Anda di halaman 1dari 2

Melati kuntum tumbuh melata,

Sayang merbah di pohon cemara;


Assalamualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Mencari timba si anak dara,


Di bawah sarang burung tempua;
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Program ini adalah untuk memberikan gambaran dan membantu bagaimana para pelajar
boleh meningkatkan lagi potensi diri sebagai pelajar untuk mencapai kejayaan
terutamanya peperiksaan yang semakin dekat iaitu PMR. Para fasilitator dalam program
ini adalah terdiri daripada mereka yang cemerlang dan boleh membimbing para pelajar
walaupun tidak sepenuhnya kerana hanya beberapa hari sahaja program ini dijalankan.

Untuk pengetahuan semua yang hadir pada malam ini, program ini merupakan program
kebajikan untuk membantu para pelajar luar bandar agar dapat bersaing dengan sekolah-
sekolah yang cemerlang. Jika kita lihat pada zaman sekarang, ramai pelajar luar bandar
kurang menonjol dalam bidang akademik yang dipengaruhi banyak faktor tidak seperti
pelajar sekolah cemerlang yang banyak mendapat bahan bantuan pengajaran yang lebih
baik dan moden.

Saya difahamkan oleh saudara pengarah program, matlamat program ini adalah untuk
membantu dan merealisasikan harapan negara dalam melahirkan pelajar yang cemerlang
bukan sahaja daripada aspek akademik, malahan sahsiah peribadi. Menyemai sikap suka
akan aktiviti-aktiviti yang bercorak akademik dan membuktikan bahawa aktiviti-aktiviti
yang bercorak akademik boleh mendatangkan keseronokan disamping banyak
mendatangkan faedah untuk memajukan diri dalam mencapai kejayaan.

Saya amat berbangga dengan para mahasiswa kerana dapat menjayakan program dengan
titik peluh sendiri dan bekerjasama dalam menjayakan program ini tanpa ada bantuan dari
sesiapa dan hanya dipantau oleh Felo Kolej supaya mereka melakukan program yang
tidak melanggar prosedur dan juga memberikan cadangan untuk mencantikkan dan
menjadikan program ini lebih menarik.
Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah
yang sudi menerima para mahasiswa UTM untuk mengadakan program yang mulia dan
amat bermakna ini. Tidak lupa juga kepada tetamu *********** yang sudi hadir
bersama pada majlis malam ini.

Bunga dedap di atas para,


Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Pohon berangan tempat bertemu,


Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan Negara.

Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai