Anda di halaman 1dari 9

CIRI-CIRI AKHLAQ TERPUJI

DALAM RANGKA PESANTREN KILAT


SMP NEGERI 2 CIMANGGU

Akhlak berasal dari perkataan Al Khuluq.Al-Khuluq bererti tabiat atau tingkah laku.
Menurut Iman Al Ghazali, akhlak merupakan gambaran tentang keadaan dalam diri
manusia yang telah sebati dan daripadanya terbit tingkah laku secara mudah dan
senang tanpa memerlukan pertimbangan atau pemikiran. Akhlak sangat penting dan
pengaruhnya sangat besar dalam membentuk tingkah laku manusia.Apa saja yang lahir
dari manusia atau segala tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan
sifat yang ada dalam jiwanya.
Tepatlah apa yang dikatakan oleh Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin,
“Sesungguhnya semua sifat yang ada dalam hati akan lahir pengaruhnya (tandanya)
pada anggota manusia, sehingga tidak ada suatu perbuatan pun melainkan semuanya
mengikut apa yang ada dalam hati manusia”.

Tingkah laku atau perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat dengan sifat dan
pembawaan dalam hatinya.Umpama pokok dengan akarnya. Bermakna, tingkah laku
atau perbuatan seseorang akan baik apabila baik akhlaknya, sepertimana pokok,
apabila baik akarnya maka baiklah pokoknya. Apabila rosak akar, maka akan rosaklah
pokok dan cabangnya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

“Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah, dan
tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana.Demikianlah
Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.”
(Al- A’raf: 58)

Akhlaq yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran Islam. Ini telah dinyatakan oleh
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadisnya (yang bermaksud, antara lain:

“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia”.

Hal ini ditegaskan lagi oleh ayat al-Qur’an dalam firman Allah:

“Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”


(Al-Qalam: 4)

Juga dalam firman Allah swt.lagi:

Orang –orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya
mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf
dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan.
(Al Hajj, 22 : 41)

Firman Allah swt.lagi:

Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan
tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian,
malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya
kepada kerabatnya, anak–anak yatim, orang-orang miskin, (yang memerlukan
pertolongngan) dan orang-orang yang meminta-minta, dan (memerdekakan) hamba
sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati
janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan,
penderitaan, peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan
mereka itulah orang-orang yang bertakwa.
(Al-Baqarah, 2: 177)
Akhlaq yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil dari iman yang sebenar.Tidak
ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak. Sebuah athar menyatakan (antara
lain, bermaksud):

“Bukanlah iman itu hanya dengan cita – cita tetapi iman itu ialah keyakinan
yang tertanam didalam hati dan dibuktikan dengan amalan”

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah ditanya: Apa itu agama? Baginda


menjawab: Kemuliaan akhlaq (Husnul Khulq). Bila ditanya tentang kejahatan, baginda
menjawab: Akhlaq yang buruk (Su’ul khalq).

Diriwayatkan dari Annawas bin Sam’an ra. berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah
saw. Tentang bakti dan dosa, maka jawab Nabi saw. “Bakti itu baik budi pekerti, dan
dosa itu ialah semua yang meragukan dalam hati dan tidak suka diketahui orang.” (HR.
Muslim)

Abu Darda berkata, “Bersabda Nabi saw, “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam
timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).”
(HR. At Tirmidzi)

Aisyah ra. Berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya
seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama
seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam.” (HR. Abu Daud)

Jabir ra.berkata, “Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya orang yang sangat saya
kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya.
Dan orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah
orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan
kepandaiannya.”(HR.At Tirmidzi).

Kekuatan akhlak lahir melalui proses panjang yang memerlukan kesediaan untuk
sentiasa memberi komitmen dengan nilai-nilai Islam. Seorang ulama menjelaskan
thariqah (jalan) untuk membina akhlak islami adalah dengan kemahuan untuk
melaksanakan latihan (tadribat) dan pendidikan (tarbiyah). Setiap muslim memiliki
kesempatan yang sama untuk menjadi baik atau buruk, masalahnya adalah sejauh
mana usaha kita untuk mendisiplinkan diri dengan nilai-nilai dan amalan Islam bagi
melahirkan muslim yang berakhlak ampuh. Malangnya keampuhan akhlak inilah yang
sering dilupakan. Malah kian rapuh sehingga hilangnya jatidiri muslim hakiki. Justeru
menjadi punca lunturnya sinar Islam pada penghujung zaman.Gejala keruntuhan
akhlak yang berlegar di sekeliling kita seperti zina hati, mata, lisan dan seumpamanya
meruntun jiwa kita selaku pendokong agama.Keruntuhan yang tidak dikawal pada satu
tahap yang minima membawa insan kepada bertuhankan nafsu, lantas melupakan
terus Pencipta Yang Maha Esa.

Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk
akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan
cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-
sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai
kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.

Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan
keadaan dalam jiwanya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman :

“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah
keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”
(Ar-Ra’d: 11)
Di antara ciri-ciri akhlaq yang sewajarnya menghiasi diri seseorang insan supaya ia
menjadi seorang muslim yang benar adalah akhlaq-akhlaq berikut:

1. Bersifat warak (patuh) dari melakukan perkara-perkara yang syubhat (samar)

Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh
Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya
(syubhat) berdasarkan dari hadith Rasulullah yang berbunyi:

“Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah
mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: Sesungguhnya yang halal
itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-
perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka
barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia
memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam perkara
kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram, seperti seorang pengembala yang
mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di
dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah!
Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di
dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan
apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat wara’ adalah sebagaimana yang diriwayatkan


oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadith baginda (antara lain,
bermaksud):

“Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk dalam martabat golongan muttaqin
sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika
dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke
dalam kesalahan”

2. Memelihara penglihatan.

Seseorang muslim itu mestilah memelihara pandangan daripada melihat perkara-


perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang
menarik itu) boleh merangsang syahwat dan boleh membawa ke kancah pelanggaran
dan maksiat. Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim mengingatkat orang –orang
mu’min supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah, firman
Allah Subahanu Wata,ala:

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan


pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih Suci
bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".
(An-Nur: 30)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula bersabda (antara lain, bermaksud):

“Pandangan itu ada satu panahan dari panahan iblis”

Baginda juga mengingatkan (antara lain, bermaksud):

“Hendaklah kamu memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan)


kamu atau Allah akan menghodohkan wajah kamu.”

(Hadith Riwayat At Tabrani)


3. Memelihara Lidah

Seseorang muslim itu mestilah memelihra lidahnya dari menuturkan kata-kata yng
tidak berfaedah, perbualan-perbualan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan
kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba.

Imam Nawawi rahimahumullah mengatakan. “ketahuilah, seorang mukallaf itu


sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang
menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja
hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan
yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian
demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang.”

Sebenarnya banyak dari hadith-hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang


menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas empunya diri (antara lain):

“Tidaklah dihumbankan muka manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek)
lidahnya”
(Hadith riwayat Al Tarmizi)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam juga bersabda:

“Bukanlah ia seorang mu’min (jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap kotor
dan keji.”
(Hadith riwayat At Tarmizi)

Sabda baginda lagi:

“Sesiapa yang banyak bercakap, maka banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak
kesalahannya, maka banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, api
nerakalah paling layak untuk dirinya.”
(Diriwayatkan oleh Baihaqi)

4. Bersifat Pemalu.

Seorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat
tersebut tidak seharusnya menghalangnya memperkatakan kebenaran. Di antara sifat
pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara
pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup
seta memadai sekadar yang ada dan sifat-sifat seumpamanya. Diceritakan dari
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bahawa baginda adalah seorang yang sangat
pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik tabir.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

“Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling
utama ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah)
dan yang paling rendah ialah menyingkirkan duri dari jalan. Dan sifat malu ialah satu
cabang dari Iman”

Berhubung dengan sifat malu ini para ulama’ mengatakan: “Hakikat malu itu ialah
sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan, dan menghalangnya
dari mencuaikan hak orang lain.

5. Bersifat Lembut dan Sabar

Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang
Muslim ialah, sifat sabar dan berlemah lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan
berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan da’wah
sememangnya penuh dengan kepayahan, penyiksaan, penindasan, tuduhan, ejekan
dan persendaan yang memalukan. Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para
petugas ‘amal Islami sehingga himmah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi
lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan da’wah.

Dari keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang pendakwah adalah satu
tugas yang amat sukar.Ia bertanggungjawab menyampaikan da’wah kepada seluruh
lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabi’atnya.
Da’i akan menyampaikan da’wahnya kepada orang-orang jahil dan orang-orang ‘alim,
orang yang berfikiran terbuka dan yang emosional (sensitif), orang yang mudah
bertolak ansur dan yang keras kepala, orang yang tenang dan yang mudah tersinggung.
Oleh yang demikian ia wajib menyampaikan da’wah kepada semua golongan itu sesuai
dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha menguasai
dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti memerlukan kekuatan
dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah lembut.

Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-quran dan hadith Nabi menganjur dan
mengarahkan agar seorang da’i itu berakhlak dengan sifat-sifat sabar, lemah lembut
dan berhati-hati.

Arahan-arahan Dari Al-Qur’an:

Di antara arahan-arahan al-qur’an ialah:


Firman-firman Allah:

“Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang


demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan”.
(Al-Syura, 42: 43)

“Maafkanlah mereka dengan cara yang baik”

(Al-Hijr, 15: 85)

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka


tanpa batas”.
(Az-Zumar, 39: 10)

“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin
Allah mengampunimu?”.
(An-Nur, 24 : 22)

“Dan apabila orang-oran jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang
mengandungi) keselamatan”.
(Al-Furqan 25 :63)

Arahan-arahan dari hadith-hadith Nabi.

Di antara arahan-arahan dari hadith-hadith Nabi ialah:

Sabda-sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud, antara lain):

“Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa
serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya.”

“Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan
memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa
darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda:
“Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi
kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu
dan sambunglah ikatan silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap
kamu.”

“Apabila Allah Subhanahuwata’ala telah menghimpunkan makkhluknya di hari


kiamat, penyeru pada hari itu pun menyeru; “Di manakah orang-orang yang
mempunyai keistimewaan”. Baginda bersabda: Lalu bangun segolongan manusia dan
bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki
syurga lalu disambut oleh para malaikat. Kemudian mereka ditanya: “Apakah
keistimewaan kamu”. Mereka menjawab: “Adalah kami ini apabila dizalimi kami
bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut”, lalu
dikatakan kepada mereka: “Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-
baik ganjaran bagi orang yang beramal”

Contoh-contoh praktikal dari Nabi:


1. Pada hari peperangan Hunain seorang (yang tidak puas hati dengan
pembahagian rampasan perang) berkata: “Demi Allah, sesungguhnya ini adalah
pembahagian yang tidak adil dan tidak bertujuan mendapat keredhaan Allah”.
Setelah diceritakan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam baginda bersabda:

“Semoga Allah merahmati Nabi Musa kerana ia disakiti lebih dari ini tetapi ia sabar”.

2. Anas Radiyallahu anh telah berkata:

“Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memasuki sebuah


masjid.Ia memakai kain selendang buatan najran yang kasar buatannya. Tiba-tiba
seorang Arab Badwi datang dari arah belakang baginda lalu menarik kain tersebut
dari belakang sehingga meninggalkan bekas di leher baginda. Badwi tersebut
berkata : “Wahai Muhammad, berikanlah kepada kami harta Allah yang ada di sisimu,
lalu Rasulullah berpaling kepadanya dengan wajah yang tersenyum dan baginda
bersabda: “Perintahkan kepada yang berkenaan supaya berikan kepadanya.”

3. Abu Hurairah menceritakan:

“Bahawa seorang Arab Badwi telah berkata kepada Rasulullah


Sallallahu’alaihiwasallam: “Wahai Muhammad bawalah gandum ke atas dua ekor
untaku, kerana kalau engkau buat begitu ia bukan harta engkau dan bukan juga harta
bapa engkau”. Kemudian ia menarik kain selendang Rasulullah sehingga meninggalkan
kesan kemerahan di leher baginda. Lalu Rasulullah memerintahkan supaya membawa
kepada Badwi tersebut seguni gandum dan tamar”.

4. Al-Tabrani menceritakan:

“Bahawa seorang wanita berkata lucah (yakni ucapan yang menimbulkan berahi)
kepada sekelompok lelaki, kemudian ia lalu dihadapan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam
ketika Nabi sedang memakan roti berkuah di atas tanah. Kemudian wanita itu
berkata: “Lihatlah kamu kepadanya, ia duduk seperti seorang hamba abdi dan ia
makan seperti seorang hamba abdi”.

5. Abu Hurairah radiallahu anh menceritakan:

“Bahawa seorang leleki berkata : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai


kaum kerabat yang selalu saya hubungi mereka tetapi mereka semua memutuskan
hubungan dengan saya, saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat
jahat terhadap saya, saya berlemah-lembut dengan mereka tetapi mereka bersikap
keras terhadap saya.” Lalu baginda bersabda : “Jika sekiranya engkau berbuat seperti
yang engkau katakan seolah-olah engkau menjemukan mereka dan engkau tetap akan
mendapat pertolongan dari Allah selama engkau berbuat demikian”.
6. Pada suatu ketika datang seorang yahudi menuntut hutang dengan Rasulullah
dengan berkata: “Kamu dari Bani Abd.Manaf adalah bangsa yang suka melambat-
lambatkan pembayaran hutang”. Ketika itu Umar Ibn Al-Khattab ada bersama dan ia
hampir memenggal leher Yahudi itu, lalu Rasulullah berkata kepadanya: “Wahai Umar,
sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku dengan cara yang baik dan
menuntut aku juga membayar dengan baik”.

7. Diriwyatkan bahawa Nabi Isa Alaihissalam bersama para pengikut setianya


(Hawariyyun) dari satu kampung ke satu kampung yang lain kerana berda’wah. Lalu di
dalam da’wahnya itu ia bercakap kepada manusia dengan cara yang baik, sebaliknya
mereka membalasnya dengan kata-kata yang buruk, kutukan dan maki-hamun. Para
pengikut setia itu merasa hairan terhadap tindakan itu lalu mereka bertanya tentang
rahsia perbuatan sedemikian. Baginda berkata: “Setiap orang itu mengeluarkan
(membelanjakan) apa yang ada padanya”.

Semua peristiwa di atas dan peristiwa lainnya menjadi bukti yang menguatkan lagi
tuntutan ke atas para penda’wah supaya bersifat lemah-lembut, sabar dan belapang
dada khususnya apabila cabaran-cabaran yang menyakitkan itu datangnya dari kaum
kerabat, sahabat-handai, orang-orang yang dikasihi, teman-teman rapat dan saudara
mara kerana sifat-sifat lemah-lembut, sabar dan berlapang dada itu akan
menghasilkan kasih-sayang, kelembutan hati dan menghapuskan perpecahan serta
perbezaan. Cukuplah oleh seorang penda’wah itu mendapat apa yang diredhai oleh
Allah.

6. Bersifat Benar dan Jujur.

Seorang muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar
sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan
orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu
masuk kepada tipu daya syaitan. Seorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan
berdusta bererti ia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-
was syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat
dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang
kukuh menghadapi hasutan dan tipu daya syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang
akan sentiasa bersih, mulia dan terhindar dari tipu daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta
meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan.Lantaran itu Islam
mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-
penyakit yang dilaknat.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud, antara lain):

“Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan


itu membawa ke syurga.Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di
sisi Allah sebagai seorang yang benar.Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa
kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka.Seorang lelaki
yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”.
(Muttafaqun ‘alaihi)

7. Bersifat rendah diri

Seseorang mislim mestilah bersifat tawadhu’ atau merendah diri khususnya terhadap
saudara-maranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberi
layanan) sama ada yang miskin maupun yang kaya. Rasulullh Sallallahu’alaihiwasallam
sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur
(membangga diri). Baginda bersabda (antara lain, bermaksud):

“Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah
(sedikit) sifat takbur.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam hadith qudsi Allah berfirman :

“Kemuliaan itu ialah pakaianKu dan membesarkan diri itu ialah selendangKu.Sesiapa
yang cuba merebut salah satu dari keduanya pasti Aku akan menyeksanya”.
(Hadith Qudsi riwayat Muslim)

8. Menjauhi sangka buruk dan mengumpat

Menjauhi sangka buruk dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu seorang itu
mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah:

“Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya


sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari
kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang
lain. Sukakah salah seorang dari kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati?
Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.Dan bertaqwalah kepada
Allah.Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi penyayang”.
(Al-Hujurat, 49 : 12)

Allah berfirman lagi:

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mu’min dan mu’minat tanpa kesalahan
yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan
dosa yang nyata.”
(Al-Ahzab, 33 : 58)

Dan Rasulullah bersabda (antara lain, bermaksud):

“Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki
hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu
mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan
saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun ia berada di dalam
rumahnya.”
(Hadith riwayat Abu Daud)

9. Bersifat pemurah

Seorang muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta
bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan
seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana
berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, berharta dan berpangkat
gugur dari jalan ini, lantaran rakus terhadap mata benda. Di dalam Al-Qur’an Al-Karim
sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang
dikaitkan dengan sifat pemurah.

Diantaranya:

“Orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang
kami berikan kepada mereka.”
(Al-Anfal, 8: 3)

“Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya
itu untuk diri kamu sendiri.Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan
kerana mencari keredhaan Allah.Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan
nescaya kamu akan diberikan pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak
dianiayai”.
(Al-Baqarah, 2 : Ayat 272)

Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pelajaran
dari pesanan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (antara lain, bermaksud):

“Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari)
didatangi oleh dua malaikat lalu seorang darinya berdo’a : “Ya Allah, berikanlah
ganti kepada si hamba yang menafkahkan hartanya”. Manakala malaikat yang ke dua
berdo’a : “Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada sihamba yang bakhil ini”.

10. Qudwah Hasanah (Suri teladan yang baik)

Selain dari sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan
dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah lakunya adalah
menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal
makan minum, cara berpakaian, cara pertuturan, dalam suasana aman, dalam
perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya. Membina diri menajdi suri
teladan merupakan peranan besar yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw. Firman
Allah swt yang bermaksud:

" Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu
(iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan
dia banyak menyebut Allah " ( Surah al Ahzab : Ayat 21 )

Anda mungkin juga menyukai