Anda di halaman 1dari 22

Top i k X Asas Kajian

1
HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menjelaskan asas-asas kajian dan pelbagai jenis kajian;
2. Mengenal pasti kriteria kajian berkualiti; dan
3. Menjelaskan tanggungjawab etika seseorang penyelidik dan
pengguna/penaja kajian.

X PENGENALAN
Kajian memberikan kita pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk
membantu kita membuat keputusan dalam pelbagai konteks. Bagaimanapun
istilah “kajian” biasa digunakan dengan makna “pengutipan data” (data
collection). Ahli-ahli politik menyatakan mereka menggubal polisi berasaskan
kajian, manakala ahli-ahli perniagaan memaparkan hasil kajian untuk
meyakinkan pengguna tentang produk yang mereka jual.
Dalam kajian, pengutipan data adalah penting kepada hala tuju masa depan
penyelidik atau organisasi/institusi tertentu, orang-orang berkepentingan, yang
menaja sesuatu kajian itu. Dalam kajian pendidikan, misalnya, masalah-masalah
pendidikan dikaji oleh para guru untuk mendapatkan penyelesaian, penjelasan
atau ilmu baru yang boleh membantu guru-guru meningkatkan prestasi mereka
dan juga pelajar-pelajar mereka.
Data kajian boleh dikutip melalui pelbagai cara dan daripada pelbagai sumber,
yang akhirnya diringkaskan dalam satu dokumen. Bagaimanapun, sekiranya
data ini tidak dapat ditafsir dengan baik, ia tidak dianggap sebagai satu kajian.
Secara ringkas, data kajian perlu dikutip dan ditafsir secara sistematik
berdasarkan tujuan kajian yang jelas. Dalam hal ini, kajian boleh didefinisikan
sebagai pendekatan saintifik, iaitu sistematik, kepada kajian tentang
2 X TOPIK 1 ASAS KAJIAN

sesuatu/beberapa masalah. Di sini, sistematik atau saintifik bermaksud kajian


dibuat dengan menggunakan hubungan logik yang tidak hanya berlandaskan
kepercayaan yang tidak mempunyai bukti nyata. hubungan logik dan sistematik
ini melibatkan penjelasan tentang kaedah pengutipan dan penganalisisan data,
memberi penakrifan yang sesuai terhadap hasil kajian, menjelaskan sebab-sebab
berkaitan hasil yang diperoleh serta menjelaskan segala batasan yang boleh
memberi kesan kepada hasil kajian.

1.1 MENGAPA MENYELIDIK?


Secara dasarnya, kajian dibuat untuk mengutip maklumat secara sistematik
sebagai satu langkah ke arah menyelesaikan sesuatu masalah tertentu. Tujuan
kajian boleh dikelaskan seperti berikut:

Rajah 1.1: Tujuan menjalankan kajian


TOPIK 1 ASAS KAJIAN W 3

Projek kajian boleh diletakkan dalam satu kontinum berdasarkan kepada tujuan
dan konteks penyeliddikan. Pada satu hujung, kajian dibuat hanyalah untuk
meningkatkan kefahaman teori-teori sedia ada atau menghasilkan teori-teori
baru dengan tidak mengambil kira aplikasi hasil kajian. Kajian jenis ini secara
amnya dikenali sebagai kajian asas (basic research) atau kajian tulen (pure
research). Kajian asas memajukan pengetahuan asas tentang dunia sosial. Ini
menjadi sumber kepada kebanyakan idea saintifik dan cara berfikir tentang
dunia ini.

Pada hujung lagi satu, terdapat kajian yang hasilnya dapat digunakan untuk
menyelesaikan masalah harian. Kajian jenis ini dikenali sebagai kajian gunaan
(applied research). Penyelidik gunaan menggunakan pengetahuan mereka untuk
menjawab soalan atau menyelesaikan masalah harian, misalnya, soalan berkaitan
polisi atau menyelesaikan masalah sosial, pendidikan atau perniagaan.

1.2 KAJIAN DALAM PENDIDIKAN

SEMAK KENDIRI 1.1


1. Apakah hubungan antara guru dengan kajian dalam konteks
pendidikan?
2. Mengapakah guru perlu menjalankan kajian?
3. Bagaimanakah kajian dapat membantu guru melihat semula, menilai
dan memperbaiki amalan pengajaran mereka?

Sekiranya kita tidak menghadapi sebarang masalah, maka segala ilmu kita akan
menjadi tetap, iaitu tidak pernah berubah. Semua pengetahuan, maklumat dan
penyelesaian kepada setiap masalah mudah diperoleh. Kita tidak perlu
mempersoalkan kesahan, andaian atau makna sebenarnya. Dalam keadaan
sebenar, jawapan kepada pemasalahan yang kita hadapi tentunya tidak boleh
didapati semudah itu, disebabkan wujudnya jurang antara pengetahuan kita
dengan pengetahuan umum dan juga pengetahuan umum itu sendiri. Di tempat
kerja, misalnya, kita sentiasa menghadapi masalah berkaitan kerja kita, yang
tidak mempunyai penyelesaian mudah. Kita tercabar untuk membuat refleksi
tentang andaian, nilai dan amalan serta menyoal dan mencari kaedah untuk
memperbaiki proses kerja kita supaya kita dapat membuat keputusan
berasaskan maklumat yang betul, yang seterusnya dapat memperbaiki amalan
profesional kita.
4 X TOPIK 1 ASAS KAJIAN

Para guru, seperti juga kumpulan profesional lain, dikatakan menghadapi


cabaran yang amat kompleks, iaitu daripada dinamika sosio-budaya, pedagogi,
keadaan institusi (institutional setting), polisi kurikulum dan sebagainya.
Keadaan ini memaksa mereka membuat adaptasi dan terus berfikir sepanjang
mereka menjalankan tugas-tugas mereka. Justeru, amat jelaslah bahawa para
guru perlu menjalankan kajian, iaitu inkuiri yang sistematik ke atas masalah dan
isu yang telah dikenalpasti berkaitan dengan tugas-tugas mereka. Pada
dasarnya, mereka perlu mendapatkan pengetahuan sedia ada dalam bidang
pendidikan, dan juga daripada disiplin-disiplin ilmu erkaitan seperti sosiologi,
psikologi, antropologi dan falsafah (Freebody, 2003).

1.2.1 Kajian Kuantitatif dan Kualitatif


Terdapat beberapa jenis kajian yang boleh dilakukan oleh guru untuk menangani
masalah amalan yang mereka hadapi. Setiap jenis kajian mempunyai matlamat
dan kaedahnya tersendiri. Berikut dijelaskan perkara-perkara asas yang
membezakan jenis-jenis kajian ini, manakala topik-topik lain dalam modul ini
akan memberi penjelasan secara lebih mendalam.

Kajian kuantitatif adalah satu bentuk inkuiri positivis yang menekankan


pemerolehan fakta menggunakan pengukuran objektif dan analisis statistik data
numerik untuk memahami dan menjelaskan sesuatu fenomena yang boleh
dijadikan panduan kepada amalan dan polisi (Ary, Jacobs & Razavieh, 2002;
Brown & Dowling, 1998). Kelebihan kajian ini ialah ia berasaskan kepada
kerangka teori yang berkaitan framework). Selain itu, data numerik lebih
meyakinkan penyelidik dan pengguna tentang fenomena yang secara logik
(coherent theoretical diselidik, dan penakulan kuantitatif dianggapkan
mempunyai lebih tinggi kebolehpercayaan dan kesahan.

Bagaimanapun, kajian ini mempunyai kelemahan utama, iaitu pengkuantifan


semata-mata tidak dapat menjelaskan sepenuhnya kebanyakan masalah dalam
pendidikan. Bagaimanakah kita mengkuantitatifkan “perkara” seperti perasaan,
keredaan dan hasrat tersembunyi? Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ary et al.
(1998: 22), untuk mengkaji tingkah laku ganas pelajar di sekolah, misalnya,
penyelidik perlu mengkaji lebih daripada hanya melapor jenis dan bilangan
peristiwa (incidents). Dia perlu memerhati dan menemu bual pelajar-pelajar
ganas dan cuba mencari sebab mengapa mereka menjadi ganas dan juga
menanya mereka soalan seperti: “Bagaimana pelajar-pelajar ini mempersepsikan
guru mereka dan pelajar-pelajar di sekolah?”, “Bagaimanakah pelajar-pelajar lain
bertindak terhadap mereka?”, Bagaimanakah guru menangani tingkah laku
ganas”. Soalan-soalan begini memerlukan jawapan dalam bentuk kualitatif, iaitu
berfokus kepada pemahaman fenomena sosial daripada perspektif peserta
kajian.
TOPIK 1 ASAS KAJIAN W 5

Kajian Kualitatif, sebagaimana yang dijelaskan oleh Brown dan Dowling (1998),
kajian ini menekankan kepada penghasilan makna (production of meaning).
Berlainan daripada hanya bergantung kepada fakta dan rahah, ujian, dan juga
persampelan seting dan subjek kajian. Kajian kualitatif mengambil kira apa yang
tidak disentuh oleh kajian kuantitatif, iaitu pandangan subjektif seseorang, akibat
yang dirancang dan tidak dirancang (intended & unintended consequences),
keanihan seseorang (idiosyncrasies), dan sebagainya.

Jadual 1.1: Perbezaan antara Kajian Kuantitatif dan Kualitatif

Kuantitatif Kualitatif

Menyelidik
Tujuan hubungan, sebab dan Memahami fenomena sosial.
kesan.

Dibentuk sebelum Dibentuk semasa kajian


Reka Bentuk
kajian dijalankan. dijalankan.

Deduktif; menguji
Pendekatan Induktif; menjana teori.
teori.

Menggunakan alat- Menggunakan interaksi


Alat-alat
alat piawai. bersemuka.

Menggunakan Menggunakan sampel-


Sampel
sampel besar. sampel kecil.

Analisis statistik ke Deskripsi dan interpretasi


Analisis
atas data numerik. naratif.

Sumber: Ary, Jacobs and Razavieh. (2002). Introduction to research in


education. (6th ed.). Belmont CA: Wadsworth
6 X TOPIK 1 ASAS KAJIAN

1.2.2 Kajian Tindakan


Salah satu daripada bentuk kajian pendidikan yang kerap digunakan pada masa
ini ialah penyeldikan tindakan (action research), iaitu satu jenis inkuiri
berebentuk reflektif-kendiri yang mempersoal, mengkritik dan menteorikan
andaian-andaian yang mendasari idea, pemahaman dan amalan penyelidik
sendiri. Sebagaimana yang dijelaskan oleh McNiff (2002: 15):

Kajian tindakan ialah cara tertentu menyelidik pembelajaran anda sendiri. Ia


adalah cara yang praktikal untuk anda menilai amalan anda sama ada telah
mencapai tahap yang sepatutnya. Sekiranya anda berpuas hati dengan
amalan anda, anda boleh menjelaskan bagaimana dan mengapa anda rasa
demikian dan memberikan bukti untuk menyokong tuntutan anda.
Sekiranya anda rasa amalan anda perlu diberi perhatian, anda boleh
bertindak untuk memperbaikinya dan menunjukkan bukti setakat mana
amalan itu telah dibaiki.

Kajian tindakan juga digunakan dalam bidang-bidang lain seperti kajian sosial
dan pengurusan untuk meningkatkan profesionalime. Bagaimanapun, tiada satu
pun pendekatan kepada kajian tindakan, sebab penyelidik secara individu akan
memberi penekanan kepada pelbagai aspek kajian, seperti aspek teknikal atau
nilai yang diperoleh daripada kajian. Secara amnya penyelidik-penyelidik akan
melalui langkah-langkah asas berikut (McNiff 2002):
TOPIK 1 ASAS KAJIAN W 7

Rajah 1.2: Langkah-langkah asas dalam kajian tindakan

Kajian tindakan adalah tidak linear, tetapi melibatkan proses putaran yang akan
mewujudkan putaran baru kajian tindakan dalam jangka masa tertentu. Bagi
kajian yang mengambil masa panjang, penyelidik boleh memecahkannya kepada
beberapa bahagian, yang mana laporannya boleh ditulis sebagai beberapa kertas
kajian yang berbeza.
8 X TOPIK 1 ASAS KAJIAN

AKTIVITI 1.1
Fikirkan beberapa topik kajian yang anda berminat dan senaraikannya
dalam sehelai kertas. Tanya diri anda mengapa anda berminat tentang
topik-topik ini dan bagaimana kajian ini dapat membantu anda dan
murid-murid anda nanti.

Berikut adalah beberapa topik sebenar kajian pendidikan yang telah


dijalankan oleh pelajar-pelajar Sarjana Muda dan Sarjana daripada
sebuah universiti tempatan yang boleh menjadi panduan kepada anda
untuk memilih topik kajian:
(a) Respons daripada pelajar terhadap maklum balas guru (Teh Yock
Suak)
(b) Keberkesanan paradigme pengajaran terus terhadap pengajaran
inferensi (Ellen Drabble)
(c) Penggunaan teknik motivasi untuk meningkatkan kemahiran
bacaan (Puteri Rohani Megat Abdul Rahim)
(d) Struktur pengetahuan metakognitif guru-guru pelatih: Satu kajian
kes (Ranjit Singh Gill)
(e) Penggunaan strategi CIS ke atas pengurusan universiti dan
formulasi UIS (Qiang Qian)

Berikut adalah beberapa sampel kertas kajian yang pernah diterbitkan


tentang Kajian Tindakan.

1. Kertas Kajian 1:

„Reflecting and learning together: Action research as a vital element of


developing understanding and practice.‰ Tina Cook. Educational
Action Research 12.1 (2004)
TOPIK 1 ASAS KAJIAN W 9

Kertas ini, “Refleksi dan pembelajaran bersama: Kajian tindakan


sebagai unsur penting untuk membina kefahaman dan amalan”,
menjelaskan bagaimana pendekatan kajian tindakan membantu peserta
dalam memperbaiki amalan mereka dan bekerja-sama. Proses
membuat refleksi dan belajar bersama dalam projek ini membantu
peserta untuk berfikir, mempelajari sesuatu, mereka bentuk, menunjuk
dan menukar unsur-unsur amalan mereka berpandukan bukti-bukti
yang dikumpul. Unsur utama dalam kertas ini ialah bagaimana refleksi
‘in action’ dan ‘on action’ (Schön) membantu peserta daripada latar
belakang berbeza untuk memahami dan memperbaiki amalan mereka
melalui peningkatan pengetahuan dan keyakinan diri serta
pengetahuan mereka daripada perspektif orang lain.

2. Kertas Kajian 2:

„The assessment of second language teaching.‰ Craig Thaine. ELT


Journal 58.4 (2004).

Kertas ini, “Penaksiran pengajaran bahasa kedua”, melaporkan projek


kajian tindakan tentang penaksiran pengajaran bahasa kedua. Kajian
dilaksana berasaskan Cambridge Certificate in English Language
Teaching to Adults (CELTA) dan berfokus kepada bagaimana
kriteria penaksiran untuk sijil ini ditafsir dan dioperasikan oleh
pendidik guru di New Zealand. Dapatan kajian menunjukkan
bagaimana beberapa kriteria diterlebih generalisasi atau

bertindih dengan kriteria lain, yang menimbulkan pula masalah


kepada kebolehpercayaan (reliability). Kertas ini mencadangkan
beberapa cara bagaimana kriteria ini boleh diubah suai. Isu-isu yang
dibangkitkan adalah penting kepada para pendidik guru bahasa
Inggeris, atau lebih meluas, kepada para pendidik guru bahasa kedua.

3. Kertas Kajian 3:

„Perceived needs of educational administrators for student services


offices in a Chinese context: School counselling programs addressing
the needs of children and teachers‰. Sonya Corbin Dwyer & Kathryn
McNaughton. School Psychology International 25.3 (2004).
10 X TOPIK 1 ASAS KAJIAN

Keadaan di negara China hari ini memerlukan pendekatan secara


holistik terhadap pendidikan. Dalam seminar di Changchun, para
pentadbir kanan telah mencadangkan supaya Pejabat Perkhidmatan
Pelajar diwujudkan di sekolah-sekolah rendah. Kajian ini meneliti 19
rancangan tindakan para pendidik Timur Laut China yang
menyarankan matlamat pejabat ini. Dapatan kajian menunjukkan
terdapat literatur tentang model program bimbingan untuk membantu
pembangunan akademik, kerjaya dan keperluan peribadi/sosial
pelajar. Selain itu, para pendidik berpendapat bahawa matlamat
pejabat ini perlu meliputi bantuan kepada guru untuk mengatasin isu-
isu peribadi dan kerja mereka. Implikasi dari segi kajian antarabangsa
dan cadangan untuk mengkaji program kaunseling turut
dikemukakan.

4. Kertas Kajian 4:

„Learning mathematics in a classroom community of inquiry.‰


Merrilyn Goos. Journal for Research in Mathematics Education 35.4
(2004).

Kertas ini, “Pembelajaran matematik dalam bilik darjah berkomuniti


inkuiri”, cuba menjawab persoalan tentang apakah tindakan tertentu
yang perlu diambil guru untuk mewujudkan budaya inkuiri dalam
kelas matematik sekolah menengah. Teori-teori pembelajaran sosio-
budaya dijadikan kerangka untuk meneliti amalan pengajaran dan
pembelajaran dalam sebuah kelas dalam masa dua tahun. Konsep “zon
pembangunan proksimal” (zone of proximal development - ZPD)
digunakan sebagai kerangka asas untuk menjelaskan pembelajaran
sebagai “peningkatan penyertaan dalam komuniti yang mengamalkan
inkuiri dalam matematik”.

Analisis berkisar kepada pemerhatian dalam bilik darjah serta temu bual
dengan para pelajar dan guru untuk menunjukkan bagaimana guru
menentukan norm dan amalan yang berfokus kepada pemahaman
matematik dan justifikasi tentang idea dan penghujahan serta untuk
mencerap amalan pembelajaran yang para pelajar gunakan sebagai respons
mereka kepada kaedah inkuiri ini.
TOPIK 1 ASAS KAJIAN W 11

1.3 KAEDAH INKUIRI SAINTIFIK DALAM


KAJIAN
Matlamat sains ialah untuk mengembangkan ilmu dan mencari kebenaran.
Penyelidik pula cuba mencapai matlamat ini melalui teori-teori dan hipotesis-
hipotesis. Ramalan (predicting) dan pemahaman merupakan dua daripada
tujuan kita menggunakan teori. Untuk membuat ramalan, kita perlu tahu dan
faham mengapa pemboleh-pemboleh ubah (variables) berkait, yang
sememangnya memerlukan teori. Teori adalah pernyataan yang menjelaskan
pertalian antara beberapa pemboleh ubah dalam sesuatu fenomena bersama
sebab dan kesannya. Kaedah saintifik adalah satu siri langkah-langkah yang
diguna untuk membangunkan dan menghalusi sesuatu teori.

Kaedah dan pemikiran saintifik amat bergantung kepada konsep-konsep yang


membolehkan kita memahami sesuatu perkara serta berfikir tentangnya dan
berkomunikasi dengan orang lain secara abstrak. Konsep pada peringkat tinggi
diguna untuk menjelaskan perkara-perkara yang lebih spesifik, yang tidak dapat
dicerap (observe) secara terus. Konsep dan konstruk digunakan pada peringkat
teori, sementara pemboleh ubah digunakan pada peringkat empirikal.

Proses kajian saintifik digunakan untuk membina dan menguji pelbagai hipotesis
melalui pemikiran induktif-deduktif. Kajian saintifik menggunakan proses
tertentu yang menggabungkan pemikiran induktif dan deduktif serta
pencerapan dan pengujian hipotesis kepada aktiviti-aktiviti yang berasaskan
pemikiran reflektif. Setiap orang akan menganalisis masalah yang sama dengan
cara yang berbeza bergantung kepada persepsi masing-masing yang telah
dilazimkan oleh persekitaran yang berbeza. Justeru, jenis persoalan yang timbul
akan berbeza mengikut kefahaman seseorang tentang sesuatu fenomena. Perlu
diingatkan bahawa inkuiri saintifik adalah salah satu daripada kaedah
menganalisis masalah, tetapi terdapat juga beberapa kaedah lain yang boleh
digunakan untuk menyelesaikan permasalahan kita.

Apakah itu sains? Sains adalah satu sistem cara yang dapat menghasilkan ilmu
pengetahuan. Kepada kebanyakan orang, gambaran/imej sains dapat dilihat
melalui dua klasifikasinya, iaitu sains fizikal (matematik, fizik, kimia, biologi)
dan sains sosial (psikologi, sosiologi, ekonomi). Subjek sains akan menentukan
teknik dan alat yang digunakan dalam kajian. Matlamat utama sains ialah untuk
menghasilkan generalisasi yang sah dan mencari hubungan antara beberapa
pemboleh ubah. Melalui pemahaman hubungan ini, penyelidik akan dapat
memahami fenomena yang dikaji, membuat ramalan dan menentukan hubungan
penyebab (causal relationships). Sains mempunyai ciri-ciri berikut:
12 X TOPIK 1 ASAS KAJIAN

Jadual 1.2: Ciri-ciri Sains

Ciri-ciri Sains

Empirikal Data empirikal diperoleh mengikut keadaan tertentu.

Boleh diulang Kajian boleh diulang mengikut keadaan, sampel dan kaedah yang
digunakan sebelumnya.
(replicable)

Analitikal Ia mengikut kaedah saintifik untuk memecah dan menjelaskan


fakta empirikal.

Berasaskan teori Ia bergantung kepada pengetahun lepas.

Logikal Kesimpulan dibuat berasaskan logik dan hasil kajian.

Teliti Usaha dibuat untuk mengurangkan kesilapan.

1.4 ALTERNATIF KEPADA SAINS DALAM


PENGHASILAN ILMU

SEMAK KENDIRI 1.2

“Sekiranya saya sentiasa kalah dalam permainan tenis, saya akan


bermain sekali lagi, kebarangkalian saya menang akan meningkat.”
Adakah terdapat kesilapan dalam logik ini? Jelaskan.

Maklumat dan ilmu boleh didapati daripada pelbagai sumber, selain sains.
Kebanyakan pengetahuan yang kita ketahui adalah daripada ajaran ibu bapa
kita, apa yang kita alami sendiri, apa yang kita baca dalam buku-buku atau apa
yang kita tonton dalam TV atau filem. Pengetahuan daripada sumber-sumber ini
biasa mencukupi untuk interaksi harian kita, tetapi mungkin mempunyai
kesilapan, seperti juga kajian saintifik yang menghasilkan ilmu yang tepat dan
berguna hanya untuk sesuatu masa atau konteks tertentu.
TOPIK 1 ASAS KAJIAN W 13

(a) Autoriti
Pengetahuan yang diperoleh daripada ibu bapa, para guru dan pakar serta
daripada buku dan media biasanya boleh diterima sebagai betul. Sandaran
kepada autoriti untuk mendapatkan pengetahuan mempunyai kebaikan
terutamanya dari segi mudah dan cepat mendapatkan pengetahuan.
Bagaimanapun, ia mempunyai batasan tertentu sebab kepakaran seseorang
itu mungkin lebih rendah daripada yang dijangkakan. Mereka mungkin
memberi maklumat atau pengetahuan yang salah sebab terdapat juga
pakar yang mempunyai tujuan tertentu yang tidak profesional dengan
sengaja memberi maklumat yang salah untuk mengembangkan idea yang
bias.

(b) Tradisi
Pengetahuan yang berasaskan tradisi biasanya diterima sebagai betul
disebabkan ia telah melalui ujian masa, dan justeru boleh dipercayai. Apa
yang jarang disebut ialah pengetahuan yang diturunkan daripada generasi
ke generasi itu mungkin berasaskan kepada beberapa prasangka yang tidak
rasional, yang menjadikan pengetahuan itu sebagai “natural” atau ianya
mungkin telah berubah setiap kali ia dipindahkan kepada generasi baru.

(c) Pengetahuan Umum


Maklumat dan pengetahuan boleh juga didapati daripada apa yang
diketahui oleh semua orang yang mempecayainya. Pengetahuan umum
(commonsense) ini adalah penting dalam kehidupan harian, tetapi ia
mungkin membenarkan kepalsuan logik mempengaruhi pemikiran kita. Ia
juga boleh menyebarkan idea yang salah, yang kita tidak sedar tentangnya,
dan menyebabkan kita menerima maklumat yang salah.

(d) Media Massa


Siaran TV, filem, surat kabar, majalah dan media lain adalah penting
kepada kita sebagai sumber maklumat. Bagaimanapun, apa yang mereka
sajikan mungkin tidak memberi gambaran sebenar, yang mungkin
disebabkan oleh laporan yang kurang tepat, kesilapan yang disebabkan
kekurangan pengetahuan atau amat bergantung kepada autoriti, tradisi
atau pengetahuan umum sebagai sumber maklumat.

(e) Pengalaman Peribadi


Apabila sesuatu berlaku, kita dapat merasainya, kita dapat mengalaminya,
dan kita terimanya sebagai benar. Pengalaman peribadi merupakan sumber
pengetahuan yang penting kepada kita, tetapi ia juga dapat memesongkan
(distort) kita. Sesuatu yang kita rasa benar, mungkin satu kesilapan atau
persepsi/keputusan yang terpesong. Pengalaman peribadi ini dikukuhkan
melalui empat kesilapan utama:
14 X TOPIK 1 ASAS KAJIAN

(i) Terlebih generalisasi (overgeneralisation): iaitu, apabila kita


memperoleh bukti yang membawa kepada kepercayaan kita, kita
mengandaikan perkara ini benar dalam situasi-situasi lain.
(ii) Pencerapan terpilih (selective perception): iaitu, apabila kita memberi
tumpuan kepada perkara tertentu sahaja dan tidak kepada perkara-
perkara lain. Fokus ini menjadi lebih kuat sekiranya perkara itu serasi
dengan idea prapencerapan (preconceived) kita.
(iii) Keputusan lebih awal (premature closure): iaitu keputusan yang kita
buat apabila kita rasa kita sudah pun mempunyai segala jawapan
yang kita perlukan dan kita rasa kita tidak perlu lagi mendengar
pendapat orang lain, mencari maklumat lain atau menimbulkan
persoalan lain.
(iv) Kesan halo (halo effect): iaitu, apabila kita terlebih membuat
generalisasi terhadap objek atau seseorang yang mempunyai ciri-ciri
cemerlang, yang membawa kita kepada memberi penilaian yang
berlebihan kepada objek atau orang tersebut.

1.5 KEBAIKAN PENDEKATAN SAINTIFIK


Faktor kritikal yang membezakan kajian yang menggunakan pendekatan
saintifik daripada kajian yang menggunakan sumber pengetahuan lain ialah
kajian saintifik lebih daripada proses pengutipan dan penganalisisan data.
Pendekatan saintifik adalah berasaskan dua perkara penting, iaitu logik and
pencerapan. Kedua-dua aspek ini adalah penting yang berkait dengan tiga aspek
utama pendekatan sains, iaitu teori saintifik, pengutipan data dan penganalisisan
data.

Rajah 1.3: Pendekatan saintifik


TOPIK 1 ASAS KAJIAN W 15

1.5.1 Model Sains Tradisi


Dalam model sains tradisi, terdapat tiga unsur utama, iaitu:

(a) Teori ă Digunakan untuk menggarap idea yang dihasilkan dalam bentuk
hipotesis.

(b) Operasionalisasi ă Menyatakan makna semua pembolehubah yang terlibat


dan bagaimana pembolehubah ini diukur. Ia adalah satu proses untuk
menyatakan definisi operasional, atau menyatakan operasi terperinci untuk
mengukur pemboleh ubah.

(c) Pencerapan ă Melihat dan membuat pengukuran ke atas apa yang dilihat.
Pencerapan digunakan untuk membukti sesuatu hipotesis atau sebaliknya.

1.5.2 Model Deduktif dan Induktif


Kajian melibatkan penggunaan teori. Semasa kita mereka bentuk kajian, teori
mungkin atau mungkin tidak dinyatakan secara eksplisit, walaupun ia perlu
dinyatakan secara eksplisit semasa kita mempersembahkan dapatan kajian dan
kesimpulannya.

(a) Model Induktif ă Bergerak daripada perkara spesifik kepada umum


(general), daripada satu set pencerapan tertentu (specific observations)
kepada penemuan bentuk (discovery of a pattern) yang mempunyai
susunan. Dalam model ini, prinsip-prinsip umum dibina daripada
pencerapan yang spesifik.

(b) Model Deduktif ă Bergerak daripada umum kepada spesifik. Daripada satu
bentuk tertentu yang dijangka berasaskan logik atau teori kepada
pencerapan yang menguji sama ada bentuk yang dijangka itu sebenarnya
wujud. Dalam model ini, hipotesis tertentu dibina berasaskan prinsip-
prinsip umum.
16 X TOPIK 1 ASAS KAJIAN

Hipotesis

DEDUKSI Teori-teori Pencerapan INDUKSI

Generalisasi
Empirikal

Rajah 1.4: Hubungan antara model induktif dan deduktif

1.6 KRITERIA KAJIAN YANG BAIK


Pengetahuan yang berguna dan boleh dipercayai hanya diperoleh daripada
kajian yang dirancang, dilaksana dan diuji dengan baik. Kajian yang baik
biasanya mempunyai ciri-ciri saintifik berikut:

(a) Tujuan Kajian yang Jelas


Sebab atau tujuan menjalankan kajian perlu dinyatakan dengan jelas untuk
mengelakkan kekeliruan. Tujuannya mungkin untuk menguji sesuatu
hipotesis, untuk menyelesaikan satu set masalah, atau untuk mencari
prinsip-prinsip umum atau mentafsir tingkahlaku yang boleh digunakan
untuk penjelasan, meramal atau mengawal peristiwa (event) dalam situasi
tertentu. Justeru, penyelidik perlu menyatakan tujuan kajian secara bertulis
dengan jelas, termasuk skop dan batasan kajian serta definisi yang tepat
kepada istilah-istilah utama yang digunakan.

(b) Penerangan yang Jelas tentang Proses Kajian


Proses kajian perlu diterangkan secara terperinci supaya ia boleh diulang
dan disahkan oleh penyelidik-penyelidik lain. Sumber literatur dan data,
dan juga kaedah yang digunakan untuk mengutip data perlu dinyatakan
secara eksplisit, kecuali sumber yang perlu dirahsiakan. Sekiranya sumber
dan/atau kaedah tidak dinyatakan dengan jelas, persoalan tentang
kebolehpercayaan dan kesahan akan timbul.
TOPIK 1 ASAS KAJIAN W 17

(c) Perancangan dan Pelaksanaan yang Sistematik


Proses menjalankan kajian perlu dirancang dengan cermat untuk
mengurangkan ralat (error). Sekiranya kita menggunakan data dasar
(primary data), sampel kajian perlu dijelaskan dan bukti perwakilannya
perlu ditunjuk. Usaha perlu dibuat untuk mengurangkan pengaruh atau
bias penyelidik semasa memilih dan merekod data.

(d) Piawai Etika yang Tinggi


Sesuatu projek kajian yang memberi keutamaan kepada pengawalan para
peserta kajian daripada prasangka atau bahaya. Pada masa yang sama
dapat menghasilkan keputusan berkualiti, akan diberi nilai yang tinggi.
Aspek etika akan dibincangkan dengan lebih panjang kemudian.

(e) Dapatan yang Dibincang dengan Jelas


Penyelidik perlu menggunakan kaedah menganalisis data yang sesuai, dan
analisis ini perlu dibuat secara terperinci. Selain itu, kebolehpercayaan dan
kesahan data perlu disemak dan disahkan; dapatan kajian perlu
diterangkan dengan jelas. Sekiranya ujian statistik digunakan, penyelidik
perlu menyatakan keberangkalian kesignifikanannya dan takat ralat yang
digunakan. Penyampaian dapatan kajian perlu dibuat secara terbatas, jelas,
tepat, menyeluruh, mudah difahami dan disusun supaya mudah dibaca.
Sebarang generalisasi yang melebihi bukti akan mengundang impresi yang
tidak baik.

(f) Batasan Kajian Dinyatakan dengan Jelas


Oleh sebab setiap projek kajian menghadapi batasan tertentu, penyelidik
perlu menyatakan batasan-batasan ini atau kesilapan yang berlaku semasa
kajian dijalankan, yang boleh memberi kesan kepada dapatan kajian.
Bagaimanapun, sesetengah batasan tidak memberi kesan besar kepada
dapatan kajian, tetapi ada batasan yang boleh mengganggu keseluruhan
kajian. Sekiranya penyelidik menyatakan kajiannya tidak mempunyai apa-
apa batasan, mungkin ia boleh dipersoalkan.

SEMAK KENDIRI 1.3

Yang mana antara ciri-ciri kajian di atas yang anda rasa paling
penting? Mengapa?
18 X TOPIK 1 ASAS KAJIAN

AKTIVITI 1.2

Tandakan (B ) sekiranya betul atau (S) sekiranya salah.

Pernyataan Betul/Salah

Dalam deduksi, kita mula daripada mencerap


data dan membina generalisasi dan kemudian
menjelaskan hubungan antara pemboleh ubah
yang dicerap.

Teori membantu kita memahami apa yang kita


cerap.

Model tradisi sains menggunakan logik induktif.

Hipotesis yang baik ialah yang boleh diuji.

Peranan teori ialah penyampaian (representation),


sementara model ialah penjelasan.

Dalam deduksi, kita mula daripada mencerap


data dan membina generalisasi dan kemudian
menjelaskan hubungan antara pemboleh ubah
yang dicerap.
TOPIK 1 ASAS KAJIAN W 19

1.7 ETIKA KAJIAN


Etika adalah norma yang memandu kita untuk membuat pilihan, bertingkahlaku
dan/atau berhubung dengan orang lain. Dalam kajian, etika merujuk kepada
kesesuaian tingkah laku penyelidik terhadap mereka yang menerima kesan
kajian, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Penyelidik perlu memberi
perhatian yang serius terhadap masalah berkaitan etika yang mungkin berlaku.
Secara dasarnya, sebagaimana yang dinyatakan oleh “McNamee (2002).” Subjek
kajian (misalnya, satu kumpulan pelajar di sekolah kerajaan) mempunyai hak
untuk mengetahui tentang jenis dan tujuan kajian, dan sama ada mereka ingin
menyertai kajian atau tidak. Masalah etika boleh timbul daripada pelbagai
sumber, yang secara amnya telah dikenal pasti oleh “Cohen et al. (2000)” sebagai
meliputi:
(a) Jenis projek kajian;
(b) Konteks kajian;
(c) Prosedur yang akan digunakan;
(d) Kaedah pengutipan data;
(e) Jenis peserta;
(f) Jenis data yang dikutip; dan
(g) Penggunaan praktikal data yang dikutip.

Antara isu-isu etika termasuk:


(a) Kerahsiaan peserta kajian;
(b) Penyertaan secara sukarela dan hak peserta untuk menarik diri daripada
sebahagian kajian atau sepenuhnya;
(c) Keizinan dan kemungkinan penipuan di pihak peserta;
(d) Menjaga kerahsiaan data daripada individu yang boleh dikenalpasti;
(e) Reaksi peserta terhadap cara penyelidik mengguna, menganalisis dan
melapor dapatan-dapatan kajian; dan
(f) Tingkahlaku dan objektif penyelidikan.

Di peringkat awal kajian, penyelidik perlu memohon kebenaran untuk


mendapatkan bahan-bahan daripada agensi, organisasi atau individu berkenaan.
Masalah etika mungkin akan timbul sekiranya badan-badan yang memberi
kelulusan tidak diberi penjelasan secukupnya atau peserta tidak jelas tentang
objektif kajian. Isu-isu berkaitan privasi mungkin timbul apabila, misalnya,
20 X TOPIK 1 ASAS KAJIAN

penyelidik secara tidak sengaja atau sebaliknya menceroboh privasi bakal


peserta atau penyampai maklumat apabila penyelidik membuat panggilan pada
masa yang tidak sesuai.

Pemerolehan data sekondar (secondary data) juga boleh menimbulkan masalah


salah laku etika, misalnya, apabila penyelidik mengambil data peribadi individu
yang enggan menyertai sesuatu projek kajian. Contoh polisi kajian diberi di
bawah:

1.1 Australian National University (selepas ini “Universiti”)


bertanggungjawab mematuhi piawai integriti kajian tertinggi dan
memestikan para penyelidik menunjukkan piawai etika profesional
tertinggi. Penyelidik mempunyai tanggungjawab menentukan kerja-kerja
mereka membantu menyemarakkan profesion mereka dan juga Universiti
di mana mereka berkhidmat.

1.2 Polisi ini menjelaskan piawai untuk semua orang yang mengendalikan
kajian di Universiti ini, termasuk staf, pelajar pascasiswazah dan
prasiswazah serta pelawat akademik ke Universiti ini. Ia juga
memberikan kerangka yang akan melindungi penyelidik daripada
kemungkinan salah faham dan juga memberikan langkah-langkah untuk
diikuti sekiranya terdapat sebarang kecurigaan atau tuduhan berkaitan
salah laku kajian. Semua pertanyaan berkaitan kepatuhan kepada polisi
ini hendaklah ditujukan kepada Timbalan Naib Canselor (Kajian).

1.3 Prinsip am yang menjadi panduan kepada kajian telah lama digubal. Yang
penting antaranya ialah menegakkan piawai etika serta kesahan dan
ketepatan dalam pengutipan dan pelaporan data. Penyelidik
bertanggungjawab untuk mencapai dan mengekalkan piawai keluhuran
intelektual tertinggi apabila melaksanakan kajian.

1.4 Tanggungjawab komuniti kajian kepada orang awam dan ia sendiri


hendaklah diberi pengiktirafan sewajarnya. Tanggungjawab ini menjadi
lebih penting sekiranya amalan profesional atau polisi awam didefinisi
atau diubah berdasarkan dapatan kajian.

1.5 Proses kajian akan mengawal kebenaran. Komunikasi antara ahli-ahli


penyelidik; menyelenggara dan rujukan terhadap rekod kajian;
pembentangan dan perbincangan tentang kerja di mesyuarat pakar-pakar;
penerbitan hasil, termasuk semakan rakan; dan ulangan kajian atau
sambungan kajian oleh penyelidik lain; semuanya ini akan menyumbang
kepada penambahbaikan dan peningkatan etika kajian.
TOPIK 1 ASAS KAJIAN W 21

1.6 Pertandingan dalam kajian boleh memberi pengaruh kuat dan positif,
membantu meningkatkan kualiti dan menyegerakan hasil kajian.
Bagaimanapun, tekanan daripada pertandingan boleh menggugat amalan
kajian yang baik, sekiranya ia menyebabkan penyediaan dan penyerahan
laporan dibuat secara tergopoh-gapah, pembahagian laporan kajian
kepada beberapa laporan kecil untuk memperbanyakkan penerbitan, atau
terlalu mementingkan keselamatan sehingga kajian bertahap biasa, tanpa
mencuba yang lebih kreatif dan inovatif.

1.7 Apabila membuat interpretasi polisi ini, sifat sesuatu disiplin tertentu
perlu diambil kira.

1.8 Penyelidik perlu memahami polisi ini dan tentukan peruntukan-


peruntukannya dipatuhi. Kegagalan mematuhi peruntukan-peruntukan
ini boleh dijadikan sebab untuk tindakan disiplin.

Rajah 1.5: Contoh dokumen polisi “Amalan Kajian yang Baik”


Sumber: http://info.anu.edu.au/policies/Policies/Research/Other/
Responsible_Research_Practice.asp

SEMAK KENDIRI 1.4

Cadangkan tanggungjawab etika kajian pendidikan dan pembuat-


keputusan institusi.

• Kerap kali dikatakan bahawa satu-satunya cara untuk mempelajari tentang


kajian ialah dengan melakukannya sendiri.
• Memang tidak ragu-ragu lagi bahawa kata-kata ini benar, tetapi seperti mana
Bell (1999) dan lain-lain berpendapat, banyak masa akan terbuang sekiranya
prosedur-prosedur asas kajian tidak dipatuhi.
• Dalam topik ini, kita telah melihat beberapa jenis kajian yang berbeza, tetapi
mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk menguji apa yang kita tahu
dan menghasilkan pengetahuan baru atau cara baru kita melihat dunia ini.
• Kajian yang baik mempunyai ciri-ciri yang sama, iaitu ianya sistematik,
menyatakan skop dengan jelas, mematuhi piawai etika yang tinggi dan
menyatakan segala batasannya.
22 X TOPIK 1 ASAS KAJIAN

Kajian asas Kajian kuantitatif


Kajian gunaan Kajian tindakan
Kajian kualitatif

1. Nyatakan perbezaan utama antara kajian asas dan kajian gunaan.

2. Jelaskan dengan ringkas mengapa kajian tindakan adalah penting kepada


para guru.

3. Salah satu daripada ciri-ciri kajian yang baik ialah: “Menyatakan batasan
kajian dengan jelas”. Nyatakan dengan ringkas maksud ciri ini.

4. Kajian boleh dibuat sama ada dengan menggunakan Model Induktif atau
Model Deduktif.
(a) Jelaskan apa yang anda faham tentang Model Induktif dan nyatakan
bagaimana anda menggunakan model ini dalam kajian.
(b) Jelaskan apa yang anda faham tentang Model Deduktif dan nyatakan
bagaimana anda menggunakan model ini dalam kajian.
(c) Berikan satu contoh kajian tindakan yang boleh dibuat dengan
menggunakan Model Deduktif.

Anda mungkin juga menyukai