Anda di halaman 1dari 5

HARI 9

Penaung Universal

Teladan St Joseph, seorang “lelaki yang adil,” kata Penginjil, yang bertanggungjawab
sepenuhnya di hadapan Allah dan di hadapan Maria, seharusnya menjadi pendorong
kepada anda semua dalam perjalananmu menuju kepaderian… Saya dapat meyakinkan
anda, wahai para seminarian, bahawa semakin anda maju dengan rahmat Allah pada
jalan kepaderian, semakin banyak anda akan mengalami buah-buah rohani yang
berlimpah hasil daripada memanggil St Joseph dan memohon sokongannya dalam
melaksanakan tugas harian anda.73 – Pope Benedict XVI

Hari ini, pada hari terakhir persiapan kita untuk mempercayakan diri kepada St Joseph, kita
melihat St Joseph sebagai penaung universal. Gereja menjemput semua orang untuk mempunyai
devosi kepada bapa angkat Yesus. St Joseph adalah untuk kita semua. Kita semua boleh
mendapat sesuatu daripada teladan St Joseph yang menginspirasi ini. Mari kita lihat beberapa
bidang yang berada di bawah naungan santo agung ini.

Joseph adalah bapa angkat Yesus dan oleh yang demikian dia adalah penaung para bapa. Semua
kebapaan adalah dimaksudkan untuk menggambarkan Kebapaan Allah. Joseph adalah lelaki
yang paling sempurna menggambarkan Allah dalam kebapaannya. Salah satu daripada cara
Tuhan kita menghormati dan patuh kepada Bapa Syurgawi-Nya adalah dengan menghormati dan
patuh kepada bapa duniawi-Nya. Lelaki-lelaki yang telah diberi martabat dan tanggungjawab
sebagai bapa boleh meminta St Joseph untuk membantu mereka menjadi bapa yang baik.

Joseph juga adalah penaung para suami. Dia adalah suami kepada Perawan Tak Bernoda.
Pengosongan diri yang sepenuhnya dan radikal menjelaskan panggilan Joseph. Lelaki yang
berkahwin boleh belajar bagaimana cara untuk menghormati isteri mereka daripada Joseph,
seorang yang tanpa pamrih menjaga kemurnian Bonda kita yang Terberkati. Wanita-wanita
boleh mengamanahkan diri mereka sendiri kepada St Joseph, yang menjaga anak-anak
perempuan rohaninya dengan kasih yang murni dan maskulin. Adalah baik bagi para orang muda
untuk mengamanahkan diri mereka kepada Joseph, Penjaga Para Perawan. Joseph dikenal untuk
membantu orang muda menjaga kemurnian mereka.

…………………………………………………………………………………………………
73 Pope Benedict XVI, Address to the Roman Major Seminary, February 25, 2006. Spiritual Thoughts in the
First Year of his Papacy. Libreria Editrice Vaticana, p. 105.
Bersama Bonda kita, Joseph juga adalah penaung bagi keluarga. Setiap keluarga seharusnya
diamanahkan kepada Keluarga Kudus. Joseph adalah teladan kelelakian. Para lelaki seharusnya
mengambil inspirasi dari Joseph, Lelaki yang Adil. Ramai orang, terutamanya mereka yang
kekurangan kasih yang sebenar daripada seorang bapa, telah mengalami kasih kebapaan Joseph
dengan mempercayakan diri mereka kepada tukang kayu yang rendah hati ini.

St Joseph adalah penaung bagi para pekerja. Dia adalah seorang pekerja dan perlu bekerja untuk
mendapatkan rezeki bagi keluarganya. Dia juga penaung bagi yang miskin. Oleh kerana St
Joseph juga pernah mengalami kemiskinan terutama pada masa Yesus dilahirkan, dia adalah
pertolongan bagi mereka yang berpaling kepadanya pada waktu kesusahan.
Walaubagaimanapun, dia juga seorang penaung bagi yang kaya. Orang-orang kaya boleh
dikaitkan dengan Joseph kerana sebagai putera Daud, dia keturunan diraja. Joseph juga
mempunyai dua harta karun yang agung di dalam rumahnya; Yesus dan Maria. Joseph
membantu mereka yang kaya untuk mengingat bahawa harta karun kita yang sebenarnya ada
dalam Syurga.

Joseph mempunyai gelaran sebagai “Penghibur Orang Malang.” Semasa mengungsi di Mesir,
Joseph terpaksa meninggalkan tanah airnya pada waktu tengah malam bersama keluarganya dan
dengan hanya sedikit harta. Hal ini sudah tentu menjadi kesusahan yang besar bagi Joseph. Dia
terpaksa mencari pekerjaan di tanah asing, kemungkinan tanpa kebolehan berbicara dengan
bahasa di situ atau tidak mengenali sesiapapun di negeri tersebut. Oleh kerana itu, St Joseph juga
adalah penaung bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan. Orang-orang yang sedang berjuang
dalam hidup bolehlah berpaling kepada Joseph sebagai seseorang yang memahami situasi
mereka. Mereka yang berada jauh daripada tempat asal mereka dan para imigran yang baru juga
boleh berpaling kepada Joseph kerana dia pernah merasakan perjuangan untuk hidup di tanah
asing. Joseph boleh membantu kita apabila hidup kita menjadi sulit.

Para paderi juga boleh mengambil Joseph sebagai penaung. Para uskup, paderi dan diakon
adalah penjaga kepada misteri-misteri Allah dan yang terpenting sebagai penjaga Yesus dalam
Sakramen Mahakudus. St Joseph adalah penjaga Yesus semasa hidupnya di dunia ini, jadi para
paderi boleh meminta pertolongannya untuk tanggungjawab ini. Tambahan lagi, St Joseph
adalah penaung yang sesuai bagi para paderi kerana dia juga adalah penaung para kontemplatif
dan bagi mereka yang menjalani hidup bakti.

Demikianlah hanya beberapa contoh mereka yang boleh bernaung di bawah naungan St Joseph,
namun sesiapapun juga dapat menemukan bahawa devosi kepada St Joseph adalah bermanfaat.
Dia adalah penaung yang universal.

***
Mengapakah ramai orang, dari pelbagai jalan hidup, tertarik kepada Joseph? Di sini ada tiga
alasan mengapa lelaki yang pendiam ini sangat dikasihi secara meluas. Pertama, dia memberi
teladan ‘menjadi’ berbanding ‘melakukan.’ Apa yang kita lakukan adalah penting, tetapi tidaklah
hampir sepenting siapa diri kita, iaitu karakter kita. Pada mata dunia, tukang kayu yang rendah
hati ini tidaklah melakukan perkara yang hebat, tetapi di mata Allah, tukang kayu ini dengan
setia melaksanakan salah satu daripada misi terpenting yang diberikan kepada seseorang. Joseph
adalah lelaki yang adil, satu kualiti yang lebih berharga berbanding dengan pencapaian duniawi.
Kita mengasihi Joseph kerana dia mengingatkan kita mengenai apa yang paling penting.

Alasan kedua mengapa devosi kepada St Joseph sangat popular, adalah kerana dia memberi
teladan kekudusan dalam kehidupan yang biasa. Dia adalah seorang tukang kayu, seorang suami,
dan seorang lelaki berkeluarga yang hidup dalam kehidupan tersembunyi. Walaupun dia seorang
yang ‘biasa-biasa’ saja, dia menghidupi kehidupan biasa itu dalam cara yang luar biasa. Hampir
setiap kita boleh mengaitkan diri sendiri dengan kehidupan Joseph yang biasa ini. Apabila kita
melihat para kudus seperti Yohanes Pembaptis, yang menjalani hidup tobat yang keras, atau
Petrus, yang dipanggil untuk berjalan bersama Yesus selama tiga tahun dan memimpin gereja,
atau Paulus, yang telah membuat pengembaraan misionari yang hebat, kita mungkin merasakan
bahawa kekudusan tersebut adalah bukan untuk kita. Seorang pemandu trak, bagaimanapun,
dapat mengaitkan dirinya dengan Joseph. Seorang ibu, yang menjaga keluarganya, boleh
mengaitkan dirinya dengan Joseph. Kita semua boleh menganggap diri kita serupa dengan St
Joseph. Itulah sebab mengapa kita sangat mengasihinya.

Sifat yang terakhir yang menarik diri kita kepada St Joseph adalah kerendahan hatinya.
Kebijaksanaan biasa pun menyatakan bahawa kerendahan hati adalah menarik perhatian.
Kerendahan hati Joseph adalah salah satu sifatnya yang menonjol. Joseph adalah seorang lelaki
yang hebat yang tidak pernah mencari perhatian orang. Kita semua tertarik kepada kerendahan
hati seperti ini.

St Joseph adalah model bagi semua orang Kristian. Gereja mengajak kita untuk menjalinkan
persahabatan dengan St Joseph. Marilah mempercayakan diri kita kepada bapa pemelihara
Yesus. Bersama Tuhan kita dan Bonda Terberkati, marilah kita membenarkan Joseph menjadi
penjaga dan pelindung kita.
St Joseph, Pelindung Gereja Kudus, doakanlah kami!

Memorare kepada St Joseph

Ingatlah, ya Suami Perawan Maria yang termurni, pelindungku yang terkasih, Santo Joseph,
belum pernah terdengar bahawa sesiapa pun yang mohon pertolonganmu dibiarkan seorang diri
tanpa penghiburan.
Terdorong oleh keyakinan ini, aku datang kepadamu, dan dengan segala hasrat hatiku, aku
mempercayakan diriku kepadamu. Janganlah menolak doaku, ya Bapa Pengasuh Juruselamat
kami, melainkan dengan penuh belas kasih dengarlah dan jawablah doaku. Amen.

Bapa Kami, Salam Maria, Kemuliaan…


Doa untuk Mempercayakan Diri kepada St Joseph

Wahai St Joseph,

pada hari ini, aku mempercayakan diriku sendiri kepada penjagaan kasihmu.

Jadilah pelindung dan pembimbingku dalam penziarahan di bumi ini.

Doakanlah aku agar, seperti engkau,

aku juga dapat mengasihi Yesus dan Maria dengan sesungguhnya.

Amen.

Anda mungkin juga menyukai