Anda di halaman 1dari 2

PELUANG BISNES : PERTANIAN DI HUJUNG JARI

Oleh : Syarifah Rohaya bt Hj Wan Idris

Sektor Pertanian sering dikaitkan dengan persepsi negatif terutamanya dari kalangan orang muda.
Pembabitan belia dalam industri pertanian secara keseluruhannya terlalu rendah. Pada tahun 2019
merekodkan 14 peratus penurunan pembabitan golongan belia dalam inidustri ini. Antara faktor
menyumbang peminggiran golongan belia terhadap industri pertanian ialah 3D (kotor, bahaya dan
sukar), kerja terlalu memenatkan dan tidak menguntungkan selain masalah sumber tanah,
kemahiran dan pendedahan

Bagi menangani persepsi negatif itu, kerajaan sama ada di peringkat persekutuan dan negeri sedang
mempromosi penggunaan teknologi moden dan pintar bagi menyokong sektor pertanian tepat.
Sejajar dengan itu juga, kerajaan perlu membentuk usahawan moden dan kompetitif dalam sektor
pertanian yang mampu mempelbagaikan hasil pengeluaran mereka, menghasilkan produk bernilai
tinggi dan meningkatkan pendapatan. Mereka juga perlu berani mengambil risiko dan mencuba
teknik-teknik terbaru yang berinovasi dalam usaha memaksimakan keuntungan, meminimakan kerja,
dan meningkatkan perniagaan. Selain sokongan dari aspek perkongsian informasi terkini dan
kemahiran serta latihan dalam menjalankan perniagaan termasuk mencipta model perniagaan,
mengguna pakai teknik-teknik moden dan membawa hasil mereka ke pasaran.

Di negeri Sarawak, antara usaha kerajaan adalah dengan memperkenalkan konsep pertanian pintar
di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang bertempat di Rampangi, Santubong bermula
tahun 2018. Ianya telah menarik penyertaan 18 peserta yang mana 87 peratus adalah belia. Peserta
yang mempunyai pelbagai latar belakang akademik mampu menjana pendapatan antara RM7,000
hingga RM10,000 sebulan.

TKPM Rampangi merupakan salah satu daripada 4 buah TKPM yang berjaya di Sarawak. Tiga TKPM
lain adalah TKPM Kabuloh (Miri), TKPM Penipah (Mukah) dan TKPM Semenggok (Kuching).
Pengujudan TKPM adalah untuk mengeluarkan bahan makanan negara seperti sayur-sayuran, buah-
buahan dan sebagainya yang mana ia kekal pengeluarannya dikawasan yang dikhaskan. Kawasan ini
mempunyai infrastruktur yang lengkap seperti jalan ladang, sistem perparitan, sistem pengairan,
utiliti air dan letrik malahan di sesetengan TKPM dilengkapkan dengan Rumah Struktur Pelindung
Hujan (SPH) atau Rumah Kalis Serangga (RKS).

Justeru itu, di dalam program Jom Turun Padang Ke Arah Kemakmuran Bersama pada 16 Januari
2020 yang lalu bertempat di Hotel Meritz Miri, IKM Zon Sarawak telah mengambil inisiatif untuk
berkongsi dan menyebarkan ilmu dan informasi berkenaan pertanian pintar atau Smart Farming ini.

Kertas kerja tersebut telah dibentangkan oleh Yang Berusaha Pn. Chong Mui Sia merupakan Pegawai
Pertanian Kanan di Jabatan Pertanian Negeri Sarawak. Beliau merupakan individu yang terlibat
secara langsung di dalam Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Rampangi,
Santubong, Kuching yang menggunapakai konsep Smart Farming dan IoT (Internet of Things).

Menurut beliau, pertanian pintar adalah satu konsep perubahan kaedah pertanian tradisional
kepada pertanian moden yang menggunakan sistem teknologi seperti GPS, internet tanpa sempadan
(IOT), pengimbasan tanah dan pengurusan data yang selari dengan revolusi industri 4.0 yang
bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dalam pertanian sekali gus mengurangkan
kebergantungan sumber makanan import dan menghasilkan rantaian makanan yang cekap.
Penggunaan sistem itu merupakan salah satu pendekatan yang menepati hasrat untuk memodenkan
sektor pertanian negeri Sarawak, selaras dengan dasar ekonomi digital yang diperkenalkan oleh
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.
Konsep pengurusan pertanian ini berkisar di sekitar pemerhatian, ukuran dan gerak balas kepada
keanjalan antara dan intra dalam tanaman dengan menggunakan satelit, dron atau pengurusan
pertanian khusus di tapak atau kawasan pertanian. Sistem IOT yang dipasang di Rampangi
merangkumi 'sensor' untuk memantau serta mengawal input baja, suhu dan kelembapan. Menerusi
sistem ini, petani dapat memantau dan mengawal kegiatan pertanian dari mana saja menggunakan
telefon pintar menerusi aplikasi yang dicipta khas. Sistem ini sangat mesra pengguna dan mudah
dikendalikan. Ia tidak lagi membabitkan penggunaan tulang empat kerat sepenuhnya seperti
pertanian konvensional terdahulu, tetapi dipacu oleh teknologi di hujung jari.

Penggunaan sistem IOT ini dapat meningkatkan produktiviti pertanian dapat seterusnya mampu
menembusi pasaran antarabangsa. Secara tidak langsung, ianya akan membolehkan produk
pertanian terutamanya di negeri Sarawak dapat bersaing dengan negara lain dalam pasaran global.

Kebanyakan peserta yang hadir melebihi 300 orang di kalangan warga koperasi, usahawan dan
individu dari bahagian Miri dan kawasan sekitarnya berasa cukup teruja dan bertuah serta berpuas
hati dengan perkongsian Smart Farming dalam program tersebut sebagai satu langkah awal bagi
mereka mengorak langkah ke arah sistem pertanian moden dengan mengaplikasikan Smart Farming
dan IoT.

Anda mungkin juga menyukai