Anda di halaman 1dari 4

Asal 

Usul Nama Terengganu


                Setakat ini terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan nama negeri
Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan " Terangnya ganu ", " Taring anu ", dan
" Terangan nu ". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu
( Kelantan dan Pahang ) dan juga dari penduduk Terengganu sendiri. " Terangnya ganu " ini
dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang kini
dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan " Terang
sungguh ganu di sini ". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran
sungguh "terang ganunya ".
               Sementara itu " Taring anu " dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh
Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar ( 1839 – 1876 ). Sebelum wujud nama
negeri Terengganu, satu rombongan Pahang telah datang memburu di kawasan hulu.
Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah
seorang daripada rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada
temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan – "Taring anu " kerana ia
tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, di antara mereka di
dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa.
                Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada
mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di
"Taring anu ". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya,
mereka menyatakan di " Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.
              Terdapat dua kisah asal nama Terengganu yang melibatkan penduduk tempatan.
pertamanya kisah " Taring anu " yang berlaku di tempat lain ( bukan di hulu ). Kisah ini
menyatakan yang " Taring anu " berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah
dijumpai di sebuah pulau ( kini dikenali sebagai Pulau Duyung ) berhampiran Kuala Sungai.
Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja " taring anu tuanku ". Dengan itu kuala
sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring anu. Kemudiannya Kuala Sungai
Terengganu.
             Sebuah kitab lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai
Terengan. Kuala Sungai Terengan ini adalah pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai
Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulangalik
menggunakan kedua-dua sungai ini. Oleh itu jika mereka bertolak dari Kuala Terengan,
mereka akan menggunakan samada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di
antara mereka bertanya hendak ke mana? Mereka akan menjawab sama ada ke " Terangan
ni " atau " Terengan nu".   Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu.

Sejarah Awal

          Sejarah awal Terengganu adalah tidak jelas. Namun begitu terdapat catatan mengenai
Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai
jajahan takluk Palembang. Dalam Negarakartagama, tulisan Prapanca dari Jawa pada
tahun 1365, menyatakan Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit.
Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung
Bewah terdapat manusia tinggal di situ sejak 4,000 tahun sebelum masihi. Pada Batu
Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam
sejarah Terengganu, terdapat pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun
Telanai.
          Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan
Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor ; Laksamana dan Paduka Megat Seri
Rama dihantar memerintah Terengganu. seterusnya Bendahara Hasan pula dihantar
mentadbir Terengganu. Berikutnya Terengganu ditadbir oleh Tun Zain Indera. Kemudiannya
oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan Tun Ismail. Tun Sulaiman sebagai
sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai Bendahara dan Tun Ismail sebagai
Menteri Tersat.

Islam Di Terengganu
          Setakat ini tidak dapat dipastikan dengan tepat tarikh atau tahun dan dari mana
kedatangan Islam ke Terengganu. Namun begitu pada Batu Bersurat Terengganu tercatat
tahun Hijrah 702, bersamaan 1303. Tahun ini disetujui setakat ini tercatat di Batu Bersurat
dan bukan bermakna Islam bermula di Terengganu pada tahun tersebut. Dengan ini
bermakna Agama Islam telah bertapak di Terengganu sebelum tahun 1303. Perkembangan
Islam di Terengganu sebelum tahun tersebut membolehkan penulis batu bersurat menulis
jawi dan golongan tertentu di Terengganu boleh membaca jawi. Satu perkara yang menarik
di sini, Terengganu adalah negeri yang terawal di Malaysia mengkanunkan undang-undang
Islam.
          Dalam pada itu terbukti pada kurun ke – 16 Sharif Muhammad Al-Baghdadi sudah
berada di Kuala Berang. Kehadiran beliau ini sudah pasti ada kaitan dengan Agama Islam
dan perdagangan. Beliau meninggal dunia di Batu Belah, Kuala Berang. Keturunan beliau,
Abdul Malik bin Abdullah ( lebih dikenali sebagai Tuk Pulau Manis ) meneruskan kegiatan
keagamaan di Terengganu. Setelah kira-kira 10 tahun menuntut di Mekah dan Madinah, di
sekitar tahun 1690 Abdul Malik pulang ke Terengganu dan mengajar ilmu agama di Kuala
Berang.

Tradisi Kesultanan Terengganu
             Pengasas Kesultanan Terengganu pada hari ini ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda
ialah putera Tun Habib Abdul Majid atau dikenali juga dengan panggilan Bendahara Padang
Saujana. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan
sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan
Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin
ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.
            Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah
Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika
berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang
Chau Yang. Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan
duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun
1120 hijrah ( bersamaan tahun 1708 ). Sultan Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di
Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau
Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di
kawasan berhampiran Bukit Keledang ( kini dipanggil Kota Lama
        Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran
Sultan Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu
sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja
Bulang anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya berkahwin pula dengan
Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan
Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas tahun (1746 – 1760 )
daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu
dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam
politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni Long Bahar, Yang
DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.
          Sultan Mansur di gantikan oleh putera baginda Sultan Zainal Abidin II (1794 – 1808 ).
Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin
oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan
seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya
takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad (1808 – 1830 ), Sultan Abdul
Rahman ( 1830 ), Sultan Daud ( 1830 – 1831 ), Sultan Mansur II ( 1831 – 1837 ), Sultan
Muhammad ( 1837 – 1839 ), Baginda Omar (1839 – 1876 ). Baginda Omar pernah
menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi
baginda diturunkan dari takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai
Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada
tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya
menduduki takhta kerajaan Terengganu. ketika pemerintahan baginda, Terengganu
berkembang maju.
          Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan
Ahmad Shah II ( 1876 –1881 ). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda,
Sultan Zainal Abidin III ( 1881–1918 ). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali
cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III
meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang di antara lain
menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan
serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan
oleh Sultan Muhammad Shah II ( 1918 – 1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
( 1920 – 1942 ).
             Menurut Warta Chahaya Timor No. 38 bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan
Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang
dirujuk sebagai putera sulong baginda telah dilantik sebagai " Pemangku Sultan Sementara
" oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah
diberikan gelaran " Sultan " pada 30 September 1942 oleh Syuckokan atau Gabenor Jepun.
Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut Undang-Undang Diri Bagi
Negeri Terengganu 1911.
                Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu
pada pukul 9.00 pagi Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun
1949 dengan gelaran Sultan Ismail Nasaruddin Shah. Sultan Ismail Nasaruddin dilantik
sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke – 6 dari 21 September 1965 hingga
20 September 1970. Dalam tempoh itu Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik
sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasaruddin Shah mangkat pada
tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat
Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan
Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud
mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu
digantikan oleh putera baginda, Yang DiPertuan Muda Tengku Mizan.

Anda mungkin juga menyukai