Anda di halaman 1dari 2

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Dihormati Puan Juliana binti Idros, Penolong Kanan Pentadbiran,


Yang Dihormati Puan Dalyana binti Md Dahar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Guru-guru serta murid-murid yang dikasihi sekalian.

Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah Subhana Wa Taala kerana dengan izin dan limpah
kurnia-Nya kita dapat bersama-sama menjayakan pelancaran Bulan Kebangsaan 2023 SK
Tebrau Bakar Batu, pada hari yang berbahagia ini.

Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini bertemakan ‘Malaysia Madani : Tekad
Perpaduan Penuh Harapan’. Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 selari dengan
konsep berteraskan kepada reka bentuk logo yang unik dan simbolik dengan ‘tangan yang
sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara’ serta mengandungi warna-warna
asas Jalur Gemilang selaras dengan jati diri serta semangat patriotik rakyat Malaysia yang
berbilang bangsa hidup dalam keharmonian, sehati dan sejiwa. Ia memberi tanda bahawa
tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah bangsa yang memiliki
semangat perpaduan yang tinggi, bersatu padu serta kehidupan yang aman dan sejahtera.

Apakah erti kemerdekaan kepada anda sebagai generasi muda? Adakah anda menganggap
merdeka itu adalah bebas daripada cengkaman penjajahan dan menghayatinya dengan
sekadar melaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Erti kemerdekaan sebenar adalah
membabitkan kemerdekaan jiwa dan minda yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri
yang dibentuk melalui empat aspek utama iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa. Hal
ini demikian kerana anda sebagai generasi muda berhadapan dengan ancaman penjajahan
dari segi bentuk baharu, terutama pemikiran dan budaya seiring dengan kepesatan
teknologi masa kini.

Selain itu, dalam menghayati erti kemerdekaan, kita perlu bersyukur kepada Allah SWT
kerana dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman dan harmoni. Justeru saya
mengajak warga SK Tebrau Bakar Batu untuk terus menyemarakkan keharmonian yang
dikecapi selama ini sebagai sebuah keluarga demi negara yang tercinta. Demi
membuktikkan sayang kita kepada negara, marilah kita bersama-sama mengibarkan Jalur
Gemilang. Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat
patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia yang mencetuskan solidariti dalam
mendepani apa-apa jua cabaran yang mendatang. Saya berharap kita dapat bersama-sama
menterjemahkan bentuk solidariti itu dengan mengibar megah Jalur Gemilang, sebagai
tanda kita sentiasa bersatu dalam melawan apa-apa jua cabaran yang kita hadapi. Saya juga
yakin bahawa setelah 66 tahun negara menikmati kebebasan dan kemerdekaan, amalan
mengibar Jalur Gemilang ini sentiasa dibudayakan dalam kehidupan seharian kita tanpa rasa
malu dan janggal.

Guru-guru dan murid-murid yang disayangi sekalian,

Pada tahun ini, Panitia Sejarah telah merancang pelbagai program untuk menyemarakkan
Bulan Kebangsaan ini. Program yang diadakan bertujuan untuk memupuk semangat
patriotism atau cinta terhadap tanah air bertuah ini di samping mengasah dan menonjolkan
bakat murid-murid semua. Program dan aktiviti ini boleh disertai oleh semua pihak. Jadi
tunggu apa lagi? Marilah kita bersama-sama menjayakan program-program yang telah
dirancang demi menzahirkan rasa cinta kita terhadap negara.

Semoga Hari Kebangsaan yang disambut pada tahun ini dapat memberikan manfaat
kebaikan lebih baik, terutamanya dalam aspek memelihara perpaduan dalam kalangan kita
sebagai rakyat Malaysia yang pelbagai kaum. Ayuh, kita suburkan semangat patriotisme
iaitu perasaan cinta yang mendalam dalam diri kita kepada negara tanah tumpah darah kita
ini.

Burung bangau di sawah padi;


Luka berdarah diikat tali,
Jika patriotisme kurang disemadi;
Mungkin sejarah lampau berulang kembali.

Saya percaya perasaan cinta kepada negara inilah yang boleh menjadi tali pengikat utama
kepada perpaduan bangsa di negara ini. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim
saya dengan ini melancarkan program Bulan Kebangsaan SK Tebrau Bakar Batu bagi tahun
2023. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-66. Sekian, Wabillahi al-taufiq wal hidayah
wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Anda mungkin juga menyukai