Anda di halaman 1dari 5

CARA MENGATASI MASALAH ANAK LUAR NIKAH

Untuk menangani isu remaja hamil luar nikah, saya yakin usaha pendidikan adalah lebih baik
daripada pengawalan dan penguatkuasaan. Kunci kejayaan pendidikan untuk pencegahan ini
adalah keakraban hubungan remaja dengan pihak-pihak yang boleh membantu mereka. Tanpa
menafikan kesalahan yang telah mereka lakukan, adalah lebih baik kita bantu remaja yang
terjebak dan giatkan usaha pencegahan untuk remaja lain.Justeru, saya mencadangkan 7 langkah
awal untuk mengawal statistik remaja hamil luar nikah. Langkah-langkah yang dicadangkan
adalah untuk menyelesaikan punca masalah iaitu hubungan kelamin luar nikah. Saya susun
langkah-langkah ini mengikut skala pengaruh pihak-pihak yang terlibat untuk membantu
menjayakannya.

[SATU] Remaja Sibukkan Diri Dengan Aktiviti Keluarga Dan Persatuan. Usaha mengawal dan
seterusnya mengurangkan jumlah kehamilan luar nikah harus bermula dengan pelakunya sendiri.
Sememangnya sukar untuk remaja beroleh kematangan dalam mendidik dan mengawal gelora
nafsu yang kononnya "cinta" kerana ia adalah suatu proses yang panjang. Namun saya percaya,
proses panjang ini boleh dilalui dengan baik sekiranya minda remaja tidak terlu berfikir dan
terbawa-bawa dengan perasaan semulajadi manusia itu. Oleh itu, remaja perlu mengarahkan
minda ke lain dengan cara menyibukkan diri dengan aktiviti keluarga dan persatuan. Dengan
mengelak diri daripada melayan gelora nafsu secara berseorangan atau berdua-duaan dengan
pasangan, masa akan lebih banyak dimanfaatkan untuk aktiviti yang produktif untuk diri sendiri
dan orang lain.
[DUA] Ibu Bapa Lebihkan Masa Aktiviti Bersama Keluarga. Kesibukan tidak boleh dijadikan
alasan untuk mengabaikan anak-anak. Keperluan kepada perhatian dan kasih sayang ibu bapa
tidak pernah berkurangan dengan meningkatnya usia anak-anak. Biar sesibuk manapun,
prinsip family first wajib diamalkan oleh ibu bapa. Dalam isu kehamilan luar nikah ini secara
khusus, hubungan ibu bapa bersama anak-anak perempuan adalah amat penting. Ibu bapa perlu
menyediakan sesi khas setiap hari bersama dengan setiap seorang anak-anak secara peribadi
untuk berbual dan berbincang tentang pelbagai perkara yang mereka tempuhi dalam kehidupan.
Perlu diigatkan bahawa, hubungan yang akrab bersama anak-anak tidak akan wujud dalam
tempoh sehari dua lebih-lebih lagi sekiranya hubungan ini baharu sahaja hendak dimulakan.
Oleh itu, sabar dan konsisten adalah kata kunci untuk menjayakan hubungan yang akrab bersama
anak-anak.

[TIGA] Guru Sebagai Kaunselor Tambahan, Ibu Bapa Di Sekolah. Hanya dengan seorang dua
kaunselor di sekolah tidak akan mampu mencapahkan khidmatnya dengan efektif kepada ratusan
para pelajar dalam sesebuah sekolah. Oleh itu, para guru lain di sekolah harus bertindak secara
sukarela di luar daripada bidang tugas hakiki mereka untuk berperanan sebagai kaunselor
tambahan. Tugas ini boleh dimudahkan dengan menginstitusikan istilah guru sebagai ibu bapa
pelajar di sekolah dengan cara mewujudkan keluarga sekolah. Para pelajar dibahagikan kepada
kumpulan-kumpulan kecil yang digelar keluarga sekolah dan dipimpin oleh seorang guru yang
akan bertindak sebagai ibu atau bapa kepada keluarga sekolah tersebut. Dengan cara itu, setiap
guru akan mempunyai keluarga sekolah untuk dibimbing dengan ilmu kehidupan berpandukan
nilai dan agama. Hubungan guru sebagai ibu bapa di sekolah untuk para pelajar akan membantu
mereka melalui proses kematangan dengan jayanya.
[EMPAT] Institusi Agama Mesra Belia. Institusi agama seperti masjid, gereja, tokong dan kuil
boleh memainkan peranan penting menangani isu ini. Saya percaya bahawa agama dengan nilai-
nilai mulia di dalam ajaran masing-masing adalah ubat terbaik sebagai panduan hubungan remaja
sesama sendiri. Institusi-institusi agama harus mengambil sikap mesra belia dengan menjadikan
masjid, gereja, tokong dan kuil sebagai lokasi dilengkapi fasiliti yang mudah diakses dan
interaktif untuk belia. Institusi agama juga boleh mewujudkan aktiviti berkala bersama remaja
dan lebih baik lagi setiap aktiviti dibimbing oleh mentor terlatih daripada institusi agama dengan
pendekatan yang segar. Institusi agama boleh memberi ruang dan peranan kepada remaja untuk
berfungsi dalam kapasiti mereka untuk komuniti setempat. Dengan kepercayaan dan
tanggungjawab yang diberikan, remaja akan menjadi lebih matang.

[LIMA] NGO Khusus Tangani Remaja Hamil Luar Nikah. Sebahagian besar NGO di Malaysia
mengambil pendekatan populis dengan cara mencapah ke semua kerja lapangan namun tidak
secara mendalam. Natijahnya tidak menunjukkan impak yang besar dan konsisten untuk setiap
lapangan yang diceburi. NGO harus berubah daripada do little for everything kepada do
everything for a thing. Dengan cara ini, gerak kerja NGO akan lebih terarah dan pakar dalam
sesuatu kerja lapangan yang diceburi. Oleh itu, kita perlukan sebuah NGO khusus untuk
koordinasi gerak kerja menyeluruh menangani isu kehamilan lur nikah dalam kalangan remaja.
Pendaftaran NGO kepada ROS tidak mengambil masa yang lama seperti sebelum ini. Malah
gerak kerja sudah boleh bermula setelah mempunyai tenaga dan sumber yang mencukupi tanpa
perlu sibuk dengan proses pendaftaran yang boleh berjalan dalam masa yang sama. Pokoknya,
harus ada NGO yang dibarisi oleh individu dan pihak yang komited untuk berdepan dengan isu
ini.
[ENAM] Wakil Rakyat Beri Peranan Kepada Jawatankuasa Peringkat Kawasan Untuk
Berfungsi. Tindakan di peringkat kementerian untuk menanangi isu ini akan menjadi formal dan
disusahkan dengan masalah birokrasi dan prosedur yang akhirnya mengambil masa yang panjang
sebelum dapat dilaksanakan. Oleh itu, adalah lebih baik wakil-wakil rakyat bertindak awal di
peringkat kawasan masing-masing dengan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani isu
kehamilan luar nikah khususnya dalam kalangan remaja. Wakil rakyat boleh menghimpunkan
individu dan pihak yang berkepentingan di peringkat kawasan yang diwakilinya. Malah, melalui
jaringan hubungan yang ada, wakil rakyat juga pastinya cukup berwibawa untuk
membawa masuk tenaga pakar dan sumber dana luar untuk membantu jawatankuasa berdepan
dengan isu ini di peringkat kawasan. Saya percaya, di setiap kawasan pastinya akan ada individu
dan pihak berkepentingan yang bersemangat untuk dilibatkan bersama dalam menyelesaikan
sesuatu masalah yang melanda kawasan mereka. Wakil rakyat berperanan untuk menggembleng
segala sumber yang ada dalam kawasanya untuk memajukan kawasan masing-masing secara
bersama. Inilah manifestasi terma "berkerja bersama saya" dan bukannya "berkerja untuk saya".

[TUJUH] Media Sedarkan Masyarakat. Pengawalan media hanya akan menimbulkan isu-isu lain
berkaitan hak dan kebebasan media. Sekalipun kita sedar dan insaf bahawa media khususnya
internet adalah sumber kepada lambakan informasi negatif yang menyumbang kepada gejala
sosial hari ini. Adalah hampir mustahil untuk kita mengawal kemasukan informasi dalam dunia
maya tanpa sempadan. Maka, adalah lebih baik untuk kita menyediakan pengguna media untuk
lebih matang menerima informasi. Institusi media sendiri samada media cetak, radio, televisyen
dan internet dengan kerjasama pihak-pihak berkaitan boleh berperanan mendidik pengguna
melalui pendedahan fakta sebab dan kesan daripada isu kehamilan luar nikah melalui pendekatan
menarik dan interaktif seperti iklan, kajiselidik, klip video dan lain-lain yang menjurus ke arah
menyedarkan pengguna. Fakta-fakta yang didedahkan akan menjadikan para pengguna
khususnya dalam kalangan remaja untuk berfikir panjang sebelum membuat apa-apa tindakan
menuruti gelora nafsu yang akan merugikan mereka.
Ini merupakan beberapa cadangan langkah yang boleh dilaksanakan serta merta tanpa
dibelenggu masalah birokrasi dan prosedur. Jika adapun, ia adalah minimum dan boleh
dimudahkan dengan budi bicara pihak-pihak yang terlibat. Langkah-langkah ini sebagai usaha
awalan sementara menunggu pihak berwajib merencana pelan gerak kerja yang lebih holistik.

Walaupun cadangan langkah-langkah ini bersifat reaktif, namun saya merasakan ia adalah suatu
yang perlu dilakukan daripada duduk termangu kosong. Dengan harapan bahawa langkah-
langkah reaktif ini di kemudian hari akan menghasilkan langkah-langkah pro-aktif sebagai
susulannya. Ke arah masa hadapan yang lebih baik untuk semua..

Anda mungkin juga menyukai