Anda di halaman 1dari 7

(MAKLUMAN KESELAMATAN DAN SOP COVID 19)

Sebelum saya memulakan majlis kita pada malam ini, izinkan saya menyampaikan beberapa etika-
etika majlis, makluman keselamatan dan juga Prosedur Pencegahan Covid-19 yang perlu dipatuhi dan
diambil tahu oleh semua tetamu yang ada di dalam dewan ini.

Pertama sekali, mohon kerjasama semua tetamu yang hadir untuk memastikan telefon bimbit dalam
mod senyap supaya and tidak mengganggu majlis.
Kedua, pintu keluar yang digunakan sekiranya berlaku apa-apa kecemasan adalah seperti berikut,
pintu keluar di tangga utama dan pintu keluar di bahagian kiri pentas dewan. Semua tetamu
dikehendaki untuk keluar dalam keadaan teratur dan memberi keutamaan kepada warga tua, ibu
mengandung dan kanak-kanak menuju ke tapak letak kereta hotel.

Sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19, para tetamu juga dikehendaki untuk
mengimbas kod MySejahtera pada pintu masuk hotel bagi yang belum berbuat demikian.
Seterusnya, tuan2 dan puan2 dikehendaki untuk mengimbas suhu dan memastikan anda dalam
keadaan sihat sebelum menghadiri majlis ini.
Penggunaan topeng muka adalah diwajibkan kepada semua tetamu.
Kekalkan jarak sosial sekurangnya 1 meter sepanjang masa.
Elakkan bersalaman atau bersentuhan.

Diharap semua yang hadir boleh memberi kerjasama mematuhi protokol yang dimaklumkan bagi
mengelakkan penularan wabak dan seterusnya memastikan majlis ini berjalan lancar.

Sebagai maklumat tambahan, bagi tetamu yang ingin menunaikan solat isyak. Surau lelaki berada di
tingkat 6 dan surau wanita berada di tingkat 5.

Harap maklum dan sekian terima kasih.


Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara

Bismillahirahmanirahim ...

YBhg. Puan Kotimah binti Haji Senal ibu pengantin perempuan,

YBhg. Encik Abang Yuslan @ Raba bin Abang Ahmad bapa pengantin lelaki,

Tuan dan puan para tetamu serta jemputan,


saudara mara kedua belah pihak pengantin,
hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum wbt. dan Selamat Datang ke Majlis Resepsi Pengantin yang kita raikan :
Puteri Farhana dan Abang Aman Azizi

Tahniah dan syabas kita ucapkan buat kedua mempelai.

Ribuan penghargaan turut diucapkan kepada tuan2 dan puan2 kerana sudi hadir untuk memeriahkan
majlis ini.

Syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah Kurnia, Kudrat dan Inayah-Nya memberikan
kekuatan diri kepada kita dan kesempatan untuk berkumpul pada hari yang bersejarah ini. Hari yang
penuh bermakna buat kedua mempelai raja sehari.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

PERARAKAN MASUK PENGANTIN

(PANTUN)
Sirih junjung berhias indah,
Sekacip pinang pembuka kata,
Datang berkunjung ke majlis meriah,
Lembaran sejarah kini bermula.

Diiringi alunan selawat bersama perarakan Flower Girl serta dayang pembawa dulang , sama cantik
dan sama padan, beriringan masuk ke dalam dewan, pasangan pengantin yang segak lagi bergaya,
yang cantik lagi menawan, pasangan Raja Sehari;

PUTERI FARHANA BINTI FAZARI & ABANG AMAN AZIZI BIN ABANG YUSLAN
(SELAWAT) – 3 Minit

(Pengantin akan berjalan menuju ke pelamin)


(PANTUN)
Anak Cina memasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Selasih
Pasangan pengantin segak melangkah
Mara menuju mahligai kasih

Di malam hari terang senegeri


Memberi cahaya di tengah balai
Majlis indah bertambah seri
Untuk meraikan kedua mempelai

Yang dihormati Puan Kotimah binti Haji Senal, ibu pengantin perempuan, Puan Faziema binti Fazari
kakak sulung pengantin perempuan serta suami Encik Mohd Fauzi bin Benjamin dan Encik Mohd
Syukrie bin Fazari abang pengantin lelaki selaku tuan rumah kepada majlis perkahwinan yang kita
raikan pada malam ini.

Yang diraikan pasangan mempelai; Farhana & Azizi, yang dihormati ahli keluarga, saudara-mara,
teman sekerja dan rakan-rakan kedua-dua mempelai, hadirin dan hadirat para tetamu yang
diRahmati Allah S.W.T. sekalian.

Saya, Encik Awang Azhar, pengerusi majlis pada malam yang berbahagia ini, mengucapkan Selamat
datang ke sekali lagi ke:

Majlis Perkahwinan Farhana & Azizi.

(PANTUN)
Garam ada kicap pun ada,
Sayang lada terlupa bagi,
Pantun ada ucapan ada,
Sayang tiada berdoa lagi.

Lebat kemiri pohonnya rendah,


Dahan terikat tali perkasa,
Sepuluh jari kami menadah,
Mohon berkat yang maha esa.

Dengan itu, bagi memohon majlis ini diberkati dan diRahmati Allah SWT, marilah sama-sama kita
menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dibacakan oleh Encik Ahmad Nasuha Bin Haji
Musa.

Dipersilakan.

(BACAAN DOA – 5 MINIT)

Terima kasih diucapkan kepada Encik Ahmad Nasuha di atas bacaan doa sebentar tadi.
(PANTUN)
Orang jauh dikenang-kenang
Hanya terkenang pada yang satu
Mula berkenalan kemudian bertunang
Akad dilaksana sama bersatu

Anak Cina mengail patin


Mengail patin di tepi titi
Senyum terukir pasangan pengantin
Tanda gembira penuh di hati

Bagi tidak membuang masa lagi, mari kita berkenalan dengan lebih rapat kedua-dua mempelai yang
kita raikan.

BIODATA PENGANTIN

Saya mulakan dengan pengantin perempuan,

Nama: Puteri Farhana Binti Fazari


Umur: 23 tahun
Asal: Batu Kawah, Kuching
Adik beradik: Anak Bongsu dari 3 orang
Warna Kegemaran: Merah jambu
Makanan Kegemaran: Nasi lemak

Nama: Abang Aman Azizi Bin Abang Yuslan @ Raba


Umur: 24 tahun
Asal: Kampung Tabuan Melayu, Kuching
Adik beradik: Anak ke 4 dari 7 orang adik beradik
Warna Kegemaran: Biru
Makanan Kegemaran: Ulam-ulama

Kedua pasangan ini telah berkenalan antara satu sama lain sudah hampir 8 tahun.
Mula perkenalan apabila pandangan bertaut semasa menghadiri majlis kenduri di Kampung Tabuan
Setelah bersua muka bertegur sapa serta mengenali hati budi satu sama lain
Mengikat tali pertunangan pada 21 Disember 2019
Dan seterusnya tepat dua tahun dari tarikh pertunangan,
Mereka berdua telah selamat diijabkabulkan pada pukul 3.00 petang tarikh yang sama iaitu 21
Disember 2021.

Begitulah tadi serba sedikit maklumat diri dan sejarah perkenalan kedua pasangan pengantin.

Tuan2 dan Puan2


Marilah kita beralih ke agenda majlis yang seterusnya.
(PANTUN)
Terbang sekawan si burung merbah,
Daun selasih di tanjung bidara,
Padamu tuan kami persembah,
Persembahan multimedia santapan mata.

Seterusnya, pihak majlis menjemput tuan dan puan untuk sama-sama menonton persembahan
multimedia montaj yang telah disediakan.

(VIDEO MONTAJ DIMAINKAN)

Demikianlah tadi, acara persembahan video montaj bagi memeriahkan majlis persandingan pasangan
dua sejoli yang segak dan cantik di singgahsana.

Agenda beralih susun cara berganti menanti di haluan kini ialah ucapan terima penghargaan dari
wakil pihak kedua-dua keluarga mempelai yang akan disampaikan oleh kakanda pengantin
perempuan selaku tuan rumah majlis kita pada malam ini.

Mungkin masih ada cerita yang belum dihabiskan. Barangkali pula masih ada kisah yang belum
ditamatkan. Tentunya ada riwayat yang mahu diselampitkan dan boleh jadi masih ada pesanan yang
mahu disampaikan.

Majlis dengan penuh hormatnya menjemput dan mempersilakan yang berusaha Puan Faziema binti
Fazari untuk menyampaikan ucapan beliau.

Dipersilakan dengan segala hormatnya.

Ucapan aluan bergema sudah


Ungkapan kata berbahasa indah
Maksud dan tujuan sudah terserlah
Melenyapkan pertanyaan hati nan gundah

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih pada yang berusaha Puan
Faziema beliau sebentar tadi.

Hadirin yg dimuliakan, seterusnya kita akan bertukar gelanggang sekarang ke acara seterusnya iaitu
upacara memotong kek selamat pengantin. Dipersilakan kedua mempelai berangkat ke hadapan
pentas untuk upacara memotong kek.

(PANTUN)
Puan dibawa ke Gunung Ledang
Dibawa dengan penuh beradab
Pinggan mangkuk telah terhidang
Kini masa makan beradab
Majlis diteruskan dengan acara kemuncak kita pada hari ini iaitu majlis makan beradab. Dengan rasa
hormatnya, menjemput pasangan pengantin dan ahli keluarga untuk bersama - sama ke meja yang
disediakan bagi menikmati hidangan.

(PENGANTIN BERJALAN DARI PELAMIN KE MEJA)

(PENGANTIN DUDUK)

(PANTUN)
Semerbak bunga seroja
Dibelai dara pingitan
Lauk pauk penuh semeja
Jemput mempelai menikmati hidangan

Bagi hadirin / hadirat yang dirahmati sekalian, janganlah malu janganlah segan untuk sama – sama
menikmati juadah enak yang disediakan. Bagi tetamu yang baru tiba, pihak majlis mengalu – alukan
kehadiran tuan tuan dan puan puan ke majlis yang bersejarah ini.

(JAMUAN MAKAN - TUNGGU ISYARAT ACARA SELANJUTNYA)

Sesungguhnya manusia itu sememangnya memerlukan kepada cinta. Kerana cinta itu, menjadikan
hidup manusia lebih bermakna, bahagia dan sempurna apatah lagi melalui ikatan perkahwinan yang
dituntut agama.

(PANTUN)
Tiup serunai di atas kota
Uda memupuk bunga melati
Mula kenal kemudian bercinta
Cinta tersemai di dalam hati

(PANTUN)
Inilah yang dikatakan, umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai di destinasi

Tiada untaian kata yang mampu dilafazkan selain ungkapan rasa syukur dan ucapan terima kasih
yang tulus ikhlas daripada Raja Sehari dan ahli keluarga buat semua, atas kesudian hadir dan
memeriahkan Majlis kita pada hari yang penuh keberkatan ini.

(PANTUN)
Tanam laguna tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuknya mati
Budi semua tak kami lupa
Sudah terpaku di dalam hati
Tuan puteri tersenyum-senyum
Melihat laksamana bermain rodat
Senyum-senyum jangan tak senyum
Sudah sempurna segala adat

Pergi ke dusun memetik kelapa


Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali

Sebelum mengakhiri majlis kita pada malam ini.

Saya Awang Azhar selaku pengacara dan wakil dari pihak majlis memohon maaf atas segala
kekurangan sepanjang majlis ini berlangsung. Berjumpa kita lagi pada masa yang akan datang. Saya
mengucapkan salam hormat buat semua, jaga diri, #KitaJagaKita dan Wabillahitaufiq walhidayah
wassalamualaikum WBT.

Anda mungkin juga menyukai