkan, malah hanya akan memudaratkan fizikal, mental dan
emosi anak-anak sahaja.

49. Plaintif tidak menafikan bahawa hak lawatan ke atas anak-anak adalah hak bapa dan
bukan pilihan mereka seperti yang diputuskan oleh para hakim dalam kes OTA lwn
HR [2019] 1 SHLR 23 (Tab 7, m/s 30) untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai
seorang bapa kepada anak-anaknya. Namun begitu, ingin dijelaskan di sini bahawa
tujuan Defendan untuk menemui anak-anak pada masa tersebut adalah untuk
membawa mereka berjumpa dengan bakal isterinya, bukan untuk melaksanakan
tanggungjawab sebagai seorang bapa. Jadi, hasrat tersebut ingin dibantah sekeras-
kerasnya kerana tidak membawa apa-apa kebaikan langsung kepada anak-anak.

50. Seterusnya, Plaintif juga ingin memetik Seksyen 86(2) Akta Undang-Undang
Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Tab 1, m/s 7) yang
menetapkan bahawa:

13
“Untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak itu patut
diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu…”

51. Justeru, Plaintif percaya bahawa sikap Defendan yang sambil lewa terhadap keluarga
dan panas baran akan memudaratkan kebajikan anak-anak dari segi fizikal, mental
dan emosi dan ini sememangnya bercanggah dengan syarat-syarat kelayakan seorang
haadin.

52. Memandangkan Defendan hanya menafikan segala keterangan Plaintif tanpa


membawa sebarang saksi di hadapan mahkamah, maka Plaintif ingin menghujahkan
bahawa dapatlah dibuktikan Defendan merupakan seorang yang tidak layak untuk
menjaga anak-anak mereka.

TOLAK HUJAHAN DEFENDAN

53. Sepanjang prosiding kes ini berjalan, Defendan tidak membuktikan bahawa Plaintif
telah hilang hak jagaan ke atas anak-anak tersebut bahkan Plaintif telah membuktikan
bahawa kebajikan kanak-kanak tersebut terpelihara dengan penuh tanggungjawab dan
kasih sayang.

54. Sepanjang peninggalan Defendan dari rumah kelamin pihak-pihak sehingga


diceraikan dan sehingga tuntutan ini dimulakan oleh pihak Plaintif, Defendan tidak
pernah datang melihat dan/atau melawat anak-anak tersebut sejajar dengan keterangan
yang telah diberikan oleh pihak Plaintif dan juga SP-1 dan SP-2.

55. Segala perkara yang dinyatakan oleh Defendan berkenaan dengan Plaintif merupakan
seorang yang cemburu hanyalah tohmahan semata-mata yang tidak disokong oleh
mana-mana bukti dari pihak Defendan

56. Melalui keterangan yang diberikan oleh Plaintif dan ketiga-tiga saksi, Mahkamah juga
adalah berhak menggunapakai amalan sumpah Mahkamah Syariah sebagaimana yang
terdapat dalam Arahan Amalan No.2 Tahun 2006 (Tab 11, m/s 25) dengan
mengarahkan Plaintif bersumpah untuk membuang segala tohmahan dan mensabitkan
permohonan yang dikemukakan
14
57. Amalan sumpah di Mahkamah Syariah yang dikeluarkan pada 12hb April 2006 ada
menyatakan:

“Melainkan Mahkamah menjalankan prosiding tanpa kehadiran salah satu pihak,


sumpah hendaklah dilaksanakan dengan kehadiran kedua-dua pihak.”

58. Hal ini boleh dirujuk dalam kes Atikah Binte Abdul Hamid lwn Razali Bin Haji
Ahmad (1978) di mana dalam kes tersebut Hakim memerintahkan pihak yang
mendakwa bersumpah bagi mensabitkan dakwaanya.
59. Perkara mengenai Defendan telah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang
bapa dan Defendan adalah tidak layak untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak
juga telah gagal dinafikan oleh Defendan beserta bukti yang kukuh.

60. Merujuk firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 233 (2:233) yang
bermaksud:

“Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu
menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut
kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya
dan janganlah menjadikan seseorang bapa itu menderita kerana anaknya.”

61. Aisyah meriwayatkan bahawa Hindun bte Utbah berkata:

'Wahai Rasullullah S.A.W Sesungguhnya Abu Suffyan adalah merupakan seorang


lelaki kikir (kedekut). Dia tidak memberi nafkah (perbelanjaan) yang mencukupi
untukku dan anakku melainkan apa yang aku ambil daripadanya tanpa
pengetahuannya'. Rasullah S.A.W lalu menjawab, 'Ambillah sekadar yang mencukupi
untukmu dan anakmu secara yang makruf'.

62. Oleh hal yang demikian untuk membuang segala tohmahan yang mungkin ada,
sebaiknya Mahkamah yang mulia ini memerintahkan Plaintif untuk melakukan
sumpah dan seterusnya membenarkan tuntutan Plaintif ini.

15
Yang Arif,

NAS DAN OTORITI SANDARAN KEPADA HUJAHAN

63. Hadhanah telahpun disebut di dalam al-Quran, dinyatakan dalam hukum syarak
secara nyata termasuklah dalam kes-kes yang telah diputuskan.

64. Menurut al-Quran surah Luqman, ayat 14 (31:14) yang bermaksud:

“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung kesukaran demi kesukaran (dari awal
mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah
dalam masa dua tahun; (dengan demikian) bersyukurlah kepadaKu
dan kepada kedua ibu bapa mu; dan (ingatlah), kepada Allah jua tempat kembali
(untuk menerima balasan).”

65. Begitu juga hadith Nabi S.A.W yang terdapat dalam Sahih Bukhari yang
bermaksud:

“Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah S.A.W bertanya: ‘Wahai Rasulullah!
Siapakah yang lebih berhak untuk aku mempergaulinya dengan baik?’ Jawab
Rasulullah: ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi: ‘kemudian siapa pula?’ Rasulullah
menjawab: ‘ibumu’ lelaki itu bertanya lagi: ‘kemudian siapa pula?’ Rasulullah
masih menjawab: ‘ibumu’. Untuk kali keempat lelaki itu bertanya: ‘kemudian siapa?
Rasulullah menjawab: ‘Ayahmu.’”

66. Menurut artikel oleh Bayyan Linnas (Tab 12, m/s 5) menyatakan bahawa merujuk
kepada Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah (w.977H) menghuraikan
definisi hadhanah yang bermaksud:

“Makna “hadhanah”daripada sudut Syarak ialah [menjaga individu yang tidak


dapat berdikari] daripada menguruskan diri sendiri, (dan) memeliharanya daripada
setiap sesuatu yang menyakitinya lantaran ketidakmampuan jagaan itu untuk
melakukan tamyiz (membezakan baik dan buruk), seperti kanak-kanak dan orang gila
16
yang dewasa; [serta mendidik atau mengasuhnya] yakni membesarkan anak jagaan
dengan apa yang sesuai dan munasabah, pada perlaksanaannya, dengan
memberikan makan, minum dan seumpamnya… dan belanja untuk penjagaan itu
datang dari harta anak jagaan, jika tiada baginya harta, maka tanggungjawab itu
adalah ke atas individu yang menanggung nafkahnya. Ini kerana penjagaan itu
adalah salah satu sebab kifayah seperti nafkah; dan oleh kerana itu bab penjagaan
disebut selepas bab nafkah-nafkah. Mughni al-Muhtaj (5/191)”

67. Di dalam kes Bashirah bt Ishak lwn Zawawi bin Zakaria [2015] 3 ShLR 7 (Tab 8,
m/s 18), Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Mohd Amran Mad Zain berpendapat
bahawa:

“Hadhanah yang bererti menjaga dan mendidik anak-anak dalam semua hal
keadaan kehidupannya sehingga umur tertentu oleh seseorang yang berhak dan
bertanggungjawab ke atasnya sama ada dari kaum kerabat atau mahramnya. Skop
hadhanah ini adalah lebih luas dan meliputi semua segi termasuklah menjaga,
memimpin, mendidik dan mengatur segala hal ehwal kanak-kanak termasuk hal
ehwal kebajikan dan kemaslahatan kanak-kanak tersebut.”

68. Pengertian hadhanah dalam kes Bashirah bt Ishak lwn Zawawi (Tab 8, m/s 12-13)
juga telah merujuk hukum syarak dalam menyatakan maksud hadhanah iaitu menurut
Dr Wahbah al-Zuhaili di dalam kitbanya al-Fiq Ji al Islamiywa Adillatuh, juz 10,
hlm 7295 menyebutkan:

“Hadhanah pada bahasa ialah di samping, iaitu himpun di samping (di sisi). dari
segi Syarak ialah hak mendidik anak-anak bagi orang yang tidak mempunyai hak
penjagaan. Atau mendidik dan menjaga mcreka yang tidak mampu mcngurus diri
sendiri bagi menjauhkan daripada perkara-perkara buruk mengenainya, kerana
mereka tidak dapat membezakan perkara yang baik dan buruk. “

69. Dalam kitab al-Mughni, Jilid 7, hlm 612 menyebut bahawa:

“Hukum penjagaan adalah wajib. Sesungguhnya ia adalah satu kewajiban kerana


orang yang memerlukan penjagaan akan binasa andainya mereka tidak diberi
17
penjagaan. Lantaran itu wajib juga dijaga mereka daripada kebinasaan sebagaimana
wajib mengeluarkan perbelanjaan ke atasnya dan menyelamatkan dari kebinasaan.”

70. Dalam kes Azizah bt Ibrahim lwn Sufian bin Che Mud [2012] 4 ShLR 1 (Tab 9, m/s
18), Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Rosdi Harun menyatakan bahawa:

“Mahkamah juga mendapati tidak ada sebab atau keadaan yang menyebabkan
plaintif hilang kelayakan sebagai seorang haadinah. Tiada satu sebab daripada lima
sebab atau situasi yang digariskan dalam undang-undang di atas wujud pada
plaintif. Plaintif dalam kes ini belum berkahwin lagi setelah bercerai dengan
defendan. Sekalipun plaintif berkahwin, hak jagaaan masih belum gugur sekiranya
kemaslahatan anak tersebut lebih terpelihara di bawah jagaan plaintif. Ini adalah
konsep hadhanah yang mana dijelaskan oleh Sayed Sabiq dalam Kitabnya Fiqh al-
Sunnah, Jil 8 yang bermaksud : Sesungguhnya setiap yang menjaga dan yang dijaga
(anak) mempunyai hak di dalam hal pemeliharaan tetapi hak yang yang dijaga(anak)
lebih kuat daripada hak yang menjaga.”

71. Dalam kes OTA lwn HR [2019] 1 ShLR 23 (Tab 7, m/s 28), mahkamah telah merujuk
kepada kitab Al-Muhazzab, Juz 2 hlm 171: Mughni al-Muhtaj Juz 3 hlm 456 yang
bermaksud:

“Apabila berlaku perpisahan antara suami isteri dan mereka mempunyai seorang
anak yang mumayyiz sama ada lelaki atau perempuan dan sudah mencapai umur
tujuh atau lapan tahun. Kedua-dua suami-isteri ini pula layak menjaga anak
(hadhanah) walau salah seorang daripada kedua mereka lebih baik dari sudut
agama, harta benda atau kasih sayang, dan mereka tidak sepakat kata, anak itu
hendaklah diberi pilihan antara kedua mereka dan tinggal bersama dengan ibu bapa
yang dipilihnya. Kerana Baginda Nabi S.A.W telah memberi pilihan kepada seorang
anak lelaki antara bapa dan ibunya”

72. Selain itu, jelas bahawa segala tuntutan atau dakwaan perlulah disertakan dengan
pembuktian dan beban pembuktian adalah terletak ke atas pihak yang mendakwa.
Selaras dengan peruntukan Seksyen 72 dan 73 (1) dan (2), Akta Keterangan

18
Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Tab 3, m/s 2-3)
menyatakan sebagaimana berikut;

Seksyen 72
“Beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada orang
yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-muddai’i) dan orang yang
mengangkat sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-
mudda’a alaih)
Seksyen 73(1)
“Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman
tentang apa-apa hak atau liabiliti di sisi undang-undang yang bergantung kepada
kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu
wujud”.

Seksyen 73(2)
“Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa fakta, maka
dikatakan bahawa beban pembuktian terletak pada orang itu.”

73. Oleh yang demikian, pihak Plaintif telah mengemukakan pembuktian yang kukuh
bagi membolehkan Mahkamah yang mulia ini membuat pertimbangan yang seadil-
adilnya dalam kes ini. Ini selaras dengan hadith Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Keterangan dibebankan ke atas yang menuntut atau yang mendakwa dan sumpah ke
atas siapa yang mengingkar”

74. Dalam kes ini pihak Defendan telah gagal menafikan segala dakwaan dan tuntutan
Plaintif malah Defendan secara terus juga gagal membuktikan tuntutan balasnya
sepanjang perbicaraan kes ini. Walau bagaimanapun, Plaintif telah membuktikan
tuntutannya dengan mengemukakan dua (2) orang saksi yang mempunyai
pengetahuan berkaitan dengan tuntutan yang dibawa oleh Plaintif. Plaintif juga telah
mengemukakan keterangan berbentuk dokumen bagi menyokong dakwaannya di
Mahkamah yang Mulia ini.

19
75. Oleh yang demikian berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan oleh Plaintif kami
menghujahkan tuntutan Plaintif adalah kukuh dan Mahkamah yang mulia ini
sewajarnya menerima tuntutan Plaintif secara keseluruhannya.

Yang Arif,

76. Berkaitan dengan kesaksian, pihak kami menghujahkan bahawa pembuktian yang
paling penting di dalam undang-undang keterangan Islam adalah melalui kesaksian.
Dalil yang mensyariatkan kesaksian ialah:

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah ditanya mengenai


kesaksian, maka Rasulullah S.A.W bersabda kepada orangyang menyoal itu,”Kamu
lihat matahari itu?” Lelaki itu menjawab “Ya”. Rasulullah bersabda, “Jika engkau
melihat seperti itu (seperti melihat matahari) jadilah saksi, jika tidak tinggalkanlah
(daripada menjadi saksi)”.

77. Oleh hal yang demikian, jelas bahawa kesaksian merupakan sesuatu yang penting
dalam undang-undang keterangan Islam. Justeru, Mahkamah yang Mulia ini haruslah
membuat penelitian terhadap saksi-saksi yang dibawa berdasarkan hukum syarak
yang sedia ada.

78. Justeru itu sekiranya terdapat sebarang kesangsian terhadap kriteria dan kredibiliti
wibawa saksi tersebut, Mahkamah yang Mulia ini wajar menolak keterangan daripada
saksi tersebut.

79. Di dalam kes ini, Plaintif telah mengemukakan dua (2) orang saksi ke Mahkamah
yang Mulia ini untuk menyokong permohonannya. Kami selanjutnya menghujahkan
bahawa saksi-saksi Plaintif tersebut telah memenuhi kriteria saksi sebagaimana yang
digariskan oleh hukum syarak.

80. Berdasarkan kepada alasan-alasan di atas pihak kami ingin memohon supaya
Mahkamah yang Mulia menerima permohonan Plaintif yang berjaya dibuktikan
sepenuhnya mengikut hukum syarak.

20
KESIMPULAN

81. Adalah jelas bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan tuntutannya di dalam kes ini,
malah tuntutan Plaintif tersebut jelas memenuhi kehendak undang-undang serta
bertepatan dengan kaedah serta hukum syarak. Oleh hal yang demikian, kami
menghujahkan bahawa Plaintif telah melaksanakan kewajipannya dalam kes ini dan
telah mematuhi kehendak dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.

82. Berdasarkan alasan-alasan yang telah dikemukakan, kami dengan rendah diri dan
tawaddu’nya memohon Mahkamah Yang Mulia ini menerima dan meluluskan
permohonan Plaintif.

Wallahu’alam. Sekian, terima kasih.

Bertarikh pada 5 haribulan Mei 2020.

Hanif Hassan &


Co.
…………………………
Peguam Syarie Plaintif

21
PENGHUJAHAN BERTULIS PLAINTIF ini difailkan oleh Tetuan Hanif Hassan & Co.
bagi pihak plaintif yang beralamat di P.O. Box 15 Blik Latihan Guaman Fakulti Undang-
Undang UKM, 43600 Bangi, Selangor Darul Ehsan. (No. Tel: 06-6316808; No. Faks: 06-
6314419) (Ruj. Kami:SYA/01/05/2020/FM)

22

Anda mungkin juga menyukai