Anda di halaman 1dari 8

Asas penyelidikan kualitatif

Penyelidikan kualitatif adalah satu konsep yang menaungi beberapa jenis


penyelidikan bagi memahami dan menerangkan fenomena sosial dengan cara
pemecahan kepada susunan topik tertentu. Kaedah ini juga dikenali dengan
nama yang berbeza seperti kajian semula jadi, kajian interpretasi, kajian
lapangan, pemerhatian ke atas bahan kajian, kajian induktif, kajian kes dan
etnografi.

Salah satu daripada tujuan penyelidikan kualitatif ialah memahami bagaimana


manusia memenuhi keperluan asas mereka. Ia menggabungkan pengalaman
dan persepsi. Justeru, penggunaan istilah atau frasa sangat jelas jika
dibandingkan dengan kuantitatif. Salah satu perbezaan tersebut ialah sampel
atau responden kajian.

Bilangan responden yang diperlukan bagi kajian kualitatif adalah kecil


berbanding kuantitatif. Penyelidik kuantitatif sering merasa ragu-ragu mengenai
bilangan responden yang kecil ini. Hakikatnya ialah bilangan sampel yang kecil
ini sudah cukup untuk menjelaskan fenomena yang dikaji. Kefahaman sesuatu
fenomena adalah dari perspektif bahan yang dikaji, bukannya penyelidik. Walau
bagaimanapun penyelidik adalah instrumen utama bagi pengumpulan data dan
analisis.

Bilangan sampel yang kecil memberi ruang yang sangat luas kepada penyelidik
untuk membuat pemerhatian ke atas tingkah laku yang dikaji. Cara ini dapat
mengekalkan hubungan yang berterusan di antara pengkaji dan responden
tersebut. Ketika temu bual dilakukan, penyelidik akan melibatkan diri dengan
cara yang tidak mengganggu proses yang hendak dikaji. Lagi pun soalan yang
hendak ditanya adalah mendalam supaya subjek dapat menceritakan
pengalaman, keprihatinan atau pandangan terhadap isu yang dikaji.

Secara umum, penyelidikan kualitatif adalah langkah untuk memahami sesuatu


situasi berdasarkan konteks dan interaksi yang unik. Ia bukannya satu cubaan
untuk meramalkan masa depan sebaliknya memahami keadaan apa yang
berlaku dan akan berlaku selepas itu.
TAJUK :.Bincangkan langkah-langkah asas dalam membuat penyelidikan
sosiologi.

1.0 Pengenalan
Setiap orang sarjana mentakrifkan istilah ‘penyelidikan’ mengikut pengertiannya
tersendiri. Misalnya, ‘tatacara yang teratur yang digunakan oleh manusia untuk
menambahkan ilmu pengetahuan baru, dan berbeza sekali dengan penemuan ilmu secara
kebetulan atau spontan. Penyelidikan dilakukan mengikut langkah-langkah tertentu yang
diatur khas untuk mengeluarkan maklumat baru’.
(Ahmad Mahzan Ayob, 1983)
‘Penyelidikan bertujuan mendapatkan kebenaran yang mempunyai logik mengenai
sesuatu fenomena, tetapi ia tidak bererti bahawa kebenaran yang didapati itu merupakan
kebenaran yang muktamad mengenai fenomena itu. Fakta-fakta baru atau fakta-fakta
yang tidak didapati semasa penyelidikan dijalankan mungkin akan timbul dan ini akan
mengubah keputusan penyelidikan dan dengan itu pengetahuan akan sentiasa berubah’.
(Mohd. Sheffie Abu Bakar, 1987)
‘…usaha mencari data yang akan dipergunakan untuk menguji sesuatu hipotesis, untuk
memecahkan sesuatu persoalan tertentu, atau hanya sekadar ingin mengetahui samada
wujudnya ataupun tidak sesuatu persoalan itu’.
(J. Supranto, 1986)
 

‘In carrying out research the purpose is to try to make some claim to knowledge; to try to
show something that was not known before. However small, however modest the hoped
for claim to knowledge is, provided it is carried out systematically, critically and self-
critically, the search for knowledge is research’.
(Bassey, 1990)
 ‘Dari segi sejarah perkembangan penyelidikan, jelas membuktikan kajiselidik adalah
satu langkah sistematik yang mengkaji perhubungan di antara pembolehubah. Langkah
sistematik ini merupakan elemen yang terpenting didalam konsep asas penyelidikan.
Seseorang mungkin melakukan sesuatu kajian ataupun pemerhatian, tetapi tindakan
tersebut tidak akan membawa sebarang makna yang berkesan sekiranya proses langkah
sistematik diabaikan’.
(Dr. Asaruddin Hj Ashaari, 1989)
Penyelidikan ialah satu kaedah yang tersusun, sistematik atau teratur dan bersifat
objektif, bukan subjektif dan bebas dari pertimbangan nilai. Dengan lain perkataan,
penyelidikan yang bersandarkan kepada pertimbangan fakta dan logik pemikiran
manusia. Logik pemikiran manusia tentulah berdasarkan apa yang ditanggap oleh
pancaindera manusia.

‘Pada amnya, kita dapat merumuskan penyelidikan sebagai satu tatacara teratur yang
hasilnya membolehkan penambahan ilmu pengetahuan. Penyelidikan dilakukan mengikut
langkah-langkah tertentu, khas bagi mendapatkan maklumat serta menjawab persoalan
yang dibangkitkan.
(Syed Arabi Idid,1993)
2.0 Langkah-langkah Penyelidikan
2.1 Penyataan Masalah
Setiap kajian dimulakan dengan mengenalpasti masalah. Permasalahan merupakan istilah
yang digunakan untuk merujuk kepada perkara kajian yang kita akan lakukan. Kehidupan
sosial memang dipenuhi oleh berbagai-bagai perkara yang boleh dijadikan topik kajian.
Dalam bidang pendidikan umpamanya, guru-guru berhadapan dengan bermacam-macam
permasalahan yang melibatkan murid-murid.
 Penyelidik misalannya boleh mengemukakan kajian untuk mengetahui punca-punca
masalah pembelajaran murid, meninjau pandangan murid mengenai kemudahan-
kemudahan di sekolah, membandingkan pencapaian berasaskan latarbelakang keluarga
murid-murid, melihat persepsi hubungan murid-murid dan sebagainya. Sebagai seorang
yang berminat dalam sosiologi, kita akan melihat sesuatu masalah berdasarkan pemikiran
yang sosiologikal. Contohnya dalam konteks modenisasi, kita melihat pelbagai bentuk
pengaruh pemodenan telah mengubah murid-murid dari pemikiran dan tingkah laku.
Antara perubahan-perubahan adalah seperti cara berpakaian, cara bertutur, cara
berhubung, cara datang ke sekolah dan sebagainya. Dalam melaksanakan kajian, kita
tidak dapat mengkaji dan menyelesaikan banyak masalah dalam satu penyelidikan.Oleh
itu adalah kebiasaan setiap penyelidikan memfokuskan kajian kepada suatu penyataan
masalah yang khusus.
Sebagai satu contoh penyelidikan mengenai kesan pemodenan ialah mengenai
sekularisme. Penyelidikan mungkin ingin melihat bagaimana sekularisasi telah mengubah
fikiran dan gaya hidup masyarakat Malaysia. Untuk melakukan penyelidikan di seluruh
negara adalah sukar. Jadi kita mengecilkan skop kajian ke sebuah sekolah. 
Di sekolah pula, untuk mengkaji kesan sekularisasi terhadap seluruh komuniti barangkali
akan menghadapi masalah pengumpulan data. Justeru kita akan mengecilkan lagi skop
kajian di kalangan murid-murid. Bilangan murid yang terlalu ramai pula menghadapi
rintangan komunikasi dan kekangan masa. Jadi sebagai seorang yang baru hendak mula
menyelidik kita akan menumpukan perhatian kepada murid-murid dalam satu bilik darjah
sahaja. Dari segi perincian kajian kita perlu pula menetapkan aspek sekularisasi yang
bagaimanakah perlu diketengahkan. Adakah kita melihat dari segi perubahan fizikal
ataupun pemikiran. Misalnya, jika kita melihat kesan terhadap pandangan agama, kita
mungkin akan mengemukakan masalah sejauh mana sekularisasi telah melemahkan
amalan keagamaan murid-murid. Penyataan masalah boleh jadi masih lagi kabur kerana
pada peringkat ini kita mungkin melihat wujud sekularisme tetapi belum mengenalpasti
apakah sebenarnya sekularisme itu. Ringkasnya permasalahan yang dipilih perlu
ditakrifkan. Oleh itu kita perlu membuat tinjauan melalui bahan-bahan bacaan yang
berkaitan sekularisme. 

2.2 Membuat Rujukan Bahan


Pengetahuan asas berkenaan perkara yang dikaji perlu sebelum melaksanakan kajian.
Penyataan masalah tidak sempurna, tidak lengkap dan kabur tanpa membuat rujukan.
Rujukan bahan atau sorotan literatur merupakan aktiviti-aktiviti mencari maklumat
berkaitan perkara yang dikaji berdasarkan bahan-bahan sedia ada. Rujukan bahan boleh
didapati daripada tulisan-tulisan, gambar-gambar, filem-filem, dan lain-lain bahan yang
berkenaan. Sekiranya kajian kita mengenai sekularisme, kita mesti benar-benar faham
sekularisasi. Untuk itu kita perlu ke perpustakaan mencari bahan-bahan mengenainya.
Kemudian kita akan mencari hasil-hasil kajian atau tulisan-tulisan yang sedia ada
mengenai kesan sekularisasi terhadap masyarakat. Berdasarkan rujukan, pemahaman kita
dalam menyatakan permasalahan kajian akan menjadi lengkap dan dapat dipertahankan.
Seterusnya rujukan awal akan membantu kita untuk merangka hipotesis.

2.3 Mengemukakan Hipotesis


Hipotesis merupakan andaian-andaian penyelidik terhadap hasil penyelidikannya.
Andaian itulah yang akan dibuktikan oleh penyelidikan yang bakal dijalankan. Untuk
menghasilkan suatu hipotesis yang baik ia perlulah mempunyai sifat-sifat seperti
berfokus, jelas, logik, difahami dan dapat diuji. Dalam contoh sekularisasi, selepas
mengadakan rujukan, penyelidik mungkin memahami sekularisasi sebagai proses di mana
agama kehilangan pengaruh terhadap pelbagai situasi kehidupan sosial. Sekularisasi akan
menyebabkan keruntuhan pengaruh-pengaruh organisasi dan nilai-nilai agama kepada
idea-idea sains dan ilmu-ilmu pengetahuan duniawi yang dianggap moden. Oleh itu,
berdasarkan pemodenan di negara kita, hipotesis penyelidikan mungkin mengandaikan
bahawa sekularisasi telah berlaku di kalangan murid-murid sekolah. Perkara itulah yang
akan dibuktikan oleh penyelidik melaui kajian yang dilaksanakannya. 

2.4 Menentukan Kaedah


Kaedah merupakan cara atau jalan menyelesaikan permasalahan penyelidikan. ‘Kaedah
penyelidikan merupakan segala langkah yang diambil untuk mencapai segala objektif
penyelidikan’(Ahmad Mahdzan Ayob 1995:44). Selepas menetapkan masalah yang
hendak dikaji, barulah difikirkan kaedah penyelidikan yang sesuai digunakan. Adalah
salah sekiranya kita menentukan kadah sebelum ada persoalan. 
Secara umum kaedah utama penyelidikan untuk mendapatkan data terbahagi kepada dua,
iaitu dengan menggunakan pendekatan kuantitatif dan pendekatan kualitatif. Kita boleh
memilih salah satu pendekatan ataupun menggabungkan kedua-duanya. Dihubungkan
dengan teori-teori sosiologi, teori yang berbentuk makro selalu akan menggunakan
pendekatan kuantitatif sementara yang berbentuk mikro kebiasaannya menggunakan
pendekatan kualitatif. 
Terdapat perbezaan antara penyelidikan kuantitatif dan penyelidikan kualitatif .
Pendekatan kuantitatif mengutamakan ‘kuantiti’. Penyelidikan kuantitatif melibatkan
angka-angka, data-data numerikal atau statistik. Statistik melibatkan pengiraan-pengiraan
seperti min, median, mod, peratusan, sisihan piawai, skor-Z, skor-T, varian, dan
sebagainya. Pendekatan kuantitatif dikatakan lebih berstruktur , mempunyai darjah
kekaburan yang minima, makna yang jelas, bercorak linear, mempunyai penjadualan
yang jelas, dan menumpukan kepada hasil. Dari segi skop kajian ia boleh melibatkan
responden yang besar. Pendekatan kualitatif pula berasaskan ‘kualiti’. Ianya bersifat
deskriptif yang lebih kepada penghuraian ‘makna’ perkara-perkara yang dikaji. Ia tidak
mengutamakan data-data berbentuk numerikal. Ia kurang berstruktur, terbuka dan lebih
menumpukan kepada proses. Skop kajiannya pula meliputi bilangan responden yang
kecil . 
Sungguhpun terdapat perbezaan-perbezaan kualitatif dan kuantitatif, kedua-duanya
merupakan kaedah penyelidikan yang empirikal. Semua penyelidikan empirikal
mempunyai persamaan-persamaan asas seperti mempunyai matlamat, sistematik dalam
prosedur, membuat perbandingan, membuat deskripsi, menguji hipotesis, membuat
penjelasan sebab dan akibat dan membuat analisa kritikal. Kita boleh memilih salah satu
daripada pendekatan terutamanya berdasarkan masalah dan keluasan skop kajian yang
akan kita laksanakan. 
Sekiranya kajian kita melibatkan jumlah responden yang besar misalannya melebihi
empat puluh orang, pendekatan kuantitatif lebih sesuai. Sekiranya kita cuma memilih
bilangan responden yang kecil, misalnya lima orang, maka pendekatan kualitatif dipilih. 
Dalam kajian ‘sekularisasi’, sekiranya kita ingin menyelidik seluruh komuniti sekolah,
kita mungkin akan menggunakan kuantitatif kerana sampel yang besar diperlukan.
Sekiranya kajian hanya melibatkan sebilangan kecil murid dalam sebuah bilik darjah
yang mempunyai tiga puluh orang murid, kita mungkin lebih sesuai memilih pendekatan
kualitatif. Kita juga boleh menggunakan kedua-dua pendekatan kualitatif dan kuantitatif
dalam satu kajian yang sama. Kita harus ingat bahawa isu utama yang menjadi asas
kepada kaedah penyelidikan adalah permasalahan, bukan kaedah menentukan
penyelidikan. Dengan kata lain setiap penyelidikan bermula dengan masalah, bukan
metodologi. Setelah ada permasalahan barulah data-data dicari melalui metodologi-
metodologi dan strategi pilihan sesuai.

2.5 Menentukan Strategi dan Teknik


Maklumat dapat diperolehi daripada berbagai-bagai sumber. Strategi dan teknik
merupakan cara-cara yang kita gunakan untuk mengumpul data-data atau maklumat
dalam penyelidikan. Menurut Robson (1993) ‘strategi merujuk kepada gaya atau orientasi
umum untuk menyelesaikan masalah penyelidikan’. Strategi yang dianggap tradisional
ialah seperti eksperimen, tinjauan (survey) dan kajian kes. Tujuan kajian akan membantu
menentukan strategi kajian. Teknik atau taktik pula merujuk kepada kaedah khusus dalam
rekabentuk kajian. Contohnya seperti temubual, soal selidik, partisipasi, dan sebagainya.
Setiap strategi dan teknik masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya.
Penyelidikan boleh memilih strategi dan teknik tertentu ataupun menggabungkannya. 
Apa yang penting ialah strategi dan teknik yang dipilih mempunyai ciri-ciri kredibiliti,
keobjektifan, kebolehanpercayaan, keesahan dan kebolehan untuk generalisasi.
Penyelidikan yang empirikal akan memilih strategi dan teknik yang sesuai dan betul
dalam mengumpul data. Secara amnya terdapat dua kategori data iaitu data primer dan
data sekunder. Data primer merupakan data-data yang diperolehi secara langsung
daripada ‘kejadian’ sosial sebenar. Antara teknik yang selalu digunakan untuk
mendapatkan data primer adalh seperti soal selidik, temubual, dan partisipasi. Data
sekunder pula merupakan maklumat-maklumat daripada bahan sedia ada dan boleh
diperolehi melalui rujukan perpustakaan. Ia melibatkan kajian-kajian teks, dokumen,
kertas kerja, mikro filem, media massa, dan sebagainya. Dalam contoh mengkaji kesan
sekularisasi, data-data yang diperolehi hasil temubual dengan murid tersebut sebagai data
primer. Data-data yang kita perolehi melalui bacaan di perpustakaan pula dianggap
sebagai data sekunder.
Sungguhpun setiap penyelidikan akan menentukan teknik masing-masing, secara
umumnya boleh dibezakan antara teknik yang dipilih oleh penyelidikan kualitatif dan
penyelidikan kuantitatif. Teknik yang biasa dipilih oleh penyelidikan kualitatif ialah
pemerhatian, temubual, soal selidik, kajian-kajian bahan seperti dokumen dan teks, visual
seperti gambar dan video, laporan rasmi, bahan-bahan ephemera seperti iklan, poster,
risalah, diari, karton, dan lain-lain. Bagi penyelidikan kuantitatif strategi asas ialah soal
selidik, menganalisa maklumat-maklumat data-data numerikal yang sedia ada dan
melakukan eksperimen statistik.
 Dalam contoh kajian kesan sekularisasi, sekiranya kita mempunyai sampel yang besar,
kita boleh memilih strategi menggunakan borang soal selidik yang diedarkan kepada
responden. Sekiranya sampel yang dipilih cuma lima orang, kita boleh memilih strategi
temubual. Kajian rintis atau praujian perlu dilakukan untuk melihat sejauh manakah
strategi dan teknik yang telah dipilih sesuai dan mampu dilaksanakan. Sebagai contoh,
jika kita menggunakan borang soal selidik, ianya perlu dicuba terlebih dahulu. Borang-
borang diedarkan kepada responden terpilih. Hasilnya akan dikaji dan dimana perlu
pengubahsuaian dilakukan terhadap kandungan borang soal selidik sebelum ianya
diedarkan untuk penyelidikan sebenar.

2.6 Menjadualkan Kerja


Sesuatu penyelidikan perlulah dirancang dengan teliti. Perancangan atau pelan tindakan
akan membantu seseorang penyelidik dalam mendapatkan maklumat dan memudahkan
kerja-kerjanya. Perancangan hendaklah bersesuaian dengan skop kajian, kaedah yang
dipilih, kemudahan-kemudahan fizikal dan situasi si pengkaji. Dari segi skop, skop yang
luas memerlukan masa yang  mungkin lebih panjang. 
Kaedah kuantitatif memerlukan masa untuk menyediakan soal selidik, melakukan kajian
rintis, mengedarkan borang dan menganalisa data-data numerikal. Bagi kaedah kualitatif
masa yang panjang mungkin diperlukan mengaturkan temujanji, mengadakan
perjumpaan dan menganalisa data-data selepas temubual. Kemungkinan pula seorang
penyelidik sepenuh masa akan menjadualkan masa yang lebih singkat berbanding dengan
penyelidik sambilan dalam meyempurnakan kerja-kerja penyelidikan yang serupa. Dari
segi kemudahan fizikal penyelidik patut mengambil kira keperluan-keperluan logistik dan
anggaran perbelanjaan. Oleh itu jadual kerja perlulah diselaraskan dengan peruntukan
kewangan. 
Sungguhpun sebahagian proses penyelidikan boleh dilakukan di dalam perpustakaan,
menyelidik merupakan aktiviti turun ke padang. Maksudnya seorang ahli sosiologi
sepatutnyalah melihat dan mengkaji kejadian sebenar dalam kehidupan sosial. Oleh itu
penyelidikan sosial yang signifikan adalah berdasarkan data-data hasil daripada kerja
lapangan seperti temubual, pemerhatian, penyertaan, dan soal selidik. Beberapa masalah
mungkin dihadapi dalam melaksanakan kerja lapangan.Antaranya pelbagai isu etika perlu
diselesaikan. 
Pertamanya kita perlu mendapatkan kebenaran  daripada autiroti berkenaan. Jika kita
hendak membuat kerja lapangan di sekolah misalnya, kebenaran pengetua terlebih dahulu
diperlukan. Keduanya penyelidikan melibatkan sensitiviti banyak pihak. Terdapat
penyelidikan yang mungkin menyinggung perasaan pihak tertentu. Kajian mengenai
persoalan sekularisme atau seks misalnya, dianggap sensitif oleh banyak pihak. Oleh itu
pengkaji perlulah berhati-hati dalam menanganinya. Ketiganya penyelidik mesti
menyedari akan hak responden. Responden tidak boleh dipaksa untuk diselidik. Segala
jawapan mereka mestilah secara sukarela. Keempatnya, penyelidik sepatutnya tidak
bersikap berat sebelah atau bias dalam kajiannya. Penyelidikan yang bersifat etnosentrik
mungkin akan menjejaskan keobjektivitian kajian. Ringkasnya penyelidikan melibatkan
persoalan etika, isu-isu sensitif dan politik yang tidak dapat dielakkan oleh penyelidik.
Maka terpulanglah kepada si penyelidik untuk mendapatkan maklumat yang beretika,
benar dan tepat.
2.7 Menganalisa dan Menginterpretasi Data
Menginterpretasi data merupakan perkara penting yang menarik minat penyelidik.
Penganalisaan perlu dilakukan dengan teliti. Data-data akan membuktikan atau
menafikan hipotesis penyelidikan. Bagi penyelidikan kuantitatif, data-data perlu diproses
dengan pengiraan yang berhati-hati supaya tidak berlaku kesalahan statistik. Sekarang
penganalisaan data adalah lebih mudah dengan bantuan program komputer. Dalam
menganalisa statistik, kita harus akur dengan kenyataan ‘statistik tidak selalunya benar-
benar membuat kenyataan yang tepat, ia hanya mencadangkan kenyataan yang betul,
iaitu ada kemungkinan betul dan ada kemungkinan tidak betul’.Maklumat-maklumat
hasil penyelidikan kualitatif pula perlu dicatatkan semasa atau sebaik sahaja kerja
lapangan dijalankan. Ini terutamanya untuk  mengelakkan penyelidik misalnya ‘terlupa’
akan maklumat-maklumat yang baru diperolehinya. Penganalisaan dapat dibantu dengan
penggunaan carta, jadual, graf, rajah, transkrip, dan sebagainya.

2.8 Melaporkan Hasilan


Melaporkan hasil bermaksud menukarkan penyelidikan yang telah dijalankan kepada
bentuk susunan teks bertulis. Ia merupakan peringkat akhir sesuatu penyelidikan.
Penulisan laporan selalunya dibahagikan kepada beberapa tajuk kecil iaitu pengenalan
dan latar belakang kajian, hipotesis dan kaedah kajian, analisa data-data, rumusan dan
penutup, bibliografi dan lampiran-lampiran yang berkaitan. 
Sebelum bahagian pengenalan, laporan selalunya mengandungi  ruang untuk ‘halaman’
dan ringkasan atau abstrak kajian. Bahagian pengenalan menerangkan mengenai tajuk
dan bidang kajian. Pada kebiasaannya sebahagian besar isinya adalah berdasarkan
rujukan-rujukan sekunder. Bahagian hipotesis pula menyatakan harapan-harapan
pengkaji terhadap hasil kajian. Ia juga menerangkan rasional di sebalik kaedah yang
dipilih. Selepas itu barulah penulisan membincangkan hasil-hasil berdasarkan data-data
yang diperolehi. Hujahan-hujahan yang kritikal disertakan. Dapatan-dapatan utama
merupakan perkara-perkara yang berkaitan secara langsung dengan permasalahan
penyelidikan. Mungkin juga terdapat dapatan-dapatan sampingan yang tidak secara
langsung berkaitan dengan topik kajian. Akhirnya penyelidik akan membuat rumusan
daripada hasil kajian dan membuat cadangan-cadangan yang berkaitan. Adalah menjadi
kebiasaan setiap penyelidikan sosial mencadangkan kajian-kajian lanjut berdasarkan
dapatan-dapatannya. 

3.0 Penutup
‘Sungguhpun dari beberapa segi setiap projek penyelidikan adalah unik tetapi semua
projek itu melibatkan kelima-lima peringkat asas yang sama. Peringkat-peringkat asas ini
ialah memilih permasalahan ; merumuskan  rekabentuk penyelidikan ; mengumpul data ;
pengkodan dan menganalisis data dan mentafsirkan hasil kajian. Tiap-tiap peringkat itu
saling bergantung antara satu sama lain dan keseluruhan proses penyelidikan itu seolah-
olah membentuk suatu kelingkaran. Jika hipotesisnya ditolak, penyelidik mesti mengkaji
semula kajian-kajian dan membuat kajian sekali lagi. Malah jika hipotesisnya betul,
penyelidik  selalu berhajat untuk membuat replikasi atau mengulang semula kajiannya
untuk memastikan penemuan-penemuan adalah tepat’.
(Kenneth D. Bailey,1992) 
Perbincangan setakat ini telah menggariskan langkah-langkah umum yamg dapat
dijadikan sebagai panduan dalam melaksanakan penyelidikan sosiologi. Sayugia
dijelaskan bahawa perbincangan di sini bukanlah merupakan suatu pembentangan yang
lengkap mengenai penyelidikan. Sememangnya penyelidikan yang akademik sifatnya
memerlukan perincian-perincian yang lebih mendalam. Namun begitu apa yang
diharapkan adalah perbincangan ini dapat memberikan gambaran awal tentang
penyelidikan dan mendorong mereka yang berminat untuk menyelidik.
 

Senarai Rujukan

Amir Hasan Dawi, 1999, Penteorian Sosiologi dan Pendidikan, Quantum Books,
   Tanjung Malim.

Alex Inkeles, 1982, Apa Itu Sosiologi ? Suatu Pengenalan Mengenai Disiplin dan 
   Profesion, Universiti Harvard, DBP, Kuala Lumpur.

Kenneth D. Bailey, 1992, Kaedah Penyelidikan Sosial, DBP, Kuala Lumpur.

Mohd. Salleh Lebar, 1998, Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah dan Pendidikan, 
   Thinker’s Library Sdn.Bhd., Selangor.

Syed Arabi Idid, 1993, Kaedah Penyelidikan Komunikasi dan Sains Sosial, DBP,
   Kuala Lumpur.

Anda mungkin juga menyukai