Anda di halaman 1dari 3

PEDAGOGI DALAM PENDIDIKAN

Pomizi Resources.Com
STRATEGI
STRATEGI PENGAJARAN & PEMBELAJARAN

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, tiada satu kaedah dan strategi yang khusus dan terbaik boleh
diaplikasikan di dalam kelas yang mempunyai kepelbagaian murid terutamanya murid berkeperluan khas. Ia
terpulang kepada daya kreativiti guru dan kesesuaian kehendak murid untuk mencapai objektif pengajaran dan
pembelajaran pada ketika itu. Ini kerana tahap penerimaan murid terhadap bahan yang diberikan ada berbagai-
bagai iaitu ada yang cepat, sederhana dan ada yang lambat.

Faktor kecerdasan mempengaruhi daya serap murid terhadap bahan pelajaran yang diberikan oleh guru. Oleh
yang demikian, dalam sesi pembelajaran, guru seharusnya memiliki strategi dan kaedah yang khusus agar murid
dapat belajar secara lebih efektif dan efisien. Justeru itu, strategi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan
di dalam kelas pendidikan khas boleh diklasifikasikan mengikut tumpuan kepada tiga unsur utama iaitu:
 Strategi pemusatan guru
 Strategi pemusatan murid, dan 
 Strategi pemusatan bahan pelajaran

Strategi Pemusatan Guru

Strategi pemusatan guru merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah lama diamalkan dalam
bilik darjah. Di bawah strategi pengajaran dan pembelajaran ini, guru memainkan peranan yang utama. Di dalam
kelas, gurulah yang menguasai dan mengawal segala aktiviti pelajaran iaitu guru banyak memberi penerangan
dan pelajar hanya duduk mendengar. Brophy (1978) , menyatakan bahawa pengajaran pemusatan guru
merupakan pendekatan yang mudah dirancang dan diurus, membekalkan model untuk pemikiran yang betul dan
mengelakkan suasana elitis yang sering dikaitkan dengan kaedah kumpulan. Kaedah pengajaran secara kelas,
demontrasi atau tunjuk cara, bercerita, kaedah penyoalan dan pengajaran berpasukan adalah kaedah yang
menjadi pertimbangan semasa menggunakan strategi pemusatan guru.

Ciri–Ciri Strategi Pemusatan Guru


 Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru memainkan peranan yang penting sedangkan murid
berperanan sebagai penonton sahaja.
 Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah sehala. Guru banyak bercakap dan murid
banyak mendengar.
 Ciri kepimpinan guru bersifat autokratik. Murid tidak berpeluang menyumbangkan pendapat mereka.
Guru banyak bertindak mengawal dan memberi arahan.
 Strategi pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pengajaran guru.
 Penyebaran ilmu pengetahuan lebih diutamakan daripada penyuburan nilai murni atau perkembangan
emosi.
 Strategi ini mementingkan pencapaian murid berdasarkan keputusan ujian dan peperiksaan.
 Teknik mengajar guru ditumpukan kepada penyampaian fakta-fakta secara menghafal. Pembelajaran
murid banyak berbentuk mengingat dan menghafal dan kurang berupaya membuat interpretasi.
 Interaksi di antara murid adalah pasif dan sifat-sifat sosial yang positif kurang dapat dipupuk.
 Mementingkan pengelolaan kaedah keseluruhan kelas. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat
tidak diberikan perhatian.
 Di bawah strategi ini, murid menjadi kurang kreatif dan berinisiatif.

Strategi Pemusatan Murid

Di bawah strategi berpusatkan murid ini, murid memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran.
Mengikut strategi ini, murid digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mereka. Di dalam
bilik darjah, guru merupakan seorang pemimpin yang memandu murid menjalankan aktiviti pembelajaran, sama
ada secara kumpulan ataupun individu. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, lebih banyak masa akan
diperuntukkan kepada aktiviti pembelajaran murid. Kaedah kumpulan, lawatan, bermain, simulasi atau main
peranan dan pengajaran individu adalah kaedah yang menjadi pertimbangan semasa menggunakan strategi
pemusatan murid terutamanya murid di dalam kelas.

Ciri–Ciri Strategi Pemusatan Murid


 Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid memainkan peranan yang penting sedangkan
peranan guru merupakan pemimpin yang membimbing murid menjalankan aktiviti pembelajaran.
 Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah secara dua hala.
 Ciri kepimpinan guru bersifat demokratik. Murid digalakkan memberi pendapat mereka.
 Strategi pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pembelajaran murid.
 Peluang interaksi di antara murid adalah banyak dan sifat-sifat sosial yang positif seperti tolong-
menolong, berkerjasama dan bertolak ansur jelas dapat dipupuk.
 Strategi ini mementingkan pengelolaan kaedah kumpulan. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan
minat diberikan perhatian.
 Di bawah strategi pemusatan murid, lazimnya murid menunjukkan sifat kreatif dan berinisiatif.

Strategi Pemusatan Bahan

Bahan pelajaran memainkan peranan yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan
menggunakan strategi ini, guru boleh menyampaikan pelajarannya dengan lebih mudah, menarik serta berkesan
manakala murid pula boleh memahami pelajaran dengan lebih bermakna serta boleh menjalankan aktiviti
pembelajaran dengan secara sendiri atau secara kumpulan tanpa kehadiran guru. Bahan pelajaran yang
digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran biasanya boleh dikategorikan kepada dua iaitu:

Bahan pengajaran

Bahan yang digunakan oleh guru seperti carta, model, graf, peta, gambar, slaid, radio, perakam pita, video,
televisyen dan projektor.

Bahan pembelajaran

Bahan yang digunakan oleh murid dalam aktiviti pembelajaran seperti kad aktiviti, kad cantuman, lembaran kerja,
pembilang, bahan bercetak dan komputer.

Penggunaan komputer sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran juga telah semakin berkembang dalam
program pendidikan khas. Gearheart dan Gearheart (1989), Hawkridge dan Vincent (1992) serta Mather dan Bos
(1994), sependapat menyatakan bahawa murid bermasalah pembelajaran dan tingkah laku memperolehi
pengetahuan dan kemahiran baru melalui kaedah literasi komputer. Ia mungkin disebabkan oleh kaedah ini
memaparkan sesuatu yang baru dan menarik perhatian. 

Ciri–Ciri Strategi Pemusatan Bahan


 Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, bahan pengajaran memainkan peranan yang penting.
Guru atau murid perlu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan bahan pelajaran untuk mencapai objektif
pengajaran.
 Lebih mengutamakan kecekapan dan kemahiran menggunakan bahan pelajaran untuk mencapai
objektif pengajaran.
 Dapat membantu murid memahami konsep yang abstrak dengan lebih jelas di samping memupuk
semangat berdikari dengan menjalankan aktiviti pembelajaran tanpa kehadiran atau pertolongan guru.
 Sifat-sifat sosial yang positif dapat dipupuk melalui kaedah kumpulan yang melibatkan penggunaan
bahan pembelajaran.
 Mementingkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bermakna melalui pengalaman yang
sebenar. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang abstrak dapat dikaitkan dengan situasi yang konkrit
Ketiga-tiga strategi ini saling berkaitan di antara satu sama lain di samping perlunya kemahiran dan kreativiti
seseorang guru itu untuk memilih, merancang, menyusun dan menguruskan kaedah serta teknik mengajar
dalam objektif pelajaran pada peringkat optimum. Ketiga-tiga strategi yang dinyatakan sememangnya
mempunyai kelebihannya sendiri. Namun begitu, strategi pemusatan murid adalah yang paling ideal dalam
melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

  1  2  3  4  5  6 

Home
Subscribe to: Posts (Atom)

PEDAGOGI PENDIDIKAN
 TEORI
 MODEL
 STRATEGI
 PENDEKATAN
 KAEDAH
 TEKNIK

PAUTAN POMIZI
 E-BOOK SHOP POMIZI RESOURCES.COM
 PENYELIDIKAN TINDAKAN

PENGUNJUNG

KALENDAR & WAKTU


PEDAGOGI PENDIDIKAN. Picture Window theme. Powered by Blogger.

Anda mungkin juga menyukai