Anda di halaman 1dari 11

SUBJEK

PENGAJIAN AKIDAH ISLAM (BLS 6042)

TAJUK

BERIMAN KEPADA ALLAH

NAMA PENSYARAH

DR. MOHAMED EBRAHIM ELSHERBIBI AHMAD SAQR

NAMA PELAJAR

SITI NUR KHALIDAH BINTI ROSLI (PBB 20008)

PROGRAM

IJAZAH SARJANA MUDA PENGAJIAN BAHASA INGGERIS DENGAN


KEPIMPINAN PENGAJARAN

SEMESTER 1
2023/2024
Beriman kepada Allah merupakan rukun iman yang pertama dan setiap umat Islam wajib

mempercayainya. Iman dari segi bahasa bermaksud percaya atau membenarkan manakala dari

segi istilah iman bermaksud membenarkan dengan hati, mengikrarkan dengan lisan dan

mengamalkan dengan anggota badan. “Membenarkan dengan hati” bermaksud menerima segala

apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. “Mengikrarkan dengan lisan” bermaksud mengucapkan

dua kalimah syahadat, syahadat “‫ول هللا‬::‫د رس‬::‫ه إال هللا محم‬::‫( ”ال إل‬Tiada yang berhak disembah

melainkan Allah SWT dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah). “Mengamalkan dengan anggota

badan” bermaksud hati mengamalkan dalam bentuk keyakinan, sedang anggota badan

mengamalkannya dalam bentuk ibadah-ibadah sesuai dengan fungsinya (usrahmuntijah,2010).

Beriman kepada Allah SWT juga bermaksud mengikut segala perintahnya dan meninggalkan

larangannya. Dalam tugasan kali ini, saya akan mengupas dengan lebih lanjut mengenai rukun

iman yang pertama iaitu beriman kepada Allah SWT.

Bagi kaum salaf amal termasuk dalam pengertian iman. Dengan demikian iman

itu boleh bertambah dan berkurang seiring dengan bertambah dan berkurangnya amal

soleh. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah

mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila di-

bacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan

kepada Tuhanlah mereka bertawakkal, (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan

yang menafkahkan se-bagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah

orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.” (Al-Anfal: 2-4). Ayat tersebut

membuktikan bahawa bertambah iman seseorang jika apabila disebut nama Allah

mereka berasa takut dan segera menjalankan perintah dan menjauhi larangannya.

Mereka itulah orang-orang yang bertawakkal kepada Allah, tidak mengharapkan

selainNya, tidak menuju kecuali kepadaNya dan tidak mengadukan hajatnya kecuali

kepada-Nya. Mereka selalu melaksanakan amal ibadah yang di syariatkan seperti solat,
puasa dan zakat. Mereka benar-benar beriman, dengan tercapainya hal-hal tersebut baik

dalam i’tiqad mahupun amal perbuatan.

Sebagai umat Islam, kita mestilah meyakini bahawa Allah SWT Maha Pencipta,

Pemilik, Pentadbir Alam dan yang berhak disembah. Dalam erti kata lain, kita

hendaklah percaya bahawa Allah yang mencipta dan memiliki alam ini sepenuhnya,

hanya dia yang berkuasa mentadbir alam ini dan seluruh alam berada dalam

kekuasaannya. Terdapat dalil naqli yang boleh kita teliti mengenai Allah SWT sebagai

pencipta, pemilik dan pentadbir alam. Dalil naqli yang saya maksudkan ialah surah al-

maidah ayat ke-17, yang bermaksud “Dan milik Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan

apa yang ada di antara keduanya. Dia menciptakan apa yang Dia Kehendaki. Dan Allah

Mahakuasa atas segala sesuatu”. Berdasarkan dalil naqli ini, jelaslah bahawa Allah

SWT merupakan pemilik alam semesta ini.

Beralih kepada hujah saya yang seterusnya iaitu ciri-ciri dan kesan beriman

kepada Allah SWT. Antara ciri orang yang beriman kepada Allah SWT ialah

mengesakan Allah SWT dalam ibadah. Kesannya, individu tersebut akan mengabdikan

diri hanya kepada Allah SWT dan ikhlas dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT.

Ciri seterusnya ialah takut kepada Allah SWT. Apabila seorang hamba takut kepada

Allah SWT, secara tidak langsung hamba tersebut akan menjauhi perkara mungkar serta

bertaubat kepada Allah SWT atas dosa yang dilakukan. Selain itu, mengesakan Allah

SWT dalam berdoa merupakan ciri-ciri orang beriman. Apabila seseorang mengesakan

Allah SWT dalam berdoa, mereka akan yakin kepada kekuasaan Allah SWT dan

berikhtiar dan bertawakal kepada Allah SWT. Ciri yang terakhir ialah cinta yang

mutlak kepada Allah SWT dengan mentaati dan mematuhi segala perintah Allah SWT

serta berkorban demi ketinggian agama Allah SWT.


Dalam ajaran Islam, Allah mempunyai pelbagai sifat dan nama-nama yang

dinyatakan dalam Quran dan Hadis. Nama-nama dan sifat-sifat ini merangkumi

kebesaran, kekuasaan, kebijaksanaan, dan sifat-sifat yang membezakan-Nya dari

makhluk. Contoh beberapa nama Allah yang penting termasuk Al-Rahman (Maha

Pengasih), Al-Rahim (Maha Penyayang), Al-Adl (Maha Adil), dan Al-Hakim (Maha

Bijaksana). Dalam Islam, Allah dikenali sebagai Maha Pengasih (Ar-Rahman) dan

Maha Penyayang (Ar-Rahim). Ini merujuk kepada sifat kasih sayang dan belas kasihan

Allah terhadap makhluk-Nya. Allah adalah sumber segala kasih sayang dan belas

kasihan, dan seorang Muslim berharap kepada kasih sayang dan belas kasihan-Nya

dalam setiap aspek kehidupan.

Selain itu, sifat keadilan Allah (Al-Adl) adalah sifat penting yang menjamin

keadilan mutlak dalam segala tindakan-Nya. Keadilan Allah adalah sejauh mana setiap

individu akan menerima ganjaran atau hukuman yang adil berdasarkan tindakan

mereka. Ini memberi keyakinan kepada Muslim bahawa Allah sentiasa bertindak

dengan adil. Sifat-sifat lain termasuk hikmah kebijaksanaan (Al-Hakim), ilmu (Al-

`Alim), kekuatan (Al-Qadir), dan kekuasaan (Al-Malik). Setiap sifat ini mencerminkan

kekuasaan, pengetahuan, dan hikmah Allah yang sempurna dalam menguruskan alam

semesta.

Sifat-sifat dan nama-nama Allah mempengaruhi hubungan seorang Muslim

dengan Allah dalam beberapa cara. Beriman kepada nama Allah Ar-Rahman dan Ar-

rahim dapat memberi seorang Muslim keyakinan kepada Allah sebagai tempat berserah
dan mencari perlindungan. Mereka tahu bahawa Allah sentiasa mendengar doa mereka

dan bersedia memberi kasih sayang dan belas kasihan-Nya. Seterusnya, beriman kepada

nama Allah Al-Adl dapat memberi dorongan kepada umat Islam untuk bertindak

dengan keadilan dalam kehidupan sehari-hari. Muslim percaya bahawa Allah sentiasa

melihat tindakan mereka, dan ini menguatkan kesedaran etika dan moral dalam

tindakan mereka.

Di samping itu, beriman kepada nama Allah Al-Alim dan Al-Hakim dapat

menggalakkan pencarian ilmu dan pemahaman. Muslim menganggap pengetahuan

sebagai satu aspek penting dalam agama dan mencari pemahaman mendalam tentang

alam semesta dan ajaran Islam. Tambahan lagi, beriman kepada nama Allah Al-Qadir

dan Al-Malik dapat menguatkan keyakinan umat Islam bahawa Allah adalah sumber

segala daya dan bantuan. Ini memberi ketenangan dan keyakinan ketika menghadapi

cabaran dalam kehidupan.

Beriman kepada Allah memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian.

Ini kerana keimanan kepada Allah mempengaruhi segala aspek kehidupan seorang

muslim. Beriman kepada Allah dapat membentuk peribadi muslim yang mulia. Hal ini

disebabkan oleh wujudnya kesedaran akan tanggungjawab terhadap tindakan mereka.

Sebagai contoh, mereka tahu jika apa yang mereka buat bertentangan dengan perintah

Allah SWT, mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, maka mereka akan

mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah SWT.

Sebagai seorang muslim, kita diwajibkan untuk solat 5 waktu. Hal ini dapat

mengukuhkan keimanan kita kepada Allah SWT. Hal ini demikian kerana ketika kita

mendirikan solat, secara tidak langsung kita sedang berkomunikasi dengan Allah. Solat
adalah cara untuk berkomunikasi dengan Allah. Ia membolehkan seorang Muslim untuk

berdoa, berbicara dengan Allah, dan merasa kehadiran-Nya dalam setiap aspek

kehidupan. Solat juga merupakan ungkapan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah.

Melalui Solat, keimanan seorang Muslim diperkuat, dan ia membantu mereka menjalani

kehidupan sehari-hari dengan penuh keyakinan kepada Allah. Solat juga dapat

memupuk disiplin dalam diri kita sebagai umat Islam.

Selain rukun iman, umat Islam juga wajib mematuhi rukun Islam. Rukun Islam

ada 5 perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat lima waktu,

menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji bagi yang

berkemampuan. Perbincangan tentang rukun Islam ada dinyatakan dalam hadis riwayat

Imam al-Bukhari yang bermaksud "Daripada Ibn 'Umar RA, katanya, Rasulullah SAW

bersabda: Islam itu dibangun di atas lima (perkara), syahadat La ilaha illallah dan

Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, haji, dan puasa

Ramadhan." (Juhari, 2022). Rukun Islam merupakan bukti kita beriman kepada Allah

SWT. Ia merupakan perbuatan ibadah yang diperintahkan oleh Allah sebagai bentuk

pengabdian dan taat kepada-Nya. Keimanan kepada Allah adalah motivasi utama di

sebalik pelaksanaan semua lima rukun.

Mengucap dua kalimah syahadah merupakan asas keimanan dalam Islam. Ia juga

merupakan syarat asas untuk seseorang memasuki Islam. Ia dilafaz di saat seseorang

memilih untuk mengikuti ajaran Islam dan menjadi seorang Muslim. Seterusnya, lafaz

ini juga penting sebagai bukti pengakuan keesaan Allah SWT dan pengakuan utusan
Allah SWT. Selain mengucap dua kalimah syahadah, ibadah berpuasa dan menunaikan

haji bagi yang berkemampuan juga dapat meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.

Puasa pada bulan Ramadan adalah pelaksanaan ibadah yang membantu mengukuhkan

keimanan. Ia mengajar kesabaran, kedisiplinan diri, dan rasa empati terhadap golongan

yang kurang bernasib baik. Dalam puasa, seorang Muslim menahan diri dari makan,

minum, dan perbuatan yang mengharamkan selama waktu tertentu sebagai bentuk

ketaatan kepada Allah. Manakala haji pula adalah ibadah yang menggabungkan

pelbagai tindakan, termasuk perjalanan ke Mekah. Ia mengukuhkan keimanan dengan

mengingatkan Muslim tentang tugas dan kewajiban mereka terhadap Allah. Haji juga

menyatukan umat Islam dari seluruh dunia dalam satu perhimpunan besar,

mengingatkan mereka tentang sifat universal Islam.

Beriman dengan Hari Akhirat merupakan salah satu daripada Rukun Iman. Tidak

sempurna iman seseorang kecuali beriman dengannya, sesiapa yang mengingkarinya

adalah kafir (Rukun Kelima: Beriman Dengan Hari Akhirat, 2019). Firman Allah Taala:

“Tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan Hari Akhirat”.

(Surah Al-Baqarah, Ayat 177). Sabda Nabi s.a.w sebagaimana yang tersebut di dalam

hadith Jibrail: Sewaktu Jibrail bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang iman.

Katanya: “Beritahu kepada saya pengertian iman”. Sabda Nabi s.a.w.:

] ‫ [ رواه مسلم‬. ‫ وأن تؤمن بالقدر خيره وشره‬،‫ واليوم اآلخر‬،‫ ورسله‬،‫ وكتبه‬،‫ ومالئكته‬،‫أن تؤمن باهلل‬

“Hendaklah engkau beriman dengan Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-

rasul-Nya dan Hari Akhirat serta Qadar (ketetapan) yang baik dan buruk”. (Hadith

Riwayat Muslim).

Keyakinan dalam Hari Kiamat (Yawm al-Qiyamah) adalah aspek penting dalam
keimanan seorang Muslim. Yawm al-Qiyamah merujuk kepada Hari Pembalasan, di

mana Allah akan mengadili setiap individu berdasarkan perbuatan mereka di dunia.

Keyakinan ini berakar dalam keimanan dengan beberapa cara iaitu keadilan Ilahi.

Kepercayaan kepada Hari Kiamat menggariskan keadilan mutlak Allah. Muslim

percaya bahawa setiap perbuatan mereka, baik atau buruk, akan dinilai dengan adil oleh

Allah di Akhirat. Selain itu, ianya merupakan motivasi untuk amalan baik. Keyakinan

akan Hari Kiamat adalah sumber motivasi untuk melakukan amalan baik dan menjauhi

tindakan buruk. Muslim tahu bahawa perbuatan mereka akan mempengaruhi kedudukan

mereka di Akhirat. Seterusnya, kepentingan tanggungjawab diri. Konsep Hari Kiamat

memupuk tanggungjawab peribadi. Muslim tahu bahawa mereka bertanggungjawab

atas perbuatan mereka sendiri dan tidak dapat mengelakkan diri daripada akibat

tindakan mereka. Di samping itu, keyakinan dalam Hari Kiamat juga melibatkan

perasaan harapan dan ketakutan. Muslim berharap untuk memasuki syurga Allah, tetapi

juga takut akan hukuman jika mereka melanggar perintah-Nya.

Di akhirat kelak, setiap umat Islam akan dipertanggungjawabkan atas

setiap perbuatan mereka ketika di dunia. Perbuatan baik akan mendapat ganjaran,

manakala perbuatan buruk akan mendapat hukuman. Konsep ini menggariskan

pentingnya etika dan moral dalam kehidupan seorang Muslim. Allah akan

memberikan ganjaran kepada individu yang beramal baik dan patuh kepada

perintah-Nya. Sebaliknya, mereka yang melanggar perintah-Nya akan dikenakan

hukuman yang setimpal. Allah juga akan menilai niat setiap individu. Ia berarti

bahawa bukan hanya tindakan luaran yang diambil kira, tetapi juga niat di hati.

Kejujuran dan ketulusan hati dalam amalan juga sangat penting.

Pertanggungjawaban di Akhirat adalah kekal. Ini berarti bahawa setiap individu


akan hidup kekal di syurga atau neraka berdasarkan amalan mereka. Konsep ini

mendorong individu untuk menjalani kehidupan yang taat dan bertanggungjawab

di dunia.

Tidak dapat dinafikan bahawa sebagai manusia biasa, keimanan kita sering diuji.

Pelbagai cabaran yang kita hadapi lebih-lebih lagi pada akhir zaman ini. Pengaruh

media sosial misalnya mampu menggugat keimanan kita kepada Allah SWT. Pengaruh-

pengaruh barat mudah meracuni umat Islam pada masa kini lebih-lebih lagi golongan

muda. Sukar untuk kita sekat pengaruh-pengaruh ini daripada terus meracuni pemikiran

anak-anak muda. Ini kerana pada zaman teknologi serba canggih ini, media sosial

merupakan satu keperluan bagi anak muda untuk pelajaran mereka. Media sosial ada

baik dan buruknya yang tersendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil peranan untuk

mengawal isu ini dengan menerapkan pendidikan keagamaan kepada anak-anak dengan

menghantar mereka ke sekolah agama supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan

apa yang mereka lihat dan baca di media sosial. Hal ini juga dapat membantu mereka

memahami prinsip-prinsip keimanan secara mendalam.

Selain itu, ibu bapa juga boleh menerapkan ilmu agama dalam diri anak-anak di

rumah dengan mengadakan majlis ilmu setiap kali selesai solat berjemaah. Ibu bapa

perlu mengingatkan anak-anak tentang kebesaran Allah SWT dan kewajipan kita

sebagai umat Islam untuk beriman kepada Allah SWT dengan melaksanakan

perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Hal ini bukan sahaja dapat

mengukuhkan keimanan dalam diri anak-anak malah dapat mengeratkan hubungan di


antara ibu bapa dan anak-anak. Insyaallah dengan izin-Nya setiap ahli keluarga tersebut

dapat bertemu kembali di syurga Allah kelak.

Kesimpulannya, tugasan ini telah membincangkan tajuk "Beriman kepada Allah"

dengan mendalam. Beberapa isi utama yang telah dibincangkan adalah pengertian iman,

ciri-ciri orang beriman, kesan beriman kepada Allah SWT, sifat-sifat Allah, nama-nama

Allah, peranan beriman kepada Allah dalam kehidupan seharian, ibadah dalam Islam,

rukun Islam, rukun Iman, cabaran beriman kepada Allah SWT dan langkah mengatasi

cabaran kepada keimanan. Kesannya, keimanan yang kukuh kepada Allah membawa

kesan yang berkekalan terhadap umat Islam dan komuniti mereka. Ini membentuk

moral dan etika yang kukuh, memotivasikan tindakan baik, dan membantu menghadapi

cabaran dan keraguan. Keimanan yang berkekalan juga memberi harapan dan

ketenangan dalam menghadapi ujian dan perubahan dalam kehidupan. Akhir kata, kita

sewajarnya bersyukur kepada Allah atas anugerah keimanan yang menjadi penerang

dan panduan dalam kehidupan kita. Semoga Allah memperkuat dan memelihara

keimanan kita serta memberi kita petunjuk dan rahmat-Nya dalam setiap langkah

perjalanan kita. Amin.

Rujukan
1. usrahmuntijah. (2010, November 15). Penjelasan Definisi Iman. Halaqahmuntijah.

https://halaqahmuntijah.wordpress.com/2010/11/16/penjelasan-definisi-iman/
2. pandai.org. (2023, January 1). Beriman kepada Allah s.w.t. Pandai.

https://app.pandai.org/note/read/kssm-pi-07-03-03/KSSM-F1-PI-03-03

3. ‌Juhari, H. (2022, October 6). Rukun Islam 5 Perkara Asas Dalam Islam & Huraiannya.

TAQWA. https://taqwa.my/rukun-islam/

4. Rukun Kelima: Beriman Dengan Hari Akhirat. (2019, May 24). Asas-Asas

Islam. https://asasislam.home.blog/2019/05/24/rukun-kelima-beriman-dengan-

hari-akhirat/

5. Adhar, Z. (2020, August 5). Islam dan penggunaan media sosial. HarakahDaily.

https://harakahdaily.net/index.php/2020/08/05/islam-dan-penggunaan-media-

sosial/

Anda mungkin juga menyukai