Anda di halaman 1dari 30

‘PENTAS HAYATI’

oleh:
Moh Azam Rezali.

Sinopsis:-

‘Pentas Hayati’ yang membawa maksud ‘Pentas Hidupku’ ini mengenengahkan


suatu peristiwa yang kelihatan biasa seputar masyarakat kita, tetapi sebenarnya luar biasa
di mana penulis menyorot ke dalam diri golongan tertindas secara hakiki. Dengan tidak
mementingkan apakah mesej yang hendak disampaikan, penulis sekadar memaparkan
sebuah kebenaran yang perlu dilihat dan dijiwai. Dunia dilihat sebagai pentas sebuah
pementasan.
Watak Fatimah dan anaknya Adi yang berkecamuk, terhukum oleh kehidupan dan
suratan. Mereka sebenarnya berperang secara psikologi dengan dunia realiti yang
menuntut mereka dipersalahkan dalam sebuah kebenaran. Watak Hayati muncul sebagai
khayalan Fatimah dan Adi yang menyebelahi kedua-duanya. Namun jika ditanya
siapakah Hayati, dia adalah mereka.
Dari mata kasar, barangkali apa yang dapat dilihat adalah tekanan demi tekanan
yang dihadapi oleh dua watak ini, mengheret mereka ke lembah neurosis yang hampir
serius. Namun jika dihalusi, apa yang berlaku adalah sebuah simpati yang muncul dikala
mereka memerlukan.
Lokman diperwatakkan sebagai lelaki pencetus segala kekacauan ini dan dia
dihukum. Penghukumnya tidaklah seharusnya dipersalahkan kerana menjalankan
hukuman. Lokman dibunuh (dihukum) sebagai balasan keterlaluannya dan perkara itulah
yang penting, bukannya siapa pembunuhnya samada Fatimah, Adi atau Hayati....

Pelakon-pelakon :-
ADI FATIMAH FATIMAH (Remaja)
LOKMAN LOKMAN (Remaja) ZULAIKHA
MURAT AMRAN LEHA
JALAK APEK LELAKI 1
LELAKI 2 PEMUDA 1 PEMUDA 2
PENGUNJUNG-PENGUNJUNG KABARET.

1
BABAK 1
Pelakon : FATIMAH, ADI, MURAT, LOKMAN, LEHA.
- Pentas berdasarkan set kawasan halaman rumah Fatimah.
- Fatimah dan Adi sudah berada di atas pentas sebelum lampu dihidupkan. Apabila
pentas terang, Fatimah dan Adi membuat gerakan senaman seperti latihan
sebelum memulakan latihan lakonan.

FATIMAH : (Pelakon memperkenalkan diri di dunia realiti/bukan lakonan) Nama saya


‘si polan binti si polan’, berusia ‘sekian-sekian’ tahun, berasal dari ‘sekian-sekian’ dan
berstatus ‘sekian-sekian’. Saya anak ke ‘sekian-sekian’ dari ‘sekian-sekian’ beradik.
Sekarang saya bekerja / belajar di ‘sekian-sekian’ dalam bidang ‘sekian-sekian’.

ADI : (Keadaan yang sama seperti pelakon sebelumnya) Saya ‘si polan bin si polan’,
berusia ‘sekian-sekian’ tahun, berasal dari ‘sekian-sekian’ dan berstatus ‘sekian-
sekian’. Anak ke ‘sekian-sekian’ dari sekian-sekian’ beradik dan sama seperti ‘si
polan’ tadi, saya juga pelajar / pekerja di ‘sekian-sekian’, dalam bidang ‘sekian-
sekian’.

FATIMAH : Hobi saya ialah ‘sekian-sekian’. Selain itu, di masa lapang juga saya gemar
‘sekian-sekian’. Dalam teater ini, saya akan melakonkan watak Fatimah, seorang
isteri, ibu dan perempuan yang menerima tekanan demi tekanan. Mulanya, agak
sukar untuk saya membawakan watak ini. Namun, atas dasar ingin mencuba, saya
cekalkan hati dan bulatkan semangat. Lagi pula, saya dapat menyelami perasaan
perempuan seperti Fatimah kerana sejantina dengannya. Secara jujur, saya sangat
bersimpati dengannya dan perempuan-perempuan yang senasib dengannya. Saya
sangat berpuas hati sekiranya lakonan saya dapat sedikit-sebanyak membantu
perempuan-perempuan sepertinya atau paling tidak, memberi kesedaran kepada
khalayak akan keadaan perempuan-perempuan seperti ini. Fatimah berusia awal
37 tahun, seorang suri rumah sepenuh masa yang juga merupakan isteri kepada
seorang pemandu lori. Dia mempunyai dua orang anak. Seorang darinya adalah
anak tiri, anak isteri pertama suaminya. Anak kandungnya, Adi, seorang remaja
lelaki yang mengalami sedikit terencat akal. Fuh, agak mencabar watak ini. Penuh
dengan tekanan.

ADI : Saya pula membawa watak Adi, anak kepada Fatimah, lakonan ‘si polan’ tadi. Adi
adalah lelaki berusia 20 tahun yang kurang sempurna sifatnya. Saya perlu
membuat kajian untuk merealisasikan watak ini. Pembacaan dan pemerhatian,
banyak membantu saya dalam proses penghayatan watak. Percayalah, saya
berbohong jika berkata yang watak ini tidak mencabar kreadibiliti saya sebagai
pelakon amatur. Malah, tanpa homework dan teamwork, saya tentu saja tidak
dapat melakonkan dengan baik watak yang diberikan ini. Dalam teater ini, saya
lebih rapat dengan mak saya. Watak saya yang agak bodoh-bodoh alang,
sememangnya memerlukan kawalan seratus peratus agar tidak tersasar keluar ke
dunia realiti. Apa lagi ya ? Oh ya, saya suka untuk memberitahu yang kehidupan
saya di luar tidaklah sepertimana watak yang saya bawakan (ketawa kecil).

2
FATIMAH : Fatimah, seorang isteri yang banyak menerima tekanan. Suaminya yang
jarang pulang ke rumah seakan mengabaikan kehidupan mereka. Kalau dia pulang
pun, adalah untuk melepaskan barannya. Dia adalah seorang kaki judi yang hanya
tahu menghabiskan harta isterinya. Tekanan kedua adalah dari anak tirinya,
Murat. Murat mewarisi sifat ayahnya yang panas baran. Apa yang dia tahu, segala
kehendaknya harus ditunaikan. (Mula masuk ke dalam watak) Selain itu, tekanan
dari anaknya sendiri, Adi yang adakalanya memberi masalah kepada penduduk
kampung. Masalah yang ditimbulkan itu, mengundang satu lagi tekanan iaitu dari
orang kampung. Orang kampung asyik menyalahkan Fatimah kerana kononnya
Fatimah tidak tahu menjaga anak. Mereka mahu Adi dihantar ke Hospital
Bahagia. Adi tak gila. Dia cuma bodoh. Salah ke jadi orang bodoh ? Kalau semua
orang pandai dalam dunia ni, siapa nak jadi bodoh ? (Mula menangis) Dia anak
aku. Orang lain tak ada hak nak tentukan arah tuju dia. Aku yang melahirkannya.
Orang lain tak rasa penderitaan yang aku tanggung sewaktu melahirkan dan
membesarkan dia. Mulanya, abang Lokman tak beri aku beranak. Aku
mengandung senyap-senyap. Tahu-tahu, sudah lima bulan aku mengandung.
Abang Lokman mendesak aku menggugurkan kandungan itu. Tapi sudah
terlambat. Kandunganku sudah terllau besar untuk digugurkan. Aku tidak faham,
mengapa dia bencikan kandungan itu sedangkan, itulah lambang cinta kami
berdua. (teresak-esak).

ADI : Dan akulah yang membawakan watak Adi, anak yang dimaksudkan itu. Kelahiran
Adi ke atas dunia ini, tanpa restu bapanya. Bagi Lokman, Adi pembawa sial
dalam keluarga. (Masuk ke dalam watak) Sejak Adi lahir, makin susah. Makin tak
cukup makan. Rezeki berjudi makin tak menjadi. Abah asyik kalah teruk sampai
terpaksa menggadaikan tanah di hujung kampung. Itu tanah mak. Tanah pusaka.
Kata abah, abah akan tebus balik tanah tu. Tapi, dah bertahun-tahun tak juga
bertebus. Kata mak, tanah tu dah jadi milik taukeh Lim. Abah bodoh. Tapi mak
marah kalau Adi cakap macam tu. Mak kata, abah baik walaupun abah selalu
pukul mak. Adi kasihan tengok mak. Tapi, apa yang Adi boleh buat ? Cuma
melihat. Melihat dan terus melihat emak dipukul, diterajang, ditumbuk....

(Lampu pentas berubah menunjukan lakonan sebenar telah bermula. Suasana lewat pagi
digambarkan dengan sedikit kesan cahaya kuning).
FATIMAH : Kadang-kadang aku rasa, macam nak lari saja dari semua ni. Tapi kemana ?
Ini tempat aku. Ya Allah... permudahkanlah dugaan ini.

ADI : (Mendekati Fatimah) Mak nangis ?

FATIMAH : (Mengesat airmata) Eh, tak adalah. Mata mak masuk habuk.

ADI : Tipu. Mata mak berair sebab mak potong bawang, kan ?

FATIMAH : Emm... mak potong bawang.

3
ADI : Atau... sebab mak mengantuk ? Mengantuk pun mata berair.

FATIMAH : (Ketawa kecil) Ya, nak. Mak mengantuk. Mak potong bawang, lepas tu mak
mengantuk.

ADI : Lepas tu, mata mak masuk habuk.

FATIMAH : (Ketawa) Betul. Lepas tu, mata mak masuk habuk.

ADI : Mak. Jom main ‘enjit-enjit semut’.

FATIMAH : Mak sibuk ni. Mak nak potong bawang.

ADI : Ala... jomlah, mak. Cepatlah....

FATIMAH : Yelah... tapi sekejap saja, tau. Mak sibuk.

(Mereka bermain ‘enjit-enjit semut’. Murat masuk ke pentas)

MURAT : Abah dah hantar duit dah ?!

FATIMAH : (Tersentak) Belum...

MURAT : Dah berapa haribulan dah ni ? Habis tu, mana nak dapat duit ni ?

FATIMAH : Manalah makcik tahu. Sehari dua lagi, baliklah abah tu.

MURAT : Dah masak ke ?

FATIMAH : Dah. Makcik dah hidang kat dapur tu. Pergilah makan.

MURAT : Lauk apa ?

FATIMAH : Biasalah, Murat. Ikan kering, telor goreng. Sambal petai pun ada, tu.

MURAT : Sama aje tiap-tiap hari. Nak makan macamana ?

FATIMAH : Dah itu saja rezeki kita.

MURAT : (Kepada Adi) Budak sewel ni, tahu menyusahkan orang saja. Orang lain
sebaya kau ni, dah tahu cari duit. Kau apa yang tahu ? Dah lah sewel,
menyusahkan orang pulak nak kena bagi makan.

FATIMAH : Apa ni, Murat ? Dah mulalah, tu. Jangan nak menyalahkan Adi pula.
Tengok diri kamu tu dulu.

4
MURAT : (Diam sejenak) Mak. Murat nak ke Kuala Lumpur, cari kerja. Murat nak duit,
sikit.

FATIMAH : Tak payahlah, Murat. Sini pun banyak kerja. Kalau kamu nak menolong
Ngah Seman meniaga di pekan pun elok. Kalau tak pun, mak dengar kilang papan
tu pun ada nak pakai orang.

MURAT : Kilang ? Saya ni ada diploma, makcik. Tempat kerja saya, di Kuala Lumpur.
Bukan di kilang....

FATIMAH : Tapi dah berapa kali kamu cari kerja di Kuala Lumpur ? Kadang-kadang
sampai berminggu-minggu kamu duduk sana. Tapi tak juga dapat kerja. Orang di
Kuala Lumpur tu dah ramai sangat. Lagi pun, apalah salahnya kerja di kilang tu
buat sementara waktu. Dapat kerja lain nanti, kamu berhentilah.

MURAT : Makcik tak payah nak mengajar saya. Saya lebih tahu. Saya orang terpelajar.
Bagi saya RM 50 dulu. Kalau ada duit nanti, saya bayar.

FATIMAH : Mana ada RM 50. (Keluarkan duit) RM 30 adalah.

(Murat ambil duit dan pergi. Fatimah keluar ke belakang pentas)

- lampu dipadamkan

BABAK 2
Pelakon : FATIMAH (Remaja), LOKMAN (Remaja), AMRAN.
- Pentas berdasarkan set sebuah kabaret (Kabaret Bintang Jingga).
- Semua pelakon berada di pentas kecuali Fatimah (Remaja). Apabila lampu
pentas dipasang, Penyanyi sedang menyanyikan sebuah lagu dan pengunjung
lainnya, menari.
- Apabila lagu hampir habis, Fatimah (Remaja) masuk ke kabaret dengan
kelihatan agak kekok dan terpinga-pinga. Pakaiannya sopan berbanding dengan
pengunjung perempuan lainnya, lengkap berselendang.
- Amran yang ternampak akan Fatimah (Remaja), menyambutnya, lalu membawa
naik ke platform selepas penyanyi habis menyanyi.

AMRAN : Tuan-tuan dan puan-puan, sila beri perhatian... Malam ini, saya rasa sangat
bertuah, kerana anak sepupu saya iaitu Syarifah Fatimah, sudi hadir pada malam
ini walaupun beliau tidak suka dan tidak pernah masuk ke kabaret. Kalau tuan-
tuan mahu tahu, saya jemput beliau datang pada malam ini untuk meraikan ulang
tahun beliau yang ke 17. Sweet seventeen. Mari kita sama-sama menyanyikan
lagu ‘Selamat Hari Jadi’ untuk beliau.

5
(Semuanya menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ sambil bertepuk tangan. Penyanyi
membawakan kek. Fatimah meniup lilin. Semua bertepuk sorak)

FATIMAH (R) : (Ucapan) Terlebih dahulu, terima kasih terima kasih buat Uncle Amran
atas kejutan ini. Saya betul-betul tidak ingat hari ini hari jadi saya. Sudah dua
tahun saya tidak menyambut hari jadi selepas bergelar yatim-piatu. Terima kasih
Uncle Amran kerana mengembalikan keceriaan dalam hidup saya.

(Lokman (Remaja) muncul membawa sejambak bunga dan menghulurkan kepada


Fatimah (Remaja). Semua bertepuk)

LOKMAN (R) : Selamat Hari Lahir... (Mencium belakang tangan Fatimah (Remaja))
AMRAN : Fatimah, kenalkan ini Lokman. Kawan baik uncle dari Singapura. Kamu
berdua menari bersama, ya. (Mengarah) Music please...

(Muzik dimainkan. Penyanyi mengambil tempat dan menyanyi. Semua menari. Fatimah
(Remaja) kelihatan kekok menari bersama Lokman (Remaja). Namun mereka
kelihatan amat gembira)

- lampu dipadamkan

BABAK 3
Pelakon : FATIMAH, ADI, LOKMAN, LEHA.
- Pentas berdasarkan set kawasan halaman rumah Fatimah.
- Adi sudah berada di atas pentas sebelum lampu dihidupkan. Apabila pentas
terang, Adi berbual dengan teman imaginasinya.

ADI : (Berkomunikasi dengan teman imaginasinya yang hanya dapat dilihat olehnya)
Hayati, kenapa lambat ? Lama saya tunggu, tau. Eh, Hayati... hari ni, kan... hari
ni... awak cantik, lah... (ketawa dan tersipu-sipu). Apa ? Saya pun hensem ? Betul
? Terima kasih, lah Hayati. Eh, mari kita main enjit-enjit semut, nak ? (Bermain
dengan teman imaginasinya)

(Tiba-tiba, Adi seolah-olah kesakitan sambil bermain. Seolah-olah teman imaginasinya


mencubit tangannya sekuat hati dan cuba mencederakannya)

ADI : (Bermain) Enjit-enjit semut... aduh... sakitnya, Hayati. Jangan cubit saya, Hayati.
Lepaskan. Sakitnya. Aduh... lepaskan saya... sakitnya... Mak !!! Tolong, mak !!!
Sakitnya... Aduh... Hayati, tolong lepaskan saya... Mak !!!

(Lokman masuk ke pentas dan memerhati Adi)

ADI : (Terus menangis) Sakit !!! Tolong, mak... sakitnya...

6
LOKMAN : (Menengking) Apahal tu ?!!

(Adi tersentak dan memberhentikan perbuatannya)

LOKMAN : Kenapa kau menangis, hah ?

ADI : Hayati. Hayati cubit tangan Adi. Dia tak nak lepaskan tangan Adi, tadi.

LOKMAN : Apa yang kau merepek, hah ? Budak sewel !!! Cakap sorang-sorang, main
sorang-sorang. Dah makin gila, agaknya. Mak kau ajar apa kat rumah, ha ? Ish,
kalau ikutkan hati aku... (hendak memukul Adi)

FATIMAH : (Meluru kepada Lokman) Abang !!! Bila abang balik ? Maaf, bang. Saya tak
sedar. Sedang memasak di dapur, tadi. Abang letih, kan ? Biar saya buatkan air.

LOKMAN : Hey, anak kau yang gila ni, dah makin sewel. Tak serupa orang langsung.
Kau ajar dia macam tu, ke ?!

FATIMAH : Sudahlah, bang. Biarkan dia. Abang pun letih. Masuklah ke dalam, bang.

LOKMAN : Makin benci aku tengok muka budak ni (masuk ke dalam rumah).

FATIMAH : (Mendekati Adi) Adi duduk diam-diam, ya. Mak nak tengokkan abah di
dalam tu. Adi jangan ke mana-mana, tau (masuk ke dalam rumah).

ADI : (Berkomunikasi dengan teman imaginasinya) Awak ni jahatlah, Hayati. Sakit


tangan saya, tau. Apa maaf-maaf ?! Saya tak nak kawan dengan awak lagi
(memuncungkan muka). Apa ? Awak nak ajak saya petik bunga ? Kat mana ?
Rumah Makcik Leha ? Ish, tak mahulah. Nanti dia marah. Lagi pun, emak saya
tak bagi saya pergi mana-mana.... Saya tak mahu. Nanti Makcik Leha marah.
Kalau awak nak pergi, awak pergilah sorang-sorang. (Melihat seolah teman
imaginasinya berlalu) Jangan pergi... (Melaung) Jangan petik bunga tu banyak
sangat... nanti Makcik Leha marah...

FATIMAH : (Meluru masuk ke pentas) Adi, apa yang Adi buat tu ?

ADI : (Serba-salah) Tak ada apa mak.

FATIMAH : Jangan bising sangat. Abah nak tidur tu. Adi duduk diam-diam, ya ?

ADI : Baiklah, mak.

(Fatimah masuk kembali ke dalam rumah)

7
ADI : Degil betul, lah Hayati ni. Orang dah kata jangan petik bunga Makcik Leha tu, dia
petik juga. Dia tak tahu ke yang Makcik Leha tu garang orangnya ? Kalau dia
mengamuk nanti...

(Makcik Leha meluru masuk ke pentas dengan marahnya. Di tangannya, beberapa


tangkai bunga orkid)

LEHA : (Melaung) Timah... Oh, Timah !!! (Terlihat Adi) Hey, Adi. Mak kau mana, hah ?
Timah !!!

FATIMAH : (Tergopoh-gapah) Eh, kenapa ni Leha. Apa yang kecoh-kecoh ni ?

LEHA : Tu hah, anak kamu yang tak betul tu. Kamu tanyalah dia.

FATIMAH : Kenapa, Adi ? Ish, cubalah kamu ceritakan Leha, apa yang terjadi ?

LEHA : Ni hah, bunga orkid aku ni. Habis dipatah-patahkan Si Adi ni. Kamu ingat aku
dapat free ke bunga ni, Timah oii. Mahal harganya, kamu tahu ?

FATIMAH : Bila pula Adi ni mematahkan orkid kamu tu ?

LEHA : Baru kejap tadi. Itulah, kamu tu bukannya reti jaga anak. Biarkan saja budak tu
merayau keliling kampung. Tambatlah sikit, kalau dah tahu anak kamu tu tak
betul. Ini, menyusahkan orang saja.

FATIMAH : Leha, biji mata aku sendiri yang menyaksikan, Adi tak bergerak ke mana-
mana dari tadi. Dia ada tercogok di situ. Kamu janganlah nak buruk-burukkan dia,
Leha.

LEHA : Udah le, Timah oii... Kamu tu asyik nak menyokong anak kamu saja. Cubalah
kamu tanya dia sendiri.

FATIMAH : Janganlah macam tu, Leha. Aku tahu dia tak buat. Kamu pergilah balik.
Abang Lokman ada tidur di dalam tu. Karang terjaga pula dia.

LEHA : Ohh, patutlah kamu sampai tak sedar ke mana anak kamu pergi. Asyik melayan
laki kamu, rupanya. Kalau kamu tak mahu tanya dia, biar aku yang tanya.
(Kepada Adi) Hey Adi, betul tak kamu yang patahkan pokok bunga makcik, ha ?!

ADI : (Teragak-agak) Hayati...

LEHA : Apa dia? Cakap betul-betul.Kamu ke yang patahkan pokok bunga makcik, ha ?!!

ADI : (Teragak-agak mengangguk kepala) Saya, makcik.

8
LEHA : Ha, Timah... kamu tak percaya lagi ? Heh, kalau anak aku, dah lama aku cekik-
cekik biar mampus.

FATIMAH : Betul ke Adi? Cakap betul-betul, siapa yang patahkan bunga Makcik Leha ?
Cakap betul-betul, Adi....

ADI : Adi, mak. Bukan Hayati. Adi yang patahkan.... Adi yang buat...

FATIMAH : Kan mak dah cakap, jangan berjalan.... Kamu ni degil betul, lah... (mencari
ranting dan memukul Adi) Mak dah suruh kamu duduk diam-diam... kamu degil...
taknak dengar cakap.... Kalau anak orang lain, dah lama kamu kena cekik sampai
mampus, kamu tahu... (geram)

(Adi meronta-ronta dan meraung sekuat hati kerana dipukul oleh Fatimah. Fatimah
melepaskan geramnya pada Adi)

LEHA : (Puas hati) Pukul lagi, Timah. Macam tu lah mengajar anak.

(Lokman meluru masuk ke pentas dan mendekati Timah)

LOKMAN : Kenapa ni ?!!

FATIMAH : (Terkejut dan berhenti memukul Adi) Tak ada, bang...

LOKMAN : Kenapa, Leha ?!!

LEHA : Anak kamu ni lah, Lokman. Habis bunga aku di patahkannya. Lain kali, kamu
tambat sajalah anak kamu ni, Lokman...

LOKMAN : Kurang ajar betul kamu ni, Adi. Tak cukup ke kamu ni menyusahkan aku ?
Ini nak menyusahkan orang lain pula. (Merampas ranting pada Fatimah dan
memukul lebih kuat) Aku bunuh kau, budak sewel...

(Leha keluar dari pentas)

LOKMAN : Menyusahkan orang... tak ada faedah kau hidup dalam dunia ni...

(Adi tidak meronta dan tidak juga menangis. Dia cuma tunduk diam seolah tiada apa
yang berlaku. Lokman tambah kuat memukulnya)

FATIMAH : (Meleraikan) Sudahlah, bang !!! Takkan sampai mahu dibunuh budak tu...
(berusaha untuk meleraikan)

LOKMAN : (Berhenti memukul) Ingat... sekali lagi kamu buat hal, aku bunuh kamu...

9
FATIMAH : (Mendekati Adi) Maafkan mak, nak. Nanti mak bubuh ubat ya, Adi.

ADI : (Seolah tiada apa berlaku dan terus bermain seorang diri) Enjit-enjit semut, siapa
sakit naik atas... enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas...

FATIMAH : (Mula menangis) Adi... maafkan mak... sakit, nak ?

ADI : (Tidak mempedulikan Fatimah) Enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas... Hayati,
betul-betul, lah... enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas...

FATIMAH : (Menangis) Maafkan mak...

- lampu dipadamkan.

BABAK 3.1
Pelakon : FATIMAH, ADI, MURAT, ZULAIKHA.
- Pentas masih berdasarkan set kawasan halaman rumah Fatimah. Suasana
menggambarkan waktu senja.
- Adi sudah berada di atas pentas sewaktu lampu dibuka. Dia berkomunikasi
dengan teman imaginasinya.

ADI : Saya dah kata dah. Tapi awak degil. Awak degil, lah Hayati.... Awak petik juga
bunga Makcik Leha tu. Saya dah kata, dia tu garang. (PAUSE) Bukan. Saya
bukan marah pada awak. Saya sayang awak. Sebab tu lah saya mengaku yang
saya petik bunga-bunga tu. Abah pukul saya. Sakit. Sakit sangat. Sakit sampai tak
terasa apa-apa. Sakit sampai terasa tak sakit. Sampai terasa sedap. Sejuk. Seronok.
(Ketawa) Abah selalu pukul Adi. Dah biasa sangat. Sejak lahir lagi dah biasa kena
pukul dengan abah... (ketawa lagi) sampai sekarang ni, dah tak sakit lagi. Geli...
sedap... (ketawa) Kenapa Hayati ? Kenapa awak menangis ? Ha ?! Kasihan
dengan saya ? Kenapa ? Bukannya saya sakit. Sedap... (ketawa). Betul... sedap...

(Zulaikha masuk ke pentas)

ZULAIKHA : Adi...

ADI : (Ketawa masih bersisa) Eh, Kak Ika. Kak Ika cari mak, ya ? Mak ada di dalam.

ZULAIKHA : Adi ketawa dengan siapa tu ?

ADI : Ha ? Ohh... dengan Hayati.

ZULAIKHA : Hayati ? Mana ? Kak Ika tak nampak pun.

10
ADI : Entah la kak. Tadi ada di sini. Mana pula dia pergi. Agaknya, dia malu dengan Kak
Ika, kot.

ZULAIKHA : Ohh.... Mana Adi kenal Hayati tu ?

ADI : Masa cari kayu api dulu. Lama dah. Lama dah Adi kawan dengan Hayati. Masa
cari kayu api dulu, Hayati tolong Adi. Dia baik, kak. Dia tinggal dalam hutan tu.
Dia tinggal sorang saja. Hayati ajak Adi tinggal dengan dia kat dalam hutan. Tapi
mak tak bagi. Mak kata, dalam hutan tu banyak nyamuk.

ZULAIKHA : (Mula takut) Mak Adi tahu yang Adi ada kawan nama Hayati ?

ADI : Tahu. Mak pun pernah sembang dengan Hayati. Mak baik dengan Hayati. Abang
Murat saja jahat. Dia kata Hayati tu hantu. Mana ada. Abang Murat penipu.
Hayati bukan hantu kan, kak ?

ZULAIKHA : (Teragak-agak) Taklah. Hayati bukan hantu. Dia pun manusia macam kita
juga.

ADI : Ehh, tak kak. Hayati bukan manusia. Hayati bukan manusia macam kita.

ZULAIKHA : (Tambah takut) Ha ?!! Habis tu ? Kalau Hayati tu bukan manusia,dia apa ?

ADI : Hayati tu... dia... Hayati tu...

(Fatimah masuk ke pentas)

FATIMAH : Eh, Zulaikha. Lama tak bertandang ke sini.

ZULAIKHA : Sibuk sikit, kak. Saya banyak terima tempahan untuk buat baju kurung.
Kak Timah apa khabar ?

FATIMAH : Macam ni lah, Zulaikha. Abang Lokman kau, baru saja pergi tadi.

ZULAIKHA : Ha, selisih dengan saya di tengah jalan tadi, kak. Lori yang dipandunya tu,
dia letak di luar kampung ya, kak ?

FATIMAH : Eh, lori tu mana boleh bawa masuk dalam. Besar sangat. Habis pula ayam-
itik orang kampung dilanyaknya nanti. Kalau tidak pun, habislah rosak jalan.

ZULAIKHA : (Serba-salah) Sebenarnya kak... saya datang ni nak minta maaf sebab
kelakuan mak saya semalam. Tak patut dia serang Kak Timah macam tu. Adi juga
yang teruk kena pukul. Maaf, kak. Mak saya tu memang macam tu. Malu saya
dibuatnya.

11
FATIMAH : Ish, jangan cakap macam tu, Zulaikha. Kalau kakak berada di tempat dia
pun, tentu kakak marah. Dia tu memang sayang sangat pada orkid dia tu. Dah
dipatah-patah dek Adi. Marahlah dia.

ZULAIKHA : Tapi tak ada bukti Adi yang patahkan pokok-pokok orkid tu. Sehari suntuk
Ika ada menjahit di rumah semalam. Tak ada nampak pun kelibat Adi.

FATIMAH : Benda dah jadi, Zulaikha. Tak payahlah Zulaikha risau. Kakak tak simpan
di hati.

(Adi memberi isyarat kepada teman imaginasinya yang memanggil dia)

ADI : Mak... Hayati panggil Adi. Boleh Adi ikut Hayati, mak ?

FATIMAH : Pergilah, Adi. Asalkan jangan main jauh-jauh, cukup. Beritahu Hayati tu,
jangan sampai lewat petang sangat baru nak balik.

ADI : Baik mak... (kepada teman imaginasinya) Hayati... tunggu.... (berlari keluar
pentas)

ZULAIKHA : Kak, siapa Hayati tu, kak ?

FATIMAH : (Ketawa) Mana ada budak nama Hayati dalam kampung ni....

ZULAIKHA : Habis tu... Adi tu tadi bercakap dengan siapa ?

FATIMAH : Adi tu kuat berangan. Dia tak ada kawan. Jadi, dia cipta kawannya sendiri.
Sebenarnya, Hayati tu tak wujud. Fantasi Adi saja tu. Ish, janganlah kamu
fikirkan sangat, Zulaikha. Kakak masa mula-mula dulu, hairan juga dengan
gelagat Adi tu. Tapi bila difikir-fikirkan balik, Adi tu kan golongan istimewa.
Lagi pun, tak ada siapa yang nak berkawan dengan dia.

(Murat masuk ke pentas)

MURAT : Eh, Zulaikha. Baru sampai ? Makin cantik kau sekarang, ya ? Kau nak kahwin
dengan aku, tak ?

FATIMAH : Jangan biadab, Murat.

ZULAIKHA : Ika balik dulu, kak. (Keluar dari pentas)

MURAT : Fuh, bergetah. Kalau aku dapat...

FATIMAH : Dapat kerja, Murat ?

12
MURAT : Ahh... mana nak dapat. Tak ada kabel. Cuba kalau ada orang yang kenal. Tak
payah interview pun boleh dapat. Kalau ada sedara Dato’ ke, Tan Sri ke,
senanglah dapat.

FATIMAH : Hai... tak dapatlah meminang Zulaikha, nampaknya.

MURAT : Hey, makcik ingat saya ni tergila-gilakan sangat ke budak kampung tak
berpelajaran tu ? Apa yang dia ada ? SPM ? Saya dengan dia, tak setaraf, makcik.

FATIMAH : Suka hati kamulah, Murat.

MURAT : Saya nak ke Kuala Lumpur seminggu.

FATIMAH : Makcik tak ada duit, Murat. Abah kamu beri cukup-cukup saja untuk makan
dan bayar bil api-air. Lagi pun, kalau kamu dah tahu tak akan dapat kerja di
bandar tu, tak payahlah pergi. Makcik betul-betul tak ada duit ni.

MURAT : Apa yang makcik merepek ni ?! Bila masa pula saya minta duit ? Ingat muka
saya ni muka tak berduit ke ? Makcik beritahu pada Zulaikha tu, saya ni bukan
sengkek sangat, tau. Saya ada duit, lah. Cuma, tak berapa cukup saja. Kalau
boleh, makcik bagi RM 15 pun cukuplah.

FATIMAH : Tak ada duit.

MURAT : Oklah, RM 10 ringit... nanti saya bayar balik, lah...

FATIMAH : (Memberi duit) Alamatnya, makan ikan kering sajalah kita bulan ni, Murat.

MURAT : Eleh, orang minta RM 10 pun dah kecoh. Macamlah bagi RM 1000 (keluar
dari pentas).

- lampu dipadamkan.

BABAK 4
Pelakon : FATIMAH (Remaja), LOKMAN (Remaja), AMRAN, PEMUDA 1.
- Pentas berdasarkan set sebuah kabaret (Kabaret Bintang Jingga).
- Semua pelakon berada di pentas kecuali Lokman (Remaja). Apabila lampu pentas
dipasang, penyanyi sedang menyanyikan sebuah lagu rancak. Ada beberapa
pasangan menari. Fatimah (Remaja) sedang duduk berbual bersama Amran. Kini
dia berpakaian lebih sesuai dengan kabaret.
- Amran kemudian meninggalkannya sendirian untuk menemui temannya yang lain.
Fatimah (Remaja) kelihatan tercari-cari Lokman (Remaja) yang belum tiba.
Kemudian, Pemuda 1 yang kelihatan sedikit mabuk, menghampirinya dan

13
mengajaknya menari. Mulanya Fatimah (Remaja) menolak. Namun akhirnya
akur.
- Pemuda 1 menari dengan agak liar dan cuba menyentuh Fatimah (Remaja).
Fatimah (Remaja) mengelak dan menepis. Kemudian, Pemuda 1 bertindak cuba
memeluk Fatimah (Remaja). Fatimah (Remaja) cuba melepaskan diri dan
menjerit.
- Lokman (Remaja) meluru dari satu arah dan membelasah Pemuda 1. Pemuda 1
mengeluarkan pisau. Terjadinya pergaduhan yang memihak kepada Lokman
(Remaja). Pemuda 1 diheret keluar dari kabaret.

FATIMAH (R) : (Menghampiri Lokman) Kau tidak apa-apa ?

LOKMAN (R) : Tidak. Kau ?

FATIMAH (R) : Aku juga. Terima kasih...

LOKMAN (R) : Sama-sama...

- lampu dipadamkan

BABAK 5
Pelakon : ZULAIKHA, MURAT, ADI.
- Pentas menggambarkan set sebuah jalan kampung yang semak-sunyi, pada waktu
tengahari.
- Murat sudah berada di atas pentas sewaktu lampu dibuka. Dia gelisah seperti
sedang menunggu seseorang. Sebentar kemudian, Zulaikha lalu dan dirapati oleh
Murat.

MURAT : Dari mana Zulaikha ? Laju saja nampaknya.

ZULAIKHA : Oh, abang Murat. Ika dari rumah abanglah, tadi. Ika hantar asam pedas ke
rumah abang.

MURAT : Ika yang masak sendiri, ke ?

ZULAIKHA : Mestilah, bang.

MURAT : Bertuah betul siapa yang dapat Zulaikha ni. Sudahlah cantik, pandai masak
pula. Kalaulah abang dapat kau, Zulaikha...

ZULAIKHA : (Serba tak kena) Ika balik dulu, bang (hendak berlalu).

MURAT : (Menghalang Zulaikha) Tunggulah dulu, Zulaikha.

14
ZULAIKHA : Apa lagi, bang ? Ika dah lambat ni.

MURAT : Marilah kita duduk-duduk di tepi sungai tu dulu.

ZULAIKHA : Buat apa ?!

MURAT : Sembang-sembang... di situ tak ada orang, tau. Cuma kita berdua, saja. Tak
ada siapa nak ganggu.

ZULAIKHA : Jangan merepek, bang. Ika nak balik...

MURAT : (Cuba memegang Zulaikha) Zulaikha...

(Adi muncul dan menghampiri Zulaikha)

ADI : Kenapa kak ?

ZULAIKHA : Tak ada apa-apa, Adi. Mari temankan kakak balik rumah. (berjalan
dengan Adi)
(Murat bengang dan menumbuk tapak tangannya).

- lampu dipadamkan.

BABAK 6
Pelakon : LOKMAN, FATIMAH, ADI.
- Pentas menggambarkan set halaman rumah Fatimah pada waktu awal petang.
- Lokman dan Fatimah sudah berada di atas pentas sewaktu lampu dipasang.
Mereka sedang berbual-bual.

LOKMAN : Kau kena mengerti. Aku ni, sudah banyak sangat berjasa dengan kau. Kalau
tak ada aku, jangan mimpilah kau nak hidup macam orang lain. Tak ada siapa
yang tahu tentang kita.

FATIMAH : Sampai bila kita nak begini, bang ? Kita ni makin hari, makin tua. Entah
esok, entah lusa, kita akan pergi. Saya tak sanggup sampai mati kita berdosa,
bang. Bila semua ni nak berakhir.

LOKMAN : Boleh tak kalau kau tak cakap pasal ni ? Kenapa selepas 15 tahun baru kau
nak bangkitkan hal ni ? Alang-alang dah suku abad tahun bergelumang dengan
dosa, biar sampai mati berdosa.

FATIMAH : Tidak, bang. Abang kena buat keputusan secepat mungkin. Kita taubat,
bang ? Tuhan tu maha pengampun, bang. Kita taubat ya, bang ?

15
LOKMAN : Hey, perempuan sundal... sejak bila pula kau nak belajar jadi baik ni ? Sejak
kau dah kecut ?! Aku tak mahu dengar kau merepek lagi. Kalau kau nak taubat
sangat, kau taubat sorang-sorang.

FATIMAH : (Sebak) Sundal, abang gelarkan saya ? Itu harga pengorbanan saya selama
ini ?

LOKMAN : Ya... setakat itu saja pengorbanan kau. Berkorban untuk menjadi sundal !!!
Hey, najis tu, walau kau panggil dengan nama mawar sekali pun, tetap busuk !!!

FATIMAH : Abang...!!!

LOKMAN : Sudah ! Aku nak keluar. Mana duit aku ?

FATIMAH : Duit apa ?

LOKMAN : Duit yang aku bagi, suruh kau simpan tu, lah.

FATIMAH : Apa pula, bang ? Duit tu, abang suruh bayar bil, belanja dapur... Lagi pun,
sebahagiannya dah saya berikan pada Murat. Katanya, nak ke Kuala Lumpur
untuk cari kerja.

LOKMAN : Itu aku tak peduli. Aku kata, mana duit aku !!! Kau tak faham-faham ke, aku
nak pergi main ‘mahjong’ ni.

FATIMAH : Cukup-cukuplah berjudi tu, bang. Lagi pun, dah tak ada duit dah ni.

LOKMAN : Bak gelang kau tu.

FATIMAH : Tidak, bang. Inilah satu-satunya yang tinggal. Yang lain dah habis abang
gadaikan. Lagi pun, ini pemberian arwah mak saya.

LOKMAN : Kalau kau tak mahu beri, tak apa. Jangan lupa, geran tanah ada pada aku.
Mungkin kau lebih suka hidup merempat.

FATIMAH : Jangan, bang. Ini tanah pusaka sejak turun-temurun. (Menanggalkan


gelang) Abang janji ya, kalau abang menang main ‘mahjong’, abang tebus
kembali gelang ini. Janji, ya... (menyerahkan gelang pada Lokman).

LOKMAN : (Ketawa besar) Jangan bimbang... selagi kau ikut cakap aku, selagi itu tanah
ini tidak tergadai. (Keluar)

FATIMAH : (Berdoa) Oh, Tuhan... aku tahu doaku ini tidak bermakna. Aku tahu, aku
mungkin berdosa kerana doa ini. Atau mungkin kau akan murka padaku.... Tapi
bantulah aku, Tuhan. Kasihanilah aku. Jangan biarkan abang Lokman tewas di
meja judi, Tuhan. Bantulah hambamu yang lemah lagi jahil ini.

16
(Adi masuk ke pentas)

ADI : Mak cakap dengan siapa, mak ?

FATIMAH : (Terkejut dan serba-salah) Dengan Tuhan, nak. Mak berdoa.

ADI : Tuhan kata apa pada mak ?

FATIMAH : Mak tak tahu. Mak tak tahu apakah Tuhan akan sudi mendengar doa mak
yang tak masuk akal ini. Tapi, mak tak tahu nak buat apa lagi. Mak cuma ada
Tuhan.

ADI : Adi ? Mak juga ada Adi...

FATIMAH : Iya, nak... (tiba-tiba Fatimah pening kepala dan jatuh pengsan).

ADI : Mak...!!!

- lampu gelap

BABAK 7
Pelakon : MURAT, ZULAIKHA, ADI.
- Pentas menggambarkan set jalan kampung yang semak-sunyi pada waktu malam.
- Murat sedia menunggu Zulaikha dengan gelisah. Seketika kemudian, Zulaikha lalu
dalam keadaan tergesa-gesa dan Murat pun menghalang perjalanannya.

ZULAIKHA : Tepilah, Murat. Aku nak cepat ni. Makcik kau sedang sakit. Aku mahu ke
sana.

MURAT : Janganlah begitu Zulaikha. Sudah banyak kali aku merayu pada kau. Tapi kau
tetap menyombong diri. Marilah kita berbual-bual dulu, Zulaikha. Pedulikan
makcik aku tu....

ZULAIKHA : Hey, anak apa kau ni, Murat. Makcik kau sendiri sedang sakit pun, kau
buat main-main, ya. Kau memang bukan manusia. Sudah, ke tepi... aku nak lalu....

MURAT : Zulaikha, nampaknya kau ni tak mudah dapat dengan cara halus. Agaknya,
kau lebih mahukan cara kasar (cuba memegang Zulaikha).

(Zulaikha meronta-ronta dan menjerit dengan tindakan Murat itu. Tetapi tiba-tiba,
seolah-olah ada orang memukul Murat. Murat dipukul beberapa kali dan
mengerang kesakitan. Namun, tiada siapa yang dapat melihat ‘makhluk ghaib’

17
yang memukul Murat itu. Murat akhirnya pengsan. Zulaikha pula, lekas-lekas
melarikan diri dari tempat itu)
(Beberapa ketika, Murat pengsan. Kemudian, masuk Adi sambil bercakap-cakap dengan
teman imaginasinya)

ADI : Apa ni Hayati. Awak nak bawa saya pegi mana ni ? (Ternampak Murat) Ha ?
Abang Murat ? Kenapa dia tidur kat sini ? (Menggerak-gerakkan badan Murat)
Abang Murat... bangun... kalau nak tidur, pergilah tidur di rumah.... Bangunlah,
bang.... Apa Hayati ? Hah ?! Awak yang pukul dia sampai dia pengsan ? Kenapa
awak pukul dia ? Awak jahat !!! (PAUSE) Ha ? Abang Murat cuba nak rogol Kak
Zulaikha ? Rogol tu apa ? (PAUSE) Ha ? Abang Murat nak kacau Kak Zulaikha ?
Nak rosakkan Kak Zulaikha ? Nak belasah Kak Zulaikha ? Hah ?!! Jahatnya
Abang Murat... Apa ? Awak selamatkan Kak Zulaikha ? Terima kasih, Hayati...
Eh, awak pukul dia macammana ? Ha ? Dengan kayu ? (Mengambil kayu
berhampiran) Dengan kayu ni ? Ish, besar juga kayu ni. Mesti sakit Abang Murat.
Tapi, kalau awak tak pukul, mesti Kak Zulaikha yang susah.

(Murat sedar dari pengsannya dan memegang kepalanya yang sakit)

MURAT : Aduh, sakitnya...

ADI : (Serba-salah) Abang... Abang Murat.... Abang Murat dah sedar ?

MURAT : (Terlihat kayu di tangan Adi) Ohh... kau punya kerja ya ? Kau yang pukul aku,
ya ?!!

ADI : (Ketakutan dan menyembunyikan kayu yang dipegangnya di belakang badan)


Bukan. Bukan Adi. Bukan Adi... (berlari ketakutan keluar pentas).

MURAT : (Memanggil) Adi... tunggu !!! (Memegang kepalanya kembali) Sial kau Adi....

- lampu dipadamkan.

BABAK 8
Pelakon : FATIMAH (Remaja), LOKMAN (Remaja), PEMUDA 2.
- Pentas berdasarkan set sebuah kabaret (Kabaret Bintang Jingga).
- Semua pelakon berada di pentas. Apabila lampu pentas dipasang, penyanyi
sedang menyanyikan sebuah lagu sentimental. Ada beberapa pasangan menari
dan ada yang cuma duduk berbual, termasuk Fatimah (Remaja) dan Lokman
(Remaja).

LOKMAN (R) : Kau kelihatan cantik malam ini. Bagai purnama pun cemburu melihat
keindahan wajahmu.

18
FATIMAH (R) : Malam ini sajakah ?

LOKMAN (R) : Tidak. Setiap malam. Apabila kau tidak muncul, aku rasakan dunia ini
bagai gerhana.

FATIMAH (R) : Dulu, aku benci kabaret. Tidak pernah terlintas di hatiku ingin
menjejakkan kaki ke kabaret. Berbeza dengan sekarang. Hampir setiap malam aku
di sini. Kau tahu kenapa ?

LOKMAN (R) : Entah. Kerana Amran ?

FATIMAH (R) : Salah. (PAUSE). Kerana hatiku sudah dicuri...

LOKMAN (R) : Ish, siapalah lelaki bertuah yang telah berjaya mencuri hati emasmu, ya.
Sepatutnya, pencuri itu ditangkap dan dibawa ke balai polis.

FATIMAH (R) : Kau ni, orang cakap betul-betul, dia main-main pula.

LOKMAN (R) : (Ketawa) Kau makin manis bila merajuk begitu. Aku bertuah betul
kerana Amran sudi perkenalkan aku padamu.

FATIMAH (R) : Ah, aku sudah tahu tujuan Uncle Amran. Dia mahu kau genbirakan
hatiku, bukan ?

LOKMAN (R) : Jadi, aku berjaya ?

FATIMAH (R) : Berjaya apa ?

LOKMAN (R) : Gembirakan hatimu.

FATIMAH (R) : Entah. Kau fikir ?

LOKMAN (R) : Mestilah berjaya...

FATIMAH (R) : Salah. Aku tidak gembira pun bersama kau.

LOKMAN (R) : Jika begitu, lebih baiklah aku mati.

FATIMAH (R) : Kenapa pula ?

LOKMAN (R) : Itu lebih baik, dari kau berdukacita. Kau sudah tidak ada sesiapa lagi
dalam dunia ini. Cuma Amran. Amran juga tiada anak dan isteri. Hanya kau yang
dia ada, selain aku yang telah dianggapnya sebagai saudara sendiri. Aku juga
tidak ada sesiapa di sini. Kecuali Amran. Dan kini, kau. Tapi, jika kau tidak
bahagia dan gembira di sampingku, maksudnya, aku memang tidak berguna.
Lebih baik aku mati.

19
FATIMAH (R) : Maafkan aku. Sebenarnya, aku Cuma bergurau. Maafkan aku, Lokman.

(Pemuda masuk kelam-kabut ke dalam kabaret, menuju ke arah Lokman (Remaja) dan
tercungap-cungap menyampaikan berita)

PEMUDA : Lokman.... Amran... Amran...

LOKMAN (R) : Kenapa ? Kenapa dengan Amran ?

PEMUDA 2 : Amran telah tiada... kemalangan....

(Suasana menjadi kelam-kabut)

- lampu dipadamkan.

BABAK 9
Pelakon : ADI, FATIMAH, MURAT, ZULAIKHA.
- Pentas berlatarkan halaman rumah Fatimah pada waktu tengahari.
- Apabila lampu dibuka, kelihatan Adi duduk bermain-main seorang diri. Seketika
kemudian, masuk Fatimah membawa sebuah kotak di tangannya. Dia terus duduk
berhampiran Adi.

FATIMAH : Adi... hari ni tak bermain dengan Hayati ?

ADI : Tak, mak. Adi gaduh dengan Hayati. Adi tak mahu tegur dia lagi.

FATIMAH : Eh, kenapa pula ?

ADI : Sebab.... sebab.... Tak ada apa-apalah, mak.

FATIMAH : Tak baik bergaduh dengan kawan baik sendiri tau, Adi. Kalau Adi tak
kawan dengan Hayati, Adi nak kawan dengan siapa lagi ? Hayati tu kan baik.

ADI : (Berfikir) Baiklah, mak. Nanti Adi kawan dengan Hayati semula. Nanti Adi pujuk
dia ya, mak.

FATIMAH : Adi janji, ya ?

ADI : Adi janji... (Ternampak kotak di tangan Fatimah). Apa tu, mak ?

FATIMAH : Ini ? Ini peninggalan mak buat Adi bila mak dah tak ada lagi. Inilah saja
harta yang mak ada, Adi. Mak akan bungkus dengan telekung lama mak,
kemudian mak sorokkan di bawah katil. Kalau mak dah tak ada nanti, Adi ambil

20
kotak ni dan berikan pada kak Zulaikha. Dia akan jagakan harta ni. Lagi pun, dia
dah janji nak jaga Adi kalau mak dah pergi nanti.

ADI : Ha ?!! Mak nak pergi mana ? Mak taknak bawa Adi ?

FATIMAH : Adi tak faham, nak. Tak apalah. Tapi, Adi buat saja apa yang mak suruh,
ya....

ADI : Tapi, apa dalam kotak ni, mak ?

FATIMAH : (Membuka kotak) Ini dia, Adi. Dah tinggal sikit, dah. Dulu, penuh kotak ni.
Barang-barang ni dulu, pemberian nenek Adi pada mak. Nenek Adi pula, dapat
dari moyang Adi. Tapi bila sampai pada mak, harta ni dah tinggal sikit. Tak
apalah. Nak buat macam mana.

ADI : (Mengeluarkan barang-barang kemas dari dalam kotak) Ish, banyaknya... gelang,
rantai... cincin, subang...

FATIMAH : Satu hari nanti, giliran Adi pula mewariskannya pada anak-anak Adi. Bukan
barang-barang tu saja, tau. Tanah yang kita duduk ni... dan kalau ada rezeki lebih,
mak nak tebus tanah hujung kampung, di baruh, yang pada Pak Seman... itu
semua tanah kita dulu. Tanah pusaka. Semua tu akan Adi warisi dan kemudian,
mewariskan pada anak-anak Adi pula.

ADI : Adi mana ada anak, mak. Anak kucing adalah. Tapi, dah hilang. Anak ayam, ada.
Tapi, itu Kak Zulaikha yang punya.

FATIMAH : Mak tak kata sekarang.... Maksud mak, bila Adi dah berumah tangga nanti.
Bila Adi dah kahwin.

ADI : Tapi Adi nak kahwin dengan siapa ?

FATIMAH : (Ketawa) Adi nak kahwin dengan siapa ?

ADI : Haa... Adi nak kahwin dengan... dengan... Hayati...

FATIMAH : Hayati tak boleh, nak. Orang lain sajalah.

ADI : Kenapa tak boleh dengan Hayati ?

FATIMAH : Dia tak wujud. Dia cuma ada dalam khayalan Adi, saja.

ADI : Kenapa ? Kenapa pula, mak ?

FATIMAH : Adi tak faham. Adi kena tahu yang Adi cuma boleh berkawan dengan
Hayati. Tapi Adi tak boleh berkahwin dengan dia. Adi juga tak boleh berkawan

21
dengan Hayati untuk selama-lamanya. Dia akan tinggalkan Adi. Atau mungkin
Adi yang kena tinggalkan dia.

ADI : Sebab Hayati tu jahat ke, mak ? Tapi tadi mak kata, tak baik gaduh dengan kawan
baik sendiri.

FATIMAH : Mak tak suruh Adi gaduh dengan dia. Cuma mak nak beritahu yang satu
masa nanti Adi tak akan kawan dengan dia lagi dan waktu tu adi akan tahu yang
Hayati sememangnya tak wujud sejak mula.

ADI : Kenapa pula ?

FATIMAH : Mungkin terlalu awal untuk Adi faham. Tak mengapalah, Adi. Adi jangan
fikirkan soal ni buat masa sekarang.

ADI : Kenapa pula ?

FATIMAH : Tak ada apa-apa. Mak nak simpan kotan ni dulu di tempat yang mak
cakapkan tadi. Adi duduk dulu, ya ? (Bangun membawa kotak dan keluar dari
pentas).

ADI : (Berkomunikasi dengan Hayati) Ehh... Hayati.... Saya nak minta maaf sebab tadi
saya kata, tak mahu berkawan dengan awak lagi. Mak saya kata, awak nak pergi
tinggalkan saya satu hari nanti. Awak nak pindah rumah, ya ? (PAUSE) Mak saya
yang kata. Dia kata, saya tak boleh kahwin dengan awak. Habis tu, saya nak
kahwin dengan siapa ? Saya suka awak... (mula menangis). Awak suka saya tak ?
Awak nak kahwin dengan saya, tak?
(PAUSE) Tapi mak saya tak bagi. Macamana kita nak kahwin ? (menangis makin
kuat) Mak saya kata awak sebenarnya tak ada. Awak bukan macam saya...

(Murat masuk ke pentas dan mendekati Adi. Kemudian, dia memukul Adi sepuas hatinya)

MURAT : Celaka punya budak... berani kau pukul aku, ya... nah, ambik bahagian kau...
budak sial...

(Adi terguling-guling dibelasah oleh Murat. Fatimah masuk dan cuba meleraikan Murat.
Tetapi, Fatimah pula ditolak oleh Murat. Fatimah bangun kembali dan cuba
meleraikan. Namun, ditolak lagi.
Kemudian, masuk Zulaikha dalam kekalutan itu).

ZULAIKHA : (Menjerit) Cukup !!!

(Murat berhenti memukul Adi. Fatimah pergi mendapatkan Adi yang cedera)

MURAT : Kau jangan campur urusan keluarga aku !

22
ZULAIKHA : Kau berhati perut binatang, Murat. Kaulah celaka sebenarnya. Kenapa kau
pukul dia ?!! Kau tak ada otak...

MURAT : Hey, perempuan kampung.... Sekali lagi aku ingatkan, jangan masuk campur
hal orang. Jika tidak, kau sendiri yang akan menerima padahnya.

ZULAIKHA : Hey, budak pekan.... Kau fikir, kau sudah pandai sangat ? Cermin diri kau
dulu. Aku nak kau tinggalkan kampung ni. Kau bukan keluarga Makcik Fatimah
dan kau juga bukan abang kandung Adi. Lebih baik kau pergi dari kampung ini,
sekarang juga.

MURAT : Siapa kau nak mengarahkan aku, hah ?!!

ZULAIKHA : Kalau kau tak mahu pergi, aku akan ceritakan apa yang berlaku malam
tadi, kepada Tok Ketua. Dan aku akan buat laporan polis. Biar kau ditangkap dan
disumbatkan ke dalam penjara.

MURAT : Baiklah, aku boleh pergi. Tapi, kau kena ingat. Urusan aku dengan kau belum
habis lagi. Kau ingat tu, Zulaikha... (Keluar dari pentas).

(Zulaikha meluru ke arah Adi dan Fatimah. Adi mengerang kesakitan)

- lampu dipadamkan.

BABAK 10
Pelakon : MURAT, JALAK, LOKMAN, LELAKI 1, LELAKI 2.
- Pentas berdasarkan latar sebuah tempat di yang terpencil pada malam hari.
Kelihatannya, tempat itu seperti sebuah tempat pertemuan haram.
- Lampu dibuka. Murat duduk di sebuah kerusi, diawasi oleh Jalak dan dua lelaki.
Wajah Murat sedikit tegang dan kurang selesa.

MURAT : Hey, berapa lama lagi aku harus tunggu, hah ? Aku bosan, tau. Berapa lama
lagi ?!

JALAK : Kau jangan takut... kalau bapak kau datang, kau boleh balik. Kalau dia tak
datang, pun kau boleh balik. Tapi bukan balik ke rumah. Balik ke Rahmatullah !!!

(Jalak ketawa diikuti oleh lelaki 1 & 2)

MURAT : Tak ada gunanya kalau kau nak bunuh aku sekali pun. Kau tak akan dapat
semua duit tu. Kau fikir, bapak aku banyak duit sangat ke ?

JALAK : Itu bukan hal aku. Aku cuma berpegang pada pendirian. Selepas aku bunuh
kau, kalau dia masih tak mahu bayar, aku bunuh pula adik kau. Kalau dia masih

23
tak mahu bayar juga, aku akan bunuh mak kau. Kalau itu pun masih belum
mampu membuka mata dia, nyawa dia sendiri akan menjadi ganti.

MURAT : Kau tak kenal bapak aku. Dia tu bukannya jenis makan saman. Kau tak akan
dapat apa-apa dari dia. Buang masa saja.

JALAK : Ohh... kalau begitu, nampaknya, ajal kau memang dah sampailah, hari ini. Kau
nak mati yang macamana ? Pistol (mengacu pistol) ? Lepas tu, aku akan letakkan
mayat kau di lorong dan orang akan kata kau dirompak sebelum dibunuh. Atau
pun, kau nak mati tergantung di pokok ? Itu lebih mudah. Orang akan kata kau
bunuh diri. Atau racun ? Atau campak kau di sungai ? Atau cincang kau dan
tanam. Itu lebih mudah. Tak akan ada sesiapa pun yang akan tahu. Atau kau nak
mati macamana, hah ?!! Nak mati shahid di Afghanistan ? Dengan Taliban ?...

(Jalak ketawa besar, lebih-lebihan lagi Lelaki 1&2 Murat mula ketakutan)

MURAT : Tolonglah aku. Jangan apa-apakan aku. Kau orang tak akan selamat. Orang-
orang di kedai kopi tadi dah nampak kau orang bawa aku. Mereka akan jadi sassi
polis. Nanti kau orang yang akan terperangkap. Kau pegi saja tangkap bapak aku,
dan kalau kau nak bunuh pun, bunuhlah. Aku tak akan masuk campur. Dan aku
berjanji tak akan bocor rahsia. Aku akan pergi jauh dari sini, dan tak akan
jejakkan kaki ke daerah ni lagi. Kau orang semua akan selamat. Kau orang tak
perlu bunuh aku. Cukup kalau bunuh bapak aku saja...

JALAK : Haa... pendapat yang bernas. Tapi, lebih baik kalau aku bunuh bapak kau
dengan kau sekali. Itu lebih selamat...(mengacukan pistol).

MURAT : Jangan... tolong... aku ada banyak lagi urusan yang nak diselesaikan. Tolong...

(Lokman masuk)

LOKMAN : Nanti dulu, Jalak... Kau tak perlu bunuh dia. Buat membazir peluru saja.

JALAK : Ooo... kau dah sampai. Kau datang untuk menjelaskan hutang-hutang kau, atau
menyerahkan kepala ?

LOKMAN : Kau silap, Jalak. Kau fikir aku miskin sangat ? Ini, geran tanah aku.
Harganya melebihi jumlah hutang aku pada kau (menyerahkan geran tanah pada
Jalak).

JALAK : (Meneliti geran tanah) Bagus. Kau berdua selamat hari ini. Lokman, jangan
serik berjudi lagi. Mana tahu, tuah akan menyebelahi kau selepas ni. Mungkin kau
boleh jadi jutawan... dan dapatlah kau hantar anak bujang kau ni ke Afghanistan...

(Ketawa berdekah-dekah diikuti Lelaki 1 & 2)


- lampu dipadamkan.

24
BABAK 11
Pelakon : FATIMAH, ZULAIKHA, LOKMAN.
- Pentas memaparkan set di halaman rumah Fatimah pada waktu tengahari.
- Lampu dibuka. Fatimah sedang menangis teresak-esak. Zulaikha sedang
menenangkannya.

FATIMAH : (Menangis teresak-esak) Zulaikha jika tanah ini telah tergadai, kemana lagi
kakak nak tinggal ? Ini tanah kakak. Tanah pusaka.

ZULAIKHA : Bertenanglah, kak. Kakak mangsa keadaan. Semua ni telah ditakdirkan,


kak. Kakak berdoa sajalah kepada Tuhan.

FATIMAH : Zulaikha... sebenarnya dulu, kakak anak orang senang juga. Kakak ada
tanah di beberapa tempat dan juga barang-barang kemas. Tapi semuanya telah
dihabiskan oleh Abang Lokman. Dia memang tak berhati perut. Sekarang, kakak
dah tak ada apa-apa lagi. Kemana kakak nak pergi ?

ZULAIKHA : Kak, bersabarlah. Tentu Abang Lokman ada jalan penyelesaiannya. Tak
mungkin dia nak biarkan kakak begitu saja.

(Lokman masuk ke pentas dan memerhatikan Fatimah)

FATIMAH : Abang... apa dah jadi ni ? Kenapa abang jualkan tanah saya ? Habis tu, kita
nak tinggal di mana, bang ?

LOKMAN : Hey, boleh tak kau jangan nak serabutkan kepala otak aku ni....

FATIMAH : Tapi bang, hanya itu saja harta pusaka saya yang tinggal...

LOKMAN : (Menengking) Diam !!! (Masuk ke dalam rumah)

FATIMAH : Tengoklah tu, Zulaikha.

ZULAIKHA : Sudahlah, kak. Sabarlah. Ika rasa, biarlah Ika balik dulu. Lagi pun, dah
lama Ika di sini.

(Belum sempat Zulaikha berlalu, Lokman sudah hendak pergi dengan membawa beg
besar)

FATIMAH : Abang.... Mana abang nak pergi ni? Abang nak tinggalkan saya begitu saja ?

LOKMAN : Kau jangan tanya kemana aku nak pergi. Kau dah tak ada apa-apa sekarang
ni. Apa lagi yang aku nak harapkan pada kau ? Harta kau semuanya dah habis.
Kau dah tak ada makna dalah hidup aku. Selamat tinggal Fatimah. (Hendak
berlalu pergi)

25
ZULAIKHA : Nanti.... Abang Lokman, saya bukannya nak masuk campur urusan rumah-
tangga orang. Tapi apa yang Abang Lokman nak buat ni, sudah melampau.
Setelah Abang Lokman kikis segala harta Kak Fatimah, abang nak pergi begitu
saja. Abang Lokman ni manusia ke, binatang ?

LOKMAN : Hey, apa kau peduli ? Kau siapa ? Kau baik dengan diakan ? Ha, kau jagalah
dia !!! Aku dah dapat semua yang kau nak. Apa lagi yang kau nak tunggu ?

ZULAIKHA : Tapi, Kak Fatimah kan isteri abang ?

LOKMAN : Siapa cakap ?!! Ha?!! Siapa yang cakap? Bila masa aku kahwin dengan dia ?
Mana kadi yang kahwinkan aku ? Mana ?!! Kalau kau nak tahu, Zulaikha... dia ni
perempuan murah. Dia tak perlukan suami. Perempuan macam ni, bersepah-sepah
aku boleh dapat, tau. Harta dia yang aku kikis tu, memang hak aku, sebagai upah
untuk malam-malam yang aku bazirkan dengan dia.... Sudah. Aku tak ada masa
nak layan kau orang. (Keluar pentas)

(Zulaikha yang masih terkejut, hanya mampu memandang Fatimah. Fatimah tidak dapat
menahan sebaknya)

- lampu ditutup.

BABAK 12
Pelakon : FATIMAH (Remaja), LOKMAN (Remaja), APEK
- Pentas berdasarkan set sebuah kabaret (Kabaret Bintang Jingga) yang telah
ditutup.
- Semua pelakon berada di pentas kecuali Lokman (Remaja). Apabila lampu pentas
dipasang, kelihatan Fatimah (Remaja) dan Apek sedang duduk berbincang. Di
sisi Fatimah (Remaja), sebuah beg besar.

APEK : Gua sama itu Amran, memang kenal sudah lama. Dulu ini kabaret, memang dia
beli sama gua. Sekarang, lu mau jual sama gua balik, memang bagus. Gua banyak
suka. Lagi pun, ini kabaret banyak maju. Ramai orang suka datang sini.

FATIMAH (R) : Iyalah, Apek. Saya mahu pergi jauh dari sini. Saya sudah tidak ada
sesiapa lagi. Lebih baik saya pergi jauh. Tinggalkan segala kenangan dan kisah
duka saya di sini. Terima kasih kerana Apek sudi membeli kabaret ini.

APEK : (Memberi bungkusan) Ini lu punya duit. Eh, kalau lu ada senang-senang nanti,
datanglah ke kabaret ini. Gua janji, tidak akan tukar nama kabaret ini.Lagi pun,
nama ‘Kabaret Bintang Jingga’, banyak ong punya. Lu mesti datang kalau ada
masa. Gua bagi lu minuman percuma.

FATIMAH (R) : Terima kasih, Apek.

26
APEK : Gua jalan dulu. Ada banyak kerja.

(Apek keluar. Fatimah (Remaja) menangis teresak-esak. Kemudian, Lokman (Remaja)


masuk dan menghampiri Fatimah (Remaja))

LOKMAN (R) : Kau mahu tinggalkan aku ?

FATIMAH (R) : Aku mahu pergi dari sini.

LOKMAN (R) : Dan tinggalkan aku ?

FATIMAH (R) : Aku telah tiada apa lagi. Aku telah jual segalanya. Rumah... kabaret
ini... Aku mahu pergi jauh. Tinggalkan segala kenangan ini.

LOKMAN (R) : Termasuk aku ?

FATIMAH (R) : Aku harus pergi, lokman. Aku tiada sesiapa lagi.

LOKMAN (R) : Aku ? Kau ada aku.

FATIMAH (R) : Tapi aku harus pergi, Lokman. Aku tidak mampu lagi berada di sini.
Segala kenangan di sini, amat menyakitkan buatku. Maafkan aku, Lokman.

(Fatimah (Remaja) ingin berlalu membawa begnya.)

LOKMAN (R) : Fatimah. Aku telah berjanji dengan Arwah Amran. Aku akan
membahagiakan kau. Aku akan bersama kau, sayang. (PAUSE) Kau mahu ke
mana ?

FATIMAH (R) : Aku tidak tahu.

LOKMAN (R) : Jika begitu, kau sudi ikut ikut aku ?

FATIMAH (R) : Sudah tentu.

LOKMAN (R) : Kemana saja ?

FATIMAH (R) : Biar ke bulan, mahu pun ke bintang.

- lampu dipadamkan

27
BABAK 13
Pelakon : FATIMAH, ADI, LOKMAN, MURAT.
- Latar masih memaparkan halaman rumah Fatimah dengan cahaya kehijauan
bercampur biru bagi menggambarkan dunia neorisis.
- Lampu dibuka. Fatimah bercakap dengan ‘Hayati’ dengan imaginasinya. Adi
cuma memerhati.

FATIMAH : Makcik dah anggap Hayati macam anak makcik sendiri. Hayati berkawan
dengan Adi baik-baik, ya. Kalau satu hari nanti, Hayati nak kahwin dengan Adi
pun, makcik tak kisah. Adi baik, Hayati. Dia tak akan mempermainkan Hayati.
Hayati kena berjaga-jaga supaya tidak dipermainkan. Oleh itu, pilihlah Adi.
Jangan jadi macam makcik. Dulu, Abang Lokman janji nak kahwin dengan
makcik. Dah lama di berjanji. Makcik menunggu janji-janji dia. Dari hari ke hari,
dari minggu ke minggu, dari bulan ke bulan... rupa-rupanya tanpa makcik sedar,
dah lebih dua puluh tahun, makcik menunggu. Makcik dipermainkan, sebenarnya.
(Menangis)

ADI : Hayati, Adi tak akan main-mainkan Hayati. Adi tak akan jadi macam bapak. Dia
jahat. Dia selalu pukul Adi, pukul mak. Ada sekali tu, Pak Seman bagi Adi buah
rambutan. Pak Seman tahu, Adi memang suka buah rambutan. Adi pun makan
dan bawa balik sikit sebab Adi nak bagi mak. Tapi bapak nampak. Dia kata Adi
curi. Dia pukul Adi dengan tongkat. Adi diam saja. Adi tak nangis. Adi tak rasa
sakit bila bapak pukul. Adi pun tak tahu kenapa. Waktu dia tengah pukul Adi,
Hayati datang. Adi senyum pada Hayati. Bapak lagi marah. Dia marah Adi
senyum. Lepas tu, dia tarik rambut Adi dan bawa Adi masuk bilik air. Lepas tu,
dia benamkan kepala Adi dalam kolah. Adi tak boleh bernafas. Air dah masuk
dalah mulut, dalam hidung, dalam telinga... Adi lemas. Mak nak tolong Adi. Mak
tarik bapak. Bapak tolak mak dan mak jatuh, terhempas ke lantai. Kepala mak
berdarah...

FATIMAH : Lepas tu, makcik pengsan. Barulah dia berhenti memukul. Bila makcik
sedar kembali, makcik masih di bilik air. Adi terbaring tepi kolah. Biru mukanya.
Abang Lokman dah tak ada. Agaknya, dia ingat kami dah mati... Lama dia tak
balik. Setelah hampir sebulan, dia pulang semula tanpa rasa bersalah. Hayati
jangan cari lelaki macam tu, ya...

ADI : Hayati, jom kita main enjit-enjit semut... Kita main bertiga. Hayati tak pernah main
dengan mak lagi, kan ? Jomlah...

(Adi, Hayati dan teman imaginasi mereka bermain ‘enjit-enjit semut’ dengan riang dan
gelak-ketawa. Kemudian, Lokman masuk)

LOKMAN : Baguslah, kalau korang semua dah gila.

FATIMAH : (Terkejut dan berhenti bermain) Abang... buat apa abang balik lagi ?

28
LOKMAN : Eh, dah pandai kurang ajar kau, ya. Mari masuk ke rumah, Fatimah... layan
aku.

FATIMAH : Tidak, bang. Saya dah bertaubat. Abang bukan suami saya. Saya tak akan
bersekedudukan lagi. Saya dah taubat, bang.

LOKMAN : Fatimah... aku tak suka kau banyak cakap. Aku akan tunggu dalam bilik.
Kalau kau tak masuk dalam masa lima minit, aku akan bunuh kau.... (masuk ke
dalam rumah)

FATIMAH : Hayati dan Adi jangan risau, ya. Dia tak akan apa-apakan makcik.

LOKMAN : (Melaung dari dalam) Fatimah !!!

FATIMAH : (Menyembunyikan ketakutannya) Hayati, Adi... mari kita main enjit-enjit


semut...

LOKMAN : (Mendekati Fatimah dengan membawa kotak barang kemas Fatimah) Ohh...
rupa-rupanya, harta kau masih banyak, ya...

FATIMAH : Jangan bang... itu untuk Adi. Abang jangan ambil tu....

LOKMAN : (Ketawa) Kau masih berguna rupanya.... (masuk ke dalam rumah kembali)

FATIMAH : (Mengekori Lokman) Jangan bang....

(Di dalam rumah, terdengar bunyi pergelutan merebut kotan barang kemas antara
Fatimah dengan Lokman. Adi tak tentu arah. Dia tak tahu apa yang harus
dilakukan)

ADI : Hayati... apa kita nak buat ni.... Eh, Hayati... awak nak buat apa dengan pisau tu ?
Hayati... awak nak bunuh bapak ke ? Jangan Hayati... jangan.... (berlari masuk ke
dalam rumah seolah-oleh mengejar Hayati)

(Terdengar jeritan kesakitan dari Lokman. Adi dan Fatiman diam. Kemudian, perlahan-
lahan, Adi dan Fatimah berjalan ke hadapan pentas dan duduk mengadap
audiens. Kedua-duanya berlumuran darah)

FATIMAH : Adi... Hayati... mari kita main enjit-enjit semut...

(Mereka bermain enjit-enjit semut. Kemudian, masuk Murat. Mereka semua tidak
menghiraukannya dan terus bermain enjit-enjit semut)

MURAT : Makcik... maafkan Murat, makcik.... Murat dah menyesal sekarang.... Ya,
Allah... kenapa banyak darah ni ? Darah siapa makcik ? Adi ? Ya, Allah... bapak
mana ? Mana bapak ? (Masuk ke dalam rumah dan keluar semula dengan muka

29
ketakutan). Siapa yang bunuh bapak ?! Makcik dan Adi bunuh bapak ?! Tolong....
Tolong.... (Adi berlari ketakutan keluar pentas)

(Adi dan Fatimah ketawa sekuat hati)


(Kembali ke dunia realiti seperti di awal cerita)

ADI : Macamana kak ? Penghayatan saya dah boleh ke ?

FATIMAH : Bolehlah tu... akak macamana ?

ADI : Ok, kak. Best. Cuma tadi akak ada lupa dialog, kan ?

FATIMAH : Ya, lah... nasib baik kau pandai cover. (Bangun dan membuat senaman
ringan) Huh, letihnya.

ADI : Jadi, kak... Siapa sebenarnya yang bunuh Lokman ? (Turut membuat senaman
ringan)

FATIMAH : Kau rasa ? Siapa ? Antara Fatimah dan Adi...

ADI : Entah. Hayati, kot ? Hayati. Dalam bahasa Arab, maknanya ‘hidupku’.

FATIMAH : Ahh, siapa pun yang membunuh Lokman, tak penting. Yang penting, dia
dah mati sebagaimana sepatutnya. Dan kita telah berlakon sebagaimana
sepatutnya di dunia yang fana ini.

ADI : Macam kata Shakespeare, kak... ‘dunia adalah pentas, dan kitalah pelakonnya’.

(Terdengar suara Murat meminta tolong. Fatimah dan Adi hairan. Kemudian, Murat
masuk tercungap-cungap dan menghampiri Fatimah dan Adi)

MURAT : (Tercungap-cungap) Tolong... tolong saya, saudara dan saudari... bapak saya...
bapak saya kena bunuh. Adik dan ibu tiri saya, bunuh bapak saya... tolong saya...

(Adi dan Fatimah saling berpandangan dan bingung. Murat bengang lalu berlari keluar
pentas mencari orang lain pula.)

ADI : Macam-macamlah manusia sekarang ni, kak. Agaknya, dunia ni dah semakin
absurd...

FATIMAH : Barangkali juga. Sudahlah. Mari kita pergi. (Bercakap dengan ‘Hayati’)
Hayati, mari kita pergi...

(Mereka keluar dari pentas)

-tamat.

30

Anda mungkin juga menyukai