Anda di halaman 1dari 2

Soalan 1

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian ringkaskan hingga menjadi kira-kira 100 patah
perkataan sahaja. Penggunaan kata-kata kamu sendiri dalam susunan maksudnya yang asal
akan diberi perhatian utama dalam pemarkahan. (40 Markah)

Berbagai-bagai pandangan telah dilontarkan terhadap perihal remaja yang menjalankan kerja
sambilan di luar waktu belajar. Ada yang berpandangan positif dan memuji langkah bijak
remaja-remaja ini dan tidak kurang juga sebaliknya. Yang pasti, perkara ini sudah menjadi
lumrah dalam kalangan remaja yang hidup di kota, lebih-lebih lagi remaja yang berasal
daripada keluarga yang berpendapatan sederhana atau rendah.

Remaja yang bekerja sambilan akan melakukan berbagai-bagai pekerjaan seperti menjadi
pelayan di restoran makanan segera, penjual makanan gerai-gerai, menjadi pelakon iklan, DJ
sambilan di radio dan televisyen dan sebagainya. Kebanyakan majikan juga memberikan
kebebasan kepada pekerja-pekerja sambilan dengan menawarkan gaji berpatuatan dan bekerja
mengikut syif.

Kebaikan yang ketara kepada remaja yang bekerja sambilan itu ialah mereka pandai dalam
merancang dan membahagikan masa agar tidak berlaku keciciran dalam pembelajaran.
Remaja yang bekerja sambilan bijak dalam memastikan mereka mempunyai cukup waktu untuk
membuat kerja rumah di samping menghadiri sekolah atau kelas tambahan. Kebolehan dalam
merancang dan mengurus masa merupakan aspek penting dalam kehidupan seseorang
sepanjang hayatnya. Jika remaja mula mempraktikkan, pengurusan masa dengan bijak pada
usia yang masih muda, mereka akan memiliki jadual kehidupan yang berkualiti dengan pelbagai
aktiviti berfaedah sepanjang usia mereka. Perkara ini akan dapat mengelakkan masa lapang
remaja terbuang begitu sahaja dan budaya lepak yang tidak berfaedah dapat dibendung.

Di samping itu, alam pekerjaan juga menjadikan remaja matang dalam menangani dan
membuat keputusan berkenaan soal kehidupan. Remaja yang pernah bekerja sambilan jauh
lebih berkeyakinan apabila berhadapan dengan orang lain apatah lagi dengan penemuduga.
Pengalaman berinteraksi dengan orang ramai melalui pekerjaan sambilan mampu
mengembangkan kebolehan interpersonal bagi seorang remaja. Faktor keyakinan diri amat
berharga dalam melayari alam pekerjaan dan kemajuan kerjaya seseorang.

Kita maklum bahawa rata-rata golongan remaja masih hidup atas ihsan dan bantuan ibu bapa
sepenuhnya. Bagaimanapun dengan menggalakkan remaja bekerja sambilan, mereka akan
terdorong untuk memikul tanggungjawab ke atas diri sendiri dan mampu berusaha sendiri. Hal
ini bukan sahaja mematangkan pemikiran mereka tetapi juga menerapkan sikap berdikari dan
boleh mengikis mentaliti subsidi.

Bekerja sambilan juga mampu meningkatkan tahap disiplin seorang remaja. Bayangkan jika
mereka bukan seorang yang berdisiplin, bagaimana mereka dapat memikul tanggungjawab
sebagai seorang pekerja dan pelajar dalam satu masa? Disiplin diri amat penting untuk menjadi
insan yang berjaya dalam hidup terutamanya dalam menceburi alam pekerjaan. Pendedahan
awal kepada aspek ini amat penting dalam membentuk golongan muda yang berdaya maju dan
berdaya saing.

Kini, fenomena remaja bekerja sambilan menjadi semakin meningkat dengan adanya urus
niaga melalui internet. Urusan kerja sambilan ini menjadi lebih mudah kerana remaja tidak perlu
lagi keluar rumah tetapi masih mampu mencari wang saku. Remaja yang bekerja sambilan lebih
banyak menerima manfaat yang positif dan ini merupakan salah satu cara berkesan
membentuk modal insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

(Lebih kurang 350 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai