Anda di halaman 1dari 9

Falsafah Pendidikan Islam

PENGENALAN

Dalam konteks tamadun, pendidikan bermatlamat untuk membentuk peribadi individu yang mulia dan
luhur. Pembentukan peribadi dan dalaman seseorang atau “inner-being” mempunyai kepentingan
tersendiri dalam ajaran Islam, Kristian, Hindu, Konfusius dan ajaran yang lain. Ia berlandaskan
matlamat hidup dalam ajaran agama dan kepercayaan masing-masing di mana matlamat tersebut
menjadi perrtimbangan asas dalam proses pembelajaran dan pengajaran ilmu.

Islam meletak pendidikan pada kedudukan yang tinggi dalam kehidupan manusia. Kepentingan
pendidikan dalam Islam adalah berdasarkan wahyu yang pertama, iaitu surah al-‘Alaq ayat 1-4, yang
diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Sarjana Islam seperti Yusuf al-Qardawi berpandangan
pendidikan meliputi keseluruhan hidup manusia iaitu akal, jasmani, rohani, hati, akhlak dan tingkah
laku. Ia bertujuan menyediakan manusia untuk mendepani masyarakat, kehidupan dan masalah
pendidikan. Secara umum, objektif pendidikan Islam ialah untuk:
a. Membentuk akhlak yang mulia.
b. Menyediakan manusia kepada kehidupan dunia dan akhirat.
c. Menumbuhkan roh ilmiah (scientific spirit) dalam diri pelajar dan memuaskan keinginan
mengetahui (curiosity).

KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Falsafah Pendidikan Islam adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Begitupun, perkara
yang membezakan antara kedua-duanya ialah rujukan Falsafah Pendidikan Islam adalah berdasarkan
al-Quran dan al-Sunnah. Falsafah Pendidikan Islam yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia 1997 menyatakan:
Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran
dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap,
kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai
tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke
arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.

Falsafah tersebut, menurut Hasan Langgulung, menentukan tujuan akhir, matlamat, objektif,
nilai dan cita-cita yang telah ditentukan terlebih dahulu oleh falsafah hidup Islam yang berasaskan al-
Quran dan al-Sunnah. Falsafah hidup Islam ini kemudiannya dilaksanakan dalam proses pendidikan.

Al-Syaibani menjelaskan bahawa Falsafah Pendidikan Islam menekankan aspek hikmah,


iaitu mencintai kebijaksanaan dan pengetahuan yang sebenar yang bersumberkan Allah dan al-Sunnah
sebagai darjat kebijaksanaan yang tertinggi. Falsafah Pendidikan Islam menyediakan manusia dengan
ilmu pengetahuan yang cukup agar dia mengenali dirinya, tugas, tanggungjawab dan cara
melaksanakan amanah sebagai hamba atau khalifah agar menjadi insan soleh. Fokus falsafah ini
adalah terhadap pendidikan akidah, ibadah, akhlak, akal, jasmani, rohani, keterampilan, keibubapaan,
kemasyarakatan dan kepimpinan.

Falsafah Pendidikan Islam, menurut Mohd. Kamal Hassan dalam Noriati (2014),
menekankan konsep berikut:
a. Pendidikan seumur hidup.
b. Pembangunan menyeluruh daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
c. Menyampaikan dua fungsi manusia, iaitu hamba dan khalifah.
d. Memakmurkan alam.
e. Kesepaduan iman, ilmu dan amal.
f. Kejayaan (al-falah).

Menurut Noriati (2014), al-Syaibani merumuskan prinsip Falsafah Pendidikan Islam seperti
berikut:
a. Sesuai dengan fitrah dan roh Islam, akidah dan syariah.
b. Selari dengan realiti masyarakat.
c. Berkaitan aspek kehidupan manusia yang berteraskan ilmu dan pengalaman.
d. Bersifat universal.
e. Bebas daripada percanggahan.
f. Dinamik dan ada contoh yang jelas.

PEMIKIRAN AHLI FALSAFAH ISLAM

Falsafah pendidikan Islam, secara umum, berteraskan prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-
Hadith. Falsafah Pendidikan Islam merujuk kepada falsafah Islam yang dilahirkan dalam kalangan
ahli falsafah Islam. Antara ahli falsafah Islam ialah:

1. Al-Farabi (872-950M)
Di Barat, Abu Nasr al-Farabi dikenali sebagai Alpharabius. Beliau menjelaskan bahawa falsafah
terbahagi kepada dua, iaitu ilmu wahyu dan ilmu akhirat. Ilmu wahyu ialah ayat-ayat halus dalam
bentuk tulisan dan ayat-ayat kasar dalam bentuk fizikal seperti pokok, matahari, bulan dan bintang.
Manakala ilmu akhirat menjelaskan tentang pengakhiran kejahilan dan kiamat adalah tentang
kebangkitan kebenaran selepas kejahilan berakhir. Falsafah Islam mengandungi teori dan amali.
Falsafah teori ialah mengetahui sesuatu menerusi teori atau wahyu seperti prinsip ilmu yang
terkandung dalam al-Quran. Sebaliknya falsafah amali ialah mengetahui sesuatu menerusi perkataan
dan perbuatan Rasul atau sunnah untuk dijadikan sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan.

Adab dan budaya adab yang baik, dalam maksud pendidikan yang sebenar, ialah gabungan
semua sifat baik sementara disiplin adalah cara untuk mewujudkan kebaikan dari segi moral dan
merupakan aspek praktikal. Beliau membezakan antara pengajaran (ta'lim) dan disiplin (ta'dib)
dimana ta’lim adalah cara memperolehi budaya teoritikal, terutamanya secara lisan. Manakala ta’dib
membentuk kelakuan etika yang membawa kepada kemahiran praktikal. Pendidikan yang dibina atas
dasar manusia mempunyai kebolehan semula jadi tertentu yang disebut sebagai tabii. Dengan kata
lain, ia adalah kuasa yang dimiliki oleh manusia pada masa kelahirannya, dan tidak boleh diperolehi
atau dicari. Setiap manusia yang normal memiliki sifat tabii ini.

Dari segi kedudukan persepsi deria, al-Farabi menyatakan bahawa ia adalah satu daripada
jalan bagi jiwa manusia mendapatkan pengetahuan. Daripada deria, pengetahuan ditukar kepada satu
konsepsi intelektual menerusi unsur khayalan berdasarkan pentafsiran jiwa. Begitupun, deria hanya
merupakan satu instrumen berfikir kerana kebolehan berfikir mempunyai berpotensi untuk
memahami.

2. Abu Hamid al-Ghazali (1058-1111M)


Proses Falsafah Pendidikan Islam yang mengandungi latihan jasmani, intelek dan budi pekerti
bermula sejak kecil, iaitu dari awal kelahiran seseorang. Individu yang melalui proses ini boleh
mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat dengan memiliki rasa takwa, menjauhi ikatan hati
terhadap dunia dan mengekang nafsu diri. Ilmu yang sebenar bukanlah ilmu yang tertulis dalam kitab
atau buku tetapi ilmu yang tersimpan di dada kerana ia adalah pengalaman hasil daripada gabungan
ilmu teori dan amali.
Kedua-dua ilmu dan pendidikan adalah penting kepada individu. Ia berkait rapat dengan kemajuan
diri, agama, bangsa dan agama serta pembinaan dan perkembangan tamadun manusia. Pendidikan
hendaklah bersifat berkembang terutama dalam proses mencari kebenaran ilmu dan pelaksanaan
kaedah pembelajaran dan penyebaran ilmu. Falsafah al-Ghazali berkaitan ilmu dinyatakan seperti
berikut:
“Sebahagian ilmu tidak akan menyerah dirinya kepada kamu sebelum kamu
menyerah sepenuh jiwa raga kepadanya. Apabila kamu telah menyerah sepenuh jiwa
raga kepadanya, sebahagian ilmu diberikan kepada kamu, namun sebahagian yang
lain masih belum tentu untuk menerima kamu”.
3. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (1908-1981M)
Dikenali sebagai Hamka, beliau ialah tokoh agama yang berpengaruh di Indonesia pada abad ke-20.
Agama tidak dianggap sebagai satu bukan falsafah tetapi iman seseorang boleh bertambah dengan
merenungi dan memahami falsafah. Falsafah ditafsirkan sebagai tanya dan jawab, iaitu bertanya dan
menjawab perkara-perkara dalam lingkungan akal dan undang-undang.

Pendidikan, menurutnya, ialah satu proses untuk mendidik dan membentuk watak akhlak dan
tingkah laku yang baik, sikap yang berani serta budi pekerti yang mulia dalam diri manusia. Berbeza
dengan pengajaran, ia adalah usaha untuk mengisi intelektual murid dengan ilmu pengetahuan.
Kedua-duanya bersifat saling lengkap melengkapi dalam rangka mencapai tujuan yang sama kerana
dalam proses pendidikan, terdapat proses pengajaran. Pendidikan terbahagi kepada dua, iaitu
pendidikan jasmani dan pendidikan rohani. Berkenaan dengan pendidikan Islam, para pemikir
lazimnya menggunakan tiga istilah, iaitu:
a.       Ta’lim: Aspek pengetahuan dan pedoman tingkah laku yang baik yang diperlukan dalam
kehidupan seseorang
b.      Tarbiyah: Pengembangan ilmu dalam diri manusia dan pemupukan akhlak yang benar dalam
mendidik peribadi.
c.       Ta’dib: Penguasaan ilmu yang benar dalam diri seseorang agar menghasilkan kemantapan amal
dan tingkah laku yang baik.

Dalam hal ini, Hamka berkecenderungan kepada istilah tarbiyah kerana mengandungi maksud
yang lebih komprehensif dalam memaknai pendidikan Islam secara vertikal dan horizontal dalam
konteks hubungan ketuhanan dan kemanusiaan. Objektif proses pendidikan Islam ialah menjadikan
manusia sebagai hamba Allah yang selaras dengan tujuan penciptaan manusia, iaitu untuk mengabdi
dan beribadah kepada Allah.

Ringkasnya, falsafah pendidikan Islam menuntut satu proses yang berterusan dalam usaha untuk
melatih dan mendidik akal, jasmani dan rohani manusia. Ia berteraskan nilai Islam dan prinsip akidah,
ilmu dan amal yang bersumberkan wahyu untuk melahirkan insan yang bertakwa bagi mencapai
kejayaan di dunia dan akhirat.

Bincangkan pengaruh dan implikasi pemikiran falsafah Islam terhadap perkembangan pendidikan di
Malaysia.
FALSAFAH PENDIDIKAN TIMUR

PENGENALAN

Matlamat pendidikan dalam tamadun Cina dan tamadun India, sebagaimana juga tamadun Islam, ialah
untuk membentuk peribadi individu yang baik dan bermoral. Pembentukan dalaman diri individu atau
“inner-being” mempunyai kepentingannya dalam ajaran agama sama ada Islam, Kristian, Hindu,
Konfusius dan lain-lain. Ia berasaskan kepada matlamat hidup dalam ajaran agama dan kepercayaan
masing-masing dimana matlamat tersebut menjadi pertimbangan asas dalam proses pembelajaran dan
pengajaran ilmu penganutnya. Pendidikan Timur dan falsafahnya dibina daripada falsafah Cina dan
India yang berteraskan tiga aliran utama, iaitu Konfusianisme dan Taoisme (Cina), Hinduisme dan
Buddhisme, dan Nasionalisme dan Internasionalisme (India).

KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN TIMUR

Pendidikan, menurut ahli falsafah Timur, adalah suatu elemen yang sangat penting bagi kehidupan
individu di dunia ini dan dunia selepasnya. Ia disebabkan pendidikan membolehkan seseorang
individu mencapai kebijaksanaan, menghargai sistem kekeluargaan dan mengekalkan strukturnya,
menggubal undang-undang dan peraturan serta memenuhi tuntutan sosial dan ekonomi. Hal ini
menunjukkan bahawa guru berperanan penting menyampaikan ilmu dan mengajar cara hidup yang
baik dan betul kepada masyarakat. Dari segi prinsip falsafah ini, ia dinyatakan seperti berikut:
a. Kehidupan manusia boleh menjadi baik jika berkesanggupan untuk berubah.
b. Sikap manusia terhadap kehidupan akan menentukan kebahagiaannya.
c. Pembelajaran manusia berlaku menerusi refleksi diri berdasarkan pemerhatian terhadap alam
semula jadi.
d. Setiap manusia bercita-cita mencapai tahap kebijaksanaan dan memperoleh Nirvana.

PEMIKIRAN AHLI FALSAFAH TIMUR

Berikut ialah beberapa tokoh falsafah Timur dan pemikiran mereka tentang pendidikan:

1. Confucius (551-479 SM)


Confucius atau Kung Fu Tze ialah seorang pendidik dan ahli falsafah Konfusianisme terkenal pada
zaman Dinasti Chou. Beliau menerapkan ‘li’, iaitu peraturan tingkah laku yang baik dalam hubungan
manusia dan ‘ren’, iaitu sifat murni manusia sebagai prinsip utama untuk membina masyarakat yang
harmoni. Sebagai orang Cina pertama yang memperkenalkan pendidikan, beliau menegaskan bahawa
pendidikan adalah:
a. untuk semua tanpa mengambil kira sebarang bentuk perbezaan.
b. bertujuan melahirkan individu berkebolehan (ziancai) dan bermoral tinggi.
c. proses memupuk kesempurnaan tingkah laku manusia yang boleh dicapai melalui amalan tingkah
laku yang bersopan santun, bertimbang rasa, ikhlas hati, sederhana, menghormati orang tua,
menyayangi orang yang lebih muda serta taat dan cinta kepada pemerintah dan negara.
d. kurikulum yang menekankan subjek pendidikan moral dengan fokus kepada aspek nilai seperti
hormat (xiao dan ti), ketekunan (min), kesetiaan (zhong), kesopanan (yi), murah hati (jen), jimat
cermat (jian), kebijaksanaan (zhi) dan keberanian (yong).
Falsafah Konfusianisme merumuskan bahawa guru adalah pemudah cara dan penyampai ilmu yang
mahir dalam bidangnya. Guru perlu mengenali dan memahami murid agar dapat mengoptimumkan
potensi dan bakat pelajarnya. Selain itu, fitrah manusia yang mengandungi nilai murni dan baik dapat
diperkembangkan melalui proses pendidikan. Manusia hanya dapat mencapai kehidupan yang
sempurna jika memiliki dan mengamalkan nilai-nilai baik dan murni.
2. Lao Tzu (570 SM)
Lao Tzu, iaitu pelopor Taoisme, menekankan falsafah yang berasaskan cara hidup semula jadi yang
mengandungi perkara yang baik, aman dan rasa hormat. Beliau berpandangan kelakuan manusia
seharusnya tidak dikawal oleh kod tingkah laku yang tegar sebaliknya oleh naluri dan suara hati
menerusi kefahaman tentang peraturan alam. Prinsip falsafah beliau direkodkan dalam Dao De Jin/
Tap Te Ching (Klasik Moral) yang mengandungi 81 ajaran berbentuk puisi. Ia mengandungi dua
komponen utama iaitu jalan yang betul dan prinsip nilai murni. Dao ialah sumber asal bagi semua
kewujudan manakala De ialah nilai murni yang berada di bawah Dao. Dao ialah jalan yang betul dan
membimbing pelaksanaan De sebagai amalan kesejahteraan hidup manusia.

3. Hinduisme
Falsafah ini berkait rapat dengan Vedas, iaitu ilmu dan kitab suci dimana penganut yang mengamal
dan melaksanakannya akan mendapat Moksa. Ia adalah terlepas daripada penderitaan di mana
penganut agama Buddha menamakannya sebagai Nirvana. Manusia hanya dapat melepasi penderitaan
jika hidup secara bijaksana dan melepaskan diri daripada nafsu keduniaan dalam kehidupannya.
Amalan yoga dilihat sebagai satu cara untuk mendisiplinkan fizikal dan mental seseorang dan
akhirnya boleh membawa ke peringkat Moksa. Berdasarkan Vedas, kehidupan manusia terikat dengan
karma yang turut menentukan kedudukan manusia dalam masyarakat dengan berdasarkan sistem
kasta, iaitu Brahmin (sami dan sarjana), Kshatriya (pahlawan dan pentadbir), Vaisya (saudagar dan
pedagang) dan Sudra (hamba dan buruh). Setiap ahli sistem kasta mempunyai peraturan yang harus
mematuhi sepenuhnya bagi melepaskan diri daripada kitaran karma. Seseorang penganut akan
mengalami kehidupan semula (reincarnation) jika gagal mengikuti ajaran Hinduisme.

4. Sidharta Gautama (563-483 SM)


Pengasas Buddhisme, iaitu Sidharta Gautama (563-483 SM), menjelaskan falsafah Buddhisme
bermula dengan idea bahawa semua hidupan mengalami penderitaan untuk menuju kesejahteraan.
Cara melepaskan diri daripada penderitaan bagi mencapai Nirvana ialah menerusi Jalan Lapan Lapis
iaitu pengamatan yang betul, pemikiran yang betul, pertuturan yang betul, tindakan yang betul, cara
hidup yang betul, usaha yang betul, kesedaran secara betul dan bertafakur dengan betul.

5. R.Tagore (1861-1941)
Rabindranath Tagore, dikenali sebagai Gurudev, adalah seorang ahli falsafah Nasionalisme dan
Internasionalisme yang menjadi orang Asia pertama menerima hadiah Nobel dalam bidang sastera.
Beliau pernah mendirikan sebuah sekolah di Santiniketan pada tahun 1901. Ia menjadi sebuah
universiti pada tahun 1921. Beliau menjelaskan bahawa pendidikan adalah:
a. satu proses untuk mempersiapkan individu yang boleh menyara hidup sendiri kelak.
b. satu proses untuk melahirkan individu yang berfikiran sempurna dalam semua aspek kehidupan,
iaitu fizikal, intelek, moral dan kerohanian.
c. satu proses yang realistik yang dihubungkaitkan dengan pengalaman dalam hidup dan tidak
terikat dengan teori semata-mata.
d. bertujuan melahirkan individu yang mampu berinteraksi dan berintegriti dengan persekitaran.
e. kurikulum yang menekankan gabungan komponen ilmu dan aktiviti fizikal seperti muzik, seni,
sejarah dan pendidikan alam sekitar.
Secara umum, pendidikan nasionalisme bermatlamat menanam idea dan tradisi negara dengan
berlandaskan sejarah, geografi, kesusasteraan dan realiti semasa. Manakala pendidikan
internasionalisme bertujuan memupuk hubungan baik, persahabatan dan keamanan sejagat berasaskan
pengetahuan yang benar. Falsafah pendidikannya menyatakan guru sebagai pemudah cara dan
pemangkin yang menggerakkan perbincangan dan penjanaan idea dalam kalangan murid.

Umumnya, Falsafah Pendidikan Timur adalah satu proses pengajaran dan pendidikan yang berasaskan
ajaran agama dan kepercayaan. Ia turut meletakkan kepentingan peranan utama guru dalam mendidik
pelajar bagi mencapai keseimbangan dalam kehidupan, melahirkan individu yang bermoral dan
menghasilkan mereka yang dapat berkhidmat kepada masyarakat dan negara
FALSAFAH PENDIDIKAN BARAT

PENGENALAN

Di Barat, seperti yang telah dijelaskan dalam Bab Satu, terdapat dua aliran utama pendidikan iaitu
aliran tradisional dan aliran moden. Kedua-dua aliran ini didasari falsafah Pendidikan Barat yang
terdiri daripada dua kategori utama, iaitu tradisional dan moden. Aliran tradisional dibentuk oleh
autoriti di luar daripada diri individu. Ia menjelaskan bahawa seseorang individu bebas memilih cara
untuk mencapai matlamat. Aliran tradisional terdiri daripada idealisme, realisme, perennialisme dan
essensialisme. Sebaliknya aliran moden memberi kebebasan untuk memilih atau menentukan
matlamat atau cara dalam mencapai sesuatu matlamat. Aliran moden pula merangkumi pragmatisme,
progresivisme, rekonstruktivisme dan aliran eksistensialisme. Ringkasnya, matlamat pendidikan Barat
adalah berasaskan kepada aliran yang mendasari corak dan reka bentuk sistem pendidikannya.

KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN BARAT

Falsafah Pendidikan Barat didasari pelbagai mazhab falsafah yang lahir di Barat. M azhab falsafah
tersebut ialah:
a. Idealisme. Menekankan perkara bersifat idea, roh, akal dan jiwa. Ia ada dalam diri manusia dan
perlu dikembangkan oleh pendidik ke arah yang sempurna. Pengetahuan yang diperoleh melalui
panca indera adalah tidak pasti dan tidak lengkap. Aliran ini memandang nilai adalah tetap dan
tidak berubah, seperti apa yang dikatakan baik, benar, cantik, buruk secara fundamental tidak
berubah daripada generasi ke generasi. Epistemologi yang bersandarkan idealisme
menitikberatkan penguasaan ilmu daripada kesedaran kepada kefahaman. Ilmu diperolehi
daripada pemikiran yang rasional dan pengalaman yang subjektif. Beberapa tokoh aliran ini ialah
Plato, Elea dan G.W.F. Hegel, Leibniz, Emanuael Kant dan David Hume.
b. Realisme. Manusia adalah rasional kerana dianugerah akal di samping roh dan juga jasad
(dualisme). Keseimbangan akal dan roh membolehkan kewujudan manusia menjadi seimbang.
Matlamat kehidupan manusia boleh menjadi sempurna jika akal digunakan kerana ia
membezakan manusia daripada haiwan. Selain itu, panca indera dilihat sebagai alat untuk
mengenali dunia dan alam persekitaran termasuk objek dan jirim. Ilmu pengetahuan yang benar
ialah ilmu tentang realiti alam fizikal dan ia bersifat objektif. Proses mengetahui sesuatu adalah
berkaitan objek fizikal yang wujud di alam nyata dan dikaji menggunakan deria. Matlamat
realisme ialah memupuk aspek intelek dalam diri pelajar melalui pengajaran mata pelajaran yang
berstruktur dan mengembangkan potensi pelajar ke tahap paling maksimum. Antara tokoh aliran
realisme ialah Aristotle, Aquinas, Russel, Broudy, Johan Amos Comenius, Wiliam Mc Gucken,
Francis Bacon, John Locke, Galileo, David Hume dan John Stuart Mill.
c. Perenialisme. Lahir sebagai suatu reaksi terhadap pendidikan progresif dan progresivisme yang
menekankan perubahan dan sesuatu yang baru. Perenialisme adalah berkenaan pendidikan yang
konservatif dan tradisional dengan prinsip pendidikan yang tetap. Pendidikan mesti sama di
seluruh dunia dan bertujuan mendisiplin akal pelajar agar menjadi manusia yang rasional.
Matlamat perenialisme ialah mengajar nilai dan pengetahuan yang berbentuk universal, mengajar
tentang kemanusiaan dan nilai tradisional, memastikan pemikiran murid adalah rasional.
d. Essensialisme. Tumpuan kepada mengkaji semula perkara yang perlu dimasukkan dalam
kurikulum sekolah dan autoriti guru dalam kelas serta membezakan program sekolah yang
penting dan kurang penting. Ia berpendapat bahawa perkembangan intelektual pelajar penting
manakala usaha mengekalkan tradisi, nilai dan tamadun juga sangat mustahak. Matlamat
pendidikan essensialisme ialah menggalakkan perkembangan intelek dan kecekapan individu,
menitikberatkan mata pelajaran tradisional yang boleh digunakan pada masa hadapan,
menekankan 3M, pengajaran kemahiran penting dan penguasaan konsep dan prinsip.
e. Pragmatisme. Ia menegaskan ‘apa yang benar adalah apa yang berfungsi’. Dalam kata lain, apa
yang benar ialah segala sesuatu yang membuktikannya sebagai benar berdasarkan kesan akibat
atau hasil yang bermanfaat secara praktikal.
f. Eksistensialisme. Tumpuan kepada kewujudan manusia dan persoalan utamanya ialah kebebasan.
Individu, berdasarkan sesuatu yang difikirkannya benar, bebas menentukan kemahuan dan arah
hidupnya. Begitupun pendidikan yang diiinginkan perlu dibentuk. Matlamat eksistensialisme
ialah mendorong individu untuk mengembangkan potensi diri.
g. Progresivisme. Pengalaman manusia adalah asas untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Sekolah
berperanan menyediakan ilmu, pengetahuan dan pengalaman kepada pelajar agar dapat
menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan keadaan. Matlamat pendidikan ialah
mengembangkan bakat dan minat murid agar boleh menjadi seorang pekerja yang boleh bekerja
dengan otak dan hati dan menjadikan pengalaman sebagai satu aspek yang penting dalam proses
pembelajaran dan pengajaran yang berkesan.
h. Rekonstruksionisme. Nilai adalah ciptaan manusia dan relatif mengikut kepercayaan, masa dan
tempat. Pengalaman menjadi nilai asas kepada manusia. Tumpuan pendidikan hendaklah kepada
pembentukan semula masyarakat bagi membangun masyarakat baharu, yang pantas dan adil.
Sekolah berperanan membantu pelajar menilai institusi masyarakat bagi menentukan perubahan
yang diperlukan dalam memaksimumkan perkembangan individu. Matlamatnya ialah membaiki
dan membangunkan semula masyarakat, membentuk masyarakat baharu dan menghapuskan
penyakit masyarakat yang mana ia merupakan tujuan utama pendidikan.

PEMIKIRAN AHLI FALSAFAH BARAT

1. Maria Montessori
Melalui Kaedah Montessori, terdapat dua prinsip penting berkenaan pendidikan, iaitu:
a. Kanak-kanak lebih mudah belajar jika diberi peluang berinteraksi dengan persekitaran tanpa
bantuan orang dewasa bila berada dengan bahan-bahan manipulatif.
b. Kanak-kanak berupaya untuk mengajar diri mereka sendiri.

Kanak-kanak adalah insan yang cekap. Pemerhatian ke atas kanak-kanak dalam persekitarannya


boleh dijadikan asas kepada kurikulum pendidikan yang berterusan. Persekitaran kecil kanak-
kanak (microcosm) seperti perabot, benda bersaiz kanak-kanak dan pembuatan yang kecil boleh
membina kecekapan kanak-kanak dan menghasilkan dunia kecil kanak-kanak yang boleh berdikari.
Penyediaan kelas yang bersesuaian boleh menyediakan aktiviti simulasi dan menjadi motivasi tanpa
had kepada kanak-kanak.

2. Carl Roger
Manusia mempunyai keinginan semula jadi untuk belajar. Ia terbukti daripada rasa ingin tahu yang
sangat tinggi (curiosity) dalam diri kanak-kanak terutama apabila mereka diberi kesempatan untuk
menerokai lingkungannya. Dorongan dan rasa ingin tahu untuk belajar ini menjadi satu tanggapan
asas dalam pendidikan humanistik. Dalam kelas humanistik, pelajar diberi kebebasan untuk
mempamer dan memuaskan dorongan ingin tahunya bagi memenuhi minatnya dan memahami apa
yang penting dan bermakna tentang dunia di sekitarnya. Dalam hal ini, seseorang boleh belajar
dengan cepat sekiranya apa yang dipelajari adalah relevan dan mempunyai erti yang besar dalam
dirinya. Pada masa yang sama, proses belajar menjadi paling bermakna apabila ia dilakukan atas
inisiatif sendiri dan melibatkan seluruh perasaan dan fikiran seseorang. Hal ini kerana kebolehan
memilih cara belajar sendiri dapat memberi motivasi kepada seseorang untuk “belajar bagaimana
caranya belajar” (to learn how to learn).

3. John Dewey (1859-1952)


Pendidikan adalah satu proses yang mewujudkan keadaan kondusif dan selesa untuk memudahkan
individu menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka. Dalam dunia moden, pendidikan tidak boleh
bersifat tegar dan tetap kerana terdapat keadaan dan keperluan yang berbeza antara sebuah negara
dengan negara lain. Pendidikan perlu berlaku sepanjang hayat demi perkembangan diri individu yang
berterusan. Dewey berpandangan setiap individu mempunyai potensi yang unik di mana ia perlu
dijadikan matlamat pendidikan, iaitu membantu setiap individu mengenal pasti dan mengembangkan
potensi dalam diri mereka. Selain itu, pendidik bertanggungjawab untuk memberi kefahaman tentang
kepentingan menghargai norma dan amalan sesuatu budaya bagi membentuk masyarakat yang lebih
baik. Pendidik yang sebenar ialah mereka yang berupaya mengaitkan kandungan kurikulum dengan
keperluan, kehendak, minat, dan tahap perkembangan murid bersesuaian dengan konteks fizikal,
sosial dan politik di mana mereka berada.

Anda mungkin juga menyukai