Anda di halaman 1dari 9

NMN lwn NA

[Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Selangor, Permohonan No. 10000-028-0074-2016. (YAA Tan
Sri Dato’ Setia Dr. Ibrahim bin Lembut (Pengerusi), YA Datuk Aidi b. Moktar (Panel), Y.A Dato’
Mukhyuddin b. Ibrahim (Panel)]

[14hb. Ogos2017]

[Rayuan Tuntutan Hadhanah]

Fakta Kes

[1] Perayu dengan Responden telah bernikah pada 18 Ogos 2007 dan telah bercerai pada 1
Julai 2013 di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor. Mereka dikurniakan dua orang
anak perempuan yang kini berumur 9 tahun dan 6 tahun.

[2] Pada 7 September 2016, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam Selangor telah memberi
penghakiman berkaitan tuntutan Hak Jagaan Anak sebagaimana berikut:

1. Mahkamah meluluskan tuntutan Plaintif di bawah Seksyen 82 Enakmen Undang-


undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

2. Mahkamah memerintahkan hak jagaan anak bernama NNB binti NMN (No Mykid:
XXX) dan NNE binti NMN(No. Mykid:XXX) hendaklah diserahkan kepada
Plaintif (ibu).

3. Defendan (bapa) hendaklah diberikan hak lawatan, bersama dan bermalam dengan
anak-anak tersebut sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hujung minggu kedua dan
keempat pada setiap bulan dengan cara Defendan hendaklah mengambil anak-anak
tersebut pada hari Sabtu mulai jam 10.00 pagi dan menghantar semula anak-anak
tersebut kepada Plaintif pada hari Ahad jam lebih kurang 6 petang dengan
memaklumkan terlebih dahulu kepada Plaintif.

4. Mahkamah memerintahkan hak cuti persekolahan hendaklah diberikan kepada


Plaintif dan Defendan secara sama rata dengan dimulai dengan Plaintif dan
disambung oleh Defendan tertakluk kepada kehendak anak tersebut.

1
5. Mahkamah memerintahkan hak berhari raya hendaklah diberikan secara bergilir-
gilir. Bagi hari raya Eidulfitri 1438 hijrah, anak-anak tersebut akan berhari raya
bersama Plaintif dan hari raya Eidulfitri 1439 hijrah, anak-anak tersebut akan
bersama dengan Defendan dan kaedah ini berterusan pada tahun berikutnya.

[3] Perayu telah tidak berpuashati dengan keputusan tersebut dan memfailkan Notis Rayuan
pada 20 September 2016 merayu sebahagian dari Penghakiman tersebut iaitu penghakiman
perenggan 1, 2,3 dan 4 sahaja.

[4] Rayuan Perayu diasaskan kepada empat alasan rayuan sebagaimana berikut:

1. Yang Arif Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila
membuat keputusan dengan tidak mengambilkira kebajikan anak-anak tersebut dengan
mengekalkan status quo anak-anak tersebut yang dijaga secara bergilir-gilir dan/atau
bersama antara Perayu dan Responden.

2. Yang Arif Hakim Bicara telah terkhilaf dari fakta dan undang-undang apabila tidak
mengambilkira amalan dan kebiasaan anak-anak tersebut telah diuruskan dan/atau
dipantau oleh pihak ketiga (pembantu rumah).

3. Yang Arif telah terkhilaf dari fakta dan undang-undang apabila membuat keputusan
hak jagaan anak-anak tersebut diletakkan di bawah jagaan Responden sedangkan
Mahkamah berpendapat jarak tempat tinggal Perayu dengan Responden yang
berdekatan tidak menyukarkan Perayu untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai
penjaga hakiki.

4. Yang Arif Hakim Bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila
membuat keputusan hak jagaan anak-anak tersebut diletakkan di bawah jagaan
Responden dengan menghadkan tempoh lawatan, bersama dan bermalam terhadap
Perayu.

2
Diputuskan

SETELAH meneliti Rekod Rayuan dan penghujahan pihak-pihak, MAKA KAMI sebulat suara
memutuskan sebagaimana yang berikut:-

1. Rayuan Perayu dibenarkan.

2. Mahkamah memerintahkan hak jagaan anak bernama NNB binti NMN (No Mykid: XXX)
dan NNE binti NMN (No. Mykid:XXX) dikekalkan status quo dan hendaklah dijaga secara
bersama dan bergilir-gilir di antara Perayu dan Responden seperti berikut setiap bulan
anak-anak dijaga selama 3 minggu bersama Responden dan 1 minggu bersama Perayu.
Masa adalah terpulang kepada perbincangan pihak-pihak.

3. Penghakiman Mahkamah Tinggi Syariah bagi nombor 4 dan nombor 5 adalah dikekalkan.

Peguam Syarie

Pemohon : diwakili oleh Puan Ku Aminah Tuan Ibrahim dari Tetuan Ku

Aminah & Associates.

Responden : diwakili oleh Yusmawati binti Ab. Llah dari Tetuan Yusma &
Associates.

Undang - undang yang dirujuk

1. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 - s. 87 (2)(3)

Kes-kes yang dirujuk

1. Mohd Radhi bin Haji Che Daud lwn Khadijah binti Yaacob, JH Jilid 17 Bhg 1 muka surat
247.

3
2. Wan Abdul Aziz lwn Siti Aishah JH 1 ms 47.

Penghakiman oleh YAA Tan Sri Dato’ Setia Dr. Ibrahim bin Lembut (Pengerusi), YA Datuk
Aidi b. Moktar (Panel), Y.A Dato’ Mukhyuddin b. Ibrahim (Panel), Hakim MRYS.

[5] Sebelum kami menjawab isu rayuan Perayu di atas, kami mengambil maklum bahawa di
dalam Penghujahan Balas Responden telah dibangkitkan penghujahan ketidakpatuhan mengenai
tempoh penyerahan Notis Rayuan kepada Responden. Ingin kami tegaskan di sini bahawa
sekiranya mana-mana pihak berhasrat untuk membantah mengenai ketidakpatuhan sesuatu
prosedur, pihak yang membantah tersebut hendaklah membuat bantahan terhadap ketidakpatuhan
prosedur tersebut dengan memfailkan pliding-pliding berkaitan mengikut peruntukkan undang-
undang sebaik sahaja pihak yang membantah itu menyedari ketidakpatuhan prosedur telah berlaku
dan bukannya dimasukkan bersekali dengan penghujahan terhadap merit rayuan. Di dalam kes ini,
sekiranya Responden ingin membantah mengenai ketidakpatuhan mengenai tempoh penyerahan
Notis Rayuan, sepatutnya memfailkan Notis Bantahan Awal terhadap isu tersebut semasa
pengurusan kes rayuan lagi dan bukannya dimasukkan bersekali dengan penghujahan terhadap
merit rayuan. Oleh yang demikian, kami tidak akan mengulas isu ketidakpatuhan yang dihujahkan
Responden yang dibangkitkan di dalam penghujahan di peringkat merit rayuan ini.

[6] Berbalik kepada merit rayuan ini, berdasarkan keempat-empat Alasan Rayuan yang telah
dikemukakan oleh Perayu kami dapati hanya satu isu sahaja yang perlu kami ulas iaitu adakah YA
Hakim bicara terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dengan tidak mengekalkan status quo
penjagaan kedua-dua anak tersebut yang telah dibuat oleh Perayu dan Responden demi kebajikan
anak-anak mereka yang telah menjadi amalan dan kebiasaan amalan anak-anak tersebut sejak
perceraian pihak-pihak.

[7] Berdasarkan rekod prosiding di Mahkamah bicara, adalah menjadi fakta yang dipersetujui
dan tidak dinafikan bahawa selepas tempoh perceraian pada 1 Julai 2013 sehingga penghakiman

4
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dikeluarkan pada 7 September 2016, kedua-dua anak
tersebut telah dijaga secara bersama dan bergilir antara Perayu dan Responden kerana jarak rumah
pihak-pihak tidak sampai 2km. Kedua-dua pihak juga telah tidak membuktikan pihak yang satu
lagi hilang kelayakan untuk menjadi penjaga anak-anak tersebut dan juga tidak membuktikan telah
berlaku kemudharatan anak-anak tersebut apabila anak-anak tersebut berada bersama pihak yang
satu lagi.

[8] YA Hakim bicara di dalam Alasan Penghakiman beliau menyatakan bahawa jarak antara
kediaman Perayu dan Responden hanyalah sejauh dua kilometer sahaja. Maka sama ada hak jagaan
diberi secara penuh kepada Responden atau secara bersama tidak menimbulkan isu besar. Namun
sekiranya Mahkamah bicara salah memutuskan isu ini hanya kerana mementingkan hak
Responden dan Perayu sahaja, dibimbangi boleh mendatangkan kemudharatan kepada anak
tersebut pada masa akan datang. Dengan diletakkan di bawah jagaan Responden, anak-anak ini
akan tinggal bersama nenek dan dibantu pembantu rumah maka keadaan ini adalah lebih baik demi
kebajikan anak-anak tersebut. Mahkamah tidak menafikan bahawa Perayu boleh menguruskan
anak-anak tersebut tetapi menyatakan hak jagaan bersama ini tidak wajar diberikan kepada Perayu
kerana waktu komitmen kerja Perayu bermula jam 8.30 pagi dan balik jam 5.30 petang
menyebabkan masa bersama anak-anak adalah terbatas. Dengan jarak tempat kediaman yang dekat
di antara pihak-pihak, tidak menyukarkan Perayu untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai
penjaga hakiki.

[9] Kami dapati Hakim bicara telah tidak menyentuh fakta mengenai isu status quo hak jagaan
sedia ada yang telah berterusan berlaku dalam kes ini yang telah diberikan pihak-pihak dan saksi-
saksi mereka semasa memberi keterangan dan yang telah dihujahkan semasa kes perbicaraan.

[10] Persoalannya adakah sekiranya berlaku perubahan terhadap cara proses perjalanan keadaan
status quo penjagaan sedia ada akan menjejaskan maslahah dan kepentingan anak-anak ini? Dari
fakta kes, perjalanan jagaan secara bersama antara Perayu dan Responden berjalan lancar dan tiada
sebarang pergaduhan atau pertikaian berkaitan cara penggiliran hak jagaan dengan bantuan

5
pembantu rumah yang disediakan. Anak-anak bersekolah pada waktu siang di mana semasa giliran
di bawah jagaan salah satu pihak, masing-masing akan menguruskan penghantaran dan
pengambilan anak-anak ke dan dari sekolah. Penjagaan anak-anak di rumah semasa ketiadaan
Perayu dan Responden yang masing-masing berkerjaya diurus dan dibantu oleh pembantu rumah
yang sama tidak kira sama ada semasa anak-anak tersebut berada bersama Perayu atau Responden.
Berdasarkan hujahan pihak Perayu, rutin ini masih berlaku sehingga kini walaupun selepas
penghakiman Mahkamah Tinggi Syariah diputuskan. Perayu dan Responden tidak pernah
menghadapi sebarang masalah atau kesukaran menjalankan rutin selepas perceraian menjaga anak-
anak tersebut secara bersama. Kami berpendapat keadaan tersebut tidak wajar diganggu gugat
demi kebajikan, kepentingan dan keperluan kedua-dua anak tersebut yang merupakan
pertimbangan yang paling utama. Kami merujuk kepada sub seksyen 87(2) dan (3) Enakmen
Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 darihal Kuasa Mahkamah membuat
perintah mengenai penjagaan:

(2) Untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan,
pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu dan, tertakluk kepada
pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada—
(a) kemahuan-kemahuan ibu bapa kanak-kanak itu; dan

(b) kemahuan-kemahuan kanak-kanak itu, jika dia telah meningkat umur dapat
menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri.

(3) Adalah menjadi suatu anggapan yang boleh dipatahkan bahawa adalah untuk kebaikan
seseorang kanak-kanak dalam masa dia kecil supaya berada bersama ibunya, tetapi pada
memutuskan sama ada anggapan itu dipakai bagi fakta-fakta sesuatu kes tertentu,
Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan
seseorang kanak-kanak dengan bertukar-tukarnya jagaan.

[11] Di dalam kes ini, tidak ada keterangan yang menunjukkan bahawa telah terjejas maslahah
dan kebajikan kedua-dua anak tersebut semasa di dalam pemeliharaan pihak-pihak. Kami
mengambil perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan anak-anak tersebut dengan

6
mengganggu kelangsungan hal keadaan penjagaan sedia ada yang telah berterusan sejak tempoh
perceraian sehingga sekarang iaitu lebih kurang 4 tahun.

[12] Di dalam kes Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan, Mohd Radhi bin Haji Che Daud lwn
Khadijah binti Yaacob, JH Jilid 17 Bhg 1 muka surat 247, YAA Dato’ Haji Daud bin Muhammad
bersama Tan Sri Datuk Professor Ahmad bin Mohamed Ibrahim dan Dato’ Nik Hashim bin Nik
Abdul Rahman telah membuat dapatan bahawa

“Tujuan hadhanah atau penjagaan kanak-kanak ialah untuk maslahah dan kebaikan
kanak-kanak yang dipelihara sebagai hak asasi bagi kanak-kanak itu dan hak itu mesti
diutamakan lebih dari hak pihak yang ingin memelihara mereka.”

Seterusnya Panel Mahkamah Rayuan tersebut telah merujuk kepada Wan Abdul Aziz lwn Siti
Aishah JH 1 ms 47 :

“Pokok dan tujuan hadhanah ialah maslahah dan kebaikan budak yang dipelihara dan
dijaga sebagai hak asasi bagi budak itu. Hak yang mesti diutamakan lebih dari hak pihak
yang memelihara sebagaimana yang difahamkan daripada fatwa ibnu al Salah yang
tersebut di dalam “Tuhfah” dan “Nihayah” serta diakui muktamadnya oleh Al-
Shabramulsi juga sebagaimana yang disalin oleh Syed Sabiq di dalam Fiqhul Sunnah Jilid
8 yang bermaksud:

“Sesungguhnya setiap yang menjaga dan yang dijaga (anak) mempunyai hak dalam hal
pemeliharaan tetapi hak yang dijaga lebih kuat dari hak yang menjaga.”

[13] Kami merujuk kepada kaedah fiqh:

Maksudnya: “Asal sesuatu itu terletak kekal pada tempatnya kecuali dibuktikan
sebaliknya”.

[14] Berdasarkan rujukan di atas, kami berpendapat bahawa maslahah dan kepentingan anak-
anak ini akan terjejas sekiranya keadaan status quo ini diganggu kerana mereka sudah terbiasa

7
dengan cara proses perjalanan keadaan penjagaan sedia ada selama lebih kurang 4 tahun dengan
lancar dan harmoni. Kepentingan anak-anak ini harus diberi keutamaan sebab anak-anak ini akan
membesar hasil dari usaha kedua-dua Perayu dan Responden. Telah terbukti di dalam fakta kes ini
hak jagaan secara bersama selama 4 tahun ini boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah. YA
Hakim bicara juga telah membuat dapatan bahawa tiada sebarang masalah anak-anak tersebut
tinggal bersama Defendan dalam seminggu. Oleh itu, kami berpandangan apa-apa perubahan
terhadap status quo sedia ada akan memberikan kemudharatan kepada proses tumbesaran anak-
anak tersebut. Berdasarkan dapatan-dapatan kami di atas, kami dengan hormatnya menyatakan
YA Hakim bicara telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dengan tidak mengambil kira
status quo penjagaan kedua-dua anak tersebut yang telah dibuat oleh kedua-dua belah pihak.

[15] Bagi alasan rayuan terhadap perenggan 4 keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tersebut,
kami tidak ditunjukkan oleh Perayu di mana YA Hakim bicara telah terkhilaf dalam memutuskan
perenggan tersebut. Hujahan yang telah dibuat oleh Perayu adalah bersifat andaian semata-mata
tanpa ditunjukkan fakta dan hujahan syarak dan undang-undang.

[16] Kami telah mengambil maklum rujukan-rujukan syarak dan kes-kes yang telah dibuat oleh
kedua-dua belah pihak di dalam memutuskan rayuan ini dan kami mengucapkan terima kasih
kepada kedua-dua peguam yang bijaksana yang telah membantu kami membuat keputusan ini.

[17] Kami mengucapkan tahniah kepada kedua-dua Perayu dan Responden walaupun sudah
tidak bergelar suami dan isteri tetapi tetap memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa dalam
menjaga, memelihara dan membesarkan anak-anak tersebut dengan baik dan bersama serta
memberikan kasih sayang yang sepenuhnya terhadap anak-anak tersebut. Oleh yang demikian,
berdasarkan fakta-fakta dan dapatan-dapatan kami di atas, kami dengan ini membenarkan rayuan
Perayu dan mengekalkan status quo hak penjagaan anak-anak tersebut sedia ada demi menjaga
dan mengutamakan kebajikan anak-anak tersebut terjamin.

8
KEPUTUSAN

SETELAH meneliti Rekod Rayuan dan penghujahan pihak-pihak, MAKA KAMI sebulat suara
memutuskan sebagaimana yang berikut:-

1. Rayuan Perayu dibenarkan.

2. Mahkamah memerintahkan hak jagaan anak bernama NNB binti NMN (No Mykid: XXX)
dan NNE binti NMN (No. Mykid:XXX) dikekalkan status quo dan hendaklah dijaga secara
bersama dan bergilir-gilir di antara Perayu dan Responden seperti berikut setiap bulan
anak-anak dijaga selama 3 minggu bersama Responden dan 1 minggu bersama Perayu.
Masa adalah terpulang kepada perbincangan pihak-pihak.

3. Penghakiman Mahkamah Tinggi Syariah bagi nombor 4 dan nombor 5 adalah dikekalkan.

Anda mungkin juga menyukai