Anda di halaman 1dari 7

Dikatakan ketiga-tiga Ketua Daerah telah bermesyuarat untuk menyatukan daerah-daerah mereka

menjadi satu negeri dengan memakai nama yang khusus. Mereka bercadang untuk menamakan MELAKA
tetapi didapati tidak begitu sesuai kerana Negeri Melaka masih wujud walaupun dibawah kekuasaan
Portugis. Lantas mereka teringatkan pula bahawa salah satu punca utama yang membawa kepada
keunggulan, kebesaran dan keharuman nama Melaka ialah peranan dan tanggung jawab Bendahara Tun
Perak. Maka ketiga-tiga Ketua Daerah tersebut bersetuju untuk menamakan negeri baru ini sebagai
Negeri Perak. Oleh sebab pada ketika itu Negeri Perak belum mempunyai Raja lalu Tok Mahsuka
berkehendakkan supaya Negeri baru ini mempunyai Raja yang berdaulat.

Hikayat Merong Mahawangsa pula mengatakan bahawa nama Negeri Perak ini ada kaitannya dengan
cerita putera Raja Marong Mahapudi Sat yang di katakan telah pergi meneroka untuk membuka sebuah
negeri baru, Putera tersebut telah sampai sebuah sungai besar dan terdapat pula bertasik, melingkungi
tiga atau empat buah pulau. Putera tersebut telah berkata.. " Tempat ini elok dijadikan sebuah negeri...",
lalu baginda pun memanah ke udara dengan menggunakan sebilah anak panah yang diperbuat daripada
'perak' dan busarnya dinamakan 'Indera Sakti'. Apabila anak panah tersebut jatuh terjunam ke atas
sebuah daripada pulau-pulau yang berkenaan maka dinamakanlah tempat itu sebagai Pulau Indera Sakti
dan negerinya dinamakan Negeri Perak.

Dalam cerita-cerita yang lain terdapat juga kisah-kisah saperti : seekor ikan Haruan besar mengicah-
ngicah anaknya hingga air sungai menjadi keruh putih berkilat seperti perak.

Warna bijih timah yang putih berkilat apabila dipanah cahaya matahari dan berbagai-bagai cerita lagi.

Adunan daripada fakta sejarah dan unsur lagenda hingga terciptanya nama 'Negeri Perak' itu
menggambarkan bahawa pemilihan nama "PERAK" itu sangat bertetapan dengan kekayaan khazanah
yang dikandungi oleh bumi Perak itu sendiri. Justeru kekayaan ini lah pergolakan sejarah Negeri Perak
semakin bergelora satelah empayar Kerajaan Melayu Melaka berpecah pada tahun 1511 dan munculnya
kuasa-kuasa Portugis, Acheh, Bugis, Siam, Minangkabau, Belanda dan akhir sekali Inggeris di merata
perairan Nusantara ini.

[sunting]Kerajaan Purba

Menoleh kembali ke zaman silam Negeri Perak akan terjelmalah berbagai-bagai gambaran cetusan
sejarahnya yang menjadi mutiara pusaka bumi Perak yang tiada ternilai harganya. Sebagai salah sebuah
Negeri Melayu yang tertua, Negeri Perak telah melalui liku-liku zamannya sejak sebelum menjelangnya
tahun masehi lagi.
Sebelum munculnya nama "Negeri Perak" Kitab "Sejarah Melayu" ada menceritakan nama-nama
kerajaan atau negeri seperti Gangga Negara yang sekarangnya terletak di jajahan Dinding, Beruas dan
Manjung yang masih kekal namanya hingga sekarang. Penemuan monumen-monumen bersejarah
peninggalan zaman tersebut telah menggambarkan kegemilangan sejarahnya tersendiri yang masih
tersembunyi dari penglihatan dan pengamatan generasi di zaman moden ini.

Lanjutan Kesultanan Melaka

Gambaran sejarah Negeri Perak bertambah jelas lagi apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam
tahun 1511 dan Sultan Mahmud Shah melarikan diri dan akhirnya menetap di Kampar (Sumatera) dan
ditabalkan sebagai Sultan Kampar.

Kewibawaan Raja-Raja Melayu Melaka serta struktur pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka yang
begitu sesuai dan berpengaruh di kalangan Negeri-negeri Melayu ketika itu telah mendorongkan orang-
orang Perak untuk mengutuskan Tun Saban yang memerintah kawasan Hulu Sungai Perak hingga ke
Kuala Temong, bersama-sama Nakhoda Kassim pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di negeri Kampar
untuk memohonkan agar seorang daripada putera baginda menjadi Sultan Perak. Permohonan itu telah
diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah menitahkan putera baginda, Raja Muzzafar
supaya berangkat ke Perak dengan di kurniakan segala alat kebesaran warisan kerajaan Negeri Melaka
untuk menjadi Raja di Perak.

Maka belayar lah Rombongan DiRaja menyeberangi Selat Melaka dan apabila sampai di Kuala Sungai
Perak di suatu tempat bernama 'Beting Beras Basah', bahtera Raja Muzzafar Shah telah terdampar di
atas sebuah beting dan tidak dapat di mudik. Tiba-tiba angin ribut datang dengan laut yang bergelora.
Berbagai ikhtiar dibuat namun bahtera baginda tetap tidak berganjak. Maka di situlah baginda berseru
dengan melafazkan kata-kata :-

Selilit Tanah Minangkabau, Selengkung Pulau Perca, Dilengkung ular Saktimuna, Sebenarnya Aku
keturunan Raja, Jauhkan segala malapetaka, Perpisahan Aku di Selat Melaka....'

Sebaik sahaja baginda habis melafazkan kata-kata itu, tiba-tiba muncul 'JIN' yang sangat besar sahingga
mencecah awan yang tinggi. Jin tersebut telah berkata kepada baginda.... Sekiranya Tuanku hendak
bersemayam dan memerintah Negeri Perak ini, hendaklah Tuanku buangkan Mahkota Tuanku kedalam
laut......

Maka Raja Muzzaffar pun mengambil Mahkota baginda dan dibuangkan kedalam laut. Secara tiba-tiba
laut yang bergelora menjadi tenang dan beting yang timbul hilang dari pandangan. Satelah itu barulah
bahtera baginda boleh belayar semula dan mudik ke Air Mati. Disana lah baginda di tabalkan dan tempat
baginda bersemayam itu dinamakan Tanah Abang.

Daripada keturunan Sultan Muzzaffar Shah inilah wujudnya jurai keturunan Kesultanan Negeri Perak
yang terus menerus memerintah hingga ke zaman sekarang. Pusat-pusat pemerintahan Sultan-Sultan
Negeri Perak tidak menetap di suatu tempat sahaja bahkan sering bertukar dari suatu tempat ke suatu
tempat jika keadaan memaksa atau ada tempat-tempat lain yang lebih sesuai.

Pusat pemerintahan

Pusat pemerintahan Sultan Perak adalah juga istana Sultan Perak. Istana sultan berubah-ubah dari Hilir
Perak hingga ke Kuala Kangsar. Kebanyakan tempat-tempat ini terletak di tebing sebelah kanan Sungai
Perak. Di sekitar Kampung Gajah memang banyak sekali makam-makam Sultan Perak.

Di antara pusat-pusat pemerintahan yang ada tercatat di dalam sejarah ialah :-

Tanah Abang - iaitu ditepi Sungai Perak yang sekarang di panggil Air Mati ,di dalam Mukim Bota, Makam
Sultan Muzzaffar Shah 1 (Sultan Perak Pertama)

Kota Lama Kanan

Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga,Kampung Gajah

Semat dalam Mukim Senggang,

Bota Kanan atau disebut juga sebagai Brahman Indera

Pulau Tiga, Kampung Gajah

Pulau Cempaka Sari di Parit

Pulau Indera Sakti di kuala Sungai Kinta , Kampung Gajah

Pasir Pulai Indera Mulia , Kampung Gajah

Bandar Baharu , Kampung Gajah - pejabat JWW Birch , British

Pasir Panjang, Kampung Gajah

Durian Sebatang, Teluk Intan - Sultan Abdullah Muhamad Shah 1874

Sayong, Kuala Kangsar


Batak Rabit, Teluk Intan

dan akhir sekali di Bukit Chandan, Kuala Kangsar iaitu semasa zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah
di tabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 28.

Sistem Pemerintahan

Di zaman pemerintahan silam, sistem pemerintahan Kesultanan Negeri Perak masih meneruskan konsep
ketradisionalan Kesultanan Melayu Melaka dengan sedikit perubahan dan penyesuaian dengan keadaan
negeri dan masyarakat. Sistem gelaran Orang-Besar-Besar Negeri masih mewarisi Kesultanan Melaka
tetapi terdapat sedikit perubahan iaitu dengan mengwujudkan gelaran-gelaran baharu saperti Orang
Besar Lapan, Enam Belas dan Tiga Puluh Dua disamping mengekalkan konsep gelaran dan fungsi Orang
Besar Empat Kesultanan Melaka. Tetapi gelaran Orang Besar Empat ini juga telah di ubah mengikut
kesesuaian zaman dan masyarakat dan sekarang gelaran ini di kenali sebagai :-

Tengku Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja wakil al Sultan Wazir Kabir.

Tengku Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja.

Tengku Orang Kaya Temenggung Paduka Raja.

Tengku Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

Di zaman pemerintahan Sultan Muzzaffar Shah I, jawatan Bendahara Paduka Raja bagi Negeri Perak yang
pertama telah disandang oleh Tun Mahmud iaitu Sri Akar Diraja Selagor iaitu anakanda kepada
Bendahara Paduka Raja Tun Ishak Barakah.

Di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770) Negeri Perak menempuh kegemilangan
sejarahnya. Zaman ini lah disifatkan oleh ahli-ahli sejarah sebagai zaman keemasan. Hakikat ini dapat
dilihat daripada catatan yang terdapat didalam Hikayat Misa Melayu yang menceritakan dengan jelas
khusus mengenai zaman tersebut dan perihal kebijaksanaan kepimpinan dan kegagahan baginda
memerintah negeri. Syair "Sultan Perak Melawat Jajahan Takluknya" sebagaimana yang terdapat didalam
hikayat ini adalah satu contoh yang begitu terkenal lagi menggambarkan keadaan pemerintahan dan
masyarakat di zaman tersebut.

Campurtangan Inggeris di Perak


Percampuran dasar Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu di akhir kurun ke 19 telah mendorongkan
pihak British untuk mengubah sikap berdagang dan campurtangan dalam urusan politik dan pertadbiran
- iaitu penjajahan secara langsung atau tidak langsung terhadap kesemua Negeri Melayu di
Semenanjung. Seperti helang kelaparan mereka hanya menunggu peluang dan ketika yang sesuai untuk
menyambar terus kemakmuran Negeri Perak. Inggeris yang telah lama mengkaji sistem pentadbiran,
struktur, sosial, ekonomi dan politik bumiputera di Negeri-Negeri Selat dan di negara-negara yang
dijajahnya telah berjaya menyingkap segala aspek kehidupan masyarakat Melayu dan menggunakan
kelemahan-kelemahan yang terdapat untuk menguasai terus Negeri Perak dengan memperalatkan
institusi-institusi traditional. Peluang ini tercapai apabila berlaku perselisihan merebut takhta kerajaan
semasa Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah, Sultan Perak ke 24 mangkat di Sayong pada tahun 1871. Raja
Muda Abdullah yang bersemayam di batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai
Sultan tetapi beliau enggan berbuat demikian. Ini telah mengakibatkan jenazah Almarhum tidak dapat
dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masaalah ini Raja Bendahara Ismail telah
ditabalkan sebagai Sultan.

Maka berlakulah perselisihan yang berlarutan diantara Raja Muda Abdullah dengan Sultan Ismail. Di
samping ini terdapat pula pergaduhan besar dan sikap bermusuhan diantara dua kongsi gelap
pelombong-pelombong Cina, Ghee Hin dan Hai San disekitar Kelian Puah dan Kelian Baharu dan
berlarutan hingga ke negeri-negeri lain. Peperangan telah berlaku disepanjang tahun 1861- 1862 dan
1871-1874.

Pergaduhan-pergaduhan dan perselisihan merebut takhta kerajaan ini telah di pergunakan sepenuhnya
oleh pihak Inggeris untuk mencampuri urusan dalam Negeri Perak supaya kepentingan mereka tidak
terjejas dan kekayaan Negeri Perak dapat di eksplotasikan sepenuhnya bagi menampung keperluan
ekonomi negara ibunda mereka. Dengan kepintaran siasah dan ilmu penjajahan yang telah berkurun
dipelajari, Inggeris telah berjaya memerangkap Raja Abdullah dan beberapa orang Orang Besar-Besar
Perak untuk berunding di Pulau Pangkor. Wakil-wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San juga turut hadir
bagi membalas jasa Inggeris yang telah banyak berbudi kepada mereka. Maka pada 20 Februari 1874
berlakulah satu detik sejarah yang tidak akan dilupakan oleh orang-orang Melayu Perak dan seluruh
Semenanjung Tanah Melayu dengan termeterinya satu perjanjian yang di namakan Perjanjian Pangkor.

Kejayaan Inggeris dalam babak pertama dalam siri penjajahan mereka di Tanah Melayu ini telah
menjatuhkan mertabat kuasa mutlak Raja Melayu terhadap tanah air mereka sendiri dengan hanya
menjadi Sultan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran dan
ekonomi dalam negeri terserah bulat-bulat kepada budibicara Residen Inggeris yang secara langsung di
pertanggung jawabkan oleh Gabenor Negeri Selat untuk melaksanakan rancangan pembangunan
raksaksa - Sistem Residen.

Perjanjian Pangkor dan perlaksanaan sistem Residen ini pada dasarnya telah dapat meredakan seketika
persengketaan di antara golongan-golongan yang bersengketa dalam Negeri Perak. Dengan
bersenjatakan Perjanjian Pangkor yang pada anggapan Inggeris akan di patuhi oleh semua pihak dan
tidak akan di tentang oleh orang-orang Melayu yang selama ini dianggap mudah di pergaul-gaulkan,
J.W.W.Birch, Residen Inggeris yang pertama telah memulakan tugasnya tanpa menaruh sebarang buruk
sangka atau perasaan curiga.

Orang Besar-Besar Perak dan Sultan Abdullah sendiri akhirnya menyedari akan kesilapan mereka
menandatangani Perjanjian Pangkor yang secara langsung mengetepikan hak tradisi mereka dalam
urusan kutipan cukai dan menguasai hasil mahsul dalam jajahan masing-masing telah menghadapi jalan
buntu bagi menghadapi kekuatan kuasa penjajah Inggeris ini. Akhirnya mereka telah mengambil jalan
singkat dengan membunuh J.W.W. Birch dan pengiring-pengiringnya di Pasir Salak pada 2 November
1875.

Berikutan daripada peistiwa berdarah ini Inggeris telah melancarkan perang besar-besaran terhadap
orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W. Birch. Pasukan-pasukan
polis, tentera dan tentera laut Inggeris dibawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan
Perak. Rumah-rumah orang-orang Melayu yang di syaki telah di bakar, kota pertahanan orang-orang
Melayu di Batak Rabit telah di serang habis-habisan dan akhirnya ditawan. Inggeris terus mara di
sepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguh pun kekurangan senjata dan tektik
peperangan oarng-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris saperti yang di lakukan
di Kota Lama. Peperangan Perak ini telah berlanjutan hingga ke tahun 1876 dan akhirnya kesemua yang
terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W. birch ditangkap dan dibicarakan peperangan ini ditamatkan.

Nasionalisme di negeri Perak

Maka tercatatlah dalam sejarah bangsa Melayu dan Negeri Perak nama-nama saperti Dato' Maharaja
Lela, Dato' Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Che' Gondah, Ngah Ahmad, Laksamana Tun Mohamad Amin,
Syahbandar, Che' Ngah Ibrahim dan lain-lain lagi disamping Sultan Abdullah sendiri sebagai penebus
maruah bangsa Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan hak mutlak Kesultanan
Melayu. Ramai diantara mereka yang dihukum gantung dan di buang negeri di asingkan di Pulau
Seychelles di Lautan Hindi tetapi perjuangan mereka akan terus menjadi aspirasi generasi kini.

Peristiwa tersebut telah memberikan pengajaran yang berguna kepada Inggeris dalam merancanakan
rancangan penjajahan mereka yang selanjutnya. Raja Yusuf telah diangkat sebagai Sultan Perak yang ke
27 (1877-1887) bergelar Sultan Yusuf Sharifuddin Muzzaffar Shah dan Raja Idris yang menghakimkan
perbicaraan kes pembunuhan J.W.W.Birch telah diangkat menjadi Raja Muda. Sistem pertadbiran negeri
telah diperkemaskan lagi dan dipersesuaikan dengan dasar Inggeris. Pembesar-pembesar negeri yang
tidak sesuai telah di pencenkan dan yang berkebolehan serta masih taat kepada pemerintah telah
dijadikanpegawai bergaji tetap dan mesti bekerja untuk Inggeris atas nama titah perintah Sultan.
Semasa Negeri Perak

Pembangunan ekonomi telah di lipatgandakan dengan pembukaan lombong-lombong baru yang lebih
moden dan ladang-ladang getah dan ini telah menyebabkan munculnya bandar-bandar bary disekitar
kawasan perekonomian. Bagi menghubungkan rangkaian bandar-bandar baru saperti Taiping dan Ipoh,
jalan-jalan raya dan perkhidmatan keretapi telah diwujudkan. Bandar-bandar traditional Melayu telah
ditinggalkan kesepian kerana segala kepentingan ekonomi dan urusan perniagaan telah tertumpu di
sekitar kawasan yang baru di bangunkan oleh Inggeris. Maka terasinglah orang Melayu dan tinggal lah
mereka kesepian dengan corak penghidupan lama mereka di kawasan pertanian, di kuala-kuala sungai
dan bandar tradisional warisan mereka.

Penduduk-penduduk Perak telah berkembang pesat dengan penghijrahan beramai-ramai buruh-buruh


kaum Cina dan India untuk mengusahakan sektor perlombongan bijih dan ladang getah. Maka daripada
sinilah wujudnya masyarakat majmuk yang dapat dikenali daripada identiti kegiatan ekonomi masing-
masing.

Negeri Perak sungguh beruntung kerana golongan-golongan Kerabat Di Raja saperti Sultan Idris
Murshidul Aadzam Shah, Sultan Iskandar Shah dan Raja Sir Chulan masih lantang bersuara dan
memperjuangkan nasib rakyat yang di kekang penjajah.

Dalam menghadapi aliran perkembangan politik moden di pertengahan tahun 1940an hinggalah Tanah
Melayu mengalami bahana Perang Dunia ke2, seterusnya detik-detik kemerdekaan pada 31 Ogos 1957,
sejarah Negeri Perak berkait rapat dengan sejarah Tanah Melayu pada umumnya. Dalam hal ini negeri
Perak telah melahirkan ramai tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan yang masih harum namanya
menjadi kebanggaan generasi sekarang. Sehingga kini payungan di raja Kesultanan Perak masih utuh
menaungi kemakmuran negeri dan menjadi lambang kedaulatan dan kekuatan Negeri Perak Darul
Ridzuan.

Secara dasarnya ada beberapa perkara yang perlukan huraian berhubung sejarah negeri perak ini...

Anda mungkin juga menyukai