Anda di halaman 1dari 6

Pemakanan Halalan Toyibbah Membentuk Rohani Yang Sihat:

Pandangan Imam Ghazali

ABSTRAK

Makanan adalah salah satu sumber asas dalam kehidupan. Setiap manusia yang bernyawa perlukan
makanan untuk terus hidup. Kini masyarakat telah mula mengambil berat mengenai setiap makanan
yang di ambil untuk memastikan tubuh badan mereka terhindar dari penyakit. Namun dalam
keghairahan manusia memilih makanan yang berkualiti untuk kesihatan badan mereka, ramai yang
terlepas pandang akan perkaitan makanan yang di ambil dalam pembentukan rohani mereka. Maka
dengan itu kertas kerja ini akan membincangkan pandangan Imam Ghazali mengenai kepentingan
menjaga pemakanan yang halal menurut Islam. Kesan daripada penjagaan makanan yang halal dan
toyyibah maka terbentuklah rohani yang sihat.

KATA KUNCI: Pemakanan, Halal Toiyyibah, Rohani.

1. PENDAHULUAN

Makanan merupakan aspek penting dalam kehidupan. Semua makhluk memerlukan makanan dan
minuman untuk meneruskan kehidupan kerana ia mengandungi pelbagai bahan yang membekalkan
khasiat kepada badan manusia bagi menjana tenaga, mengekalkan kehidupan dan merangsang
pertumbuhan badan. Selain itu, aspek gizi dan pemakanan juga memainkan peranan penting bagi
pembentukan akhlak dan rohani seseorang. Dewasa ini, kita digemparkan dengan kejadian bebola
ikan yang dihasilkan daripada daging ular. Ini menimbukan kebimbangan dalam kalangan masyrakat
terutamanya mereka yang bergelar muslim.

2. KAJIAN LITERATURE

Seperti yang kita sedia maklum, gizi dan pemakanan mampu mempengaruhi kerohanian dan akhlak
seseorang. Gizi memainkan peranan penting dalam kesihatan seseorang. Shihab mengatakan
“bahawa adalah merupakan kewajiban seseorang untuk memelihara jasmani sehingga dapat
berfungsi sebagaimana mestinya” (Kartubi). Rasulullah SAW bersabda:

“sesungguhnya badanmu mempunyai hak atas dirimu”.

Islam telah menetapkan bahawa asal sesuatu itu adalah harus kecuali terdapat hukum dan hujah yang
menyatakan haram dan halal sesuatu perkara itu. Islam bukan hanya menitik beratkan kepentingan
makanan yang seimbang semata-mata tetapi juga turut menekankan pemilihan bahan-bahan
makanan yang halal menurut syarak. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

• “Makanlah yang baik-baik dan berbuatlah amal soleh.”(Al-Mu’minum:51)

• Al-quran telah mensyaratkan bahawa sesuatu makanan yang berkualiti dan tinggi nutrisi itu
dinilai melalui dua aspek penting iaitu halal dan baik. Sebagaimana firman-Nya:
• “Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah rezekikan kepadmu dan
bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya”. (QS al-Maidah ayat 88).

Imam Al-Ghazali berpesan dalam soal penjagaan makanan anak-anak dengan katanya “Hendaklah
dijaga makan dan minum yang sesuai untuk dimakan dan diminum. Tidak mengapa jika makanan itu
kurang enak asalkan halal.” (Siti Norlina, 2005). Ini membuktikan betapa Islam menitikberatkan aspek
halal dan baik dalam pemakanan seorang muslim. Islam meletakkan sesuatu perkara itu bersesuaian
mengikut keadaannya. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan halal itu? Menurut Kamus
Dewan Edisi keempat (2005:502)“ menjelaskan halal ialah hukum membenarkan sesuatu perbuatan
dilakukan (dalam Islam), diperbolehkan (tidak ditegah oleh syarak), diizinkan, dibenarkan” ( Salma).

Terdapat beberapa garis panduan dalam menentukan halal sesuatu produk atau makanan itu:

• Bukanlah terdiri daripada atau terkandung di dalamnya apa-apa bahagian atau benda dari
binatang yang orang Islam dilarang oleh hukum syarak memakannya atau yang tidak
disembelih mengikut hukum syarak.Tidaklah terkandung di dalamnya apa-apa benda yang
dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.

• Tidaklah disedia, diproses atau di kilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas
dari benda-benda najis mengikut hukum syarak.

• Tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau
berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak garis panduan a, b, dan
atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.

Halal dan haram sesuatu perkara itu berbeza mengikut bangsa dan agama. Islam melarang umatnya
mengambil makanan yanng mengkhayalkan, melemahkan ingatan dan apa sahaja yang boleh
memudaratkan kesihatan. Islam tidak mengharamkan pengambilan makanan dan minuman
selagimana ia tidak memabukkan. Yusuf Qardawi berkata “ untuk jenis ini, Islam tidak
mengharamkannya melainkan jika ia sudah menjadi arak, samada ia diperbuat dari perahan anggur,
kurma, gandum atau apa sahaja bahan lain selama ia menjadi sesuatu yang memabukkan.” (Dr. Yusuf
al-Qardhawi, 1993)

Walaubagaimanapun, perbahasan hebat berlaku bilamana kita membincangkan pengambilan


makanan yang berasaskan daging haiwan. Secara amnya, terdapat empat jenis daging haiwan yang
diharamkan dalam Islam, iaitu darah yang mengalir, bangkai binatang, babi serta haiwan yang
disembelih bukan kerana Allah. Al-quran secara umumnya melarang umat Islam daripada memakan
empat perkara ini kerana ia boleh memudaratkan kesihatan dan bagi tujuan memuliakan manusia.

Allah telah menjelaskan secara terperinci bahwa terdapat sepuluh jenis makanan yang berasaskan
daging yang diharamkan di dalam Islam. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 3 yang
bermaksud:
Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang
keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana
yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat
yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu
sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga)
kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan
fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu
(setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan
gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku
telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku
telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan
(memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka
bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat diatas menerangkan bahawa terdapat 10 jenis daging yang diharamkan di dalam Islam iaitu
bangkai, darah yang mengalir, daging babi, binatang-binatang yang disembelih bukan kerana Allah,
binatang yang mati kerana dicekik (Al-Munkhaniqah), binatang yang mati kerana dipukul dengan
tongkat dan sebagainya (Al-Mauqudzah), binatang yang jatuh dari tempat yang tinggi sehingga mati
(Al-Mutaraddiyah), binatang yang ditanduk oleh binatang lain sehingga mati (An-Nathihah), binatang
yang diterkam oleh binatang buas dengan dimakan sebahagian dagingnya sehingga mati (Maa akalas
sabu) kecuali yang sempat kamu sembelih ketika ia masih hidup ( nyawa-nyawa ikan), binatang yang
disembelih untuk berhala (maa dzubiha alan nusub). “ Secara umumnya binatang yang diharamkan
untuk dimakan itu ada empat jenis,dan secara terperincinya sebanyak sepuluh jenis” (Yusuf al-
Qardhawi 1993 dan al-Ghazali 2000).

Islam mengharamkan bangkai dan darah yang mengalir bagi memuliakan manusia. Mereka yang
mempunyai akal fikiran tidak akan sesekali memakan bangkai melainkan ketika di dalam keadaan yang
benar- benar darurat kerana sifat bangkai yang jijik dan kotor. Islam merupakan agama yang
menitikberatkan kesihatan dan kesejahteraan manusia.

Pegambilan makanan yang berkhasiat dan toyyiban ini mampu melatih diri menjadi seorang hamba
yang suka beribadat dan bertakwa kepada Allah. Ia juga mampu melihatkan modul insan yang cergas
jasmani dan cerdas rohani. Pepatah arab mengatakan, “akal yang cerdas berpunca daripada jasmani
yang sihat”. Untuk melahirkan tubuh badan yang cergas, seseorang itu perlulah peka dengan kriteria
pemakanan yang telah ditetapkan dalam Islam. Al-Quran mengariskan prinsip halal dan baik sebagai
syarat makanan yang berkualiti dan bernutrisi tinggi.

Antara manfaat mengamalkan pemakanan halal adalah seseorang itu memperolehi kekuatan untuk
melakukan amalan-amalan soleh dan anggota badan akan mentaati akal. Imam Al Ghazali
menceritakan “mengenai percakapan seorang wali, Suhail, iaitu : "Apabila seseorang itu makan
makanan yang haram, anggota badannya enggan untuk mengikuti pemikirannya". Dalam erti kata lain,
akal akan memerintahkan tubuh badan melakukan amal soleh tetapi anggota tubuh badan enggan
melakukannya. Walaubagaimanapun, keadaan ini hanya mampu dilihat oleh hamba Allah yang
mempunyai hati dan pemerhatian yang telah disinari oleh cahaya petunjuk Allah (Siti Norlina, 2005).

Isu pemilihan makanan ini tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakt kerana ia mampu
memberikan impak besar kepada pembangunan rohani dan jasmani seseorang individu itu. Menurut
Imam Al-Ghazali “tiada jalan lain untuk menemui Allah SWT dengan sejahtera dan selamat melainkan
dengan ilmu pengetahuan dan amal perbuatan yang baik dan tidak mungkin mereka dapat
mengekalkan ilmu dan amal kecuali dengan kesihatan tubuh badan. Manakala keselamatan tubuh
badan pula tidak mungkin tercapai kecuali dengan makan sekadar yang diperlukan sahaja” [Al-Ghazali,
2011 dan Aemy Liza& Arieff Salleh]. Ini bertepatan dengan pendapat Mohd Amri yang mengatakan
masyarakat Islam perlu menjaga kehalalan makanan kerana sumber makanan yang haram akan turut
mencacat-celakan keturunan. Menurut beliau, ada pihak yang menyatakan generasi orang Islam hari
ini sebagai generasi strawberi, lemah dan rosak akhlak."Buah strawberi itu lembik, tidak boleh diusik,
ini semua berpunca daripada makanan. Kita mesti beratkan makanan yang halalan toyyiba.(Salma,
2011)

Hikmah larangan mengambil makanan haram bagi mengelakkan seseorang itu ditimpa musibah dan
kesakitan. Makanan yang haram mengandungi nutrisi yang kurang dan mampu membawa
kemudaratan kepada manusia. Sebagai contoh, Islam melarang umatnya daripada memakan babi
kerana gaya pemakananya yang kotor. Kajian mendapati bahawa babi mempunyai kandungan asid
urik yang tinggi dimana ia boleh membawa kemudaratan dan penyakit kepada manusia selain
menyebabkan hati seseorang itu menjadi gelap. Ini kerana apa yang dimakan dan cara makan akan
membentuk hati dan jiwa, dapat menyalurkan kekuatan dan menjadi jalan atau wasilah kepada agama
(al-Ghazali, 2004: 108-121)

Makanan halalan toyyiban memberikan kesan yang mendalam kepada fizikal, mental dan spiritual
seseorang individu itu. Setiap individu memerlukan nutrien dalam tubuh badan mereka. Nutrien ini
dapat dihasilkan daripada bahan makanan seperti sumber haiwan dan tumbuhan. Apakah fungsi
nutrien dalam tubuh badan kita? Untuk mendapatkan fizikal tubuh badan yang berkualiti dari segi
petumbuhan, pergerakan, pemikiran dan pembiakan, seseorang itu hendaklah mengamalkan
pengambilan nutrien yang seimbang dan berkualiti dalam setiap hidangan mereka. Makanan yang
berzat menjadian kanak- kanak itu seorang yang pintar dan tahan lasak. Berlainan pula dengan kanak-
kanak yang mengamalkan pemakanan tidak berzat, mereka akan menjadi pasif atupun terlampau
aktif. Tahap kecergasan tubuh badan mereka juga akan menjadi lemah yang mana ia menyebabkan
kanak-kanak itu lebih mudah terdedah kepada penyakit.

Dari segi mental pula, kajian mendapati kualiti makanan, amalan pengambilan diet seimbang serta
jadual pemakanan yang betul dan konsisten mampu mempengaruhi kecermelangan pelajar. Jadual
pemakanan yang konsisten memainkan peranan penting dalam penilaian kecerdasan mental sesorang
itu. Mereka yang tidak teratur jadual pemakanannya kerana sibuk dengan urusan persatuan ataupun
sibuk dengan tugasan yang diberikan oleh guru lebih cenderung mengalami masalah kemurungan
seterusnya memberi kesan buruk kepada kesihatan mental dan fizikal pelajar. Selain itu, makanan
halal juga mempengaruhi mental seseorang. Emosi mereka lebih stabil berbanding mereka yang
mengambil barangan haram dan terlarang. Sebagai contoh, peminum arak dan penagih dadah akan
hilang kewarasan akalnya kerana mengambil dan meminum sesuatu yang mengkhayalkan serta boleh
menhilangkan ingatan mereka. Hal ini seterusnya boleh membawa kepada penyakit serta kecelakaan
seperti kejadian rompak, ragut, bunuh dan sebagainya.

Cara pemakanan individu juga memberi impak besar kepada pembentukan akhlak diri dan spiritual
seseorang. Jika baik makanannya, maka baiklah akhlaknya, begitulah sebaliknya. Allah mewajibkan
hambanya mencari sesuatu yang halal untuk kegunaan dalam kehidupan seharian mereka.
Sebagaimana kita maklum , makanan halal itu merupakan cahaya penerang bagi hati. Antara
pandangan yang diulang-ulang oleh al-Ghazali ialah “makanan yang halal dan baik akan memberi
kekuatan dan dorongan untuk beribadah manakala makanan yang haram akan menjadi penghalang
(hijab) dari melakukan taat” (Zulkiple & Nur Salimah, 2006). Makanan yang datang dari sumber haram
ataupun diperbuat daripada perkara haram mampu menggelapkan hati dan melenyapkan cahaya
keimanan seseorang. Dewasa ini, kita sering melihat masyrakat kita mengambil makanan secara
berlebihan dan mengamalkan amalan pembaziran makanan. Apabila badan kita menerima makanan
secara berlebihan , badan akan mula menjadi lesu dan mudah mengantuk, seterusnya menyebabkan
kita merasa malas untuk beribadah kepada Allah. Ibn al Qayyim al Jauziyah berkata, " Sesungguhnya
perut jika dipenuhi dengan makanan akan menyempitkan ruang untuk minuman dan sekiranya perut
itu dipenuhi dengan minuman, akan menyempitkan ruang untuk nafas dan terdedahlah baginya
kesakitan dan keletihan dan jadilah keadaannya seperti pemikul barang yang amat berat.” (Aemy
Liza& Arieff Salleh)

Makanan berperanan penting dalam pembentukan akhlak manusia dimana ia menjadi kayu ukur
dalam menilai hubungan seseorang itu dengan Allah, sesama manusia dan juga makhluk. Hubungan
manusia dengan Allah adalah penting dalam meneruskan kelansungan hidup. Sesiapa yang tidak
menjaga hubungan ini, hidupnya tidak akan tenang dan sentiasa dalam kegelisahan. Di dalam kitab
Ihya’ Ululumddin, Imam Ghazali telah memberikan kita panduan adab makan dan minum yang perlu
dijaga sebelum, ketika dan selepas makan. Makanan yang kita makan itu hendaklah berpunca
daripada bahan dan sumber rezeki yang halal di samping ianya dapat menguatkan badan agar kita
dapat beribadah kepda Allah SWT serta menyumbang kepada kemaslahatan ummah. Kita juga diajar
untuk memulakan perbuatan makan itu dengan bacaan doa dan basmalah. Seusai makan, kita diajar
untuk mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda rasa syukur atas kurniaan Ilahi. Pembaziran serta
pengambilan makanan secara berlebihan dilarang di dalam Islam kerana ia boleh membawa kepada
kemudaratan dan penyakit hati.

Menjaga adab makan dan minum dapat mengeratkan ukhwah sesama manusia. Kita digalakkan
makan secara berjemaah dan makan di dalam satu pinggan untuk memperolehi keberkatan daripada
Allah. Antara perkara yang dilarang ketika makan adalah melengahkan makan makanan yang telah
terhidang serta mencela makanan kerana ia boleh menyinggung perasaan orang yang menyediakan
makanan tersebut. Islam merupakan agama yang indah dan lengkap. Ia bukan sahaja menyuruh
umatnya menjaga hubungan dengan Allah dan manusia, malahan aspek hubungan manusia dan
makhluk juga dititikberatkan dalam memastikan keseimbangan hidup. Manusia dilantik sebagai
khalifah di muka bumi bagi memastikan keamanan dapat dicapai. Selain itu , manusia juga berperanan
sebagai pengelola alam untuk memakmurkan bumi, mengelola serta melestarikannya.
3. KESIMPULAN

Kesimpulannya, makanan yang halal dan berkualiti mampu melahirkan insan yang cergas jasmani,
cerdas akal fikirannya serta menbentuk akhlak peribadi yang mulia. Di samping itu, ia juga mampu
mendekatkan lagi hubungan manusia dengan Allah,sesama manusia serta makhluk. Hati yang bersih
berpunca dari sumber rezeki dan pengambilan makanan yang halal dan berkualiti. Jika semua individu
mengamalkan cara hidup yang sihat, dunia akan menjadi aman dan bebas dari segala penyakit dan
kemudaratan

RUJUKAN;

• Al-Ghazali. (2011) “Mutiara Ihya’ ‘Ulumuddin, Imam Al-Ghazali”. Shah Alam, Selangor: Illusion
Network,Edisi Terhad, Bab 11-17, hlm. 271

• Siti Norlina Muhamad. (2005). Kecenderungan Ibubapa Muslim Terhadap Pemakanan Halal :
Kajian di Skudai, Johor Bahru, Johor. Project Vote Code: 75170. UTM.

• Al- Ghazali. (2004). Minhaj alc Abidin. Terj. Abu Mazaya alHafiz. Johor Bharu: Jahabersa.

• Zulkiple Abd Ghani & Nur Salimah Mansor. ( 2006). Penghayatan Agama Sebagai Asas
Pembangunan Pelajar: Analisis Terhadap Beberapa Pandangan Al-Imam Al-Ghazali. Retrieved
27/2/2015 dari http://eprints.utm.my/375/1/ZULKIPLEABDGHANI2006_-
Penghayatanagamasebagaiasaspembangunan.pdf

• Azman Ab Rahman. Panduan Penentuan Makanan Halal Menurut Pandangan Ulama Serta
Kesannya Terhadap Iks Muslim Di Malaysia.

• Kartubi. Keutamaan Mengkonsumsi Makanan Halalan Thayyiba

• Aemy Liza & Arieff Salleh. Makanan dan Kesan Pemakanan menurut Perpektif Islam.

• Dr. Yusuf al-Qardhawi. 1993. Al-Halal Wal Haram Fil Islam.

• Ruaain Bt Mustari. 1994. Kepentingan Penjagaan Makanan Dan Pemakanan Serta

• Implikasinya Terhadap Pembentukan Sahsiah Menurut Perspektif Islam.

• Ghazali, M. A. & Md. Sawari, S. S. (2014). Amalan Standard Halal Di Negara-Negara Asia
Tenggara. UMRAN International Journal of Islamic and Civilizational Studies 11/2014; 1(1):33-
45.

• Md. Sawari, S. S., Mustapha, N. I., & Ghazali. M. A. (2014a). The Impact Of Halal Food On
Physical And Mental Health. International Seminar on Islamic Law, Economic, Education and
Science Issues, Dewan Senat, Universiti Teknologi Malaysia. DOI: 10.13140/2.1.1291.4244

• Ghazali, M. A. & Md. Sawari, S. S. (2014). Kajian Perbandingan Piawaian Halal antara Malaysia
dan Negara Brunei. Social Sciences Postgraduate International Seminar. University Science
Malaysia. DOI: 10.13140/2.1.2096.3520.

• Salma Binti Mat Yasim. 2011. Makanan Halal:Kepentingannya Menurut Perspektif Islam

Anda mungkin juga menyukai