Anda di halaman 1dari 27

Kaunseling Pendekatan Islam

Pendahuluan

Tanggungjawab menolong dan menasihati adalah tanggungjawab bersama kerana setiap orang
berperanan nasihat –menasihati bagi mencapai kebahagian dan keharmonian dalam hidup. Proses
bimbingan dan kaunseling juga seakan sama dengan tanggungjawab menolong dan menasihati,
namun bagi kaunseling, hanya yang memahami dan mempelajari teknik-teknik kaunseling dapat
mempraktikkannya secara teratur dan konsisten. Sebelum itu mari kita sama-sama teliti apa yang
dimaksudkan dengan bimbingan? Dan apa juga yang dimaksudkan dengan kaunseling.

Kaunseling merupakan suatu proses menolong yang melibatkan interaksi dua hala antara orang yang
memberi pertolongan dengan orang yang menerima pertolongan dalam keadaan suasana yang
harmoni, penuh kesedaran dan saling memahami. Apabila proses ini dikembangkan, sudah tentunya
berlaku juga proses kesedaran diri bagi orang yang menerima pertolongan. Manakala bimbingan
pula didefinisikan sebagai sebahagian daripada proses menolong. Bimbingan melibatkan usaha
memberi arahan secara teratur serta mengandungi maklumat sesuai bagi menentukan agar sesuatu
matlamat tercapai oleh orang yang menerimanya. Lazimnya proses bimbingan ini adalah untuk
penentuan kebajikan dan perkembangan penerima bimbingan. Othman Mohammad (2005)

Sebenarnya terdapat banyak dan pelbagai definisi mengenai bimbingan dan kaunseling. Namun
semuanya mempunyai satu matlamat utama iaitu memberi pertolongan untuk mewujudkan celik
akal atau kesedaran mengenai sesuatu perkara yang menyebabkan seseorang perlu kepada
bimbingan dan kaunseling .
Dalam bahagian satu ini, saya akan memberikan sedikit pengenalan bagaimana untuk mengaitkan
proses bimbingan dan kaunseling dalam pendekatan dakwah. Saya akan menggunakan bahasa
mudah agar dapat memberi kefahaman yang lebih jelas dan teratur.

Bagaimana proses bimbingan dan kaunseling dapat membantu kita dalam urusan dakwah?
Bagaimana method atau pendekatan yang dapat kita gunakan agar usaha dakwah kita dapat
diselarikan dengan konsep bimbingan dan kaunseling? .

Dalam islam, kewajipan yang telah diamanahkan kepada semua manusia adalah dikenali sebagai
“hisbah”. Apakah yang dimaksudkan dengan hisbah? Hisbah adalah menyeru kepada kebaikan dan
menegah kemungkaran serta membetulkan manusia ( amar ma’ruf wa nahy munkar , wa islah bayna
an-nas)

Menurut ibnu Qayyim , hisbah bermaksud memutuskan sesuatu perkara tanpa dakwaan kerana jika
berdasarkan dakwaan maka ia termasuklah dalam bidang kuasa hakim, bukan kuasa “muhtasib” * .
pengertian tersebut memperjelas bahawa batasan tanggungjawab tersebut meliputi masalah
perseorangan, kelompok dan masalah masyarakat serta negara. Siti Zalikhah Md Noor (2002)

Kewajipan hisbah berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

“ dan hendaklah ada dikalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada bakti dan mengarahkan
kepada kebaikan dan menegah kepada kemungkaran dan mereka itu golongan yang beroleh
kejayaan

(Al-Imran 3:104)
Bagaimana hisbah dikaitkan dengan konsep-konsep dalam kaunseling?

Menurut imam al-ghazali, hisbah terdiri daripada beberapa rukun. Sepertimana dalam solat terdapat
rukun solat, didalam hisbah juga terdapat rukun yang dapat disama gandingkan didalam konsep
kaunseling. Rukun tersebut adalah seperti dibawah

Muhtasib ( Kaunselor)

Muhtasab ‘alaih (Klien)

Muhtasab Fih (Masalah yang dihadapi klien)

Al-Ihtisaab (peringkat)

Konsep

Kaunseling didefinisikan sebagai satu interaksi antara dua individu iaitu kaunselor dan klien, dalam
keadaan profesional dan bertujuan untuk menolong kepada perubahan tingkah laku klien.

Di dalam Islam, kaunseling mempunyai pengertian dan kedudukan yang tersendiri. Ini selaras
dengan tuntutan Islam itu sendiri yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Kebanyakan sentuhan
kaunseling barat lebih bertumpu kepada perubahan tingkah laku klien kearah lebih rasional dan
mengikut garis normal hidup sebagai manusia. Inilah beza utama bagaimana kaunseling
berpendekatan Islam dilihat lebih memberi kesan yang menyeluruh bagi hidup seseorang muslim.
Namun tidak dinafikan, teknik dan gaya pendekatan kaunseling barat boleh juga diaplikasikan
semasa sesi kaunseling berlangsung. .

Berkesannya kaunseling berpendekatan Islam ini adalah kerana matlamat akhir yang berbeza
dengan pendekatan-pendekatan lain. Matlamat akhir bagi sesi kaunseling ini adalah mengkehendaki
klien memahami hubungan dengan Allah swt, hubungan dengan makhluk-makhluk ciptaan Allah,
tujuan hidup dunia dan matlamat akhir hidup ini.

Keimanan ialah teras kepada konsep kaunseling Islam, maka sudah dalam ilmu kaunseling Islam
tidak boleh dipisahkan konsep beriman kepada Allah, alam akhirat, dosa, pahala dan sebagainya.
Apa yang kendak dicapai dalam proses kaunseling ialah kesejahteraan di dunia dan di akhirat.
Seorang konselor mestilah berpendidikan dan mempunyai pekerti yang baik, malah konselor
menjadi tempat rujukan, model dan contoh yang terhampir sekali dengan klien. Dan dalam hal ini
Rasulullah bersabda (riwayat al-Tabari):

“ Sebaik-baik manusia itu ialah yang lebih bermanfaat kepada manusia ”

Teori-teori kaunseling Islam yang diterangkan oleh tokoh-tokoh Barat berpandukan kepada akal
manusia melalui hasil kajian, ujian dan pengamatan yang dilakukan. Kajian ini berkaitan dengan
perkembangan,tingkah laku, emosi dan pemikiran manusia. Hasil yang dilakukan bukan sahaja
bersifat saintifik mengikut lunaslunas kajian moden, tetapi juga terbuka untuk dicabar akan
kesahihannya.
Pendekatan psikonalitik Freud yang berkaitan dengan tenaga libodo dan konsep id, ego dan
superego banyakdibicarakan oleh ahli psikologi Islam. Walau pun terdapat rasa tidak senang hati
terhadap penekanan Freud mengenai peranan tenaga libodo seks, tetapi ramai diantara mereka
yang menghuraikan konsep seumpama ini (Wan Hussein@Wan Azmi 1982, Hamzah 1984, Hassan
1986, dan Amir 1998. Misalnya Wan Azmi bin Wan Abd Kadir menghuraikan fitrah manusia mengikut
al-Quran yang dikatakan mengandungi unsur material dan spiritual. Jika konsep unsur spiritual ini
disamakan dengan konsep psikologi, beliau menghuraikan bahawa unsur spiritual( psikologi ) ini
mengandungi empat konsep iaiitu, roh, nafs, hawa dan akal.

Mesej kaunseling Islam adalah ntuk mencapai makruf dan menghalang kemungkaran. Penelitian
yang bermakna bagi seseorang adalah membimbing manusia lain dengan wadah yang tinggi, melihat
keberkesannan proses yang dilakukan akan menjurus kepada konsep tersebut. Dalam hal ini Allah
berfirman (surah Ali Imran, ayat 110 yang bermaksud:

“ Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan
(mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara yang baik, serta melarang daripada
Segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang
berjaya. ”

Kaunseling berpendekatan Islam ini menekankan 4 perkara penting iaitu pembangunan roh, akal,
hati dan pengimbangan nafsu:

1.Pembangunan Roh .
Pembangunan roh merupakan aspek paling penting dalam kaunseling Islam. Bilamana roh itu sudah
mula mengenali Allah, mencintai Allah, mula takut pada Allah, yakin pada Allah dan akur pada segala
suruhan dan larangan Allah, maka manusia mula mengetahui apa tujuan hidupnya.

2. Pembangunan Akal .

Membangunkan akal atau dalam kata lain, pencerahan akal (celik akal) dapat membimbing manusia
kepada kemuliaan dan ketinggian darjat sebagai hamba disisi Allah swt. Akal fikiran adalah amanah
dan tanggungjawab daripada ALLAH yang tidak dilibatkan kepada makhluk lain dimuka bumi. Akal
fikiran dapat membezakan kebenaran dan kebatilan , juga antara petunjuk (hidayah) dan kesesatan .

3. Pembangunan Hati .

Pembangunan hati bukan sahaja sekadar menumpukan zikir pembaikan hati dan sebagainya, tetapi
yang lebih utama adalah membuang dahulu segala kekotoran yang lahir dari dosa dan maksiat yang
dilakukan. Hati manusia ibarat bebola kaca yang jernih dan bersinar. Andai ia dikilau dengan cahaya
yang benar-benar terang, maka pancarannya akan menjadi semakin menyerlah dan menarik orang
lain untuk melihatnya. Hati yang elok berupaya memberi ilham kepada manusia tentang hakikat
dirinya dan juga Penciptanya iaitu Allah swt.

4. Pengimbangan Nafsu .
Mengapa tidak dikatakan penghapusan atau perlupusan nafsu? Ini kerana manusia juga memerlukan
nafsu dalam kehidupannya. Nafsu yang diimbang dengan hati yang jernih, ruh yang dibangunkan dan
akal yang terpimpin akan mampu membawa manusia kearah kesejahteraan lahiriah dan batinniah.
Contohnya, makan adalah satu aktiviti dalam kehidupan. Andai nafsu jahat yang menguasai nafsu
makan, maka kita akan makan secara berlebihan sehingga lahiriah menjadi malas, dan impak yang
lebih buruk akan menimpa batinniah sehingga menyebabkan rosaknya hati dan jiwa .

Justeru itu, keempat-empat perkara diatas merupakan tumpuan utama dalam kaunseling
pendekatan islam dimana tujuan akhir kaunseling ini adalah membawa manusia mengenal diri dan
Penciptanya

Al-Quran Sumber Asas Kaunseling ( ‫)نصيحة‬

Perkhidmatan nasihat ialah sumber yang tulen dalam Islam. Nasihat menasihat diantara satu sama
lain dianjurkan agar manusia saling bertaggungjawab memikul amanah daripada Allah. Allah
berfirman dalam surah al-;Asr : ayat 1 – 3 yang bermaksud:

“ Demi Masa!, manusia itu Dalam kerugian .. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh,
dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.
”Sesungguhnya

Dalam ayat yang lain Allah berfirman dalam surah al-‘A’la: ayat 9 yang bermaksud:

“ Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia Dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau
peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna);

Perutusan Rasulullah ke seluruh umat di dunia ini adalah sebagai pemberi nasihat kepada umatnya.
Rasulullah sendiri membawa risalah tauhid yang mengajurkan manusia supaya beriman dan
bertakwa melalui cara yang paling berhikmah dan bijaksana. Melalui nasihat pengajaran yang baik
dan boleh diperolehi seperti yang di jelaskan melalui firman Allah dalam surah al-A’raf: ayat 63 yang
bermaksud:

“ Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran
dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada
kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat? ".

Terdapat juga hadith-hadith yang menelaskan kepada kita bahawa Islam banyak menggunakan
pendekatan nasihat ( kauseling ). Dengan jalan nasihat, dikaitkan dengan petunjuk yang baik bagi
seseorang individu mahu pun bagi satu-satu kelompok tertentu.

Sabda Rasulullah (riwayat al-Khatib) yang bermaksud:

“ Mintalah petunjuk dari orang yang berakal, maka kamu akan beroleh petunjuk dan janganlah kamu
menyalahinya agar kamu tidak menyesal ”.

Hadith riwayat dari Ibnu Hajar yang bermaksud:

“ Orang-orang mukmin adalah bersaudara. Oleh itu tidak boleh meninggalkan memberi nasihat pada
setiap masa. ”

TEORI KAUNSELING IMAM AL-GHAZALI

Perkara penting dalam memahami konsep dan model kaunseling Imam al-Ghazali adalah memahami
dan menghayati syariat Islam. Model ini memberi penekanan kepada proses memahami jiwa
manusia dari aspek kefahaman Islam. Oleh sebab itu, teori yang digunakan ini dapat memberi ruang
kepada klien supaya memahami erti sebenar kehidupan ini, menghayati kebesaran dan keesaan
Allah dan juga mensyukuri nikmat kurniaan Allah kepada hambaNya.
Maka, melalui teori kaunseling ini, Imam al-Ghazali mengharapkan agar kaunselor juga akan dapat
meningkatkan kualiti diri melalui hubungan dengan Allah yang tinggi. Hal ini kerana untuk menjadi
seorang kaunselor yang mampu untuk membimbing orang maka mereka perlu memperbaiki diri
sendiri dari pelbagai aspek.

Proses kaunseling al-Ghazali merangkumi aspek-aspek seperti musyaratah (menetapkan syarat),


muraqabah (audit atau semakan), mu’aqabah (dendaan), mujahadah (bersungguh-sungguh dan
Mu’atabah (celaan).

SESI KAUNSELING IMAM AL-GHAZALI :

Langkah 1 : Pengenalan dan bina hubungan

Langkah 2 : Meneroka diri dan masalah

Langkah 3 : Mengenal pasti punca dan jenis masalah

Langkah 4 : Memberi ubat yang sesuai dengan penyakit

Langkah 5 : Penilaian

1. Langkah pertama dalam teori kaunseling Imam al-Ghazali menekankan aspek memberi salam
sebagai keutamaan sebelum memulakan sesi kaunseling. Setelah itu majlis atau sesi dibuka dengan
bacaan al-Fatihah, tujuannya adalah untuk menghindari dari godaan syaitan. Masalah yang berlaku
dalam diri manusia adalah berpunca dari syaitan yang sentiasa mengoda manusia supaya jauh dari
mengingati Tuhan yang Maha Pencipta. Selain itu proses pembinaan hubungan melibatkan
hubungan dan interaksi yang baik antara kaunselor dengan klien. Melalui hubungan ini akan
melahirkan kepercayaan dalam diri klien dan memungkinkan mereka untuk berterus terang dan
berkongsi masalah yang dihadapi.

2. Manakala di dalam langkah yang kedua, Imamal- Ghazali menekankan aspek penerokaan dalam
diri klien sehingga mereka dapat mengenal pasti punca masalah yang dihadapi. Selain itu langkah
kedua ini adalah supaya klien dapat mencari kekurangan diri yang menjadi punca kepada masalah
tersebut. Disamping itu kaunselor akan bertindak membimbing mereka dan bermuhasabah diri
dalam melaksanakan syariat Islam. Kaunselor boleh menekankan aspek kerohanian dan spiritual
dalam diri klien . Bina hubungan dengan berdoa, berjanji dan bertawakkal, bincang konsep-konsep
Islam (matlamat hidup, kewajipan, hukum perlakuan, halal haram, musibah, sabar dan syukur) serta
sifat-sifat Allah dan sunnah rasul mengikut keperluan dan kesesuaian kes. Imam al-Ghazali lebih
menfokuskan untuk membaiki diri dengan amalan-amalan kerohanian seperti solat, zikir, membaca
al-Quran, menjaga makan dan minum, bertaubat, menjaga aurat dan sebagainya. Kemudiannya
Imam al-Ghazali menekankan aspek reda dengan musibah yang menimpa diri dan menganggab ianya
sebagai satu ujian untuk hambanya yang sabar. Mengenal Diri dan Bina Matlamat Hidup dengan
meneroka kriteria diri klien yang membawa kepada masalah berdasarkan pemerhatian, percakapan
dan soalan andaian. Membimbing klien membuat muhasabah diri dalam melaksanakan syariat. Klien
akan menyedari kelalaian dan kekurangan yang ada pada dirinya

3. Langkah 3 (mengenal pasti punca dan jenis masalah) Punca dan Jenis masalah, gabungkan langkah
2 dan 3 jadi asas meneroka punca dan jenis masalah. Kaunselor dan klien mencapai kefahaman yang
sama mengenai diri dan permasalahan klien. Rumuskan masalah dengan kefahaman Islam dan
penghayatan/amalan syariat.

4. Langkah 4: (memberi ubat yang sesuai dengan penyakit) Punca dan Jenis Masalah dengan
menjelaskan cara membaiki diri dengan; mempelajari ilmu Islam, meningkatkan amalan, bertaubat,
berzikir, berdoa, menjaga pergaulan, menjauhi maksiat, menjaga makan minum, menjaga
pandangan, menjaga pertuturan dan menjaga diri daripada penyakit hati seperti; sombong, riyak,
ujub, dak takabur.
5. Langkah 5: Penilaian Kefahaman/Pelaksanaan dengan melihat perubahan klien melalui air muka,
gerak geri dan pertuturan dari aspek peningkatan akidah, memahami diri sendiri, reda dengan
musibah, keyakinan diri yang tinggi, melaksanakan tuntutan agama dan takwa dan tawakkal

Pendekatan Kaunseling Imam al-Ghazali

Nasihat yang baik

Nasihat dan pengajaran yang baik ini ditawarkan kepada semua orang, di mana kaunselor berjumpa
dengan orang yang memerlukan bimbingan secara individu atau secara kumpulan. Kaunselor
memberi mereka nasihat dan ganjaran serta juga diterangkan kepada mereka syarat-syarat halal
yang bermanfaat dan perkara yang memudaratkan serta mengajak mereka membuat kebajikan di
dunia dan akhirat.

Kaunseling individu yang berhikmah

Kaunseling individu yang berhikmah ini ditawarkan kepada setiap orang yang meminta nasihat atau
pertolongan dalam mengerjakan sesuatu urusan agama dan keduniaan yang akan menjadi hak
kepada setiap individu yang berunding dengan muhtasib dalam apa jua perkara peribadi, keluarga,
professional atau agama.

Kaunseling individu yang kasar

Kaedah kaunseling ini digunakan terhadap orang yang terang-terangan mengerjakan maksiat dan
meninggalkan kebaikan, bekerja untuk hal-hal yang memudaratkan mereka dan mencegah daripada
melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat bagi meraka.( Yatimah )
Kaunseling kelompok

Kaunseling kelompok digunakan untuk memperbaiki keadaan menusia dan menolong mereka
menyelesaikan perselisihan antara buruh dan majikan, pembeli dan penjual, anak-anak dan ibubapa,
dan antara suami dan isteri. Melalui kaedah ini, kaunselor mengajak orang yang terlibat dalam
perselisihan itu atau dia mengunjungi mereka dan duduk dengan mereka dalam sesi kaunseling
kumpulan seperti yang diamalkan kaunselor-kaunselor psikologi pada hari ini

Kemahiran Dalam Kaunseling

Bagi mencapai matlamat-matlamat kaunseling, seseorang kaunselor hendaklah mempunyai


kemahiran-kemahiran tertentu. Antaranya ialah tingkah laku memberi perhatian, kemahiran
mendengar, kemahiran memandu klien, penjelasan, memberi nasihat, refleksi idea, refleksi
perasaan, penjelasan idea atau interpretasi, kekonkritan, ketika ini (immediacy), pendedahan diri,
pemparafrasaan, konfrontasi, kesenyapan, penjelasan masalah, rumusan dan teknik bertenang.

1.Tingkah Laku Memberi Perhatian.


Memberi perhatian merupakan alat yang kuat dalam sesi kanseling. Ia akan menimbulkan perasaan
hormat diri dan perasaan selamat bagi klien. Ia juga berfungsi sebagai alat pebeguhan serta
kemudahan komunikasi. Mempraktikan kemahiran ini akan membantu kaunselor membentuk
perhubungan yang baik dengan klien dan secara umum akan membawa faedah dalam apa jenis
perhubungan yang melibatkan kaunsler

Tingkah laku ini termasuk:

a)Kedudukan klien. Kaunselor hendaklah memastikan bahawa klien dapat duduk dengan selesa.
Biasanya, tidak ada meja yang mengasingkan dengan klien kerana ia boleh menghalang tingkah laku
tanpa lisan daripada diperhatikan oleh kaunselor

b)Bertenang. Kedua-dua kaunselor dan klien hendaklah duduk dalam satu keadaan yang selesa
supaya mereka boleh menyatakan sesuatu dengan nyata dan jelas. Bagi klien pula, keselesaan itu
penting untuk mendorong dia bercakap dengan lebih lanjut lagi tentang masalahnya.

c)Kedudukan tubuh (posture) kaunselor. Kedudukan tubuh kaunselor hendaklah condong


kehadapan, iaitu kearah klien. Amalan seperti ini adalah penting bagi menunjukkan kepada klien
yang kaunselor itu minat mendengar apa yang diperkatakan klien. Dari semasa ke semasa, kaunselor
boleh mengubah kedudukan tubuhnya untuk mendapatkan keadaan yang tenang.
d)Ekspresi muka. Ekspresi muka kaunselor hendaklah berseri, iaitu menunjukkan kaunselor itu sedia
menerima klien. Jika kaunselor bermasam muka atau bermuram, ini memberikan mesej yang klien
itu mungkin mengganggunya.

e)Tentangan mata. Kaunselor hendaklah mengadakan tentangan mata dengan klien. Ia menunjukkan
kaunselor meminati apa yang diperkatakan oleh klien dan adalah bersama klien secara fizikal dan
mental. Walau bagaimanapun kaunselor hendaklah melakukan tentangan mata mengikut keselesaan
klien. .

f)Soalan terbuka. Satu cara menggalakkan klien bercakap dengan panjang lebar ialah menggunakan
soalan terbuka. Ia memberikan peluang untuk klien bercakap lebih banyak lagi. Contoh: Cuba
ceritakan apa yang berlaku pada diri anda.

g)Dorongan minimum untuk bercakap. Dorongan minimum termasuk gerak isyarat anggukan kepala,
perkataan tunggal, perawakan badan atau ulangan perkataan-perkataan tunggal, perawakan badan
atau ulangan perkataan-perkataan penting yang menunjukkan kaunselor itu minat akan kata-kata
klien. Contoh: ‘Mmm’, ‘A-ha’, ‘Ya’, ‘Jadi?’ Dorongan minimum itu adalah penting untuk
menggalakkan klien bercakap.

2.Kemahiran Mendengar. .
Dalam kaunseling, mendengar bukan merupakan aktiviti yang pasif. Carl Roger telah mewujudkan
istilah ‘mendengar dengan aktif’. Ini bermakna kaunselor perlu membuat sesuatu yang positif. Ia
melibatkan sikap dan tubuh badan yang menghantar mesej tanpa lisankepada klien, iaitu, ‘Pada
ketika ini, anda merupakan orang yang paling penting dalam dunia. Kata-kata anda menarik minat
saya. Kebajikkan anda adalah penting bagi saya.’ Dengan kata lain, tentangan mata dikekalkan. Tidak
terdapat apa-apa gangguan sehingga klien itu habis bercakap. Kaunselor memberikan perhatian
yang penuh dan menunjukkan minat yang tulen terhadap kata-kata klien.

Mendengar secara aktif memerlukan kaunselor, bukan sahaja mendengar tetapi memahami
perasaan klien dengan mendalam. Kaunselor tidak mengenepikan apa yang diceritakan dengan
hanya berkata ‘Saya faham akan perasaan anda’ tetapi kaunselor merasakan apa yang sedang
dirasakan oleh klien. Ini bermakna kaunselor berkemahiran mendengar dengan empati.Ini juga
bererti kaunselor dapat menyatakan semula dengan tepat idea-idea klien dan menyebut dengan
tepat perasaan klien. Perasaan terpendam klien juga dapat ditafsir dengan tepat oleh kaunselor.
Dengan kata lain, kaunselor dapat membuktikan kepada klien yang kaunselor telah mendengar,
memahami serta menerima apa yang disampaikan kepadanya. .

Mendengar secara aktif membawa dua kebaikan yang utama. Yang pertama, ia membekalkan lebih
banyak maklumat untuk perbincangan dan tindakan lanjut. Yang kedua, ia mempunyai kesan
terapeutik. Bercakap kepada seorang pendengar yang aktif membolehkan individu itu meluahkan
masalah-masalah dan ini boleh membawa kepada pelepasan emosi. Tambahan lagi, pendengar yang
aktif itu akan memberikan satu lagi kesan, iaitu perasaan penting sebagai seorang individu kepada
orang yang meluahkan masalah-masalahnya. .

3.Kemahiran Memandu Klien


Sebahagian besar klien mempunyai fahaman diri yang terhad, iaitu tentang keperluan-keperluan
mereka, struktur-struktur bela diri dan cara-cara menyelesaikan masalah-masalah diri. Ada
setengah-setengahnya menentang (dengan cara menggunakan mekanisme bela diri) fahaman
tersebut. Pada peringkat ini kaunselor boleh membantu dengan cara memandu klien. Di bawah
adalah cara bagaimana seseorang kaunselor boleh memandu klien ke tahap kesedaran diri yang
lebih baik tentang keperluan-keperluannya.

Kaunselor : Anda menyatakan yang pensyarah itu menengking anda di hadapan kelas?

Klien : Ya

Kaunselor : Adakah anda terasa terhina?

Klien : Ya

Kaunselor : Ini menyebabkan anda berasa kecil dan kurang penting?

Klien : Ya, itulah kesannya .

Kaunselor : Anda juga rasa yang anda telah gagal dalam sesuatu?

Klien : Ya .
Kaunselor : Sanggupkah anda menceritakan bagaimana perasaan anda pada masa itu?

Klien : Saya rasa terhina; seolah-olah sayalah yang paling bodoh, paling malas. Pensyarah itu suka
menengking pelajar-pelajar. Saya benci pensyarah seperti itu. Saya tak suka memainkan peranan
dalam drama itu. Pensyarah itu memang sedar tetapi mengapa dia masih mahu saya menyertai
drama tersebut?

Kaunselor : Anda lebih suka menjadi penonton saja. Adakah anda berasa segan?

Klien : Ya, itulah masalah saya, saya rasa saya amat segan. Saya fikir…

4.Penjelasan

Seolah-olah terbuka menggalakkan seseorang klien terus bercakap dan seterusnya memberikan
lebih maklumat kepada seseorang kaunselor.

Contoh:

Bagaimanakah perasaan anda selepas peristiwa itu?

Bagaimanakah pula dengan pendapat anda?


Kenyataan-kenyataan atau soalan terbuka memberikan seseorang kaunselor maklumat untuk
meneruskan perbualan. Dengan itu, soalan-soalan terbuka adalah amat penting pada peringkat awal
sesi kaunseling. Semakin banyak maklumat diperolehi semakin cepat maslah dapat dikenal pasti.
Sebaliknya soalan tertutup hanya memerlukan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’.

5.Memberi Nasihat

Nasihat merupakan cadangan dan seharusnya digunaka dengan waspada. Menurut Hadley cadangan
dan nasihat adalah teknik-teknik yang sama dengan pujukan dan dengan itu, perlu digunakan dngan
waspada. Arbuckle merasa yang tujuan utama perhubungannya dengan klien ialah membekalkan
pengayaan persekitaran supaya klien dapat berkembang berdasarkan keupayaannya sendiri tanpa
bergantung pada kaunselor. Seseorang individu yang membekalkan maklumat tidak lagi berfungsi
sebagai kaunselor tetapi adalah berperanan sebagai pembimbing.

6.Refleksi Idea

Refleksi idea merupakan kemahiran yang digunakan oleh kaunselor sebagai satu cubaan memahami
klien. Ia membolehkan kaunselor menyemak dengan klien sama ada dia telah memahami apa yang
dinyatakan oleh klien. Lagipun, ia membolehkan klien mencapai kesedaran diri dan kefahaman diri .

Contoh:
Klien : Saya tidak mencuri

Kaunselor : Saudara tidak mencuri

7.Refleksi Perasaan

Dengan kemahiran ini, kaunselor akan balikkan aspek tentang emosi kepada klien. Ini dilakukan
untuk meniggikan tahap kesedaran klien tentang perasaan sebenar yang dialaminya.

Contoh:

Klien : Saya benci sikap ibu bapa saya. Walaupun umur saya sudah 17 tahun, mereka suka menyekat
pergerakan saya. .

Kaunselor : Saudara berasa kecewa kerana kebebasan saudara tersekat?

8.Penjelasan Idea atau Interpretasi


Dalam situasi ini, seseorang kaunselor akan mengintrepretasikan apa yang dikatakan oleh kliennya.
Dia menekankan pada aspek intelek kata-kata klien .

Semasa menjelaskan idea, perkara-perkara berikut perlu diingati oleh kaunselor:

i.Gunakan perkataan-perkataan mudah yang boleh difahami klien

ii.Jangan berikan terlalu banyak interpretasi pada satu-satu sesi

iii.Toleransi dan penghormatan klien perlu ada supaya klien tidak dipaksa menerima sesuatu
interpretasi.

Contoh:

Klien : Saya tidak dapat buat kerja rumah jika ayah saya berada dirumah. Saya berasa tertekan. Dia
akan hilang akal walaupn satu kesilapan kecil berlaku. .
Kaunselor : Daripada apa yang saudara katakan tentang ayah saudara, saudara amat takut padanya.
Adakah itu benar?

9.Konfrotasi

Ini merupakan kemahiran untuk menunjukkan kepada klien yang huraian tentang dirinya atau satu-
satu situasi adalah berbeza dengan pandangan kaunselor. Konfrotasi digunakan apabila klien tidak
mahu mengaku sesuatu, tidak mahu bertindak atau tidak melihat dari suatu sudut yang berlainan. .

Contoh:

Klien : Bilakah rombongan ke Melaka itu akan bertolak?

Kaunselor :Saudara telah menyatakan beberapa kali saudara tidak meminati rombongan tersebut,
tetapi saudara kerapbertanya .Konfrontasi menimbulkan suatu risiko tetapi jika berjaya akan dapat
mempercepatkan proses kaunseling. Sekiranya perhubungan di antara kaunselor dengan klien belum
mesra atau kukuh, konfrotasi hendaklah dielakkan kerana ia boleh menakutkan seseorang klien. .
10.Ketika Ini (Immediacy)

Ketika ini adalah kemahiran yang digunakan oleh kaunselor untuk bertutur dalam suasana di

sini dan ketika ini di antara kaunselor dank lien. Ia sebenarnya merupakan suatu pengakuan

tentang apa yang berlaku di sini dan pada ketika ini. Biasanya, ia menyentuh perasaan dan perlu

digunakan dengan berwaspada.

Contoh:

Tindakbalas kaunselor: Nampaknya saudara tidak gemar akan tempat ini .

11.Pendedahan Kendiri

Kaunselor menggunakan kemahiran ini apabila dia berhajat untuk mendapat klien berkongsi

sesuatu maklumat dengannya. Matlamat yang didedahkan hendaklah bersesuaian dan berfungsi.

Maklumat yang boleh menyebabkan klien berasa rendah diri atau kurang cekap hendaklah

dielakkan.
Contoh:

Klien : Inilah kali kedua saya mengambil peperiksaan SPM. Bodohlah saya ni

Kaunselor: Itu bukan perkara yang aneh.Saya pun mencuba 2 kali STPM sebelum lulus.

Tindak balas kaunselor itu akan menyebabkan klien berasa lega dan selesa. Ia berasa

sedemikian kerana pendedahan diri kaunselor; dia berasa bukan dia sahaja yang mengulangi

peperiksaan.

12.Pemparafrasaan

Dalam satu-satu sesi kaunseling, kaunselor perlu merumuskan satu-satu isi penting yang dinyatakan
oleh klien dari semasa ke semasa. Ini bertujuan untuk menyemak kelemahan kefahaman kaunselor
mengenai masalah yang disampaikan. Ia juga membantu kaunselor mengingati isi-isi penting yang
telah disampaikan oleh klien. Pada masa yang sama, pemparafrasaan boleh juga meningkatkan
kefahaman diri klien tentang masalah-,masalah yang dihadapinya. Ini boleh juga membawa kepada
kesedaran kendiri yang mungkin menimbulkan celik akal bagi klien menyelesaikan masalah-
masalahnya.

Contoh:

Klien : Saya sentiasa lambat masuk ke kelas. Ini menyebabkan saya dihalau keluar kelas. Saya benci
cikgu saya. Saya bukan sengaja untuk terlewat keluar tetapi saya terpaksa mengemas rumah dahulu
sebelum saya pergi ke sekolah.

Kaunselor : Nampaknya saudari marah kerana saudari dihalau dari kelas walaupun ada alas an yang
logik dan munasabah.

13.Kesenyapan

Penghentian sementara mempunyai berbagai-bagai erti. Klien berhenti bercakap kerana dia berasa
tidak selesa untuk memberikan maklumat yang lanjut. Mungkin dia sedang mengadakan penerokaan
diri dan mungkin akan dapat celik akal terhadap masalah yang dihadapinya. Ada kemungkinan klien
itu sedang mencari idea dan perasaan untuk disampaikan. Jika boleh, biarlah klien itu mula bercakap
selepas kesenyapan itu.
Bagi memecahkan kesenyapan, kaunselor boleh menggunakan tindakbalas berikut:

i.Nampaknya saudara sedang memikirkan sesuatu. Boleh saya berkongsi?

ii.Mungkin saudara sudah sedia untuk berkongsi dengan saya apa yang difikirkan tadi.

iii.Saya kira saudari ada sesuatu yang hendak disampaikan. Boleh saudari ceritakan?

14.Penjelasan Masalah

Di peringkat awal, proses kaunseling hanya menumpukan pada aspek yang mewujudkan
perhubungan baik dan penuh kpercayaan serta mengadakan komunikasi secara terbuka. Tetapi satu
matlamat kaunseling yang lebih penting ialah membantu klien menyelesaikan masalah. Oleh itu,
adalah penting untuk masalah-masalah klien dikenal pasti. Untuk mencapai objektif ini beberapa
langkah perlu :

i.Tujuan awal ialah mengenal masalah itu, iaitu mengubah masalah umum kepada masalah spesefik.
Contoh: Apakah maksud saudara apanila saudara mengatakan ____________?.

ii.Memberikan peluang keoada klien untuk mengemukan alternative-alternatif. Contoh:


Bagaimanakah anda akan cuba mengatasi maslah tersebut?
iii.Klien digalakkan untuk meneroka alternatif-alternatif serta implikasi-implikasinya dan kemudian
memilih yang manakah yang paling sesuai. Contoh: Pada pendapat saudara cara yang manakah yang
lebih sesuai dan mengapa saudara memilih cara tersebut?

iv.Akhirnya, klien perlu mengenal pasti perubahan atau kemahiran baru yang diperlukan untuk
mencapai alternative yang dipilih itu. Contoh: Mari kita cuba mula dengan ____________.

15.Rumusan

Rumusan adalah proses menggulungkan segala yang dibincangkan dalam sesi kaunseling. Ia akan
mengutamakan bahan-bahan penting yang telah dibincangkan serta perkara-perkara yang akan
dibentangkan. Membuat rumusan merupakan suatu cara untuk menamatkan satu-satu sesi
kaunseling. Ini membolehkan kaunselor mendapatkan kefahaman yang lebih mendalam tentang
klien serta membantunya melihat kemajuan yang telah tercapai. Semasa membuat rumusan,
seseorang kaunselor seharusnya menggunakan bahasa yang mudah dan jelas.

Di samping itu, maklumat balik hendaklah didapati daripada klien tentang rumusan yang dibuat.
Contoh: Mari kita cuba merumuskan apa yang telah kita bincangkan .Anda merasa sunyi dan
terpencil, terutamanya dengan sekumpulan orang, Sebaliknya, saudari mengatakan adalah sukar
bagi saudari untuk bergaul dengan orang-orang lain. Jadi walaupun saudari ingin bergaul namun itu
tetap menjadi sukar buat saudara/ri

Akhir sekali, sesi kaunseling akan ditamatkan dengan penilaian yang dibuat oleh kaunselor terhadap
klien mereka. Penilaian ini penting bagi memastikan klien telah mencapai tahap kefahaman yang jitu
terhadap masalah dan telah mampu untuk mencari jalan keluar dari musibah yang menimpa
mereka. Perubahan boleh dilihat melalui dari beberapa sudut antaranya ialah perubahan air muka,
gerak geri dan pertuturan seperti keyakinan diri yang tinggi, kefahaman yang jelas tentang akidah
dan tawakal pada Allah atas musibah yang menimpa diri.

Kesimpulannya

Kaunseling merupakan salah satu methodology yang sesuai untuk para da’iy gunakan dalam
menyampaikan dakwah Islamiyah kepada masyarakat. Hal ini kerana invididu yang ditimba musibah
dan masalah lebih cenderung untuk didekati dan mudah menerima pendapat dan pandangan dari
orang lain sebagai wadah untuk menyelesaikan masalah mereka. Maka gunakanlah apa saja
pendekatan dan ruang yang ada untuk mendekati masyarakat. Maka dalam perbincangan ini kita
melihat peranan pendekatan dan teori dalam amalan kaunseling. Konsep utama daripada beberapa
pendekatan kaunseling yang kebiasaanya diamalkan, diberi tumpuan dan dibicarakan dengan
kesesuaian konsep yang terdapat dalam Islam. Terdapat banyak persamaan huraian konsep yang
diguna dalam pendekatan Barat dan Islam..

Seorang kaunselor seharusnya menganggap diri mereka sebagai pengamal-saintis( sains practioner)
iaitu sentiasa sedar bahawa kita perlu memahami ilmu kaunseling bukan sahaja dari sudut amalan,
tetapi juga dari sudut ilmiah. Ini tidak pula bermakna seorang kaunselor itu harus bersetuju dengan
kesemua huraian konsep yang diperbincangkan, mungkin terdapat teori dan pendekatan yang
kurang sesuai. Oleh itu seorang kaunselor harus bijak membuat penyesuaian.

Anda mungkin juga menyukai