Anda di halaman 1dari 3

Nama Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj memang sinonim dengan rakyat Malaysia.

Nama Almarhum
cukup gah untuk dikenang sebagai pejuang kemerdekaan negara atau lebih dikenali sebagai Bapa
Kemerdekaan Malaysia.

Namun, di sebalik nama Tunku Abdul Rahman, mungkin sebilangan kita, khususnya anak muda tidak
tahu dan tidak sedar pengisian kemerdekaan yang digariskan pemimpin terdahulu bagi
membolehkan rakyat Malaysia menikmati keamanan serta kemakmuran walaupun berbilang kaum.

Hari ini adalah hari ulang tahun kelahiran Bapa Kemerdekaan negara itu. Sebenarnya jasa beliau
bukan saja berusaha memperjuangkan kemerdekaan negara, malah turut memastikan rakyat
berbilang kaum dan agama hidup dalam kerukunan perpaduan, selain merapatkan jurang ekonomi
antara kaum.

Hargai perjuangan pemimpin terdahulu

DISYORKAN UNTUK ANDA

Sesungguhnya nilai perpaduan itu cukup mahal, untuk membinanya mengambil masa yang begitu
lama tetapi meruntuhkan perpaduan itu boleh berlaku sekelip mata, khususnya generasi muda jika
mereka gagal menghayati nilai perjuangan pemimpin terdahulu.

Memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman ketika perisytiharan kemerdekaan negara: "Mulai 31 Ogos
1957, (kita) akan menjadi sebuah negara berdaulat dan demokratik untuk selama-lamanya, yang
dibina berdasarkan prinsip kebebasan dan keadilan serta sentiasa memperjuangkan kebajikan dan
kesejahteraan rakyatnya."

Tunku Abdul Rahman dari awal lagi menekankan kepada perpaduan, meneliti sejarah terdahulu
usaha beliau untuk mendapatkan kemerdekaan negara turut disokong oleh beberapa pemimpin lain
seperti Tun VT Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock.

Walaupun Melayu menjadi tuan di negara ini, Tunku Abdul Rahman sentiasa menekankan kepada
perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama, malah tidak pernah menghalang penganut agama lain
untuk mengamalkan agama mereka.

Berdasarkan kepada kontrak sosial yang dihasilkan pemimpin terdahulu, rakyat di negara ini perlu
menghormati agama masing-masing tanpa membiarkan perbezaan ideologi sebagai pemisah kepada
kerukunan perpaduan.

Menyedari betapa pentingnya perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini, kepemimpinan
Tunku Abdul Rahman bersama pemimpin utama masyarakat Cina dan India memuktamadkan kontrak
sosial bagi memastikan kemakmuran negara serta hak masyarakat berbilang kaum dan agama
terjamin.

Masa depan penuh cabaran

Menjangkakan masa depan negara berdepan cabaran dalam mempertahankan perpaduan kaum,
Tunku Abdul Rahman sudah memikirkan usaha untuk terus memperkukuhkan perpaduan negara
walaupun hari ini kontrak sosial dan Perlembagaan Negara mula dipersoalkan oleh generasi yang
'buta sejarah.'

Kontrak sosial perlu dipelihara dengan kematangan bagi memastikan keutuhan sesebuah negara
serta perpaduan yang terjalin sejak sekian lama terus kekal terpelihara dan bagi Presiden Majlis Belia
Malaysia (MBM), Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin, beliau berpendapat Tunku Abdul Rahman
sudah menyediakan asas kukuh dalam pembinaan Malaysia.

Generasi muda perlu kekalkan perpaduan

Baginya, anak muda hari ini perlu menghayati perpaduan dalam erti kata sebuah negara merdeka
yang mana roh dan semangatnya terus dihayati dan dipelihara bagi memastikan pembinaan sebuah
negara yang diasaskan Tunku Abdul Rahman kekal terpelihara.

"Sememangnya Tunku Abdul Rahman meletakkan asas yang kukuh dalam pembinaan Malaysia,
asasnya perlu disantuni dengan perpaduan dan kesepakatan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Seperti mana diterapkan dalam MBM, kasih-sayang bukan saja sesama bangsa, malah melangkaui
sempadan kaum, budaya dan agama.

"Golongan muda hari ini perlu menghayati dan merasai serta mempertahankan nikmat keamanan
negara yang dikecapi hasil perjuangan orang terdahulu, keamanan dan perpaduan akan terus
terpelihara jika terus berpegang kepada prinsip Rukun Negara," katanya.

Tahun 2015 cukup mencabar untuk Malaysia, apatah lagi negara berdepan dengan sedikit gangguan
ekonomi akibat kejatuhan harga minyak dunia, kemerosotan nilai mata wang dan banjir besar yang
melanda negara hujung tahun lalu.

Cabaran besar ini bukan saja dilihat dari sudut ekonomi semata-mata, malah kesatuan rakyat
Malaysia yang berbilang kaum juga adalah senjata ampuh bagi mendepani situasi ini.
Pelbagai insiden uji ketahanan negara

Kalendar 2014 yang sudah beberapa minggu berlalu dengan pelbagai insiden menguji kekuatan dan
ketahanan negara serta keutuhan masyarakat Malaysia untuk terus bersatu tanpa mengira warna
kulit mahupun ideologi.

Namun, di awal tahun 2015 ini, ada beberapa insiden yang dilihat cuba melonggarkan kembali
kekuatan perpaduan rakyat Malaysia dengan membangkitkan isu membabitkan sentimen kaum dan
agama.

"Tunku Abdul Rahman meletakkan asas yang kukuh bagi pembinaan Malaysia yang berbilang bangsa
dan agama, kini kitalah penentu kepada kelangsungan dan kejayaan pembinaan negara bangsa," kata
Mua'amar Ghadafi.

Anda mungkin juga menyukai