Anda di halaman 1dari 2

HAQQ VS HAK

Dalam Islam, hak merupakan istilah yang berasal dari kalimah Arab iaitu haqq, yang bermaksud,
kebenaran.

Al-Haqq pula merupakan salah satu dari 99 nama Allah dalam al-Quran yang bermaksud Yang Maha
Benar, Yang Sempurna.

Kalimah al-haqqini berlawanan dengan kalimah al-bathil, iaitu dusta atau pembohongan.

Dalam pengertian yang mudah, kalimah haqq atau al-haqq ini menafikan segala bentuk pendustaan,
pembohongan, kepura-puraan, keraguan dan kebatilan.

Kalimah ini juga membawa erti bahawa segala yang datang dari Al-Haqq iaitu Allah adalah benar,
agamaNya adalah benar, utusanNya adalah benar, kata-kataNya adalah benar, kitabNya adalah benar,
penciptaan makhlukNya adalah benar, janji-janjiNya adalah benar, nikmatNya adalah benar,
pembalasanNya adalah benar, dan Syurga dan NerakaNya adalah benar.

Dalam Kamus Persuratan Melayu Dewan Bahasa Pustaka, perkataan ‘hak’ dalam tulisan jawi dieja
dengan huruf ha dan qof sepertimana kalimah asalnya dalam tulisan Arab.

Tafsiran utama bagi perkataan ‘hak’ dalam Kamus tersebut adalah satu kata adjektif yang memberi
maksud benar, kebenaran, ajaran-ajaran yang benar, dan ilmu mengenai sifat Tuhan.

Sinonim bagi perkataan benar ini adalah betul, sah, sahih.

Tafsiran hak selanjutnya adalah berkenaan kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat sesuatu (menurut
undang-undang, agama, adat istiadat), dan sinonim bagi kuasa adalah kelayakan, keistimewaan,
kebebasan, prerogatif, kedaulatan, dan lain-lain.

Jika diteliti, walaupun tafsiran Kamus Bahasa Melayu ini tidak menggunapakai maksud sebenar haqq
atau Al-Haqq menurut acuan Al-Quran, namun ia tetap mengutamakan tafsiran hak sebagai ‘benar’
atau ‘kebenaran’.

Bagaimanapun, apabila perkataan ‘hak’ ini ditafsirkan dalam Kamus Bahasa Inggeris, ianya bermaksud
‘rights’. Rights ditafsirkan dalam Oxford Dictionary sebagai kata adjektif yang bermaksud morally
good, justifed or acceptable. Oxford Dictionary juga mentafsirkan ‘rights’ sebagai kata nama yang
bermaksud morally correct, just or honourable, a moral or legal entitlement to have or to do
something. Tafsiran Oxford Dictionary ini jelas menunjukkan bahawa ‘hak’ atau ‘rights’ menurut
pandangan Barat adalah sesuatu perkara yang dari sudut moralnya adalah baik, adil dan boleh
diterima. Hak menurut pandangan Barat tidak diterjemahkan sebagai satu kata nama yang bererti
‘Yang Maha Benar’ atau ‘kebenaran’, atau dikaitkan dengan kewujudan atau sifat Allah (God
existence), sebaliknya ia diinterpretasikan sebagai suatu hak apabila ia boleh diterima oleh
masyarakat, walaupun hak tersebut bertentangan dengan agama atau norma-norma keinsanan.

Tafsiran hak menurut acuan Barat inilah yang mendominasi pemikiran umat Islam di seluruh dunia
termasuk di Malaysia. Tidak hairanlah kebelakangan ini, ramai umat Islam yang semakin berani
memperjuangkan dan melaungkan hak untuk kebebasan bersuara, kebebasan memilih agama,
kebebasan berpakaian dan kebebasan menentukan hala tuju hidup masing-masing walaupun hak
yang dituntut itu jelas bertentangan dengan budaya dan kehendak Islam.

Sebagai contoh, budaya LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) adalah suatu hak yang
diktiraf di beberapa buah negara Barat kerana mereka menganggap perkara ini boleh diterima dari
sudut moralnya, walaupun tiada mana-mana agama dalam dunia ini yang membenarkan penganutnya
mengamalkan cara hidup songsang.
Dalam Islam, Allah SWT melarang keras hamba-Nya untuk terjebak dengan hubungan sejenis. Al-
Quran telah menceritakan azab atau siksa yang menimpa kaum Luth kerana mereka mengamalkan
hubungan sejenis dan akhirnya Allah SWT menghantar mereka dengan azab yang sangat pedih.

Firman Allah SWT: “Maka tatkala datang perintah (azab) Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu
tunggang terbalik (kami terbalikkan) dan kami hujani mereka dengan batu-batu dari tanah yang
dibakar, menimpa mereka bertalu-talu.”(Al-Hud: 82)

Terkini, terdapat usul supaya kerajaan Malaysia menandatangani dan meratifikasi Konvensyen
Antarabangsa Menghapuskan Diskriminasi Kaum (ICERD). ICERD adalah konvensyen antarabangsa
yang mewarisi asas penting berkaitan hak asasi manusia dari Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia
1948 yang dibentuk berdasarkan acuan Barat. ICERD digubal bertujuan untuk menghapuskan
sebarang bentuk diskriminasi kaum atau gender, agama, keturunan, dan ini termasuklah diskriminasi
terhadap golongan LGBT. Malaysia masih belum menandatangani konvensyen ini, kerana terdapat
peruntukan dalam konvensyen tersebut yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai Syariah dan tidak
selari dengan adat budaya dan tradisi masyarakat Islam di Negara ini.

Contohnya dalam Artikel 5(d)(iv) ICERD memperuntukkan tentang hak memilih pasangan untuk
perkahwinan, dan hak ini termasuklah perkahwinan dengan jantina yang sama, kerana bantahan
terhadap golongan LGBT ini juga dikira sebagai satu bentuk diskriminasi. Juga Artikel 5(d)(vii) yang
memperuntukkan mengenai kebebasan berfikir dan kebebasan beragama, perlu diteliti dan tidak
boleh diratifikasi secara total bagi mengekang pemikiran-pemikiran yang sesat seperti pemikiran
liberalisme danpluralisme agama serta ajaran yang menyeleweng dari ajaran Islam termasuk Syiah
dan Qadiani.

Perlu diingat, hak-hak yang dibentuk dalam ICERD adalah berdasarkan kepada nilai standard moral
antarabangsa yang diterima dan diamalkan oleh rakyat di negara-negara Barat serta tidak perlu patuh
kepada nilai-nilai Syariah, sebagaimana tafsiran oleh Oxford Dictionary.

Walaupun Malaysia belum menandatangani dan meratifikasikan ICERD, namun peruntukan-


peruntukan yang berkaitan hak asasi manusia telah diperuntukkan dalam Bahagian II, Perlembagaan
Persekutuan merujuk Perkara 5 hingga Perkara 13 seperti berikut:-

Perkara 5 – Kebebasan diri;


Perkara 6 – Keabdian dan kerja paksa dilarang;
Perkara 7 – Perlindungan daripada dibicarakan lebih daripada sekali;
Perkara 8 – Hak kesamarataan;
Perkara 9 – Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak;
Perkara 10 – Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan;
Perkara 11 – Kebebasan beragama;
Perkara 12 – Hak berkenaan pendidikan; dan
Perkara 13 – Hak terhadap harta.
Kerajaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dalam Perlembagaannya
hendaklah bertanggungjawab menghormati kedudukan Islam ini dengan memberi kesan kepada
makna sebenar ‘hak’ terlebih dahulu, iaitu mendahulukan Al-Haqq (Yang Maha Benar) dan haqq
(kebenaran), dan bukannya mengutamakan hak yang bertentangan dengan Islam tetapi boleh
diterima dari sudut moral sebagaimana yang ditakrifkan menurut istilah Barat. Pada masa yang sama,
Kerajaan Malaysia juga bertanggungjawab memastikan hak asasi manusia seperti yang termaktub di
dalam Perlembagaan Persekutuan dilindungi dan dipelihara, namun ianya hendaklah selaras dengan
haqq menurut Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kalam Allah (Al-Quran) yang benar, dan
disampaikan melalui utusan Allah yang benar terlebih dahulu, dan bukannya mendahulukan hak-hak
asasi sebagaimana menurut acuan Barat. Wallahu a’lam.

Anda mungkin juga menyukai