Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN AMBANG KEMERDEKAAN PERINGKAT SEKOLAH 2015

Assalamualaikum WBT
Selamat pagi dan Salam Sehati Sejiwa .
Yang dihormati barisan Penolong Kanan SMK Puteri Ampang

Guru-guru Kanan, guru-guru serta murid-murid yang dikasihi sekalian

Terlebih dahulu saya ingin melahirkan rasa gembira dan bersyukur pada hari ini
kita dapat bersama-sama berkumpul sempena sambutan Ambang Kemerdekaan ke-58
peringkat sekolah untuk tahun 2015.

SEHATI SEJIWA.merupakan tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.


Saya percaya tema ini akan memberikan kesan mendalam dan melahirkan semangat
kecintaan terhadap negara dalam hati kita semua sebagai warganegara Malaysia yang
cinta akan tanah air.

Guru-guru dan murid-murid sekalian,

Pada tanggal 31 Ogos 2015 nanti genaplah negara kita menyambut


kemerdekaan untuk kali ke-58 . Sebagai generasi muda pada hari ini saya percaya
kamu semua masih kurang arif mengenai peranan dan erti kemerdekaan sebenar. Pada
zaman sekarang erti kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan secara
fizikal semata mata tetapi kita harus sentiasa berwaspada dan menghindari penjajahan
mental melalui pengaruh-pengaruh negatif serta amalan-amalan yang merosakkan
negara kita.

1
Setiap warganegara dari kecil hingga dewasa mempunyai peranan dan
tanggungjawab begitu juga para pemimpin masyarakat dan rakyat jelata . Sebagai
seorang murid sekolah yang diberi infrastruktur yang lengkap untuk belajar kita
haruslah bersyukur dan berusaha dengan gigih utk mencapai cita-cita. Secara tidak
langsung anda juga menyumbang kepada pembangunan Malaysia pada masa akan
datang. Harapan saya agar anda semua mengekalkan ciri-ciri warganegara yg baik ,
berakhlak mulia, berdisiplin serta hormat menghormati antara satu sama lain apabila
dewasa nanti.

Setelah 58 tahun merdeka keadaan negara kita sekarang jauh lebih baik
daripada sebelum merdeka dengan pembangunan yang pesat serta ekonomi yang
kukuh dalam menjamin kesejahteraan rakyat. Masyarakat kita sekarang lebih
berpendidikan dan berjaya. Menjadi harapan saya agar murid-murid SMK Puteri
Ampang menggunakan peluang yang ada sekarang untuk mengejar cita-cita serta
berjaya dalam hidup.

Murid-murid sekalian,

Kalau kita lihat senario dunia sekarang peperangan berlaku di mana-mana,


ramai anak-anak kecil tidak berdosa mati dan tidak kurang juga yang kehilangan tempat
tinggal serta kematian orang-orang yang mereka sayang. Nasib kita di sini jauh lebih
baik dan kita bebas melakukan perkara yang kita suka termasuk pergi ke sekolah tanpa
sebarang ketakutan. Oleh yang demikian bersama-samalah kita bersyukur dan berikrar
untuk hidup bersama dengan aman dan damai sesuai dengan tema kita pada tahun ini
Sehati Sejiwa Biarlah kita terus menanam semangat kemerdekaan melalui cara
pemikiran minda kelas pertama sekali gus mempertahankan kemerdekaan warisan
perjuangan pemimpin negara terdahulu.

2
Kehadiran kita pada pagi ini bukan hanya mewarnai program tetapi sebagai
permulaan untuk kita sama-sama melahirkan rasa bangga kita menjadi warganegara
Malaysia yang bertuah serta melahirkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi. Ia
bukan sekadar laungan MERDEKA tetapi memahami, menghayati dan menterjemahkan
nya dalam kehidupan harian itu lebih bermakna. Memerdekakan diri daripada perkara-
perkara negatif dan tidak baik amatlah penting. Sesungguhnya sambutan ambang
kemerdekaan ini di adakan untuk menyemarakkan lagi rasa cinta kita kepada Negara.

Sebelum mengakhiri ucapan saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan


syabas dan tahniah kepada murid-murid dan para guru dalam menjayakan sambutan
ambang bulan kemerdekaan kali ke-58 ini. Saya menyeru agar kita sama-sama
menyemarakkan bulan kemerdekaan ini dengan mengibarkan jalur gemilang termasuk
di rumah kita sendiri. Semoga dengan cara itu kita akan dapat menyemarakkan lagi
semangat patriotisme kepada tanah air tercinta. Kerjasama yang ditunjukkan dalam
program ini serta program akan datang memberi kekuatan untuk kita meneruskan
perjuangan mempertahankan Kemerdekaan negara Malaysia yang kita cintai.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai