Anda di halaman 1dari 20

Industri Pelancongan

di Malaysia
Friday, September 16, 2016

1.0 PENGENALAN

Pelancongan merujuk kepada pergerakan sementara manusia ke suatu destinasi lain dari luar
lingkungan tempat tinggal atau kawasan menetapnya. Kebiasaanya, destinasi pelancongan yang
dipilih menyediakan pelbagai kemudahan yang boleh memenuhi keperluan kegiatan sepanjang
berada di destinasi tersebut dan memenuhi kepuasan individu yang berkunjung ke situ. Namun, tidak
semua golongan individu mampu untuk melancong khususnya golongan berpendapatan rendah.
Oleh itu, aktiviti perlancongan seringkali dikaitkan dengan aspek kemewahan. World Tourism
Organization pula mengatakan perkataan pelancongan ialah merangkumi segala bentuk perjalanan
lebih dari 24 jam untuk tujuan rekreasi bahkan juga aktiviti perniagaan, pelajaran, kajian kesihatan dan
sebagainya. Waktu senggang yang banyak, ekonomi yang semakin baik, kemudahan pengangkutan
yang sempurna telah bergabung untuk membolehkan lebih banyak orang pergi melancong (Mathieson
& Wall., 1991)

Berdasarkan kajian oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, para pengunjung


mengunjungi negara Malaysia kerana beberapa sebab seperti perniagaan, percutian, lawatan dan
sebagainya (Ibrahim Y., 2001). Dalam konteks dunia hari ini pula, pelancongan merujuk kepada
kegiatan ekonomi dan sosial yang amat penting kepada sesebuah negara. Peningkatan jumlah
pelancong dalam negara dan pelancong antarabangsa merupakan faktor utama sebagai penjana
pendapatan sesebuah negara ( Inskeep E., 1996).
Ironinya, pelancongan adalah satu bidang pelaburan yang membawa kepada pertumbuhan
industri-industri lain yang juga merupakan faktor pertumbuhan pembangunan yang pesat dalam
sesebuah negara, seperti negara kita Malaysia. Oleh yang demikian, tonggak kepimpinan Negara
mengambil langkah berwibawa dan produktif dalam membawa kemajuan dan transformasi dalam
sektor pelancongan negara.

Beberapa aspek yang diberi penekanan dalam sistem pelancongan adalah pembekal barangan,
kewujudan pelancong, kerajaan dan juga negara yang menjadi tuan rumah destinasi
pelancongan. Dua aspek utama dalam industri pelancongan yang memainkan peranan penting dalam
menentukan perkembangan dan kemajuannya adalah bahagian pasaran dan pembekalan. Inisiatif
bijak kerajaan telah memandang penting kenyataan “Pembangunan ekonomi di kebanyakan negara
maju adalah berasaskan kepada sektor perindustrian”.

Natijahnya, sektor perindustrian di Negara ini antara sektor terpenting dalam menyumbang
kepada kemajuan Malaysia. Salah satu subsektor perindustrian yang terpenting adalah industri
pelancongan yang menjadi tumpuan utama negara maju.

2.0 TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN

Pelancongan adalah satu agenda kerajaan kerana sangat berpotensi dalam bidang sosial,
ekonomi dan alam sekitar. Di Malaysia, kerajaan memikul peranan penting menubuh undang-undang
dan merangka kerja industri dalam perbincangan mengenai peningkatan pelancongan inisiatif dalam
rancangan pembangunan Malaysia. Kajian yang dibuat oleh Program Transformasi Ekonomi (ETP),
Dasar Pelancongan Negara (NTP), Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Local Agenda 21 (LA 21)
membuktikan bahawa ketibaan pelancong asing ke negara Malaysia telah meningkatkan pendapatan
per kapita tahun demi tahun (Bhuiyan A.H., Siwar C. & Mohamad I.S., 2013).

Tahap pembangunan industri pelancongan di negara kita semakin berkembang saban tahun.
Perkembangan positif dilihat berlaku pada bermula era tahun 70-an apabila kerajaan mengambil
langkah produktif iaitu merencanakan pelan Dasar Ekonomi Baru (DEB), mewujudkan Penubuhan
Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC) pada Ogos 1972, dan Persidangan Kesatuan Pelancongan
Kawasan Pasifik (PATA) di Kuala Lumpur.
Kerajaan mula membangunkan industri ini bermatlamatkan untuk memenuhi beberapa objektif
utama negara seperti menggalakkan pembangunan kawasan, mengurangkan purata pengangguran
negara dengan meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan, meningkatkan
pendapatan pertukaran mata wang asing, mewujudkan industri ekonomi yang pelbagai dan
seterusnya dapat meningkatkan hasil kerajaan.

Sektor pelancongan ini terus mengalami perkembangan pada awal tahun 1987 apabila
tertubuhnya Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan yang bertindak mempromosi dan
memperkasakan industri berasaskan ekonomi pelancongan negara. Sektor ini dilihat berpotensi
menjana pendapatan negara dan seterusnya menjadi penggerak kepada pembangunan industri
negara. Oleh itu kerajaan terus bergiat gigih dan mengambil langkah berwibawa dan produktif dalam
memaju dan tranformasi industri pelancongan ini.
Bahkan pada tahun 1990, kerajaan telah meniktaraf kementerian Kebudayaan dan pelancongan
kepada kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Penubuhan ini telah
membantu merancakkan lagi penubuhan industri pelancongan negara (Azizan Marzuki, 2010). Industri
ini menjadi suatu bidang pelaburan yang bijak apabila menjadi antara penyumbang terbanyak kepada
ekonomi di Malaysia.

Produk hasil keluaran tempatan


Utusan : Industri Batik Tempatan

Hal ini demikian kerana, sektor ini menjadi pemacu kepada pertumbuhan industri-industri lain
yang berkaitan apabila kesemuanya berperanan sebagai wahana kepada kemajuan pembangunan
mega Malaysia ke arah menuju negara maju di persada dunia. Kerajaan turut mengambil inisiatif
dalam meningkatkan kemudahan asas seperti menaiktaraf Lapangan Terbang Kuala Lumpur dan
Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, dan juga menaiktaraf jeti pelabuhan bagi menampung
jumlah kemasukan pelancong asing yang semakin meningkat saban tahun.

Purata kemasukan pelancong asing ke Malaysia dari tahun 20013 hingga 2010

3.0 KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN


TERHADAP PEMBANGUNAN NEGARA.
Sektor pelancongan dibuktikan sebagai salah satu penyumbang terbesar yang sangat berpotensi
kepada ekonomi sesebuah negara. Kebanyakan negara maju di dunia pada era globalisasi kini terus
tertumpu kepada industri pelancongan sebagai salah satu sumber terbesar pendapatan ekonomi. Hal
ini adalah kerana ia merangsang pelaburan dari negara asing untuk memenuhi permintaan domestik
dan juga untuk mengembangkan infrastruktur pelancongan (Lean H.H., Chong S.H. & Hooy C., 2014).

Aktiviti – aktiviti yang melibatkan sektor ini banyak membantu meransangkan lagi pertumbuhan
ekonomi negara Malaysia. Khususnya seperti bidang keusahawanan dan perniagaan seperti Industri
Kecil dan Sederhana, Industri kraftangan, Industri makanan tempatan dan sebagainya yang menjadi
tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Pertumbuhan pesat industri berkaitan ini tentunya
menyediakan pelbagai kepentingan dan sumbangan terhadap pertumbuhan ekonomi negara secara
langsung mahupun tidak langsung.
Antara kepentingan dan sumbangan terbesar industri ini terhadap ekonomi negara adalah :

3.1 Menarik Pelabur Asing


Sektor pelancongan berpotensi menarik pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Kerajaan
mampu menarik lebih ramai pelabur asing untuk menanam modal di Malaysia kerana kegiatan
pelancongan di negara kita berada pada tahap yang aktif. Contohnya pertumbuhan hotel-hotel dan
resort oleh pengusaha hotel di kawasan tumpuan peranginan umpama “cendawan tumbuh selepas
hujan” berjaya menarik ramai pelabur asing untuk melabur modal dalam bidang perhotelan dan
mendatangkan pendapatan kepada ekonomi negara selain dapat memajukan kawasan tersebut.

Resort World Genting bakal membangunkan taman tema Twentieth Centuary Fox antarabangsa pertama di dunia dengan pelaburan lebih
RM400 juta

Begitu juga dengan pengusahaan taman tema, pembinaan pusat membeli belah di kawasan
tumpuan pelancong dan sebagainya. Bahkan secara tidak langsung mampu menarik pelabur asing
untuk melabur dalam bidang pembinaan dan pengangkutan. Kerajaan mendapat banyak manfaat dari
aktiviti pelaburan asing ini dan dapat mengelakkan pembaziran wang negara digunakan untuk
mengindahkan atau menyediakan pelbagai kemudahan di kawasan pelancongan yang
memperuntukan kos yang amat tinggi.

3.2 Menyediakan Peluang Pekerjaan

Pertumbuhan industri-industri yang berkaitan dengan sektor pelancongan membuka banyak


peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Industri pelancongan yang berkembang pesat dalam
negara meningkatkan permintaan tenaga kerja dan seterusnya dapat mengurangkan kadar
penggangguran khususnya dalam kalangan graduan universiti.

Kepesatan pertumbuhan hotel memerlukan tenaga kerja mahir dan terlatih dari segi pengurusan
hotel, tukang masak mahir, penyeliaan dan sebagainya dapat memberi peluang pekerjaan kepada
graduan-graduan yang mempunyai kelayakan dalam bidang tersebut. Malah, tenaga pekerja separa
mahir juga menjadi permintaan dalam bidang perhotelan ini.
Natijahnya, industri pelancongan menjadi tunjang kepada perkembangan pelbagai sektor lain
yang memberi peluang pekerjaan yang luas seperti sektor makanan, kraf tangan, sektor pertanian dan
penternakan, sektor pengangkutan dan banyak lagi peluang perniagaan lain yang mampu menaikkan
taraf hidup rakyat.

3.3 Menyumbangkan Pendapatan Negara


Pelancongan menjadi nadi utama penggerak tukaran mata wang asing di negara kita Malaysia.
Pengaliran mata wang asing masuk ke dalam negara dapat meningkatkan ekonomi negara. Kadar
kemasukan pelancong asing ke nagara kita menunjukkan peningkatan sepanjang tahun. Negara kita
memperoleh kadar pulangan tukaran wang asing dengan mudah dan banyak melalui kedatangan
pelancong asing ke dalam negara.
Proses penukaran mata wang asing kepada mata wang ringgit dilakukan untuk membolehkan
pelancong asing berbelanja di negara Malaysia. Lazimnya peniaga mata wang asing akan
memperoleh keuntungan bahkan pengaliran masuk mata wang asing yang pesat bukan
menguntungkan entiti perniagaan sahaja tetapi juga menjadi nadi kepada pendapatan negara.
Contohnya, pelancong akan menggunakan kemudahan awam, membayar kos penginapannya
selama menetap di sesuatu destinasi, membeli makanan, minuman, cenderamata dan sebagainya
dapat menambah pendapatan negara disamping menguntungkan pihak perniaga dan usahawan yang
berniaga produk-produk tempatan. Seterusnya wang yang diperoleh oleh kerajaan digunakan untuk
pembangunan ekonomi, kemudahan infrastruktur dan pelancongan dan juga pembangunan fizikal
negara.

3.4 Memupuk Perpaduan Antarabangsa

Sektor pelancongan juga dapat dilihat sebagai agen perpaduan antarabangsa. Sempadan politik
telah menyekat perhubungan manusia dari seluruh dunia. Walaupun dikatakan era globalisasi kini
menjadi penghubung antara negara-negara di dunia ini, namun masih lagi kurang efektif sebagai
langkah padu dalam memupuk perpaduan antarabangsa. Umumnya, setiap negara mempunyai
pelbagai kumpulan bangsa, etnik, agama dan warisan budaya.
pelancong asing menjamu makanan tempatan

Pelancong asing turut serta menari dan menghayati budaya dan seni tarian masyarakat Iban di Sarawak.

Proses perpaduan akan wujud apabila sesebuah kelompok bangsa lain mengunjungi sesebuah
kelompok bangsa lain. Sifat semulajadi manusia yang sentiasa ingin belajar dan mengagumi keunikan
yang ada pada kelompok bangsa lain lama kelamaan akan mewujudkan perasaan hormat dan
toleransi yang menjurus kepada perpaduan antarabangsa. Di negara kita Malaysia, kerajaan telah
mengambil langkah bijak dengan menganjurkan banyak program pelancongan antarabangsa yang
dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat.

Salah satu program bersama ASEAN di peringkat antarabangsa

Seperti pelaksanaan program ASEAN oleh Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan


MOTAC, iaitu selain mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara luar kerajaan juga
berpeluang mempromosikan kebudayaan dan keunikan Malaysia untuk menarik lebih ramai lagi
pelancong dan pelabur luar negara. Maka, akan wujudlah perpaduan dalam kalangan manusia
walaupun berlainan politik, agama dan bangsa melalui pendedahan seperti ini.

3.5 Sumbangan Dalam Konteks Politik.

Sektor pelancongan dapat mempromosikan Malaysia ke seantero dunia misalnya melalui


sukan seperti Sukan Komanwel 1998, kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang, Sukan
SEA dan sebagainya. Malaysia seringkali menjadi tuan rumah kepada beberapa sukan berprestij
antarabangsa dan ini membuktikan bahawa negara kita lengkap dengan pelbagai kemudahan dan
prasarana. Kemampuan negara kita dalam penganjuran sukan bertaraf antarabangsa menggalak
kedatangan pelancong luar negara malah dapat mempromosikan keunikan dan tarikan Malaysia
kepada dunia dengan kos yang minima iaitu melalui liputan siaran langsung yang meluas di setiap
negara.

4.0 HALANGAN / CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN.

Kerajaan Malaysia memberi perhatian khas untuk pembangunan dalam industri pelancongan
yang merupakan antara elemen penting dalam setiap rancangan pembangunan di negara ini. Inisiatif
kerajaan yang sentiasa mengkaji, merumus dan melaksanakan dasar yang perlu, pelbagai undang-
undang dan peraturan untuk menambahbaik dan mengekalkan tahap pembangunan pelancongan
sentiasa dalam keadaan yang baik dan membangun. Akhirnya, Malaysia menyasar untuk menguasai
suatu tempat di dalam 10 negara teratas di dunia dari segi kemasukan pelancong asing (Bhuiyan
A.H., Siwar C. & Mohamad I.S., 2013).
Umumnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan keindahan dan keunikannya
yang sangat berpotensi untuk terus dimajukan dalam agensi pelancongan. Keistimewaan ini berjaya
menarik tumpuan pelancong dari seantero dunia untuk datang berkunjung dan menikmati keindahan
yang ada pada Malaysia. Namun begitu, jika ditinjau lebih mendalam terdapat beberapa cabaran yang
dihadapi dalam industri pelancongan di negara ini.
Antara cabaran yang sering dihadapi oleh sektor pelancongan di negara kita Malaysia adalah :

4.1 Keadaan Politik Yang Tidak Stabil

Kebelakangan ini negara kita sering dikejutkan dengan beberapa isu politik yang kurang
menyenangkan. Keadaan politik yang kurang stabil akan menjejaskan imej negara. Perselisihan
faham dan isu –isu yang melibatkan terjejasnya integriti pemimpin dan penjawat awam seperti isu
rasuah yang hangat diperkatakan kini banyak menjejaskan kepimpinan kerajaan dalam menangani isu
seperti ini.

Bahkan kes pembunuhan bersenjata api yang kian membimbangkan sejak kebelakangan ini
menyebabkan pelancong luar takut dan bimbang akan keselamatan mereka sekiranya datang
melancong ke negara kita. Lama kelamaan imej negara yang terjejas ini akan menyebabkan pelabur
enggan datang melabur modal di negara kita. Lama-kelamaan sekiranya isu ini tidak ditangani akan
menyebabkan kemerosotan sumber pendapatan negara. Maka jelaslah bahawa keadaan politik yang
kurang stabil akan menjejaskan industri pelancongan di Malaysia.

4.2 Pencemaran Alam Sekitar


Selain itu, isu pencemaran alam sekitar yang tiada penghujungnya merupakan antara cabaran
utama sektor pelancongan di mana-mana negara. Seperti di negara kita Malaysia, kerajaan
menghadapi masalah apabila isu pencemaran sampah khususnya di kawasan Selangor yang masih
lagi tidak dapat diatasi sepenuhnya kerana sikap segelintir pihak yang kurang bertanggugjawab dan
kurang efektif dalam menangani isu ini. Keadaan yang kotor dan busuk mencemarkan keindahan dan
pemandangan negara kita yang terkenal dengan kecantikan biodiversiti dan semulajadinya yang
menjadi tulang belakang bagi sektor pelancongan di negara kita.

4.3 Persaingan Antara Negara-Negara Eko-Pelancongan Dunia.


Negara-negara dunia bersaing memajukan sektor ekonomi pelancongan di negara masing-
masing kerana peka bahawa sektor pelancongan membawa pelbagai faedah dan menjadi sumber
pendapatan yang sangat penting kepada sesebuah negara. Persaingan dalam mempromosikan
sektor pelancongan negara masing-masing menjadi semakin sengit terutamanya di negara-negara
yang sumber ekonominya bergantung kepada sektor pelancongan . Oleh itu kerajaan Malaysia harus
bersaing dengan lebih bijak dalam mempromosikan destinasi-destinasi dan tarikan utama negara
dalam sektor ini dengan lebih terancang dan terkawal agar dapat mengoptimumkan faedah dan mutu
sektor pelancongan negara.

4.4 Cabaran-Cabaran Lain

Seterusnya cabaran lain yang mampu menjadi penghalang kepada kemajuan industri
pelancongan negara adalah seperti pencemaran budaya. Pencemaran budaya berlaku apabila
budaya tempatan kian diabaikan oleh rakyat khususnya golongan muda pada era globalisasi kini.
Umum tahu bahawa negara kita terkenal dengan budaya masyarakat yang bersopan santun, kaya
dengan warisan adat resam tradisional kaum dan etnik yang pelbagai di Malaysia serta indah dengan
keunikan budaya yang dimiliki oleh pelbagai etnik di negara ini.
Tarikan seperti inilah yang menjadi tumpuan pelancong luar yang datang ke negara ini kerana
mereka ingin melihat dan mempelajari kelainan budaya yang terdapat di negara kita. Tetapi generasi
kini yang lebih membudayakan dan mengagungkan budaya barat sedikit sebanyak menghakis budaya
asal nenek moyang kita. Bahkan banyak seni warisan, permainan tradisional dan persembahan
tradisional seperti tarian, persembahan wayang kulit dan sebagainya semakin dilupakan oleh anak
muda pada era globalisasi kini. Ini merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dalam
melestarikan sektor pelancongan di negara ini.
5.0 SISTEM SOKONGAN YANG DITAWARKAN OLEH PIHAK
KERAJAAN DAN SWASTA UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI
PELANCONGAN

Untuk mengekalkan sektor pelancongan negara tetap berada pada tahap piawaian yang
sangat memberansangkan, pihak kerajaan dan swasta telah bersama-sama mengembleng tenaga
dalam mewujudkan pelbagai sistem sokongan untuk terus memajukan dan membangunkan industri
pelancongan negara.Usahasama antara pihak kerajaan dan swasta dalam memajukan sektor ini
dapat dilihat dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6) sejak tahun 1991-1995 apabila bekerjasama
dalam membangunkan produk-produk pelancongan baru. Bahkan pada tahun 1994 negara kita telah
melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 (TMM 94) dan mempromosikan 170 program yang
merangkumi kesenian, sukan, konvensyen, pameran kebudayaan, kraftangan dan perayaan
kebangsaan untuk tujuan meningkatkan purata kemasukan pelancong dan pelabur ke dalam industri
pelancongan negara.
Kementerian pelancongan Malaysia bertindak sebagai barisan hadapan dalam memajukan
sektor pelancongan negara. Pelbagai kursus berkaitan industri pelancongan diperkenalkan untuk
mencapai visi, misi dan objektif kementerian dan pada masa yang sama menggubal dasar-dasar
berkaitan untuk tujuan kemajuan sektor ini. Beberapa agensi dan jabatan ditubuhkan yang berindak
sebagai badan pelaksana melancarkan beberapa program yang mampu meningkatkan pembangunan
industri pelancongan negara seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN), Tourism
Malaysia, Lembaga Pembangunan Seni Visual dan sebagainya. Agensi ini bertindak mengelola
beberapa siri program yang berkaitan pelancongan seperti program We Are The Host (WATH) yang
bertujuan untuk melatih unit-unit barisan hadapan (frontliners) yang ada dalam sektor pelancongan.

Selain itu kerajaan turut memperkenalkan program Pelancongan Pendidikan yang fokus
kepada golongan muda dari negara luar dimana objektif program ini adalah untuk menarik lebih ramai
jumlah pelajar asing untuk menyambung pelajaran di Malaysia. Program ini menawarkan pelbagai
peluang kepada pelajar asing untuk menarik minat mereka menimba ilmu di negara ini. Kerajaan turut
memperkenalkan program Sukarelawan Pelancongan (Voluntourism) khususnya kepada golongan
sukarelawan dari luar untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembangunan pelancongan yang dianjurkan
di negara kita. Malahan kerajaan turut memperkenalkan konsep agropelancongan (Agrotourism) yang
menawarkan aktiviti pelancongan luar Bandar sebagai tarikan kepada pelancong.
Seiring negara membangun yang lain, Malaysia tidak ketinggalan menjadikan industri
Agropelancongan ini kepada pelancong dari seantero dunia untuk merasai dan mendalami sendiri
aktiviti luar bandar selain menyediakan pelbagai kemudahan riadah seperti berkayak, merentas hutan,
Skytrek Adventure dan pelbagai lagi aktiviti disamping dapat menikmati kesegaran hasil bumi
Malaysia seperti buah-buahan tempatan. Dewasa ini, kerajaan telah menyediakan 30 pusat taman
pertanian di seluruh negara seperti Taman Pertanian Tenom Sabah, Desaru Fruit Farm, Taman
Teknologi Agro Teknologi Mardi di Langkawi dan Cameron Highland dan banyak lagi.
Seterusnya kerajaan turut memberi insentif dalam bentuk kemudahan pembiayaan pinjaman
Dana Pelancongan (Tabung Pembangunan Infrastruktur) melalui Kementerian Pelancongan dan
Kebudayaan Malaysia untuk tujuan pembangunan industri pelancongan negara. Peruntukan dana ini
bermatlamat untuk membantu mengembangkan produk-produk pelancongan serta membiayai kos
pembinaan projek yang berkaitan dengan industri pelancongan negara.

Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia tidak ketinggalan bersama-sama membantu menggalak kedatangan pelancong ke Malaysia melalui
pakej tambang murah ke destinasi-destinasi pilihan dalam negara.

Pihak swasta juga tidak ketinggalan merangka usaha yang jitu untuk memperkembang industri
pelancongan negara. Antara usaha yang terbesar pihak swasta adalah melalui syarikat penerbangan
tambang murah Air Asia yang sentiasa menawarkan pakej penerbangan murah ke destinasi di
Malaysia kepada pelancong asing yang menggunakan khidmat pengangkutan udara. Syarikat ini
banyak membantu mempromosikan keunikan dan tarikan negara melalui iklan-iklan laman web rasmi
syarikat penerbang, risalah yang terdapat dalam penerbangan dan kaunter-kaunter penerbangan ini
bahkan juga memasang “sticker” gambar tempat-tempat menarik yang terdapat di Malaysia pada
badan pesawat.

6.0 LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDORONG PEMBANGUNAN


INDUSTRI PELANCONGAN

Langkah utama yang diambil adalah melengkapkan segala kemudahan pengangkutan dan
perhubungan bagi memudahkan pergerakan pelancong dengan menghubungkan destinasi-destinasi
pelancongan pilihan dalam negara. Keadaan prasarana kelas pertama dan kemudahan yang lengkap
serta berada dalam keadaan yang baik dapat memuaskan kehendak pelancong yang berkunjung ke
negara ini samada pelancong dalam negeri mahupun dari luar negara.
Selain itu, kerajaan telah mengambil langkah prima dengan memperkenalkan produk-produk
pelancongan yang mampu menarik tumpuan pelancong asing datang ke Malaysia. Antaranya adalah
menggalakkan masyarakat setempat bergiat aktif dalam program inap desa (Homestay) yang
bermatlamat untuk menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat setempat bahkan pelancong luar
negara turut dapat menikmati keistimewaan program ini kerana fokus program ini adalah, pelancong
boleh mempelajari, mengenali dan mengamalkan sendiri cara kehidupan seharian masyarakat desa.
Interaksi yang berlaku antara pelancong luar dengan penduduk setempat dapat mengeratkan lagi
perpaduan antarabangsa melalui program keluarga angkat yang juga merupakan salah satu daripada
objektif program inap desa ini. Seterusnya kerajaan turut mengambil langkah efektif dalam
mempromosikan negara kita di seluruh dunia dengan mengadakan beberapa siri Karnival
Pelancongan. Karnival ini dapat memperkenalkan beberapa siri keunikan yang terdapat dalam negara
seperti kepelbagaian makanan menarik khususnya makanan tradisional mengikut beberapa kaum
yang terdapat di Malaysia, tempat-tempat menarik yang terdapat dalam negara, keunikan dan
pelbagai jenis kebudayaan mengikut etnik yang ada dalam negara serta banyak lagi tarikan yang lain.
Kerajaan amat komited dalam menwar-warkan keunikan dan kehebatan yang terdapat di Malaysia
agar mampu menarik lebih ramai lagi pelancong asing khususnya dari benua Eropah. Pihak kerajaan
juga telah berganding bahu dengan pihak belia negara yang bertujuan untuk memberi pendedahan
kepada golongan belia mengenai pelbagai destinasi dan produk pelancongan terkini di seluruh
negara. Antaranya adalah Karnival Pelancongan Belia 2015 yang berlangsung pada 22 hingga 24 Mei
2015 hasil kerjasama daripada pihak Tourism Malaysia dan Persatuan Asrama Belia Malaysia
(MYHA) yang diadakan di Putrajaya bagi memupuk budaya melancong dalam negara secara
terancang dalam kalangan belia (Tourism Malaysia, 25 Mei 2015)
Seterusnya pihak kerajaan telah banyak mengambil inisiatif dalam usaha membangunkan sektor
pelancongan negara dengan menganjurkan beberapa acara bertaraf antarabangsa yang berupaya
menarik lebih ramai pelancong asing untuk melibatkan diri dalam acara ini dan secara langsung
menambah bilangan pelancong melawat Malaysia. Contohnya penganjuran sukan lumba kereta siri
dunia Formula 1 yang seringkali diadakan di litar perlumbaan Sepang. Kegiatan sukan bertaraf
antarabangsa ini mampu menarik perhatian peminat sukan antarabangsa berkunjung ke Malaysia
untuk menyaksikan sukan seperti ini.
Begitu juga dengan sukan kapal layar Monsoon Cup yang sering diadakan di perairan pantai
negara seperti di Terengganu dan Puteri Harbour Nusajaya, Johor pada awal tahun 2016. Negara kita
juga seringkali menjadi tuan rumah untuk beberapa siri sukan berbasikal seperti Le Tour de Langkawi.
Penganjuran sukan bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan diplomatik
antara negara dengan negara luar, bahkan dapat meningkatkan jumlah pelancong asing ke negara
kita.

Acara seperti ini merupakan salah satu alternatif kerajaan dalam mempromosikan sektor
pelancongan negara. Malah kejayaan kerajaan Malaysia menganjurkan beberapa acara sukan
berprestij antarabangsa telah banyak membuka minat warga asing untuk terus berkunjung ke negara
kita. Adalah sangat wajar sekiranya usaha proaktif dan progresif seperti ini giat dilakukan oleh semua
pihak kearah mencapai matlamat pembangunan dan kemajuan sektor pelancongan.
Makanan tempatan Malaysia merupakan salah satu tarikan utama pelancong asing ke
Malaysia.

Mengadakan Kempen Tahun Melawat Malaysia juga merupakan salah satu bukti usaha jitu
kerajaan dalam meperkenalkan industri pelancongan negara kepada negara luar. Objektif utama
kempen ini diadakan setiap tahun adalah untuk menambah purata bilangan pelancong luar datang
melancong ke negara kita disamping mempromosikan negara Malaysia sebagai sebuah destinasi
pelancongan yang kompetitif, unik dan mampu bersaing dengan destinasi-destinasi pilihan utama di
seluruh dunia. Umpamanya, Tahun Melawat Malaysia yang bertemakan Celebrating Malaysia Truly
Asia 2014.

Selain itu, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk tontonan para
pelancong dari luar negara agar mereka dapat menyaksikan keunikan kebudayaan berbilang etnik di
negara ini seperti penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) yang bertemakan “Endless
Celebration” pada tahun 2015 yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh
masyarakat berbilang bangsa. Terdapat pelbagai lagi langkah yang diambil oleh kerajaan dan
berganding bahu dengan pihak swasta untuk mempertingkatkan sektor pelancong negara..

7.0 KESIMPULAN

Natijahnya, usaha pembangunan sektor pelancongan negara ini memerlukan kerjasama yang jitu
diantara pelbagai pihak. Hal ini demikian kerana industri pelancongan mempunyai potensi yang
sangat besar sebagai sumber pendapatan dan merupakan salah satu faktor terpenting yang dapat
memajukan sesebuah negara seiring dengan negara membangun di seluruh dunia. Semangat dan
iltizam yang tinggi dalam membangunkan industri pelancongan negara dapat menonjolkan Malaysia
sebagai salah sebuah destinasi pilihan utama dunia.
Malahan kerajaan harus meneruskan usaha yang padu dalam membantu dan mengkaji kawasan
berpotensi menjadi sebuah destinasi pelancongan yang mampu menarik pelabur asing untuk melabur
modal dan membangunkan kawasan tersebut sebagai sebuah destinasi pelancongan baru. Bahkan,
peruntukan dana secara cekap harus dilakukan untuk meningkatkan mutu infrastruktur dan
kemudahan prasarana agar mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri
pelancongan yang mempunyai mutu dan maju.

Masyarakat harus bekerjasama dengan pihak kerajaan, agensi-agensi swasta dan badan-badan
NGO dalam mengekalkan keindahan estetika dan sumber semulajadi negara yang menjadi faktor
utama tarikan pelancong ke nagara ini. Sementelahan itu, Industri pelancongan ini memerlukan
usahasama dan sokongan semua pihak dan seluruh rakyat Malaysia untuk merealisasikan matlamat
menjadikan sektor pelancongan negara sebagai sebuah sektor ynag terus berkembang maju dan
menjadi pilihan utama pelancong di peringkat global.

Anda mungkin juga menyukai