Anda di halaman 1dari 7

PROSA TRADISIONAL MELAYU

CERITA MITOS

Cerita mitos dianggap mempunyai kebenaran apa yang berlaku pada suatu masa dahulu.
Pada ketika itu dipercayai, diajarkan untuk diyakini dan dirujuk sebagai kebenaran mutlak

ž Bersifat suci, berkaitan dgn sistem kepercayaan dan mempunyai konotasi ritual

ž Watak utamanya bukan sahaja manusia tetapi boleh juga binatang, tuhan, dewa dan wira
budaya yang biasanya memiliki sifat manusia.

ž Mitos (myth)ialah suatu cerita dongeng ygang dikatakan pernah terjadi dlm masyarakat.
Mitos juga berkaitan dengan asal-usul sesuatu/ kejadian, dan tempat.Contoh:

¢ Mitos Gunung Jerai yg dikatakan kapal membawa Puteri Jerai bertukar menjadi batu
apabila ditegur oleh Sang Gedembai

¢ Mitos asal-usul raja-raja Melayu daripada Raja Iskandar Zulkarnain

¢ Mitos nama Melaka berasal daripada nama pokok Melaka

CERITA LEGENDA

ž Cerita legenda adalah cerita yang berunsur sejarah berlalu dan dipercayai benar-benar
berlaku oleh pencerita dan pendengarnya.

ž Biasanya bercampur aduk antara fakta sejarah dan unsur imaginasi yg dimiliki oleh
masyarakatnya. Latar tempatnya benar-benar wujud dan latar masa pula meliputi zaman
kontemporari, baru berlalu dan juga zaman lampau.

ž Cerita kehebatan seseorang tokoh yg dianggap penting dalam sejarah. Dalam cerita
berkenaan terkandung fakta dan dongeng semata-mata untuk mengangkat kehebatannya,
contoh:

¡ Legenda Si Tenggang (Tanah Melayu/ Sumatera)

¡ Hang Tuah (Melaka), Badang (Sejarah Melayu)

¡ Tun Fatimah (Sejarah Melayu)

¡ Puteri Saadong, Tok Kenali (Kelantan)

¡ Mahsuri , Puteri Jerai, Panglima Hitam (Kedah)

¡ Datuk Bahaman(Pahang)

¡ Hikayat Malim Deman,

¡ Hikayat Malim Dewa,

¡ Hikayat Raja Muda,

¡ Hikayat Awang Sulung Merah Muda,


¡ Hikayat Anggun Cik Tunggal,

¡ Hikayat Terung Pipit,

¡ Hikayat Raja Donan,

¡ Selindung Bulan Kedah Tua.

FUNGSI MITOS DAN LAGENDA (Nota Tambahan)


DEFINISI MITOS

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2006), mitos membawa maksud cerita zaman
dahulu yang dianggap benar, terutamanya yang mengandungi unsur-unsur konsep atau
kepercayaan tentang sejarah awal kewujudan sesuatu suku bangsa, kejadian-kejadian
alam.

DEFINISI LAGENDA
Legenda pula didefinisikan sebagai cerita yang bersangkutan dengan kisah-kisah yang
bersejarah.

FUNGSI MITOS

Menurut Hooykas (1965), mitos berfungsi untuk menceritakan tentang asal usul raja-raja.
Asal usul raja-raja kerajaan Melayu tua ini kebiasaanya dihubungkan dengan objek-objek
seperti buluh, buih dan mayang pinang. Tujuan utama gambaran tentang asal usul raja ini
digembar gemburkan adalah untuk meningkatkan taraf dan kedudukan raja. Hal ini kerana,
dalam kisah-kisah yang dipaparkan, raja-raja ini mempunyai keupayaan untuk berhubung
secara langsung dengan tokoh-tokoh jin, lembu dan Batala, tokoh mitos Puteri Mahtabu’l
Bahri dan Raja Aftabu’l Ardh serta pelbagai lagi tokoh dari dalam laut dan kayangan, (Yusoff
Iskandar, 1986).

Contohnya kisah berkenaan dengan Raja Suran, yang merupakan keturunan Iskandar
Zulkarnain, yang dikatakan telah masuk ke dalam laut. Dalam pengembaraan tersebut,
baginda telah terjumpa sebuah negeri yang didiami oleh kaum Bersam. Kaum di negeri
Bersam ini terdiri daripada orang kafir dan Islam. Raja Suran kemudiannya dikhabarkan
berkkahwin dengan puteri kerajaan tersebut iaitu, Puteri Mahtabu’l Bahri dan dikurniakan
tiga orang putera.

Raja Suran kemudiannya pergi menemui raja jin iaitu Asmaghayah Peri untuk meminta
supaya dibuatkan tiga buah mahkota untuk puteranya. Mahkota itu menjadi lambang
kebesaran dan keturunan Iskandar Zulkarnain. Setelah itu, Raja Suran pun keluar dari laut
dan menuju ke udara dengan menunggang seekor kuda terbang yang bernama Faras’ul
Bahri.

Berdasarkan kisah yang dipaprkan ini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa pengarang
cuba untuk mengagung-agungkan kedudukan raja dengan menyelitkan pelbagai jenis
kebolehan dan keistimewaan baginda. Dalam cerita ini kebolehan dan keistimewaan
tersebut ditunjukkan menerusi keupayaan baginda untuk hidup di dalam laut dan keluar dari
laut dengan menungggang kuda terbang.
Seterusnya, mitos berfungsi untuk menceritakan tentang asal usul sesuatu tempat. Mitos
berkenaan dengan asal usul sesuatu tempat ini kebiasaannya dikaitkan dengan unsur-unsur
binatang dan anasir-anasir alam seperti pokok kayu, buah-buahan,mayang pinang dan lain-
lain. Binatang yang dijadikan unsur mitos itu pula terdiri daripada binatang yang luar biasa
sifatnya, tangkas, besar, cerdik dan cantik seperti singa, pelanduk, anjing dan semut besar,
(Yusoff Iskandar, 1986).

Contoh ini dapat dilihat dalam kisah bagaimana Singapura mendapat nama. Menurut
Sejarah Melayu, nama Singapura ini diambil daripada nama binatang, iaitu singa. Cerita ini
dikaitkan dengan kisah putera ketiga Sang Sapurba Taram Seri Tri Buana yang terserempak
dengan binatang ini sewaktu baginda pergi bermain-main di perairan Bentan. Ketika itu,
Sang Nila Utama bertanya kepada semua orang yang berada di sekelilingnya berkenaan
nama binatang yang dilihat. Namun tiada seorang pun yang tahu. Akhirnya, Demang Lebar
Daun menjawab pertanyaan tersebut sambil menambah, tempat ini baik untuk dibuat negeri
kerana mempunyai binatang yang gagah. Lalu terbentuklah kerajaan Singapura yang
mendapat nama dari singa, manakala pura pula, merujuk kepada bandar dalam bahasa
Sanskrit.

Mitos juga turut dikaitkan dengan sejarah kemasukan agama Islam ke Melaka dan Pasai,
(Yusoff Iskandar, 1986). Tujuan utama mitos tentang pengislaman ini dibuat adalah untuk
membezakan cara rakyat dan raja memeluk Islam. Raja mempunyai cara yang lebih
istimewa dalam memeluk agama Islam berbanding rakyat jelata. Pengislaman raja ini
dikatakan berlaku secara langsung dari Mekah dalam mimpi. Dalam mimpi tersebut, mereka
bertemu dengan tokoh-tokoh Islam dan beberapa orang wali yang mempunyai hubungan
dengan penyebaran Islam di Melaka dan Pasai. Keisitimewaan ini pula muncul berikutan
sifat sosial dan politik raja itu yang sememangnya mempunyai taraf yang tinggi dalam
masyarakat. Menerusi mitos yang ditampilkan ini, kita dapat mengetahui cara agama Islam
berkembang di Melaka, iaitu melalui raja. Seterusnya, pengislaman raja ini diikuti oleh
pembesar dan rakyat jelata.

Mitos tentang kemasukan Islam ini dapat dilihat dalam kisah pengislaman Raja Kecil Besar.
Dalam Sejarah Melayu, Raja Kecil Besar dikatakan bermimpi bertemu dengan Rasulullah
S.A.W. Dalam mimpi tersebut, baginda telah diajar untuk mengucap dua kalimah syahadah
oleh Rasulullah S.A.W, seterusnya baginda juga diberitakan mengenai namanya yang telah
ditukar kepada Sultan Muhammad. Sebaik sahaja baginda tersedar daripada mimpi, badan
baginda dikatakan berbau wangi dan sudah siap dikhatankan. Mulut baginda pula, lancar
sahaja mengucapkan lafaz dua kalimah syahadah.

Selain itu, mitos juga turut dikaitkan dengan popular idea berhubung dengan sesuatu
peristiwa aneh dan ajaib yang berlaku, (Yusoff Iskandar, 1986). Peristiwa ini dipercayai
hanya dialami oleh raja ataupun dalam kalangan mereka yang mempunyai hubungan yang
rapat dengan istana. Antara contoh popular idea ini ialah berkaitan dengan konsep daulat
dan derhaka. Seorang raja dipercayai mempunyai satu bentuk kepercayaan mistik, iaitu
daulat. Menerusi kepercayaan ini, rakyat dilarang daripada melanggar hak daulat yang
dimiliki oleh raja tersebut. Sekiranya larangan ini diingkari, dalam erti kata yang lain derhaka
kepada raja, orang tersebut akan menerima balasan yang buruk.
Antara contoh kisah yang berkenaan dengan konsep daulat dan derhaka ini ialah kisah
berkenaan dengan Sang Rajuna Tapa yang bertukar menjadi batu. Sang Rajuna Tapa
merupakan bendahara kepada Raja Iskandar Syah, iaitu pemerintah Singapura. Sang
Rajuna Tapa ditimpa daulat Raja Iskandar Syah kerana belot kepada baginda dan
bersubahat dengan Majapahit, musuh Singapura. Akibat daripada tindakannya itu,
Singapura telah kalah kerana diserang Majapahit. Raja Iskandar Syah kemudiannya lari ke
Melaka, manakala Sang Rajuna Tapa dan isterinya bertukar menjadi batu sebaik sahaja
Raja Iskandar Syah melarikan diri ke Melaka. Batu itu dipercayai masih lagi wujud di
Singapura.

Disamping itu, mitos juga digunakan sebagai dakyah untuk mengecam penyelewengan
yang selalunya dilakukan oleh raja, (Yusoff Iskandar, 1986). Penggunaan mitos digunakan
kerana kritikan secara terang-terangan atau langsung kepada raja, boleh menyebabkan
seseorang itu dilabel sebagai menderhaka dan boleh ditimpa daulat raja. Jadi, kritikan ini
hanya dapat disampaikan dalam bentuk penulisan. Dalam Sejarah Melayu, kritikan ini
disampaikan dalam bentuk mitos yang pelbagai.

Contoh mitos yang berfungsi sebagai kritikan ini dapat dilihat dalam kisah peminangan
Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Mahmud Syah. Puteri Gunung Ledang telah meletakkan
syarat-syarat yang sukar untuk dijadikan hantaran bagi meminang dirinya. Kesemua syarat-
syarat tersebut sanggup dipatuhi oleh baginda, walaupun berat. Namun, apabila tiba kepada
syarat yang melibatkan nyawa anakanda baginda, baginda tidak sanggup untuk
melakukannya. Hal ini jelas membuktikan bahawa baginda seorang opportunist, (Yusoff
Iskandar, 1986). Baginda sanggup membiarkan rakyat terkorban dan menderita asalkan
kemahuan baginda tercapai, namun apabila kemahuan tersebut melibatkan kepentingan diri
dan keluarganya, baru lah baginda melupakan kemahuan baginda yang tinggi itu.

FUNGSI LAGENDA

Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986), legenda merupakan kisah-kisah
mengenai keperibadian dan keunggulan dalam peribadi yang dimiliki oleh tokoh-tokoh
manusia tertentu, tokoh-tokoh yang berkemungkinan besar memang hidup dalam sejarah
umpamanya. Seterusnya, tokoh-tokoh ini pula tidak sunyi daripada dikaitkan dengan tokoh-
tokoh yang ada hubungannya dengan kekuatan politik dan agama.

Di samping itu, keunggulan tokoh-tokoh ini sering dihubungkaitkan dengan watak-watak


istimewa dan supernatural seperti gagah, berani, kuat, pintar dan bijak, mempunyai
kebolehan dan kekuatan batin yang luar biasa serta sangat terkenal dalam sejarah
tempatan sesuatu masyarakat. Justeru, legenda menjadi kebanggaan bahkan kerap
diteladani oleh masyarakat setempat, lalu menjadi milik seluruh masyarakat tersebut.
Berdasarkan hal tersebut, dapatlah diketahui bahawa legenda ini mempunyai fungsinya
yang tersendiri.

Masyarakat Melayu amat sinonim dengan konsep ‘tulah raja’. Barangsiapa yang
menderhaka kepada sultan atau raja, mereka akan mendapat hukuman atau terkena ‘tulah
raja. Sehubungan dengan itu, antara fungsi legenda menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah
Ibrahim (1986: 163) adalah untuk memperkuat konsep ‘daulat’, ‘taat’ dan ‘derhaka’ dalam
masyarakat Melayu.

Sesuai dengan hal ini, Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah telah diangkat menjadi model
atau simbol kepada ketiga-tiga konsep tersebut. Hal ini dapat dilihat apabila ia sanggup
membunuh sahabat baiknya sendiri, iaitu Hang Jebat yang pada pandangannya telah
menderhaka kepada Sultan mereka, iaitu Sultan Mansur Syah sebagai tanda taat dan
setianya yang tidak berbelah bahagi kepada rajanya. Selain itu, Hang Tuah juga sanggup
mati untuk memenuhi kehendak sultan Melaka pada ketika itu (Hasbullah Ibrahim dan Noor
Aini Shaari, 1993). Beliau diceritakan sanggup untuk masuk ke dalam kubur disebabkan
sultannya yang ingin mengetahui keadaan sebenar di dalam kubur.

Seterusnya, legenda juga berfungsi untuk memuji serta menunjukkan kekuatan fizikal dan
mental orang-orang Melayu. Hal ini dapat digambarkan melalui kebijaksanaan Sultan
Mansur Syah dalam mentadbir kerajaannya. Baginda bertindak menjalin hubungan
diplomatik dengan beberapa buah kuasa besar sebagai langkah berjaga-jaga. Meskipun
Siam pada ketika itu telah menyerang Melaka sebanyak dua kali dan tewas, namun itu
bukanlah bermakna mereka tidak akan menyerang Melaka lagi. Maka, Sultan Mansur Syah
telah membuat keputusan untuk berbaik-baik dengan Siam. Hal ini tidak lain dan tidak
bukan adalah untuk memastikan keamanan kerajaan Melaka. Berikut merupakan petikan
kata-kata baginda:
“Apa bicara tuan hamba sekalian, baiklah kita menyuruh ke benua Siam; apa sudahnya kita
beralangan selama ini; kita kelahi dengan dia pun tidak, dan berdamai pun tiada…”
(Sulalatus Salatin,
hlm. 107)

Hal tersebut jelas menunjukkan kebijaksanaan Sultan Mansur Syah yang secara tidak
langsung telah mengangkat kehebatan orang Melayu. Tujuan tokoh ini ditampilkan adalah
untuk memuji ketangkasan mental dan fizikal orang-orang Melayu, sebagaimana Sejarah
Melayu dalam memetik kata-kata Betara Majapahit;
“Adapun orang Melayu ini terlalu cerdik daripada segala orang negeri lain; pada sebarang
permainan pun tewas juga orang lain oleh orang Melaka”.
(Sulalatus Salatin,
hlm. 22)

Selain itu, legenda turut berfungsi menguatkan keyakinan orang Melayu terhadap agama
Islam. Hal ini dapat dilihat daripada kisah Tok Senik di Beserah yang merupakan seorang
pemimpin agama telah bertindak membuka Pekan Beserah setelah merantau dari satu
tempat ke satu tempat di utara Semenanjung Tanah Melayu (Aripin Said, 1996: 57).

Kisah ini menunjukkan betapa pengaruh seorang pemimpin agama itu sangat memberi
kesan yang besar kepada orang di sekelilingnya. Hal ini demikian kerana, ketika Tok Senik
datang ke pekan tersebut yang pada asalnya masih belum mempunyai nama, beliau terus
mencadangkan nama Pekan Beserah kerana dikaitkan dengan kehidupan seorang Islam
yang sentiasa berserah kepada Allah dalam apa-apa jua perkara. Kisah ini juga telah
dibawa turun-temurun oleh rakyat tempatan dan dipercayai ramai. Pada masa yang sama,
perkara ini juga sebenarnya mampu mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap
sesuatu tokoh dan peristiwa bercorak sejarah.

Selanjutnya, legenda juga direka adalah untuk menonjolkan tokoh-tokoh legenda. Sebagai
contoh, watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah diceritakan dan
dilambangkan sebagai seorang yang sangat gagah perkasa. Sebagai buktinya, dia dapat
mengalahkan orang Jawa yang mengamuk dan kemudiannya dilantik menjadi laksamana
(Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 162). Sehubungan dengan itu, perihebatnya
tokoh ini di mata masyarakat telah digambarkan dalam Sejarah Melayu:
“Adapun akan Laksamana Hang Tuah barang tempat ia pergi, gegak-gempita bunyi orang
daripada hebat melihat sikap lakunya. Jika ia peseban, peseban gempar; jika ia di
panggungan, panggungan gaduh dan segala perempuan Jawa anak-anak dara, jikalau ia
berjalan ke pasar atau barang ke mana, banyaklah yang gila akan Hang Tuah itu. Dan
apabila Hang Tuah lalu, perempuan di dalam pangkuan lakinya itu pun bangun hendak
melihat Hang Tuah; itulah dipantunkan Jawa…”
Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menonjolkan tokoh Hang Tuah itu sendiri
sekaligus mengangkat watak tersebut.

Fungsi legenda yang seterusnya adalah untuk memberikan hak legalisasi terhadap raja-raja
yang berkenaan (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 163). Berhubung dengan
hal ini, perihal menghubungkan tokoh-tokoh bersejarah dengan tokoh-tokoh legenda zaman
dahulu sebenarnya bukanlah dibuat secara kebetulan, sebaliknya ada kepentingannya yang
tersendiri, iaitu untuk kepentingan politik.

Keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa tokoh-tokoh sejarah yang dihubungkaitkan


dengan unsur-unsur legenda ini ialah raja-raja sendiri. Hal ini demikian kerana, mereka
berpendapat adalah menjadi haknya merajai sesebuah kerajaan kerana keturunannya
sendiri berasal daripada raja-raja, baik raja tersebut muncul dalam bentuk mitos mahupun
legenda. Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163), raja-raja ini
berpendapat mereka bukan daripada manusia biasa dan dijadikan daripada hukum akal dan
bersifat biologis.

Di samping itu, legenda turut berfungsi untuk memperingati peristiwa penting yang berlaku
dalam masyarakat Melayu. Hal ini sangat penting bagi memastikan kelestarian cerita-cerita
terdahulu yang boleh dijadikan panduan buat generasi terkemudian baik sebagai hiburan,
pengetahuan mahupun peringatan. Hal ini dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah yang
mengisahkan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat. Kisah ini secara tidak langsung
dapat membuatkan orang ramai memperingati peristiwa tersebut dan dibawa turun-temurun
dari generasi ke generasi.

Akhir sekali, legenda juga berfungsi menceritakan salasilah raja-raja. Hal ini dapat
dibuktikan melalui Hikayat Raja-raja Pasai, iaitu mengenai salasilah Merah Silau atau Sultan
Malikul Saleh, yakni nama baginda selepas memeluk Islam. Pada awal hikayat ini ada
disebutkan tentang salasilah Merah Silau dari awal yang bermula daripada kisah Raja
Ahmad dan Raja Muhammad yang masing-masing menjumpai seorang kanak-kanak (Puteri
Betung) daripada buluh betung dan seorang lagi dijumpai bersama-sama dengan seekor
gajah (Merah Gajah). Setelah kedua-dua mereka membesar, mereka pun dikahwinkan dan
dikurniakan dua orang cahaya mata, iaitu Merah Silau dan Merah Hasum (Russell Jones,
1997).

Secara umumnya, legenda-legenda ini sengaja diwujudkan dengan tujuan-tujuan tertentu


yang dihubungkan dengan seseorang tokoh, raja, pahlawan, ulama dan sebagainya.
Pelbagai sanjungan diberikan kepada individu-individu tersebut. Di samping itu, sanjungan
tersebut pula lahir sesuai dengan fungsinya yang berfungsi memperbesar-besarkan taraf,
keturunan dan kedudukan raja yang disanjung.

Anda mungkin juga menyukai