Anda di halaman 1dari 3

Nama: Ahmad Safaiq Khalifa Bin Mohd Afendi

No Matrik: UFK210080

Al-Quran adalah Kalamullah al-Qadim yang merupakan wahyu yang diturunkan oleh
Allah SWT kepada Rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW dengan
perantaraan malaikat Jibril AS yang dihimpunkan di dalam mushaf dalam bahasa
Arab dan merupakan satu mukjizat yang menjadi bukti kerasulan Baginda SAW.
Al-Quran yang merupakan Kitab Samawiyah yang terakhir mengandungi
pengajaran, panduan, hukum-hakam yang dijadikan panduan oleh orang-orang yang
bertakwa dalam menempuh kehidupan di dunia. Sesuai dengan firman Allah:

َ‫يب ۛ في ِه ۛ هُدًى لِل ُمتَّقين‬ َ ِ‫ٰذل‬


َ ‫ك ال ِكتابُ ال َر‬

"Kitab ini tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang-orang yang
bertakwa” (Surah al-Baqarah 2:2)

Dalam menjadikan al-Quran sebagai panduan untuk setiap aspek kehidupan,


seorang Muslim haruslah memahami dengan kefahaman yang benar akan
kandungan ayat-ayat suci al-Quran berlandaskan ilmu dan metode yang bertepatan
dengan Syara'. Sekadar memahami Bahasa Arab, belum cukup untuk melayakkan
seseorang itu menafsirkan ayat-ayat suci al-Quran walaupun ia adalah antara syarat
utama dalam usaha menafsir dan memahami firman Allah SWT ini. Ia menuntut
seseorang Muslim itu untuk turut membebaskan dirinya dari cengkaman hawa nafsu,
memiliki keahlian dalam bidang Hadith, Qiraat, Nahu, Sarf, bidang Ulum al-Quran,
ilmu Usuluddin, ilmu Tauhid, ilmu Usul al-Fiqh dan ilmu-ilmu lain termasuk
bidang-bidang duniawi seperti sains, sejarah, psikologi dan sebagainya yang boleh
membantunya dalam memahami maksud ayat-ayat suci al-Quran al-Karim.
Penguasaan ilmu-ilmu inilah yang menjadi alat dalam mengaplikasikan metodologi
terbaik penafsiran al-Quran yang disebut sebagai ilmu Usul Tafsir.
Ilmu Usul Tafsir membantu membezakan jenis-jenis ayat al-Quran berkaitan akidah.

Pendedahan kepada ilmu Usul Tafsir memberikan jawapan yang lebih jelas kepada
saya dalam memahami ayat-ayat suci al-Quran al-Karim yang menyentuh soal-soal
akidah dan ketuhanan. Persoalan akidah dan ketuhanan yang disebutkan oleh Allah
SWT melalui lisan Rasul-Nya di dalam al-Quran tidak boleh difahami secara
sewenang-wenangnya tanpa berlandaskan ilmu-ilmu yang terkandung di dalam Usul
Tafsir. Rahsia ketuhanan adalah sesuatu yang tidak mampu dicapai oleh akal
manusia secara mutlak dan tidak dapat digambarkan dengan kalimah-kalimah
bahasa manusia yang terhad. Oleh yang demikian, ilmu Usul Tafsir mengajarkan
kepada saya tentang bagaimana membezakan ayat-ayat al-Quran al-Karim dari segi
klasifikasinya sama ada ia ayat Muhkamat atau ayat Mutasyabihat, sama ada ia
berbentuk literal atau metaforikal, juga mengajar saya memahaminya dari sudut
hukum bahasa agar dapatlah saya mencapai kefahaman terhadap ayat-ayat akidah
tersebut dengan kefahaman yang tepat mengikut Ahlu al-Sunnah wa al-Jama'ah.

Usul Tafsir memberi panduan dalam memahami ayat-ayat hukum berdasarkan


Quran dan sunnah.

Selain dari itu, kefahaman saya terhadap ayat-ayat suci al-Quran al-Karim yang
menyentuh aspek syariat juga telah dimantapkan dengan pendedahan terhadap ilmu
Usul Tafsir. Walaupun ayat-ayat hukum dan syariat bukanlah merupakan isi
kandungan yang banyak disentuh di dalam al-Quran, namun tanpa menggunakan
disiplin-disiplin ilmu yang digariskan di dalam khazanah ilmu Usul Tafsir, maka sudah
pasti seseorang itu akan gagal memahami bukan sahaja maksud pensyariatan atau
maqasid, bahkan boleh menjerumuskan diri seseorang itu kepada perbuatan
mengistinbat hukum syariat secara batil. Sebagai contoh, seseorang yang tidak
menguasai disiplin Usul Tafsir iaitu dengan menguasai Ulum al-Quran dan Ulum
al-Hadith serta ilmu lain seperti Usul al-Fiqh, dia boleh menafsirkan ayat-ayat hukum
mengikut kehendaknya semata-mata sebagaimana puak-puak liberal yang cuba
menafsirkan hukum menutup aurat bagi kaum perempuan dengan menafikan
wajibnya menutup rambut kerana tafsiran songsang mereka terhadap ayat yang
berkenaan dengan hukum tersebut.
Usul tafsir mengawal penggunaan akal dalam memahami perkara-perkara muamalat
dan kemasyarakatan.

Seterusnya, pengajian dan kajian yang berterusan secara sistematik dalam


menerokai ilmu Usul Tafsir juga membantu saya memahami kaedah menggunakan
kebijaksanaan akal fikiran dan kemampuan kognitif untuk mendalami ayat-ayat suci
al-Quran al-Karim yang berkaitan dengan perkara-perkara muamalat dah
kemasyarakatan. Sememangnya kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis adalah
amat penting dalam memahami ayat-ayat al-Quran, lebih-lebih lagi yang berkaitan
dengan hubungan sosial dan kemanusiaan. Akal perlu digarap dan dipandu oleh
ilmu yang benar yang diasaskan kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW.
Ilmu Usul Tafsir memberikan panduan kepada saya dalam mengaplikasikan
kefahaman saya terhadap ayat-ayat al-Quran ke dalam kehidupan saya selaku
seorang Muslim yang juga merupakan seorang anggota masyarakat. Dengan
perubahan dan perkembangan zaman, maka idea-idea baharu harus dihasilkan bagi
memenuhi kehendak semasa. Sebagai contoh, penggunaan produk-produk
kewangan Islam yang ditawarkan oleh institusi-institusi perbankan dan kewangan
seperti Musharakah Mutanaqisah, Tawarruq, Murabahah dan sebagainya adalah
hasil pemikiran dan penggunaan akal yang dipandu oleh ilmu Usul Tafsir yang benar
yang mana telah memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada umat Islam,
bahkan kepada seluruh masyarakat secara amnya.

Kesimpulannya, mempelajari dan mendalami ilmu Usul Tafsir adalah sesuatu yang
mustahak bagi seorang Muslim yang menginginkan hidupnya dipandu oleh wahyu
Ilahi. Menguasai disiplin-disiplin ilmu Usul Tafsir dengan mantap adalah prasyarat
untuk membolehkan seseorang itu memahami ayat-ayat suci al-Quran al-Karim.
Tanpa penguasaan ilmu Usul Tafsir, kefahaman yang diperolehi melalui ayat-ayat
al-Quran adalah kefahaman yang batil dan tidak diterima di sisi agama.

Anda mungkin juga menyukai