Anda di halaman 1dari 13

Rencana Pakaian Tradisional Melayu

1.0 PENGENALAN

         Pada zaman yang serba moden dan membangun ini, pelbagai jenis dan reka bentuk pakaian

telah terhasil dengan begitu menarik dan elegan sesuai dengan keperluan si pemakainya. Namun

dalam kepesatan industri tekstil di negara ini pakaian tradisional yang ’evergreen’ tidak diketepikan

dan telah diadaptasikan dengan memasukkan elemen-elemen yang baru sesuai dengan citarasa

moden. Pakaian tradisional tidak dilihat sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman malah

menunjukkan identiti sesuatu bangsa atau kaum. Di Malaysia kita mempunyai pelbagai kaum yang

majoritinya terbahagi kepada 3 rumpun yang besar iaitu Melayu, Cina dan India. Setiap kaum ini

mempunyai adat resam, budaya dan pakaian tradisi yang tersendiri. ’Tak lapuk dek hujan dan tak

lekang dek panas’ menjadi simpulan bahasa yang sesuai dengan kegemilangan pakaian tradisional

ini khususnya di Malaysia.

Jika kita susuri sejarah peradaban Kerajaan Kesultanan Melayu Lama, pakaian merupakan

elemen penting untuk menunjukkan status si pemakainya. Pakaian yang ditenun dengan emas dan

berwarna kuning hanya dipakai oleh golongan istana khususnya keluarga di Raja. Sementara

golongan rakyat memakai busana yang biasa sahaja. Ini disebabkan ketidakmampuan memiliki

pakaian tersebut atau ekonomi yang terhad. Begitu juga jika dilihat dalam tatasusila kerajaan China

dan India yang menetapkan pemakaian yang berbeza antara raja, golongan pentadbiran dan rakyat.

Ini menunjukkan kepada kita pakaian dapat menentukan ciri-ciri budaya dan status sesuatu bangsa.

Namun pada hari ini fenomena itu telah mengalami transformasi yang besar. Semua golongan

mampu memilikinya walaupun pada harga yang lebih mahal. Kedudukan dan status bukan satu

penghalang untuk memiliki pakaian yang dihajati.

1.1 OBJEKTIF

          Penulis melakukan kajian ini untuk melihat kepelbagaian pakaian tradisional yang telah

terhimpun begitu lama sejak berabad dulu. Dengan mengenalpasti pakaian-pakaian ini kita dapat

mengetahui identiti sesuatu kaum yang terakam kemas pada kesenian busana tersebut. Apatah lagi

kewujudan pakaian tradisi ini telah merakamkan pelbagai keunikan terhadap kemampuan

penghasilnya untuk menghasilkan busana yang klasik ini.

            Pakaian Tradisional Melayu kaya dengan motif bunga, daun dan alam, seperti Baju Kurung

Teluk Belanga dan Baju Kurung Johor yang menunjukkan keunikan tersendiri. Manakala Pakaian

Tradisi Cina kaya dengan elemen warna merah dan oren yang melambangkan tuah dan kekayaan.
Begitu juga dengan Pakaian Tradisi India yang mementingkan elemen warna putih dan merah terang

untuk melambangkan identiti agamanya yang suci dan berani.

              Kesemua adat resam dan pemakaian pakaian tradisional ini terangkum dalam skop

peradaban yang unik dan gemilang. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk

mengenalpasti identiti kita dan juga identiti bangsa lain supaya kita dapat mengekalkannya untuk

manfaat generasi yang akan datang. Semoga kita dapat hidup dengan aman dan harmoni di dalam

sebuah negara yang maju, seperti kata Perdana Menteri Malaysia iaitu ’’1 Malaysia’’.

1.2 RUANG LINGKUP TUGASAN

         Kajian ini dilakukan dalam ruang lingkup yang lebih khusus iaitu berfokus kepada ’’Pakaian

Tradisional Masyarakat Melayu’’. Kajian ini meliputi pelbagai jenis pakaian Melayu, sejarahnya (asal-

usul contohnya dari negeri mana), ciri-ciri yang ada pada pakaian tersebut dan proses

menghasilkannya. Kajian ini dijalankan, ekoran keperluan untuk mengkaji identiti bangsa sendiri

adalah penting sebelum mengenalpasti identiti bangsa lain. Kebudayaan dan adat resam bangsa

Melayu lebih luas jika dikaji mengikut rentetan sejarahnya yang berabad lama. Sejarah pakaian tradisi

Melayu ini telah tersimpan dalam lipatan memori setiap individu. Ini kerana pemakaian pakaian tradisi

ini tidak terhenti pada sesuatu abad atau tahun sahaja. Ianya merupakan proses kesinambungan dari

satu abad ke satu abad yang lain hingga sekarang. Namun yang pastinya pemakaian pakaian tradisi

merupakan satu elemen yang wajib khususnya bagi kaum Melayu dalam pelbagai acara formal dan

tidak formal.

1.3 DEFINISI KONSEP

            Konsep Pakaian Tradisional Masyarakat Melayu boleh diklasifikasikan seperti berikut:

Menurut Kamus Dewan Pelajar Edisi Kedua Pakaian membawa makna apa-apa sahaja yang dipakai

di badan seperti baju dan seluar. Manakala Tradisional bermaksud bersifat atau bercorak tradisi;

dan Masyarakat merangkumi umat manusia, kelompok manusia, komuniti, bangsa, kaum, suku,

puak, kumpulan etnik, ras, orang ramai, khalayak ramai, penduduk dan mujtamak.

Konsep Melayu pula adalah nama asal bangsa yang mendiami seluruh daerah Nusantara di Asia

Tenggara serta bahasanya, atau dikenali sebagai nama suku bangsa terutama di Tanah Melayu. Jadi

Konsep Pakaian Tradisi Masyarakat Melayu merangkumi apa-apa sahaja yang dipakai oleh bangsa

atau kaum yang berasal dari suku bangsa dari Tanah Melayu dan bersifat tradisi.

2.0 BAJU KURUNG TELUK BELANGA


               Baju Melayu yang biasa di pakai di Malaysia dan negara serantau biasanya terbahagi

kepada dua, iaitu baju Melayu potongan Teluk Belanga dan potongan Cekak Musang. Baju Melayu

Teluk Belanga biasanya lebih terkenal di selatan Malaysia sementara potongan Cekak Musang di

kawasan tengah dan utara Malaysia. Potongan tersebut merujuk kepada cara jahitan pada leher baju

tersebut. Terdapat berbagai bentuk sulaman yang dipadankan seperti Mata Lalat, Tulang Belut dan

sebagainya.

2.1 SEJARAHNYA

             Baju kurung ini telah digunakan oleh lelaki dan perempuan sejak 100 tahun dahulu. Telah

diberi nama sedemikian oleh Almarhum Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Johor sempena baginda

bersemayam di Teluk Belanga. Baju ini juga dikenali sebagai Baju Johor. Justeru itu, hingga ke hari

ini baju tersebut dikenali sebagai Baju Johor atau Baju Kurung Teluk Belanga. Baju ini mula di

perkenalkan di Teluk Belanga, Singapura dan tersebar luas sebagai ciri khas Johor khususnya pada

abad ke-19. Ia juga dikatakan sejenis pakaian lelaki yang dikatakan direka oleh Sultan Abu Bakar

pada tahun 1866 untuk meraikan perpindahan ibu negeri Johor dari Teluk Belanga di Singapura ke

Johor Bahru. Walau bagaimanapun istilah ini akhirnya menjadi ciri khas masyarakat Melayu hingga

disebut selengkapnya ‘Baju Melayu’.

2.2 CIRI-CIRINYA

            Baju ini merupakan baju yang longgar dan selesa dipakai oleh golongan dewasa. Pada

zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar, baju ini telah dihasilkan dalam bentuk yang longgar dan agak

labuh hingga ke tengah betis. Selain itu, ia mempunyai pesak yang kembang di kiri dan kanan badan.

Penggunaan kekek gantung di bahagian ketiak dengan lengan baju yang longgar dan lebar anggaran

sejengkal. Berdasarkan ciri-ciri baju ini ia mementingkan keselesaan si pemakainya. Baju Melayu


dijahit dalam dua cara iaitu berpesak atau potongan moden atau dipanggil potongan Cina. Di mana

lengan baju tersebut disambungkan kepada badan baju. Iaitu secara di sambung terus atau di

jahitkan kebahagian lain yang dinamakan pesak dan kekek.

2.3 CARA PEMBUATANNYA

           Cara pembuatannya dengan menyambungkan pesak, kekek dan lengan baju dengan badan

baju menggunakan mesin jahitan. Kemudian ianya dikelim dan dijahit sembat pula menggunakan

tangan secara manual tetapi dengan jahitan yang halus. Tepi lengan dan kaki baju dilipat dan dijahit

sembat juga secara manual. Leher Baju Kurung Teluk Belanga dibuat bulat seperti bulan ( ia

dipanggil bulan-bulan) dan dibelah menurun di bahagian depan. Tepi lubang leher dijahit

menggunakan sulaman halus yang diberi nama ’’Tulang Belut’’. Leher baju dibuat sedemikian untuk

menguatkan jahitan agar tidak mudah koyak dan kelihatan lebih menarik. 

           Pada leher baju pula, dikenakan sebutir kancing berlengkang. Kancing ini biasanya

berbentuk bulat dan diperbuat dari emas atau perak dan bertatahkan permata. Seterusnya, di

bahagian sebelah kiri baju ini di bahagian pinggang atau rusuk baju disediakan poket kecil.

Kegunaannya untuk menyimpan sapu tangan kecil atau barangan yang halus sahaja. Pada

kebiasaannya, baju kurung ini dipakai dengan kain sarung yang diikat berombak-ombak di rusuk

sebelah kiri atau kanan yang juga dikenali sebagai ’’ombak mengalun’’. Manakala kepala kain diletak

di sebelah belakang. Cara memakai baju juga terdapat perbezaan dimana bagi baju Melayu Teluk

Belanga biasanya sampin dipakai diluar baju. Inilah kesenian yang kekal dan masih digunakan

hingga sekarang. Namun perubahan zaman telah merubah sedikit bentuk klasikal yang terdapat pada

pakaian ini.

3.0 BAJU CEKAK MUSANG


3.1 SEJARAHNYA

    Baju Melayu merupakan pakaian lelaki Melayu dan ia terdiri dari dua jenis iaitu Baju

Kurung Teluk Belanga ataupun Baju Cekak Musang. Baju ini biasanya dipakai semasa menghadiri

majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan Sembahyang Jumaat. Selain

itu ia juga amat sesuai dipakai pada Hari Raya dan juga majlis-majlis rasmi. Pemakai Baju Melayu

kelihatan lebih berseri apabila ia mengenakan samping dan songket. Pada acara-acara biasa seperti

kenduri-kendara dan Sembahyang Jumaat, ia dipakai bersama kain pelekat atau kain tenun sutera.

3.2 CIRI-CIRINYA

              Istilah ini berhubung langsung dengan pola lingkaran leher baju, tengkuk ‘cekak’ tinggi atau

leher tegak empang leher. Pengertian ‘cekak musang’ merakamkan imej alami untuk leher baju yang

bercekak tinggi berdiri (2.5cm) melingkari leher. Ukuran ditentukan oleh lingkaran (bulat) yang dibuat

dengan ibu jari lain yang bertemu hujungnya. Cekak Musang berbentuk seperti leher baju India hanya

bahagian penutup atau rumah butangnya bertindan. Baju ini mula dipakai di Johor ketika

pemerintahan Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar, baju Melayu Cekak Musang baju di dalam

sampin.

             Baju Kurung Cekak Musang adalah sama dengan Baju Kurung Teluk Belanga kecuali pada

bahagian lehernya. Leher baju kurung cekak musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari

dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing.

Biasanya ada satu kancing pada kolar dan dua atau tiga lagi kancing pada bukaannya. Butang emas

atau emas berbatu permata digunakan sebagai pengancingnya. Kancing yang paling terkenal ialah
kancing emas yang dipanggil garam sebuku dan kancing berbatu permata yang dikenali sebagai

kunang-kunang sekebun.

4.0 BAJU KEBAYA PANJANG

4.1 CIRI-CIRINYA

Walaupun wanita Johor terkenal dengan baju kurung, tetapi dalam acara majlis,

mereka muncul juga dengan memakai kebaya, sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau. Pola

baju belah panjang ini masih bersifat ‘mengurungkan’ anggota badan. Secara tradisi potongannya

labuh sehingga buku lali. Cuma bezanya ia berbelah dan berpesak di hadapan baju ini, umumnya

dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi. Baju belah panjang ini terkenal di Melaka,

Perak, Selangor dan Kedah-Perlis. Baju kurung belah ini kemudiannya dikenali sebagai ‘baju panjang’

dan ‘kebaya panjang’. Tradisi ini berkembang menjadi kebaya dan bertangan panjang berpesak lurus

di hadapan, berkekek dan berbelah dada yang ditutup dengan kancing atau kerongsang tiga.

  Baju kebaya dipakai oleh wanita Melayu. Ada dua teori tentang asal baju kebaya. Satu

mengatakan perkataan 'kebaya' itu berasal daripada perkataan Arabhabaya yang bermaksud pakaian

labuh yang berbelah di hadapan. Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis

ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka; bukan sahaja oleh wanita Melayu

tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya

memakainya.
5.0 BAJU KEBAYA LABUH

5.1 CIRI-CIRINYA

             Baju kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih.Tangannya panjang

dan lebar. Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari

bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju.

Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan

rantai halus. Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang. Kerongsang yang besar dan

di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak. 

              Kebaya ada pelbagai gaya. Contohnya di Selangor, kebayanya tidak berkolar. Di Perak pula

lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain. Di Pahang

pula, baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan

berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju

kebaya yang lain; malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu.

Baju kebaya sesuai untuk pakaian harian dan juga pakaian pengantin. Bagi pakaian harian, baju

kebaya sesuai diperbuat daripada kain kapas dan baldu atau sutera (bagi yang berada) dan

dipadankan dengan kain sarung. Selendang hanya dikenakan apabila keluar rumah. Bagi pengantin

pula, baju kebayanya diperbuat daripada songket dan sepasang dengan kain

sarungnya. Selendangnya juga diperbuat daripada songket.

6.0 BAJU KURUNG


6.1 SEJARAHNYA

              Baju kurung dianggap popular dan dipakai oleh lelaki dan perempuan. Perbezaannya

terletak pada bahagian kocek iaitu lelaki mempunyai tiga kocek manakala perempuan mempunyai

satu kocek serta perbezaan daripada segi pemakaian. Pengertian kurung secara tidak langsung telah

membawa erti ‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara

Melayu setelah kedatangan Islam sehinggalah istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan

longgar, labuh atau panjang. Sehingga disebut dengan berbagai-bagai nama misalnya ‘baju kurung

bernyawa’ walaupun mempunyai pelbagai nama namun baju kurung telah menampilkan ciri-ciri yang

tersendiri.

6.2 CIRI-CIRINYA   

             Baju yang dipakai oleh lelaki labuhnya adalah separas punggung, alas lehernya lebar dan

mempunyai tiga kocek iaitu di dada kiri, di dada kanan dan di bahagian bawah hadapan baju,

manakala baju kurung yang dipakai oleh kaum wanita pula labuhnya hingga ke lutut dengan satu

kocek di dada kiri atau pun tanpa kocek. Kaum lelaki memakai baju ini dengan seluar panjang

samada seluar Acheh atau Seluar Panjut. Kaum wanita pula memadankannya bersama kain samada

kain dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ombak

mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri. Kepala kain sarung

lazimnya diletakkan ke belakang apabila dipakai dengan baju kurung ini.

             Pada masa dahulu, wanita Johor memadankan baju kurung dengan kain dagang luar, iaitu

sehelai kain sarung yang pada asalnya digunakan sebagai kain kelubung untuk menudung kepala

dan berlindung dari cahaya matahari apabila keluar berjalan. Kain dagang luar ini dikenakan di

pinggang seperti kain samping lelaki dengan ombak-ombaknya di bawa ke rusuk kiri dan disaukkan

pada lengan atau dipegang dengan tangan. Kain mantul, iaitu sehelai selendang pendek yang

bertekat dengan kelingkan emas biasanya akan disangkutkan ke bahu apabila si pemakai

mengenakan baju kurung dengan kain dagang luar ini. Walaubagaimanapun, baju kurung pada hari

ini tidak lagi dipakai dengan kain-kain tradisional sebegini yang lazimnya hanya digunakan oleh

masyarakat Melayu zaman dahulu.


7.0 BAJU KURUNG KEDAH

7.1 SEJARAHNYA

                   Baju kurung Kedah dipercayai berasal dari selatan Thailand di mana wanitanya kini

memakai baju berleher potongan bujur sireh. Ianya dikenakan bersahaja, ketika bekerja di rumah

sebagai pakaian harian. Baju kurung Kedah selalunya diperbuat daripada kain kapas yang berbunga

kecil ataupun kain nipis yang jarang dan keras. Baju ini dipadankan dengan kain batik sarung atau

pelikat yang diikat ke depan dengan motif kepalanya di hadapan.

 8.0 PAKAIAN BATIK

                 Pakaian batik Malaysia adalah kehalusan seni rekaan yang mempamerkan kreativiti

ketinggian seni kebudayaan Malaysia khususnya masyarakat Melayu. Pembuatan pakaian ini secara

luasnya terdapat di negeri Kelantan dan Terengganu. Pembuatannya yang rumit membuatkan

harganya sedikit mahal berbanding dengan baju-baju tradisi yang lain. Pemakaian baju batik telah

banyak diketengahkan dalam acara rasmi seperti perasmian sesuatu majlis dan pelbagai majlis

bukan rasmi. Dewasa ini, kerajaan telah mewajibkan pemakaian baju batik di setiap jabatan kerajaan

pada setiap hari Khamis untuk memberi sokongan terhadap industri batik. Ini menunjukkan baju batik

telah menjadi sebahagian baju tradisi yang terus diwarisi.

8.1 SEJARAHNYA

                                      Sejarah pemakaian batik di Malaysia telah bermula sejak abad ke-15, batik telah banyak

menerima pengaruh secara langsung dari daerah-daerah lain di Kepulauan Melayu seperti Pulau

Jawa. Sejarah telah mencatatkan bahawa Indonesia adalah pembuat batik yang utama sejak abad

ke12. Ini diikuti oleh Malaysia. Pemakaian baju batik amat sinonim dengan wanita yang dikaitkan
dengan sikap seorang wanita yang lemah lembut dan bersopan santun. Ini dibuktikan oleh sejarah di

mana batik telah dipakai oleh golongan wanita sejak 200 tahun yang lalu. Dalam masyarakat

Malaysia, pemakaian batik telah meluas digunakan sebagai kain sarung, baju kemeja dan baju

kurung.

                       8.2 CIRI-CIRINYA

Baju batik mengadaptasikan pelbagai jenis batik antaranya Batik Lukis dan Batik Cap.

Batik Lukis mempunyai corak yang menarik dan unik. Ia dihasilkan mengikut kreativiti dan kemahiran

pelukis. Warna yang selalu dihasilkan adalah warna putih dan hitam. Batik Cap lebih seragam.

Coraknya berulang-ulang dan corak yang selalu kita lihat ialah pada kain sarung. Kain sarung amat

popular di kalangan wanita –wanita Melayu. Batik sarung ini di pakai sebagai pakaian seharian atau

kain basahan. Biasanya kain ini hanya dijahit di bahagian tepi kain untuk menyambungkan kedua-dua

bahagian. Batik lepas pula adalah lebih panjang dan tidak perlu dijahit apabila hendak dipakai. Batik

lepas juga digunakan oleh si ibu untuk menggendong anak apabila keluar bekerja di sawah.

Corak batik lepas tiada berkepala dan warnanya juga senada. Kain batik lepas dipakai

oleh wanita ketika menghadiri majlis-majlis rasmi yang dipadankan dengan kebaya. Terdapat

pelbagai corak tradisional Melayu yang sering dilakar pada batik ialah bunga, seperti Bunga Pecah

Lapan, Bunga Berbaling, Tampuk Manggis, Sula Bakung, Daun Keladi dan sebagainya.

8.3 CARA-CARA PEMBUATANNYA

Bahan-bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan batik ialah kain, lilin,

canting, blok untuk mengecap, pewarna, kanji dan soda. Penyediaan perlu dilakukan sebelum

membuat batik antaranya meja yang tinggi separas pinggang. Meja ini dialas dengan kelopak batang

pisang yang berupaya menyerap lilin yang dicetak pada permukaan kain. Kemudian sebuah kuali

yang berisi lilin cair diletakkan berhampiran pelukis. Sebuah kuali lagi disediakan untuk mendidihkan

air bagi proses menanggalkan lilin.

Proses seterusnya ialah mencanting, kain yang direntang akan dicorakkan

menggunakan canting. Proses mencanting adalah sebagai melakar semula dengan cecair lilin bagi

memudahkan proses mewarna. Seterusnya proses mewarna, corak-corak yang dilakar akan

diwarnakan dengan menggunakan cat air, kemudian dikeringkan di dalam bilik khas selama satu hari.

Selepas kering, kain akan dimatikan warnanya dengan direndam di dalam larutan sodium silicat

selama 6-12 jam. Kemudian kain direbus dengan larutan soda untuk menghilangkan lilin. Akhir sekali

kain dicuci dengan air bersih dan dikeringkan di bawah cahaya matahari.
9.0 CELANA

             Pada masa dahulu, lelaki golongan istana dan golongan berada memakai seluar yang besar

dan longgar yang dikenali sebagai kain seluar, seluar Aceh atau seluar Lambok. Kain seluar ada yang

pendek dan ada yang panjang. Kain seluar yang pendek hanya separas lutut dan biasanya dipakai

untuk bersantai di rumah. Kain seluar yang panjang pula adalah separas betis dan digunakan ketika

keluar rumah atau ke majlis rasmi. Kaki dan pinggang kain seluar sangat lebar. Kain seluar terdiri

daripada lapan bahagian yang dicantumkan. Empat bahagian yang di tengah berfungsi sebagai kekek

supaya selesa dipakai. Kain seluar dipakai seperti memakai samping; melipat ke hadapan (box-pleat)

dan menggulungnya atau mengikatnya dengan tali pinggang. 

                Kain seluar dilengkapi dengan satu poket. Poket dibuat pada bahagian hadapan sebelah

kiri seluar (bukan pada kekeknya). Kain seluar diperbuat daripada sutera yang berwarna-warni dari

kain songket emas atau perak. Bahagian yang paling banyak bunga songketnya ialah bahagian

hujung kaki dan bukaan poket. Satu lagi seluar yang kerap dipakai ialah seluar panjang atau seluar

panjut. Seluar panjang juga lebar bahagian pinggangnya. Pada kelepet pinggang seluar panjang ada

lubang kecil bagi memasukkan pita atau tali pinggang yang digunakan untuk memanjut seluar ini.

Seluar panjang terdiri daripada empat bahagian sahaja kerana seluar panjang tidak berkekek seperti

kain seluar. Kaki seluar panjang menirus ke bawah. Pada bahagian sisi kaki seluar panjang ada

bukaan yang dipasangkan butang. Biasanya lima atau enam butang digunakan. Panjang seluar ini

mencecah buku lali.

10.0 KAIN SARUNG

                Kain sarung Melayu terdiri daripada sebidang kain lebar yang dicantumkan kedua-dua

hujungnya. Kain sarung diperbuat daripada benang kapas dan sutera. Ada juga kain sarung yang

diperbuat daripada tenunan songket. Biasanya kain sarung songket hanya dipakai apabila ada majlis

rasmi atau sebagai pakaian pengantin. Kaum lelaki memakai kain sarung dengan baju Melayu. Kain

sarung dilipat ke hadapan (dari sisi kiri dan kanan; box-pleat) dan digulung. Kaki kain dilepaskan

hingga ke buku lali, Jika kain sarung dipakai bersama-sama seluar, kaki kain sarung disingkatkan

hingga ke paras lutut dan menjadi samping. Kaum wanita memakai sarung bersama-sama baju

kurung atau baju kebaya. Kain sarung diikat atau dililit di pinggang. Kaum wanita mengikat sarung

dengan pelbagai cara. Iaitu dengan cara membuat satu lipatan yang ditindan ke hadapan badan, atau

dengan lipatan-lipatan kecil yang dikumpulkan pada salah satu sisi badan; dikenali sebagai ombak

mengalun. Untuk mengemaskan atau memastikan kain sarung tidak terlucut, tali pinggang atau pita

kain digunakan untuk mengikatnya.


Kepala kain atau bahagian yang pada kain itu dihalakan ke belakang. Ada dua sebab

mengapa kain itu dipakai di belakang, pertama, untuk memastikan bahagian itu terserlah; tidak

termasuk ke lipatan kain (pada bahagian depan) dan kedua, supaya kelihatan sopan apabila

membelakangkan orang di mana kepala kain yang cantik itu menjadi tarikan kepada orang yang

membelakangkan. Kaum wanita juga memakai sehelai lagi kain sarung di atas bajunya. Kain sarung

ini dipakai dengan tiga cara. Cara pentama dipanggil dagang luar. Dalam cara ini, kain sarung

dikumpul di sisi badan dan disauk dengan tangan. Kepala kain dihalakan ke belakang. Cara yang

kedua dipanggil kain tudung. Dalam cara ini, kain sarung dipakai menyelubungi kepala. Tujuannya

ialah untuk melindungi si pemakai daripada cuaca panas. Kepala kain diletakkan di atas kepala. Cara

yang ketiga pula dipanggil kain selempang. Dalam cara ini, kain sarung dikedut menjadi gelungan dan

diselempangkan di bahu. Kepala kain diletakkan di hadapan badan.

11.0 SAMPING

               Samping mirip seperti kain sarung, bezanya cuma samping lebih pendek daripada kain

sarung. Samping dipakai oleh kaum lelaki Melayu bersama-sama baju Melayu dan seluar panjang.

Samping diikat di pinggang di sebelah luar, di atas baju dan seluar. Bahagian kaki samping dilepas

hingga ke lutut atau betis. Samping dipakai dengan cara melipat sisi kiri dan sisi kanannya supaya

bertindan di tengah-tengah di hadapan badan (box-pleat). Kemudian bahagian yang bertindan itu

digulung atau dikemaskan dengan tali pinggang ataupun bengkong. Selain daripada cara yang

disebutkan di atas, samping juga dipakai dengan pelbagai gaya supaya lebih menarik. Antaranya

ialah dengan cara melipat-lipatnya di sisi badan dan menyimpulnya dengan simpulan seperti tanduk

atau bunga, mengikatnya dengan tali pinggang atau bengkong. Jika tali pinggang digunakan, pending

dipasangkan menjadi kepala tali pinggang supaya nampak lebih kemas dan lebih hebat.

    Pada asalnya samping lelaki adalah panjang hingga ke buku lali dengan bahagian

hadapannya disingkatkan bagi menampakkan seluar di bahagian dalamnya. Kini samping yang lebih

pendek; kakinya hingga ke paras lutut lebih digemari kerana lebih ringkas dan lebih selesa dipakai. Di

sesetengah tempat, di Johor misalnya, samping dipakai oleh kaum lelaki di sebelah dalam di bawah

baju kurung Teluk Belanga mereka. Samping yang dipakai dengan cara ini dipanggil kain samping

dagang dalam. 

12.0 SELENDANG

                  Selendang biasa adalah lebih kecil dan lebih nipis daripada selendang panjang.

Bagaimanapun corak selendang biasa lebih digemari kerana lebih ringkas dipakai. Selendang biasa

dipakai dengan menyangkutkannya di atas satu bahu ataupun kedua-dua bahu; menutupi kepala dan
bahu; diselempang di bahu kemudian melintasi badan dan diikat di pinggang; disangkut di bahu

dengan hujung yang di belakang diselempangkan di belakang badan dan disangkutkan pada tangan

(hujung yang satu bagi dilepaskan dihadapan badan) dan pelbagai cara lagi.

                  Selendang biasa diperbuat daripada tenunan sutera yang sudah menjalani proses ikat dan

celup atau dikenali dengan nama kain limar. Sisi selendang biasa dikemaskan dengan tenunan

benang emas. Kadang-kadang selendang ini juga disongket atau disulam dengan bunga emas. Di

Kelantan, selendang biasa dipakai oleh kaum wanita sebagai kain kemban semasa mengenakan

pakaian Cik Siti Wan Kembang. Selendang biasa juga turut digunakan dalam upacara lenggang

perut iaitu upacara yang dibuat ketika wanita mengandung tujuh bulan.

 13.0 RUMUSAN

            Pada umumnya, adat resam budaya yang kita bina sejak berabad lama perlu dikekalkan dan

dipelihara untuk kesinambungan generasi akan datang. Masyarakat Melayu menitikberatkan

keperibadian luhur dan murni, serta dibekalkan dengan pakaian tradisi untuk melindungi anggota

badan. Justeru itu, perkara ini perlu diteruskan sebagai satu usaha memelihara pakaian tradisional

masyarakat Melayu agar terus dikenali sejajar dengan perkembangan dunia fesyen tanahair.

Walaupun persaingan dunia peragaan dan busana telah berkembang pesat, tetapi permintaan

terhadap pakaian tradisional Melayu masih mendapat tempat di hati masyarakat kita. Ini bertepatan

dengan peribahasa Melayu yang berbunyi ’Tak lekang dek panas dan Tak lapok dek hujan’. Semoga

kegemilangan pakaian tradisional Melayu akan terus terpelihara dan berterusan dari satu generasi ke

generasi akan datang.

Anda mungkin juga menyukai