Anda di halaman 1dari 3

Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun kanak-kanak yang merupakan

bakal tunjangnya masih terbelunggu oleh pelbagai kemelut penderitaan. Kanak-kanak


merupakan anugerah Tuhan kepada masyarakat yang harus dijaga 'bagai menatang minyak
yang penuh' tetapi sayangnya kanak-kanak masih menerima pelbagai kesulitan. Mereka
merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru
bertambahlah rezeki yang Tuhan berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin.
Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang
senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Di dada akhbar,
jelas terpapar kepentingan kanak-kanak sebagai pemacu masa depan. Persoalannya,
mengapakah kanak-kanak dikatakan sebagai pemacu masa depan negara dan apakah hak
kanak-kanak sebagai pemacu masa depan negara?

Sebab signifikan kanak-kanak dikatakan sebagai pemacu masa depan negara adalah
kerana mereka bakal menjadi pemimpin masa depan negara. Sehubungan dengan itu, kanak-
kanak perlulah diberi hak mendapat pendidikan yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian
kerana, kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk
melahirkan insan yang berkualiti demi kepentingan negara. Sebagai contoh, kanak-kanak
perlu diberi pendedahan awal tentang ilmu Teknologi, Sains dan Matematik melalui pelbagai
wahana bermula dari usia yang muda agar mereka dapat menguasainya dengan cepat dan
berkesan. Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Jelaslah pendidikan
amat penting bagi melahirkan kanak-kanak yang bijak pandai bagi membangunkan negara.

Walau bagaimanapun, menyediakan pendidikan yang sempurna semata-mata tidak


dapat menjamin pembangunan negara jika kanak-kanak tidak diberi perlindungan. Pada alaf
baharu yang penuh dengan kompetitif, kanak-kanak perlu diberi hak perlindungan daripada
pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak supaya kanak-kanak
di negara ini agar dapat ‘berdiri sama tinggi duduk sama rendah’ dengan kanak-kanak di
negara maju. Justeru itu, pihak yang berkenaan perlulah memainkan peranan dalam
melindungi kanak-kanak. Misalnya, Jabatan Kebajikan Malaysia perlulah memantapkan lagi
Dasar Kanak-Kanak Negara bagi menjaga keamanan kanak-kanak di negara ini.
Sesungguhnya, kanak-kanak perlu diberi perlindungan sepenuhnya kerana kanak-kanak yang
sihat dari segi mental dan fizikal akan menjadi aset negara bagi melaksanakan pembangunan
negara.
Selain itu, kanak-kanak perlu diberikan hak untuk mendapat kehidupan yang ceria.
Kehidupan zaman moden menyaksikan kanak-kanak seumpama robot yang hanya mengikut
arahan ibu bapa mereka. Seperti yang boleh kita lihat, terdapat ibu bapa yang terlalu
mendesak anak-anak untuk mempelajari sesuatu yang mereka tidak minat. Hal ini
menyebabkan, kanak-kanak merasa tertekan dengan kehidupan mereka. Jiwa kanak-kanak
yang tidak tenteram sejak kecil ini boleh menjejaskan keperibadian mereka pada masa akan
datang. Lantaran itu, bagi memastikan mental kanak-kanak sentiasa sihat, ibu bapa perlu
memahami minat dan kemampuan anak masing-masing serta menyokong keputusan mereka
andai keputusan yang dibuat itu adalah benar. Hal ini bertepatan dengan slogan ‘rakyat sihat,
negara maju’. Ringkasnya, kanak-kanak yang sihat akan menjadi pemimpin negara pada
masa akan datang.

Seperkara lagi, kanak-kanak juga layak memiliki hak keluarga yang bahagia. Kes
penceraian dan keganasan rumah tangga mengakibatkan keluarga bahagia yang diidamkan
oleh setiap kanak-kanak menyebabkan segala harapan mereka hanya tinggal impian
disebabkan sikap orang dewasa yang mementingkan diri. Mari kita mengambil contoh,
kanak-kanak yang mempunyai masalah keluarga akan terbuai dalam dunia yang mengalpakan
iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme bagi mengatasi
tekanan yang berikan oleh ibu bapa. Rentetan daripada itu, potensi diri kanak-kanak yang
terlibat dalam dalam budaya hedonisme tidak dapat diperkembangkan. Pendek kata, ibu bapa
hendak lah memberikan keluarga bahagia kepada anak-anak mereka agar mereka terhindar
dari belenggu angkara sosial. Jika kanak-kanak tidak diberikan kebahagiaan, tidak mustahil
segala aspirasi negara iaitu kanak-kanak sebagai pemacu negara hanya sekadar imaginasi
semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti.

Dapatlah disimpulkan bahawa setiap hak kanak-kanak ini perlu dijaga dengan penuh
bertanggungjawab kerana kanak-kanak akan menjadi golongan belia yang bakal memikul
tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk membangunkan negara. Pepatah Melayu
ada mengatakan ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, masyarakat kita
perlu terjaga dari kelalaian dan melengkapkan diri dengan ilmu didikan kanak-kanak yang
benar supaya kanak-kanak dapat membesar dan menempatkan diri sebagai insan yang
cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan ini diharapkan, kanak-kanak mampu melahirkan
negara Malaysia yang dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa setaraf dengan negara
maju yang lain serta terkenal di seantero dunia.

Anda mungkin juga menyukai